Sahabat Ilmu

Rabu, 26 September 2012

Nabi bina Masjid Quba atas dasar taqwa

SETELAH beberapa hari menempuh perjalanan jauh, akhirnya Nabi s.a.w. dan Abu Bakar As-Siddiq sampai ke Quba, sebuah perkampungan di pinggir kota Madinah. Ketibaan Nabi s.a.w. disambut penduduk Quba sebagai tetamu istimewa, baginda menjadi tetamu kepada seorang muslim bernama Kaltsum bin Adam. Di desa Quba itu Nabi s.a.w. berehat untuk menghilangkan letih dan penat selama beberapa hari.

Selang beberapa hari, saidina Ali bin Abi Talib yang menyusul kemudian, telah tiba di Quba. Saidina Ali lewat sampai beberapa hari dalam usahanya menyahut kewajipan hijrah ke Madinah,kerana melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh Nabi s.a.w., untuk memulangkan harta benda, barang kemas dan wang dinar yang ditumpangkan oleh penduduk Makkah di rumah Nabi s.a.w..

Orang-orang Makkah yang selama ini merasa aman harta milik mereka dari gangguan, tetapi apabila Saidina Ali memulangkan semua harta tersebut atas arahan Nabi Muhammad s.a.w., maka mereka merasa sedih atas kehilangan orang yang sangat amanah. Tiada lagi orang yang sejujur Nabi s.a.w. untuk diamanahkan harta milik mereka, meskipun sebahagian dari mereka belum beriman dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w., namun ketiadaan Nabi s.a.w. di kota Makkah adalah suatu kehilangan yang tiada gantinya bagi mereka yang berkenaan.

Ketikaberada di kampung Quba, Nabi s.a.w. telah mengasaskan pembinaan sebuah masjid yang dikenali hingga kini sebagai 'Masjid Quba'. Pembinaan masjid ini telah mendapat sanjungan dari Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan melalui firman-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah patut kamu bersembahyang di dalamnya..."

(Surah At-Taubah ayat 108).

Pembinaan masjid Quba dilakukan ketika Nabi singgah beberapa hari di kampung tersebut, Nabi s.a.w. mendahulukan projek masjid berbanding dengan pembangunan lain. Ia membawa pengajaran kepada umatnya, bahawa pembinaan tempat ibadat mesti diberi keutamaan. Agar kaum muslimin mendahulukan soal 'Hablun minallah', supaya kehidupan manusia muslim mempunyai asas yang kukuh. Dengan memberikan keutamaan urusan mentaati Allah, akan mendorong hubungan sesama manusia akan lebih teratur.

Penduduk pinggir Madinah sangat berbesar hati apabila Nabi s.a.w. membina masjid di kampung mereka, sebuah masjid yang diasaskan atas dasar taqwa serta mendapat sanjungan dari Allah SWT. Masjid tersebut akan menjadi pusat kesatuan ummah, yang kehidupan mereka berlandaskan kepada ketaatan kepada Allah SWT.

Bagaimanapun penduduk kampung Quba sedar bahawa Nabi s.a.w. tidak akan menetap lama di Quba. Para penduduk Quba berusaha merayu Nabi s.a.w. agar sudi singgah dan bertamu ke rumah mereka, masing-masing saling menawarkan khidmat dan layanan yang sebaik-baiknya. Ada yang memegang tali kekang unta Nabi yang sedang berjalan membawa Nabi, seolah-olah mereka tidak membenarkan Nabi s.a.w. meninggalkan kampung mereka.

Semua tindakan yang dilakukan oleh penduduk Quba itu bukan hendak menghalang perjalanan Nabi s.a.w., tetapi menunjukkan bahawa kasih sayang mereka terhadap Nabi s.a.w. amat mendalam. Lalu Nabi bercakap kepada orang ramai dengan sabdanya yang bermaksud: Berilah laluan kepada unta tunggangan saya ini, kerana unta ini melangkah atas perintah Allah SWT untuk membawaku ke mana yang ia suka. Apabila unta ini berhenti, maka di situlah perintah Allah SWT kepadanya.

Sebagaimana penduduk Quba sayang kepada Nabi, maka demikian sebaliknya Nabi s.a.w. menyayangi mereka yang begitu banyak memberi khidmat kepada baginda s.a.w.. Namun baginda tetap meneruskan perjalanannya ke Madinah, sebagai destinasi hijrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Baginda mengikuti gerak langkah unta kenderaannya yang melangkah tenang menuju matlamatnya. Langkah unta itu tidak berhenti selagi belum sampai ke destinasi hijrah yang ditunjukkan oleh Allah SWT.

Unta Nabi berjalan dilorong-lorong kota Madinah, hingga akhirnya sampai ke suatu tempat tanah lapang kepunyaan dua orang anak yatim daripada keturunan bani Najjar. Apabila unta tersebut berhenti, Nabi s.a.w. bersabda: Di sinilah tempat aku berhenti, Allah SWT menentukan unta itu berhenti di hadapan rumah Abu Ayub. Alangkah gembiranya Abu Ayub setelah mendapati unta Nabi s.a.w. berhenti bertepatan di hadapan rumahnya, beliau segera menyambut baginda s.a.w. dan mengangkat pelana unta Nabi lalu dibawa masuk ke dalam rumahnya.

Penduduk Madinah keluar beramai-ramai mengelilingi Nabi s.a.w. sebagai menzahirkan rasa gembira, kerana mereka akan berjiran dengan Nabi s.a.w.. Penduduk Madinah menyatakan rasa kesyukuran dengan bernasyid beramai-ramai yang berbunyi: "Nahnu Jiwarun min bani Najjar, ya Habba za Muhammadun min Jar" (Kami semua adalah jiranmu dari bani Najjar, alangkah bertuahnya kami mendapat jiran baru bernama Muhammad).

Setelah mendengar rangkap-rangkap nasyid yang didendangkan serentak oleh kaum bani Najjar, lalu Nabi s.a.w. bertanya kepada mereka: "Adakah benar-benar anda semua menyayangi aku? Mereka serentak menjawab: Ya, kami semua amat menyayangi Nabi s.a.w..

Walaupun penduduk Madinah dari bani Najjar menyatakan kasih sayang mereka kepada Nabi s.a.w. dalam bentuk syair, namun Nabi s.a.w. menjawabnya dengan nada biasa dan tidak dalam bentuk syair.

Allah SWT tidak memberikan ilmu tentang syair atau pantun kepada Rasul-Nya, kerana seorang Rasul begitu serius dalam melaksanakan tugas dakwah. Nabi tidak memerlukan syair, sebagaimana yang ditegaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya. (Al-Quran) yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi pengajaran."

(Surah Yaa Sin ayat: 69).

Jika Nabi mempunyai kemahiran bersyair, dikhuatiri orang-orang akan menyanjung dan memuja Nabi s.a.w. kerana keindahan susunan syairnya. Sedangkan Nabi adalah seorang Rasul Allah yang membawa ajaran yang benar, mengajak manusia untuk kembali kepada Allah dan mencapai keredhaan-Nya semata-mata.

Nabi s.a.w. sampai ke Madinah pada tanggal dua belas Rabiul Awal tahun pertama hijrah. Allah SWT mentakdirkan tarikh hijrah itu bersamaan dengan tarikh lahir Nabi s.a.w.. Tarikh dua belas Rabiul Awal sebagai tarikh hijrah Nabi s.a.w. itu telah dicatatkan oleh Al-Mas'udi seorang ahli sejarah di dalam kitabnya berjudul "Murujuz Zahab" (Pulau-pulau Emas).

Tazkirah Oleh: TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT
-Harakah-

Tiada ulasan: