KHUTBAH HARI RAYA AIDILFITRI 1428h/2007
(الله أكبر الله أكبر الله أكبر (9 كالي
الله أكبر ولله الحمد...
Maksudnya:
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan Katakanlah perkataan yang benar. Niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, Maka Sesungguhnya ia Telah mendapat kemenangan yang besar. (Al-Ahzab 70-71)
Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawal yang dirahmati Allah,
Hari raya. Apa itu hari raya? Pada bahasa, raya ertinya besar atau utama. Jalan raya ialah jalan yang besar atau utama. Pasar raya ialah pasar yang besar. Bandaraya pula ialah bandar yang besar dan utama. Begitu juga dengan lebuhraya, balairaya, hanturaya, pilihanraya, dan sebagainya. Oleh itu hari raya bermaksud hari yang besar atau hari yang utama. Benarkah hari raya itu hari yang besar dan utama? Kalau benar, di manakah letak kebesaran atau keutamaannya.
Apakah hakikat hari raya yang sebenar sehingga ianya dianggap sebagai hari yang besar? Kalaulah benar hari raya itu hari yang besar, bagaimana patut kita menyambutnya. Apakah yang patut kita buat pada hari itu? Bagaimana patut kita mengisinya? Adakah pada setiap hari raya kita perlu tukar langsir, perabot dan permaidani? Adakah sempena hari raya, kita perlu beli pakaian dan kasut baru? Kita menjamu selera dengan bermacam-macam kuih-muih dan juadah yang enak dan lazat. Atau adakah di hari raya patut kita berseronok dan bersuka ria dengan majlis-majlis hiburan lengkap dengan muzik, nyanyian, joget dan tari-menarinya. Kita adakan atau kita tonton pertunjukan atau drama-drama, filem-filem hiburan hari raya. Atau kita bermain mercun, bunga api dan meriam buluh. Atau adakah cukup hari raya itu disambut hanya dengan bersembahyang hari raya, mengirim kad-kad hari raya, berziarah, menjamu selera dan bermaaf-maafan?
Bagi orang Melayu, aidilfitri dinamakan hari raya puasa.. Ia dinamakan hari raya puasa kerana ia disambut selepas bulan puasa. Cara mudah memberi nama seperti ini tidak memberi gambaran atau maksud yang sebenar menyambut hari raya.Maksudnya tersimpang dan lari dari apa yang dikehendaki oleh agama dan syariat. Ia menimbulkan kekeliruan dan salah faham. Lama-kelamaan orang Melayu terutama yang tidak mengaji agama, tidak tahu kenapa dan mengapa mereka menyambut hari raya puasa. Mereka juga tidak tahu bagaimana hari raya puasa patut disambut. Mereka kira hari raya puasa itu ialah hari untuk berseronok, berpesta dan bersuka ria. Hari untuk berbelanja, membazir dan bermewah-mewah. Hari untuk melepaskan geram setelah sekian lama disekat dan dikongkong nafsu mereka. Mereka sedih kalau tidak dapat baju raya dan kasut raya. Sedih kalau tidak dapat tukar langsir baru, perabot baru atau permaidani baru. Bagi yang lebih tua, hari raya puasa jadi hari nostalgia dan hari melayan perasaan. Ingat anak, ingat cucu yang tidak balik pada hari raya.
Sambutan hari raya puasa sudah tidak lagi menjadi suatu ibadat. Ia sudah bertukar menjadi adat dan istiadat. Dengan rumah terbukanya, Hari Raya araknya dan berbagai-bagai lagi cara sambutan pada masa ini. Para artis dan penghibur pula sibuk dengan show hari raya dan album hari rayanya.
Maa’syaral Muslimin Wa Zamratal Mukminin,
Untuk mengetahui makna sebenar hari raya marilah kita memahami, menghayati dan menyelami maksud di sebalik takbir raya. Setiap tahun umat Islam akan mengumandangkan kalimah Takbir sebanyak dua kali yakni semasa idul Fitri da Eidul Adha. Inilah kalimah yang diajarkan oleh Junjungan kita kepada umatnya,
Mungkin ramai di kalangan umat Islam yang tidak memahami maksud Takbir yang setiap tahun dilaungkan oleh mereka. Ucapan takbir “Allahu Akbar” menunjukkan pengakuan kita tentang kebesaran Allah swt. Ketika kita mengatakan Allahu Akbar, bererti kita telah mengecilkan perkara-perkara lain di dunia ini. Kita hanya mengagungkan Allah swt semata-mata. Harta, kekuasaan, jawatan, saham, kereta, anak, isteri, kaum keluarga mahupun nyawa kita sendiri menjadi kecil di mata kita tatkala kita mengucapkan dan melaungkan lafaz Allahu Akbar tersebut. Kita mesti faham bahawa bukan bererti kita menolak harta, kekuasaan, atau jawatan dan sebagainya. Apa yang perlu disedari adalah kita tidak menjadikan perkara tersebut sebagai tujuan dan matlamat kita dihidupkan.
Ucapan tahmid “Alhamdulillah” menunjukkan rasa syukur kita kepada Allah atas segala nikmat yang telah Dia berikan kepada kita. Allah swt telah menjadikan kita sebagai manusia dengan sebaik-baik bentuk. Tubuh kita diciptakan dengan cukup sempurna. Allah swt memberikan kita akal fikiran yang membuatkan kita berbeza dengan makhluk yang lain. Tidak hanya itu, Allah menciptakan alam semesta ini untuk diguna dan dimanfaatkan oleh kita sebagai manusia, tanpa Allah meminta bayaran dari kita sedikit pun. Apa yang diminta oleh Allah adalah agar kita sujud kepadaNya dengan sebenar-benar sujud, sentiasa rindu dan memakmurkan rumahnya (masjid&surau), taat kepada segala perintahNya dan meninggalkan segala kemurkaanNya. Tidak hanya itu, Allah swt memberikan petunjuk kebenaran kepada kita yakni Al-Qur’an yang dengannya kita dapat membezakan mana petunjuk dan mana kesesatan, mana yang haq dan yang mana yang batil, mana yang diredhai oleh Allah dan mana yang dimurkainya.
Ucapan Tasbih “Subhanallah” menunjukkan pengakuan kita akan keagungan Allah swt yang telah menciptakan alam semesta ini dengan sempurnanya. Allah swt telah mengatur perjalanan matahari dari timur ke barat secara sempurna, menciptakan langit dan bumi dengan keagunganNya. Perhatikanlah semua itu. Bukankah semuanya mencerminkan keagungan dan kesempurnaan Allah swt? Tetapi hari ini kita samseng, sombong dan kurang ajar dengan Allah. Kita lawan allah, lawan perintah Allah, lawan hokum Allah, Kita malas sembahyang, tidak puasa, datang masjid/surau hanya bulan ramadhan sahaja, kita tidak tutup aurat, kita berlagak macam tuhan sehingga lupa bahawa nyawa, rezki, udara dan seluruh dunia ini semuanya milik Allah dan apa yang ada pada kita hanyalah sebagai pinjaman sahaja.
Ucapan “La ilaha illa Allah” merupakan syahadah (pengakuan) kita akan betapa hanya Allah Subhanu wa Ta’ala sahajalah sebagai satiu-satunya Zat yang wajib dan selayaknya kita sembah tanpa boleh kita menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun. Kalimah ini bukan sahaja merupakan penolakan kita terhadap tuhan-tuhan selain Allah namun ia juga merupakan penolakan kita terhadap produk-produk selain hukum Allah. Hanya hukum Allahlah yang wajib kita jadikan aturan di dalam diri, keluarga, masyarakat, Negara dan dalam kehidupan kita, bukan yang lainnya. Kita juga mengakui bahawa segala janji Allah adalah benar. Syurga, neraka, dosa, pahala, nikmat, azab semuanya pasti akan kita rasai mengikut amalan masing-masing apabila kita mati suatu hari nanti.
Seterusnya Allah menerangkan bahawa Dia telah memuliakan tenteranya dan memberikan kejayaan ke atas mereka dengan dikalahkan tentera Kafir Ahzab dengan keEsaanNya. Dalam Perang Ahzab, kita mendapati bahawa pihak kaum Muslimin telah terkepung dengan pasukan gabungan kafir Quraish dan Yahudi dan mereka telah nekad ntuk menyerang Rasulullah dan kaum Muslimin. Maha Perkasa Allah yang telah menurunkan ribut pada malam itu yang telah memecah dan memporak-porandakan barisan musuh dan segala kelengkapan serta peralatan mereka. Akhirnya kaum kafir telah berjaya dikalahkan semata-mata dengan kekuatan dan pertolongan Allah yang Maha Esa.
Inilah di antara janji Allah kepada kaum Muslimin yakni kemenangan kepada mereka yang menolong agamaNya. Kuat mana sekalipun golongan yang menentang agama Allah, sesungguhnya amat mudah bagi Allah untuk menghapuskan mereka. Syaratnya, kaum muslimin itu sendiri hendaklah terlebih dahulu menolong agama Allah swt. Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”(Surah Muhammad: 7)
Maa’syaral Muslimin Wa Zamratal Mukminin,
Wahai kaum Muslimin! Tanyalah diri kita adakah kita telah benar-benar menolong agama Allah? Adakah kita telah berusaha menegakkan agama Allah? Adakah kita telah bergerak untuk berdakwah kepada umat Islam dan para pemimpin yang menerapkan hukum jahiliyyah, hukum taghut sekarang ini? Adakah kita telah menyahut seruan Allah dan RasulNya dan berusaha untuk merubah hukum kufur yang penuh dengan rasuah, riba, mungkar, maksiat, penindasan, kezaliman, kejahilan, penipuan yang ada sekarang dengan menggantikannya dengan hukum ciptaan Allah yang adil, makmur dan mengambil berat halal dan haram? Atau adakah kita hanya memilih untuk mementingkan dunia dan berdiam diri dengan sistem kufur yang sedang mengawal kita sekarang? Atau kita memilih jalan yang lebih hina dan keji untuk bersama menyokong dan mempertahankan sistem kufur ini demi habuan dunia yang kita harapkan?
Sedarlah wahai kaum Muslimin! Takutlah kita kepada Allah yang akan mengazab kita di atas segala dosa-dosa kita kerana tidak menolong agamaNya. Kita membiarkan anak, isteri, ahli keluarga, masyarakat, dan rakyat Malaysia menjadi penagih dadah, penyamun, perompak, perogol, pembunuh, pelacur, penyanyi, penari, mat rempit, kaki lepak, kaki arak, kaki perempuan, kaki rasuah, kaki judi dan sebagainya! Apa kita hendak jawab apabila kita di soal di hadapan Allah s.w.t di padang Mahsyar nanti.
Saudaraku Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Kita sering mendengar dan memperkatakan bahawa Eidul Fitri merupakan Hari Kemenangan kepada mereka yang berpuasa. Benar, kita tidak menafikan kenyataan ini dilihat dari konteks pencapaian setelah berpuasa itu sendiri. Persoalannya, apakah umat Islam itu telah mendapat kemenangan sebagaimana yang Allah perintahkan? Apakah umat Islam itu benar-benar telah mencapai kemenangan sebagaimana kemenangan yang telah dicapai oleh Rasulullah dan para sahabat? Apakah kemenangan setelah berpuasa sebulan merupakan kemenangan hakiki umat Islam sehingga tidak ada lagi perjuangan untuk mencapai kemenangan sesudah itu? Apakah Takbir Kemenangan yang kita laungkan tidak mengingatkan kita tentang kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Rasulullah dan para Khulafa’ setelah mereka berjaya menguasai dunia dan menerapkan hukum Allah di atasnya?
Rasulullah dan para sahabat berpuasa dan mereka berdakwah untuk menyebarkan agama Allah. Mereka berpuasa dan mereka berjihad untuk menyebarluaskan Islam. Mereka berpuasa dan mereka pastikan bumi ini tidak diperintah kecuali dengan hukum Allah semata2. Mereka berpuasa dan mereka pastikan agama Allah adalah agama yang menakluki dunia. Rasulullah dan para sahabat berpuasa dan mereka benar-benar berjuang memastikan kemenangan Islam dan kaum Muslimin. Inilah kemenangan hakiki umat Islam sebagaimana yang telah ditunjuk dan diperintahkan oleh Rasulullah swt. Bukan sekadar kemenangan di dalam menunaikan ibadat berpuasa semata-mata. Hari ini ramai yang berpuasa tetapi murtad, syirik, melakukan khurafat, bid’ah, tidak sembahyang, tidak tutup aurat, berpakaian seksi dan ketat, menghalalkan pergaulan bebas, sentiasa asyik dan tergoda dengan hiburan dan maksiat.
Periksalah dengan hati yang ikhlas, adakah takbir yang kita ucapkan ini sama sebagaimana takbir yang diucapkan oleh Rasululluah saw? Sebahagian kita bertakbir dengan penuh perasaan didalam masjid, tetapi apabila keluar masjid kita takabbur kepada Allah, Kita berhukum dengan hukum sekular, menjadikan barat sebagai tuhan,, berjuang bermati-matian mempertahankan demokrasi ciptaan Barat, memperjuangkan sekularisme, liberalisme, kapitalisme, assabiyyah(semangat bangsa), wathaniyyah (semangat kenegaraan) dan sebagainya. Kita mengagungkan kekayaan, kekuasaan dan kedudukan dengan meninggalkan syariat Allah swt. Sehingga ada umat Islam yang menjadikan hawa nafsu dan syaitan sebagai ikutan kerana terlalu mementingkan dunia dan takut kehilangan nikmat dunia yang sedikit sehingga lupa akan nikmat akhirat yang tidak terbatas. Marilah sama2 kita kembali kepada fitrah dengan menginsafi dan memikirkan segala kesalahan yang pernah kita lakukan serta segera bertaubat kepada Allah sebelum ajal datang menjemput kita.
Kaum Muslimin Yang Dimuliakan,
Dalam Islam tidak ada hari raya dalam konteks yang difahami oleh orang Melayu iaitu berseronok dan berhibur yang melampaui batas. Yang ada hanyalah hari untuk bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan.
Selama 11 bulan dalam setahun, manusia bergelumang dengan nafsu dan dunia. Selama itu jugalah fitrah manusia dicemari, dikotori dan dirosakkan. Fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak bermaya. Dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan, dikurniakan-Nya satu bulan dalam setahun iaitu bulan Ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah manusia yang telah lemah itu dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan semula. Supaya kerakusan nafsu itu dapat ditekan dan diimbangi. Kalau tidak, nafsu akan bertambah-tambah rakus sampailah manusia itu mati. Dia akan mati dalam keadaan nafsunya yang bermaharajalela. Bagi orang Islam, kalau dia hidup selama 50 tahun selepas akil baligh, nafsunya akan dibersih dan fitrahnya dikuatkan sebanyak 50 kali dan selama 50 bulan. Ini banyak membantu mengawal nafsunya. Itulah rahmat Tuhan. Ia tidak berlaku pada orang kafir.
Kalau fitrah sudah rosak dan kotor, manusia akan lupa Tuhan. Bila Tuhan sudah dilupakan, jiwa manusia akan mati. Jiwa manusia tidak boleh hidup tanpa Tuhan dan tanpa rasa bertuhan. Manusia yang telah mati jiwanya tidak boleh lagi berperanan sebagai insan kerana keinsanannya telah rosak. Nafsunya akan bermaharajalela. Dia akan terangsang hanya dengan dunia dan akan benci akhirat. Dia akan suka dengan apa yang Tuhan benci dan akan benci dengan apa yang Tuhan suka. Dia akan mengangkat nafsunya menjadi Tuhan. Akhirnya hidupnya di dunia menjadi punah ranah dan di akhirat nanti akan bakal dicampakkan ke dalam neraka Allah s.w.t. Nauzubillahi min zaalik…
DISEDIAKAN OLEH:
USTAZ MUHAMAD NAIM BIN HASHIM
9 OKTOBER 2007=27 RAMADHAN 1428h
#TIADA HAK CIPTA DALAM ISLAM#
KEPADA PEMBACA SEKELIAN, ANDA BOLEH COPY, PRINT DAN SEBARKAN KEPADA SELURUH UMAT ISLAM DEMI MEMBINA UMMAH YANG BERILMU, BERIMAN DAN BERAMAL.
"SAMPAIKAN OLEHMU WALAUPUN SATU AYAT" (HADIS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan