Sahabat Ilmu

Jumaat, 1 Januari 2010

KHUTBAH 1 JAN 2010

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهْ وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَسَلَّمَ تَسْلِيْمًا كَثِيْرًا. قَالَ تَعَالَى: يَا أَيُّهاَ الَّذِيْنَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Saudara-saudara umat Nabi Muhammad s.a.w.
Di dalam suasana keriangan musim cuti ini, janganlah kita lupa untuk bertakwa kepada Allah dengan sedayanya. Bersyukurlah kita kepadaNya kerana sekali lagi diberikan kesempatan untuk bernafas pada hari ini, dan sekaligus merealisasikan matlamat sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, serta memakmurkannya dengan segala bentuk amalan kebajikan, dan mencegah segala yang terlarang. Semoga dengan ini, kita mendapat keredhaanNya, serta tergolong antara insan-insan yang memperoleh syafaat dari kekasih kita; Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Kita bersama sedia maklum, hari ini ialah hari pertama bagi tahun baru 2010 masehi. Sebagai seorang muslim yang bijak dan berwawasan, marilah bersama kita secara kolektif mahupun bersendirian, memikirkan sekali lagi akan perancangan hidup kita selanjutnya, dan apa pula yang ingin kita kecapi pada tahun baru ini. Firman Allah di dalam surah al-Hasyr 118:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan (hendaklah) setiap jiwa memerhatikan apa yang ia persiapkan untuk hari esok dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui akan apa yang kamu kerjakan".

Ayuh bersama kita jadikan ayat ini sebagai sumber inspirasi untuk kita bergerak maju ke hadapan, dengan pelbagai inisiatif yang dapat menjadikan kita insan yang lebih bermanfaat dari hari semalam. Kepada sekelian lapisan umur yang hadir di dalam perhimpunan yang penuh berkat ini; kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan warga emas, marilah kita pertingkatkan tahap ilmu pengetahuan kita, samada di lapangan agama mahupun akademik dan kemahiran hidup. Bagi golongan yang bergelar suami atau bapa pula, berikanlah suntikan kemahiran yang segar lagi baru, sebagai nilai tambah kepada peranan kita sebagai ketua keluarga.

Mimbar pada hari cuti umum ini, ingin mengajak sekelian yang hadir untuk bersama mencari ruang-ruang dan peluang peningkatan ilmu pengetahuan sebagai manfaat bersama.

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,
SETIAP kali tiba 1 Januari, soalan apakah sikap kita sebagai umat Islam dalam menyambutnya sering ditanya dan selalunya, ia akan dijawab dengan beberapa jawapan atau maklum balas segera yang biasa didengar selama ini.Antaranya ialah haram menyambut kedatangan tahun baru Masihi yang bukan tahun Islam.

Mimbar hari ini sama sekali tidak bertujuan membincang atau mempertikaikan maklum balas berkenaan tetapi sekadar mengajak pembaca bermuhasabah mengenai hal yang berlegar di sekitar kita seharian. Bukanlah menjadi suatu kesalahan sekiranya kita memperingati kedatangan 1 Januari daripada sudut pergerakan dan peredaran masa. Tuntutan supaya mengambil berat mengenai masa jelas disebut dalam al- Quran sehingga salah satu surah dinamakan al-Asr yang bererti masa.

Begitulah firman Allah yang menuntut manusia sentiasa berhati-hati dalam meniti masa hidup mereka.Semuanya memerlukan nilai pengisian yang tinggi (amal soleh) supaya tidak mengalami kerugian. Tuntutan bermuhasabah amat jelas dalam surah yang ringkas dan padat ini. Sebenarnya, wujud jalinan hubungan istimewa antara perkiraan tahun Masihi dan Hijri (Hijrah) kepada umat Islam.

Tahun Masihi dikira menurut `peredaran’ matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun Hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari). Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-syamsi untuk menentukan musim kerja atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu. Contohnya musim haji dan puasa.

Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas. Hal ini memberikan cabaran berbeza kepada mereka ketika menunaikan ibadat berkenaan. Di sinilah terserlah cabaran jihad ketika menunaikan ibadat. Kepentingan menghitung tarikh as-Syamsi terserlah dalam al-Quran melalui cerita Nabi Yusuf ketika membuat tafsiran mimpi raja Mesir sebagaiman yang dirakamkan dalam Al-Quran menerusi ayat 46 hingga 49 Surah Yusuf menceritakan kisah berkenaan:

“(Setelah dia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): `Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat) tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang yang mengutusku, moga mereka dapat mengetahui tafsirannya’. Yusuf menjawab: `Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah ia pada tangkai- tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya).”

Kepentingan memerhati perubahan musim seperti yang diceritakan dalam ayat tersebut berdasarkan tarikh as-Syamsi iaitu mengenal pasti perubahan cuaca untuk memudahkan aktiviti pertanian selepas mendapat isyarat daripada mimpi raja.

Muslimin saudaraku Seislam Sekelian,
Menyambut kedatangan tahun baru 2010 bukanlah suatu kesalahan, tetapi yang salahnya ialah cara sambutan@cara meraikan kedatangan tahun baru itu. Sebagaimana yang kita sedia maklum dan kita lihat pada setiap tahun dan juga semalam iaitu sambutan tahun baru Masihi dikaitkan dengan majlis keramaian yang acaranya dipenuhi pesta-pestaan termasuklah konsert, pergaulan bebas lelaki perempuan dan mengambil minuman keras. Majlis ini tidak terbatas kepada orang bukan Islam tetapi juga orang Islam di negara kita yang acap kali didakwa sebagai negara Islam paling dinamik di dunia.

Adalah menjadi kebiasaan kepada rakyat, malah disuburkan oleh pemimpin untuk berhimpun beramai-ramai pada malam tahun baru di lokasi strategik seperti Dataran Merdeka, Bukit Bintang dan lapangan terbuka di negeri-negeri, menunggu detik 12.00 tengah malam bagi menandakan permulaan tahun baru. Sambil menunggu, biasanya orang ramai dihidangkan dengan persembahan artis. Di majlis seperti inilah berlaku pergaulan bebas lelaki perempuan dan daripadanya membawa kepada pelbagai kemungkaran seperti menogok minuman keras, melakukan mukaddimah zina seterusnya berzina, meragut, mencuri malah sampai membunuh sekalipun.

Di negara kita, adalah begitu mudah mendapatkan minuman keras. Ia dijual secara terbuka termasuk di kedai mesra 24 jam. Sekali pun ditandai dengan perkataan kecil bahawa arak adalah haram kepada orang Islam dan penjualannya ditegah ke atas individu yang berusia kurang 18 tahun, penjualannya begitu berleluasa, anak-anak muda begitu bangga menogok air syaitan itu. Buktinya, selepas tamatnya perhimpunan ramai itu, akan ditemui bekas tin minuman keras, malahan di tepi-tepi pantai penemuan bekas tin minuman keras adalah biasa, menunjukkan betapa hebatnya anak-anak muda berpesta sakan.

Bagi kita perkembangan ini ada kaitan dengan gelagat sesetengah pemimpin yang cenderung kepada kegiatan merugikan yang membuka ruang-ruang maksiat. Contohnya pada malam tahun baru, pemimpin turut menyertai rakyat melakukan ‘countdown’ dan balik hingga awal pagi. Pepatah Melayu ada menyebut, bapa borek anak rintik, bagaimana acuan begitulah kuihnya dan apa yang disemai itulah yang dituai. Jika pemimpin sebagai penyemai, menanam benih lalang, maka akan suburlah anak lalang di negara kita ini.

Muslimin Yang Dimuliakan,
Sepanjang tahun 2009 kita menyaksikan jenayah dan maksiat semakin subur dan mendapat pengiktirafan dalam masyarakat. Sebagai negara Islam contoh, kita terasa malu apabila maksiat berlaku secara nyata yang besar jumlah penglibatannya ialah dikalangan anak melayu Islam samada golongan rakyat biasa atau pimpinan negara. Lihatlah, kedai-kedai judi tumbuh bagaikan cendawan, manakala premis menjual arak dibuat secara terbuka manakala iklannya berleluasa pula dimerata-rata tempat. Satu lagi perkara memualkan adalah eksploitasi wanita secara terang-terangan yang mendapat dukungan pihak berkuasa. Ambil contoh penggunaan gadis-gadis litar yang berpakaian seperti tidak cukup kain di pesta perlumbaan seperti F1. Tidak cukup dengan syarikat minyak antarabangsa yang mempamerkan gadis seksi, Petronas yang menjadi kebanggaan kita pun tidak kurang hebatnya. Kita mahu bertanya seluruh umat Islam termasuk peneraju Petronas ada apa kaitan antara lumba kereta dengan gadis seksi? Apakah kehadiran gadis seksi akan membolehkan kereta atau motosikal dipecut lebih laju?

Selain itu pelbagai program reality yang jelas bertentangan dengan syariat yang tumbuh subur dalam Negara kita yang diminati oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Antaranya seperti Mentor, Akademi Fantasia, Idola Kecil, Jom Heboh, My Starz LG, Anak Wayang, Pilih Kasih, dan berbagai2 lagi yang ditaja stesen-stesen tv di negara ini yang berlumba-lumba untuk mempromosikan rancangan realiti tv masing-masing yang ternyata bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata dan semua ini merosakkan akhlak dan sahsiah masyarakat Islam di Negara kita.

Mimbar nyatakan perkara ini kerana kita cinta dan sayangkan rakyat, pemimpin dan negara ini termasuk seluruh masyarakatnya serta merasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada jamaah sekelian untuk sedar dan berfikir mengenai masa depan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sebagai rakyat Malaysia yang mencintai Islam, kita melihat fenomena penyuburan maksiat ini sebagai satu ancaman kepada pembangunan intelek rakyat Malaysia khususnya. Ternyata maksiat dan rancangan seperti ini langsung tidak memberi faedah dan menyumbang kepada pembangunan negara. Malah ianya seolah-olah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya amat lemah dari segi intelek dan hanya memikirkan soal-soal picisan seperti hidup sekadar untuk enjoy dan aktiviti hidup untuk mencari bakat-bakat nyanyian semata-mata.

Seperti biasa, kebanyakan rancangan realiti tv ini lebih menumpukan kepada mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang nyanyian. Kalau dahulu kita tidak mengetahui tentang ilmu vokal, kini kita lebih mengenali istilah-istilah seperti �vibrato, falsetho� daripada mengenali istilah-istilah tajwid seperti �izhar� atau �idgham bila ghunnah� yang sepatutnya menjadi kewajipan untuk setiap individu muslim untuk mengetahuinya sebagai satu alat untuk memahami Al-Quran. Persoalannya, adakah agenda mencari penyanyi lebih afdhal dari agenda memulihkan akhlak rakyat Malaysia yang mengalami keruntuhan yang amat dahsyat.

Muslimin Saudaraku Seislam,
Tahun 2009 juga mengejutkan seluruh rakyat Malaysia mengenai Misteri Kehilangan Enjin JET TUDM. Sebagaimana yang dikomen oleh Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini dan satu gambaran runtuhnya iklim moral yang besar. Daripada laporan yang dilaporkan oleh Transparency International mengenai indeks persepsi rasuah global 2009 bahawa Negara kita, Malaysia sekarang dipandang lebih ‘rasuah’ daripada tahun sebelumnya dimana pada tahun 2008 Malaysia berada ditangga 47 dan pada tahun 2009 berada ditangga ke 56 berbanding 180 negara di dunia.

Muslimin Sidang Jumaat Sekelian,
Kita tidak mahu Allah SWT turunkan bala kepada kita angkara maksiat yang semakin berleluasa samada yang disuburkan oleh rakyat bawahan atau pemimpin atasan. Sesungguhnya kemusnahan bumi Aceh akibat tsunami dan gempa dahsyat di Padang, Sumatera, sewajarnya menginsafkan kita bahawa Allah SWT boleh pada bila-bila masa saja menghukum dan menghancurkan serta menghapuskan kita dari muka bumi ini. Sekarang pun, bagi orang yang ada fikiran, mereka sudah merasakan bahana akibat daripada keterlanjuran kita terlalu menyuburkan maksiat. Tidak sedarkah kita bahawa kehidupan kita kini tidak seaman dulu walaupun ada suara-suara yang kerap menguar-uarkan negara kita paling aman dan makmur di dunia. Pembunuhan, perompakan, kejadian ragut, rogol, buang anak, sumbang mahram, dadah, seks bebas, ketagihan arak, rasuah dan aneka maksiat semakin berleluasa dan berkuasa, seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Sementara itu kehidupan rakyat semakin tertekan sekali pun diuar-uarkan negara ini antara yang paling kaya di dunia!

Saudara-saudara umat yang dicintai Rasulullah s.a.w.
Marilah bersama sekali lagi kita menanamkan semangat dan hasrat untuk mengembalikan kecemerlangan Islam didalam diri, keluarga, masyarakat dan negara kita. Kehidupan kita bukanlah sekadar berseronok, bergembira dan berfoya-foya, akan tetapi sepatutnya, kitalah yang menjadi pemain utama di dalam liga dunia ini. Kita hidup sebagai individu yang memahami nilai taqwa, nilai iman, nilai syariat, nilai peraturan, nilai masa dan matlamat kehidupan. Kita wajib menjadi insan yang bertanggungjawab, menjadi penuntut ilmu yang gigih dan cemerlang, kemudian seterusnya menjadi penyumbang ke arah perkembangan tamadun insan, dan di penghujungnya, kita tunduk dengan tawaduknya kepada Tuhan al-'Aziz al-Rahman. Hayatilah slogan 1 aqidah: Allah didahulukan, Rasulullah diutamakan semoga kita peroleh kebahagiaan dan keselamatan didunia dan akhirat.
بارك الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات و الذكر الحكيم أقول قولي هذا وأستغفر الله لي ولكم إنه هو السميع العليم
Di Sediakan dan disampaikan di Surau Al-Ikhlas (surau Jumaat) Oleh: Ustaz Muhamad Naim Hashim

Tiada ulasan: