Sahabat Ilmu

Khamis, 6 Mac 2008

Politik Islam

Politik Islam Yang Agung


"Sebaik-baik pemimpin kamu, adalah orang yang kamu cintai, mereka pun mencintai kamu. Kamu mendoakan mereka, mereka pun mendoakan kamu. Dan seburuk-buruk pemimpin kamu, adalah orang yang kamu benci dan mereka pun membenci kamu. Kamu melaknat mereka, dan mereka pun melaknat kamu." (HR Muslim dalam Shahih Muslim, III/1481; Al-Baehaqi, Sunan Al-Kubra, VIII.158)


Inilah gambaran sifat pemimpin politik yang menjalankan kepemimpinan politiknya dengan betul, sehinggalah melahirkan kecintaan rakyat kepada mereka. Bila, mereka disebut sebagai pemimpin politik yang dicintai rakyat, dan sebaliknya, bilakah pula mereka dibenci oleh rakyat? Hadits di atas telah memberikan gambaran yang cukup jelas. Iaitu, ketika pemimpin politik tersebut melakukan fungsi politik yang dibawanya dengan baik. Ia dicintai rakyat, kerana ia mencintai mereka. Ia dido’akan rakyat, kerana ia mendo’akan mereka. Dan bilakah pula, ini semua terjadi?. Iaitu, ketika ia sebagai pemimpin politik telah memberikan seluruh hak rakyat. Ia menjalankan kewajiban sebagai pemimpin dengan adil, tidak menindas, atau bertindak zalim. Melayani semua lapisan rakyat dengan sama, tanpa dibeza-bezakan. Cintanya kepada rakyat timbul dari rasa tanggungjawabnya yang tinggi kepada mereka. Kerana takut ianya tidak boleh mempertanggungjawabkan hisab atas tanggungjawab rakyatnya di hadapan Allah SWT.



"Sungguh aku ingin menghadap Allah SWT. dan tidak seseorang pun yang menuntut (haknya) kepadaku, kerana kezaliman (nescaya akan aku penuhi). Maka, sesiapa sahaja yang hartanya pernah aku ambil (dengan cara zalim), inilah hartaku, ambilah. Dan sesiapa sahaja yang belakangnya pernah aku rotan (dengan cara zalim), ini belakangku, balaslah." ungkapan baginda Nabi suatu ketika. Dan ketika ada seorang wanita mencuri, kerana wanita itu merupakan wanita bangsawan, muncul tuntutan sekelompok orang supaya hukumannya digugurkan agar tidak menjatuhkan kewibawaannya. Dengan marah Nabi menjawab: "(Jangankan wanita ini) kalau sahaja Fatimah binti Muhammad mencuri, tentulah aku akan memotong tangannya." (HR Imam Ahmad, Muslim dan An-Nasa’i).


Bukan hanya terhadap orang Islam baginda berlaku adil, malah terhadap orang non-Islam pun baginda berlaku sama. Pernah baginda membunuh orang Islam kerana orang Islam itu telah membunuh orang Yahudi yang menjadi rakyat negara Islam, ahli ad-dzimmah, yang darah, harta dan kehormatannya baginda jaga. Kata baginda: "Sayalah orang yang paling berhak menunaikan dzimmah (jaminan) seseorang." Dalam riwayat yang lain, baginda mengatakan: "Sesiapa sahaja yang membunuh satu jiwa yang terikat dengan perjanjian, dimana ia memperolehi jaminan Allah dan Rasul-Nya, maka orang itu telah membatalkan jaminan Allah. Dan dia tidak akan mencium bau syurga."



Jaminan inilah yang diberikan oleh baginda Rasulullah saw. kepada seluruh rakyat tanpa memandang bangsa, agama dan lain-lain. Disinilah, konsep kepemimpinan politik baginda ditanamkan: "Pemimpin yang menjadi pemimpin manusia adalah seumpama pengembala, yang merupakan satu-satunya orang yang bertanggungjawab terhadap gembalanya." (HR Muslim, Abu Dawud, At-Turmidzi dari Ibnu Umar) kata baginda suatu ketika, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. "Imam itu adalah perisai, yang akan menjadi pelindung bagi orang yang ada di belakangnya. Orang akan berperang dibawah komandernya." (HR Muslim dari Al-A’raj) ungkap beliau dalam kesempatan yang lain.


Inilah kerangka utama pemikiran politik baginda Rasulullah saw. Pemimpin adalah pengembala, sehingga dia tidak akan menjadikan ‘gembalanya’ sebagai mangsa iaitu rakyat yang dipimpinnya. Tidak akan memakan hak-hak rakyat atau memerah rakyat seperti lembu perahan. Membiarkan rakyat kelaparan, tidak adil dalam mengasaskan konsep pembangunan yang hanya mengutamakan orang-orang kaya, sanak kerabat dan kroninya, sedangkan rakyat secara am dibiarkan menderita. Mereka selalunya menyalahkan rakyat, dan bukannya merasa bersalah serta wajib bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan oleh rakyatnya. Inilah pemimpin yang menjadi perisai.


Imej inilah yang dimiliki oleh pemimpin yang dididik oleh pendidikan baginda yang mulia. Abu Bakar, ketika diangkat menjadi khalifah masih bekerja seperti biasa sebagai pedagang, kemudian dilarang oleh Umar kerana boleh mengganggu tugas beliau sebagai khalifah. Beliau tidak mendapatkan gaji dari negara, namun diberi saguhati oleh negara sesuai dengan keperluan yang beliau perlukan. Ketika, beliau mendapati jumlah saguhati yang diberikan kepada isterinya masih boleh dijimatkan dan dibelikan baju oleh isterinya untuk keperluan beliau, beliau mengatakan: "Kalau demikian, saguhati saya harus dikurangi. Kerana ini pun sudah berlebihan" Betapa wara-nya sikap Abu Bakar, sahabat dan mertua Nabi yang mulia itu. Bahkan, sebelum beliau wafat, beliau membuat wasiat agar seekor keledai, dua buah tempayan air dan sehelai baju dinas (baju rasmi khalifah) dikembalikan kepada negara, kerana itu bukan hak beliau. Sehingga Umar terharu melihatnya: "Inilah yang menyulitkan (memberatkan) khalifah-khalifah berikutnya. Kerana tidak ada yang mampu seperti beliau."


Umar bin Khattab pun demikian. Ketika beliau didesak oleh rakyatnya agar mengangkat putera beliau, Abdullah bin Umar, sebagai penggantinya beliau murka dan mengusir mereka. "Semoga engkau dibinasakan oleh Allah. Demi Allah, saya tidak menginginkannya. Celakalah kau.…Tidak, saya tidak akan mewariskan urusan kamu kepada keluarga saya. Saya tidak mengharapkan pujian dengan menyerahkan urusan ini kepada salah seorang di antara anggota keluarga saya. Sekiranya ada kebaikan, kita semua boleh merasakan dari salah seorang diantara keluarga kami, dan sekiranya ada keburukan, cukuplah salah seorang diantara keluarga Umar yang dihisab kerana urusan umat Muhammad ini. Sungguh saya telah mencurahkan diri saya, dan mengharamkan keluarga saya. Sekiranya saya berjaya hingga akhir, tanpa salah dan cela pun rasanya senang dan bahagia." kata Umar ketika itu (Nidzam Al-Hukmi Fi Al-Islam, An-Nabhani, hal. 102). Dan apabila beliau memilih seseorang untuk menjadi pegawainya, maka ketakwaan dan jaminan yang diberikan oleh Rasul terhadap orang itulah (iaitu kualiti peribadi orang tersebut) yang menjadi kriteria (ciri kelayakan) orang itu untuk dilantik serta ciri itulah yang akan menjadi dorongan beliau untuk memilih orang tersebut sebagai pegawainya. Beliau mengungkapkan alasan mengapa memilih enam orang untuk bermesyuarat dalam memilih salah seorang di antara mereka menjadi khalifah? Jawab beliau: "Mereka itu adalah ahli syurga." ungkap beliau ketika menunjukan Ali, Utsman bin Affan, Sa’ad bin Abi Waqqas, Abdurrahman bin Auf, Thalhah dan Zuber bin Al-Awwam (Nidzam Al-Hukmi Fi Al-Islam, An-Nabhani, hal. 102). Beliau memilih bukan untuk mempertahankan kepentingan peribadi beliau, keluarga beliau atau bahkan perniagaan beliau.


Inilah sepintas-lalu wajah politik Islam yang agung itu. Wajah politik yang menjunjung tinggi keadilan, kesamaan darjah, menghormati maruah, harta dan nyawa manusia. Ketika itulah tamadun manusia, masyarakat dan bangsa yang sebelumnya tidak dipertimbangkan dan tidak pernah masuk dalam catatan sejarah, tiba-tiba menjadi sebutan sejarawan di mana-mana. Tamadun yang sama sekali asing, baru dan original (asli), sehingga digambarkan oleh baginda: "Islam ini nampak asing, pada mulanya." (H.r. Muslim). Betapa tidak, tamadun Barat yang penguasa dan diktator itu telah menjadikan bangsa Eropah ketika itu sebagai hamba manusia. Pemimpin dianggap dewa, sehingga tidak pernah bersalah. Dibandingkan dengan Islam, sebagaimana doktrin Nabi: "Tidak ada yang lebih mulia di antara kalian, kecuali takwanya." Sehingga baginda sendiri meminta cadangan/usulan dan selalu mengajak sahabat-sahabat baginda bermesyuarat. Mesyuarat bagi baginda, adalah wajib, manakala bagi umatnya yang lain hukumnya sunnah. Padahal, baginda adalah Rasul yang ma’shum, yang tidak pernah melakukan kemaksiatan (Al-Ihkam Fi Al-ushuli Al-Ahkam, Al-Amidi, I/130).


Itulah, mengapa Abu Bakar sewaktu diangkat menjadi pemimpin, perkara mula-mula yang dikatakan di dalam khutbahnya adalah: "Hai manusia, saya telah diberi kepemimpinan untuk memimpin kamu, sedangkan saya bukanlah orang terbaik di antara kamu. Jika saya melakukan kebaikan, bantulah. Dan jika saya melakukan keburukan, luruskanlah saya. Kejujuran adalah amanah, sedangkan kedustaan adalah khianat. Orang yang lemah menurut kamu, adalah bagi saya kuat sehingga saya akan menunaikan haknya. Orang yang kuat menurut kamu, adalah bagi saya lemah, sehingga saya akan ambil haknya.". Inilah kata-kata beliau yang mulia itu. Sikap takwa yang melahirkan amanah inilah yang juga dimiliki oleh Umar: "Demi Allah, tidak ada satu urusan pun, yang kamu miliki selain disampaikan kepadaku kemudian ditangani oleh yang lain, selain aku." (Nidzam Al-Hukmi Fi Al-Islam, An-Nabhani, hal. 97-100). Inilah khalifah Rasul yang agung itu.


Pemimpin yang amanah dan tidak khianat. Inilah, ibrah (pengajaran) dari mereka. Amanah, adalah sikap menunaikan hak-hak dan kewajiban orang lain dengan baik. Tanpa sedikit pun merampas hak-hak dan kewajiban yang sememangnya harus diberikan kepada yang berhak. "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah itu kepada yang orang yang berhak memperolehinya." (TMQ An-Nisa’: 58). Inilah doktrin politik Islam yang agung itu. Amanah yang lahir dari takwa, iaitu rasa menjaga diri yang dimiliki manusia, terhadap melakukan atau meninggalkan perbuatan yang mengakibatkan siksa neraka. Itulah takwa. Pemimpin yang bertakwa inilah yang tidak akan sanggup melakukan pengkhianatan kepada rakyatnya. Pemimpin yang khianat, sebagaimana pemimpin Islam di negeri-negeri kaum muslimin, yang menjual kedaulatan negaranya, kekayaan alamnya untuk dirampas orang lain, sedangkan rakyatnya kelaparan. Contohnya Bangladesh, negara yang kapasiti (keupayaan) makanannya cukup untuk keperluaan dalaman, namun tetap mengimport beras dari luar negeri. Indonesia juga kaya raya, namun rakyatnya miskin, kerana ketamakan pemimpinnya. Mereka tidak menunaikan hak-hak dan kewajiban rakyatnya. Mereka memimpin kerana kepentingan duniawi semata. Sikap politik yang rendah dalam sejarah tamadun manusia. Dibandingkan dengan ajaran Nabi: "Ada tiga kelompok orang yang wajahnya tidak akan dilihat oleh Allah, ….orang yang memilih dan mengangkat pemimpin, namun hanya kerana keuntungan duniawi semata. Jika ia diberi (apa yang diperlukannya), maka ia akan menunaikan janjinya. Jika ia tidak memperolehinya, maka ia akan meninggalkannya." (HR Bukhari dari Abu Hurairah). Sabda baginda yang mulia ini, memberi isyarat akan lahirnya konspirasi politik-ekonomi dalam politik manusia. Baginda sudah meramalkan akan kemunculannya, namun baginda mengancamnya dengan kemurkaan Allah kelak di akhirat kelak.


Pemimpin yang amanah inilah yang akan dicintai oleh rakyatnya. Inilah imej kepemimpinan nubuwwah yang oleh Nabi disebut: al-khilafata ‘ala minhaji an-nubuwwah, pewaris kepemimpinan politik Nabi yang mengikuti panduan kenabian. Inilah sistem politik Islam yang agung itu, iaitu sistem politik yang menguruskan urusan umat dengan menerapkan syari’at Islam secara keseluruhan di dalam Islam dan luar negeri. Betapa gemilangnya kejayaan Umar bin Abdul Aziz, dalam waktu yang singkat iaitu antara 717-720 M. telah berjaya mengembalikan kejayaan sistem politik Islam yang diselewengkan oleh Mu’awiyah. Beliau juga telah berjaya membanteras kemiskinan, sehinggalah sukar dicari orang miskin yang boleh diberi zakat. Menakjubkan, hanya dalam waktu dua tahun sahaja. Padahal, sebelumnya, beliau menghadapi warisan konflik politik, sosial dan ekonomi. Ternyata ketakwaan Umar bin Abdul Aziz-lah yang mampu menegakkan kembali keadilan syari’at Islam yang sebelumnya telah diselewengkan.


Memang, sejarah Islam telah dipenuhi dengan tiga wajah kepemimpinan politik: al-khilafata ‘ala minhaji an-nubuwwah, sebagaimana yang kita lihat dalam kekhilafahan Abu Bakar, Umar bin Khattab, Utsman bin Affan, Ali bin Abi Thalib. Setelah itu, sejarah dunia Islam mengalami pergeseran dari al-khilafata ‘ala minhaji an-nubuwwah menjadi al-mulkan ‘adhudhan (kepemimpinan politik yang diliputi penyimpangan), dimulai dari Mu’awiyah bin Abi Shafyan, Yazid bin Mu’awiyah hingga seterusnya sampai runtuhnya Khilafah Islam, kecuali dua tahun masa kepemimpinan Umar bin Abdul Aziz (717-720 M), keturunan khalifah agung Umar bin Al-Khattab, yang disebut al-khilafata ‘ala minhaji an-nubuwwah, oleh ahli sejarah Islam meski kemudian dibunuh oleh sanak-saudaranya. Dan setelah hancurnya Khilafah Islam, sejak tahun 1924 sampai sekarang, kepemimpinan politik di dunia Islam diwarnai dengan al-mulkan ‘jabariyan (kepemimpinan politik yang berkuasa dan diktator).


Jika didalam catatan sejarah sistem politik Islam yang agung ini hanyalah sesuatu yang uthopia (khayalan) namun, sejarah (kecuali sirah Nabi dan sahabat) memang tidak boleh dijadikan sumber hukum, bahawa sistem politik Islam yang agung itu hanyalah suatu yang berbentuk uthopia. Tidak. Sebab, sejarah bukanlah nas syara’, seperti Al-Quran atau As-Sunnah ataupun sirah Nabi. Disamping itu ia sangat dipengaruhi oleh penulisnya. Itulah hakikat sejarah.


Oleh kerana itu, dunia kini telah kehilangan sumbangan besar sistem politik Islam yang agung itu, kerana institusi politik yang agung (khilafah Islam) itu telah dimusnahkan, oleh orang kafir, Barat dan Timur, melalui Mustafa Kemal Attaturk. Seorang pejuang kebangsaan Turki, keturunan Yahudi Dunamah (Selonika). Dunia memerlukan keadilan, amanah, kesamaan darjah, pemeliharaan maruah, yang tidak boleh diberikan oleh sistem politik ketika ini. Dunia memerlukan al-khilafata ‘ala minhaji an-nubuwwah. Semoga kita menjadi Generasi Khilafah yang dijanjikan membawa kemenangan Islam.

Rujukan:
Suara Shoutun Nahdhah

UST MUHD NAIM

BAB MEMILIH PEMIMPIN

CIRI-CIRI PEMIMPIN MENURUT ISLAM

Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa semoga kita beroleh kesenangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

SATU pengkhianatan dan penzaliman besar yang dibuat oleh pemerintah-pemerintah dunia hari ini adalah menjadi kaya-raya hasil dari jabatan dan kedudukan memerintah. Hal itu jauh bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam Islam, seperti yang dipraktikkan oleh Rasulullah, Khulafa Ar-Rasyidin dan Khalifah Umar Abdul Aziz, mereka lebih zuhud dan miskin sewaktu memerintah. Bahkan mereka mati tanpa meninggalkan harta pusaka apa-apa. Jadi kalau ada orang yang menjadi kaya-raya karena tugas itu, artinya satu kesalahan besar sudah dibuat. Rasanya tidak keterlaluan kalau saya katakan, mereka itu adalah pemerintah yang telah merompak harta rakyat.Karena merasakan khazanah kekayaan negara diserahkan ke tangan mereka, maka mereka bebas untuk menggunakannya dengan sewenang-wenangnya, lalu kekayaan itu diambil untuk kepentingan diri, kepentingan keluarga dan kaum kerabat mereka sahaja. Mereka menipu rakyat dan manusia seluruhnya. Mereka memutar lidah bercakap mengenai amanah, mengenai kebaikan tetapi sikap mereka di belakang rakyat teramat jahat sekali.Hal ini telahpun diberitahu oleh Allah dalam firmannya:

Maksudnya:Dan sebahagian manusia ketika berucap mengenai kehidupan di dunia sungguh mengagumkan kamu. Dia bersumpah membuat pengakuan segala isi hatinya bulat hanya untuk ALLAH, sedangkan dia itu adalah musuh yang sejahat-jahatnya. Apabila dia berpaling (di masa yang lain), dia berusaha merusakkan muka bumi, membinasakan tanam-tanaman dan binatang ternak. Dan ALLAH tidak suka kepada kerusakan. Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah Engkau kepada Allah" timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan Demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal. (Al Baqarah: 204-206)

Para pemimipin yang tidak bertanggungjawab itu mengagih-agihkan harta sesama mereka, saling merebutkannya, lalu mereka berpecah belah, jatuh- menjatuhkan dan menyanjung, mengampu, menjilat untuk mendapatkan kekayaan dan kedudukan. Kebaikan kecil yang dibuat dibesar- besarkan kepada rakyat dengan melupakan perompakan besar yang mereka lakukan. Hampir di seluruh dunia hal perompakan ini sedang terjadi sekarang. Mereka memberi RM600 pada rakyat sebulan, paling banyak RM3000. Sedangkan mereka sendiri mengambil RM30 ribu sebulan, tidak termasuk elaun perjalanan, elaun makan, elaun tempat tinggal dan lain-lain lagi yang semuanya ditanggung. Itu yang rasmi, dan yang tidak rasmi lebih besar daripada itu. Apakah alasan pemerintah untuk mengambil gaji sebanyak itu? Apa yang mereka makan, apa yang mereka pakai dan apa yang mereka gunakan? Besarkah perut mereka, besarkah badan mereka, besarkah tembolok mereka hingga memerlukan wang sebanyak itu untuk keperluan bulanan mereka? Kalau rakyat dapat mencukupi dengan RM600 sebulan, ertinya pemerintah sudah melebihi keperluan asas rakyat berlipat kali ganda banyaknya. Itu suatu pembohongan dan penipuan besar yang telah dilakukannya. Barangkali selain itu, pendapatan tidak rasmi lebih banyak lagi. Maklumlah tidak ada orang yang berani mengintip mereka. Kalau begitu, ternyata sekarang dunia sedang diperintah oleh perompak-perompak dan penipu-penipu besar. Oleh itu negara terpaksa menanggung hutang yang banyak dan kesannya rakyatlah yang hidup merempat dan merana di bumi sendiri.

Tidak aneh mengapa rakyat di hampir seluruh dunia hari ini sudah tidak segan-segan menunjukkan sikap penentangan terhadap pemerintah. Rakyat yang peka dan cerdik sudah tidak boleh ditipu lagi. Mereka mengharapkan keadilan dan menginginkan kepemimpinan yang benar-benar adil dan bersih. Hal itu hanya dapat dibuat oleh pemimpin bertakwa yang cinta Akhirat menurut cara pemerintahan Islam yang tulen. Dalam Islam, jawatan pemimpin bukan kerja untuk mendapatkan gaji yang lumayan. Sebab pemerintah bukan pengelola atau pengurus sesebuah kilang atau syarikat. Kalau pengurus pkilang atau syarikat, bolehlah mengambil gaji berapapun karena kilang itu dia yang punya. Gajinya boleh jauh lebih besar dari buruh. Atau dia sebagai pengelola atau pengurus kilang kepunyaan majikan, dia boleh minta gaji sebanyak apapun yang dia inginkan menurut yang disetujui oleh majikannya. Negara bukan kepunyaan pemerintah tetapi kepunyaan bersama. Pemerintah bukan mengeluarkan modal untuk membangun negara. Mereka cuma diminta untuk menjaga, mengelola dan mengurusnya. Mereka menerima amanah mengendalikan perjalanan negara. Mereka tidak boleh mengambil gaji atas amanah itu.
Dalam Islam, pemerintah itu bukannya wakil rakyat tetapi mereka ialah wakil ALLAH. ALLAH yang melantik dan ALLAH yang akan menaikkan. Jadi mereka bertanggung jawab untuk menjalankan dasar dan tujuan pemerintahan yang ALLAH tentukan. Kesemuanya telah termaktub dalam Al Quran dan Sunnah. Selaku wakil ALLAH, pemimpin-pemimpin itu adalah orang-orang yang faham tentang ALLAH, tahu tentang Kerajaan ALLAH, faham dasar dan tujuan pemerintahan yang ALLAH tentukan, faham hukum-hukum yang datang dari ALLAH dan tahu melaksanakannya sebagaimana kehendak Allah dan memerintah bukan mengikut nafsu tetapi mengikut panduan-panduan dan peraturan Allah.

Dalam Islam, pemimpin ibarat ayah kepada rakyatnya. Seorang ayah yang diamanahkan anak-anak untuk dijaga, tentu tidak akan mengambil gaji karena amanah itu. Bahkan dia yang akan mengorbankan hartanya untuk memastikan amanah itu benar-benar ditunaikan dengan baik untuk kepentingan anak-anak. Sebagaimana ayah hidup setaraf dengan anak, begitulah pemerintah dengan rakyat. Ayah yang tinggal serumah dengan anak-anak apakah akan berbeza hidupnya dengan anak-anaknya. Kalaupun berbeza ayah mungkin cuma makan lebih banyak sedikit, baju ayah lebih besar sedikit dan ayah mempunyai kenderaan untuk memudahkan urusan tugasnya dalam mengurus kepentingan anak-anaknya. Tidak mungkin ayah akan minta digaji oleh anak-anak dan mengenakan bayaran kepada anak-anak yang naik kenderaannya.

Dalam keadaan kesempitan, biasanya ayah sanggup lapar asalkan anak-anaknya kenyang. Tidak makan pun dia tak mengapa asalkan anak-anaknya selamat.Ayah ingin menjadi ayah atas rasa tanggung jawab, bukan atas kepentingan. Demikian sepatutnya pemerintah sanggup menjadi pemerintah adalah karena rasa bertanggung jawab untuk mengurus hal-hal kenegaraan agar negara aman dan rakyat makmur. Keupayaan memimpin yang ALLAH berikan pada seorang pemimpin, adalah satu tuntutan untuk melaksanakan kewajiban menjaga negara dan rakyat. Kalau disalahgunakan, berdosalah hukumnya. Kalau rakyat yang baik itu cuma mengambil keperluan dan kemudahan hidup saja, selebihnya diberi kepada pembangunan rakyat dan negara, maka sepatutnya pemerintah yang baik lebih-lebih lagi bersifat demikian. Tentu bersedia untuk hidup sederhana dengan hanya mengambil keperluan dan kemudahan hidup saja dari harta negara. Selebihnya digunakan untuk pembangunan bersama negara dan rakyat jelata.Pemerintah tidak memiliki hak untuk berbuat sewenang-wenang dalam negara. Kalau hal itu sudah terjadi, tunggulah kehancuran bangsa dan negara tersebut. Lihatlah, paling tidak huru-hara dan porak poranda akan berlaku. Dan bagi pemerintah, tunggulah balasan Neraka di Akhirat kelak. Moga-moga para pemerintah di dunia hari ini akan insaf dan jujur untuk mengakui kesalahan mereka terhadap rakyat den bersedia untuk mengubah corak pemerintahan yang zalim kepada pemerintahan Islam yang sebenar.

Oleh yang demikian, Islam telah menetapkan,melakarkan kepada kita beberapa ciri yang perlu ada pada para pemimpin yang hendak dilantik, dipilih, disokong menjadi pemimpin:

1. Islam: Pemimpin itu mestilah seorang muslim yang benar-benar menghayati agamanya, beramal dengan amalan Islam dalam dirinya, keluarganya dan kehidupannya. Dia bukan seorang kafir, munafik, fasiq, ahli maksiat, orang yang suka berhibur ataupun ahli mungkar. Islam tidak membenarkan adanya golongan kafir, munafik, fasiq, ahli maksiat, orang yang suka berhibur ataupun ahli mungkar yang memerintah umat Islam.Firman Allah swt:

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil jadi pemimpinmu, orang-orang yang membuat agamamu jadi buah ejekan dan permainan (main-main dengan agama), (yaitu) di antara orang-orang yang Telah diberi Kitab sebelummu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik). dan bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman.(al-Maidah 57)

2. Adil: Sifat ini perlu dimiliki oleh pemimpin umat Islam ekoran betapa pentingnya tampuk pemerintahan yang di pegang itu. Ia adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah ataupun tidak di muka bumi ini. Keadilan yang ditegakkan menghapuskan kezaliman, penindasan, penipuan, rasuah, pilih kasih, penyelewengan wang negara dan pengagihan harta negara secara tidak saksama. Firman Allah swt:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.(An-Nisak 58)

3. Menjaga Agama Daripada Dicemari: Pemimpin Islam mesti mempertahankan kemurnian Islam daripada anasir2 yang boleh merosakkan samada anasir Yahudi, Kristian dan orang2 munafik. Termasuklah juga ajaran2 sesat, fahaman2 karut, ideologi2 ciptaan manusia juga pendakyah2 agama lain yang cuba memurtadkan orang2 Islam. Firman Allah swt:

Maksudnya: (yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan (berikan) kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.(al-Hajj-41)

4. Ilmu yang tinggi: Golongan Ulamak dan akademik perlu digabungkan untuk membentuk satu kesatuan bersepadu dalam merencanakan arah geraknya masyarakat Islam dalam kehidupan seharian. Ilmu yang dimiliki merangkumi segala ilmu berkaitan dunia dan berkaitan akhirat. Merangkumi ilmu berkaitan selok-belok mengenai al-Quran, mengenai sunnah nabi, hukum-hakam halal dan haram dan mampu berijtihad dalam menyelesaikan masalah umat Islam serta sentiasa berdakwah dengan ilmunya untuk mengislahkan orang-orang dibawah pemerintahannya. Firman Allah swt:

Maksudnya: Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama (ialah orang-orang yang mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Fathir 28)

Sabda Rasulullah saw:

Maksudnya: “Para Ulama’ itu adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi itu tidak meninggalkan wang ringgit, akan tetapi mereka meninggalkan ilmu.

5. Melaksanakan Hukum Allah: Hudud, Qisas, Takzir, ketetapan dan hukum-hukum yang datang dari wahyu Allah menjadi teras kepada undang-undang negara. Ini bermakna hukum-hukum atau perundangan lain samada dari barat atau dari akal tidak diterima dalam konteks pelaksanaan hukum bagi sesebuah negara yang menamakan dirinya sebagai negara Islam. Perlembagaannya pula mestilah berteraskan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Firman Allah swt:

Maksudnya: Barangsiapa yang melanggar aturan hukum-hukum Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim.(al-Baqarah 229)

6. Bersikap samarata, amanah dan tidak zalim: Ini sebab pemimpin bukan wakil kepada rakyat tetapi wakil kepada Allah untuk mengurus dunia ini kerana dunia ini milik Allah. Jika pemimpin menjadikan urusan pemerintahan hak peribadi atau hak keluarga dan kaum kerabat mereka dianggap menyeleweng pada pandangan Islam. Segala hak berkaitan rakyat mesti diberi samarata. Pemimpin dan rakyat adalah sama dan tidak boleh ada berat sebelah kerana itulah kezaliman. Firman Allah swt:

Maksudnya: Dan jika kamu khawatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, Maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat. (al-Anfaal 58)

7. Prihatin Terhadap Kebajikan Rakyat: Pembelaan rakyat menjadi agenda utama sesebuah negara Islam. Mesti memastikan keperluan asas rakyat, makan, minum, pakaian, tempat tinggal yang cukup dan selesa. Menjamin semua rakyat mendapat pendidikan samarata dunia dan akhirat. Sejarah Islam menunjukkan bahawa pelajaran percuma telah disediakan kepada rakyat. Memberi bantuan kepada balu-balu yang kematian suami, membantu mangsa banjir, kebakaran, anak yatim, ibu tunggal, orang miskin agar mereka tidak merempat, meminta-minta dan mengemis. Menjamin keselamatan rakyat termasuk khidmat kesihatan yang terbaik dan percuma. Penurunan harga barang, harga tol, harga minyak, harga perkhidmatan2 lain dengan penuh keikhlasan dan tidak timbul soal terhutang budi kerana segala harta benda didunia ini hak Allah dan jika semuanya dibahagikan dengan adil dan saksama nescaya sesebuah negara itu tidak akan bankrap dan muflis. In ilah janji allah kepada seluruh umat manusia melalui Firmannya

Maksudnya: Jikalau sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa, Pastilah Kami (Allah) akan melimpahkan kepada mereka barakah (rezeki) dari langit dan bumi (dengan melimpah ruah), tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.(Al-A’raf 96)
Telah berkata Imam Hassan al-Basri kepada Amirul Mukminin Saidina Umar Bin Abdul Aziz ketika ditanya berkaitan ciri sebenar pemimpin umat Islam, Katanya:
“Sesungguhnya Allah telah menjadikan para pemimpin yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman, pembela kepada yang lemah dan pembantu kepada yang dizalimi. Dialah yang melaksanakan hak2 Allah kepada hambanya, mendengar ayat2 Allah dan memperdengarkannya kepada rakyat, melihat tanda kekuasaan Allah dan memperlihatkan kepada rakyat, berjalan diatas peraturan Allah dan mengajak manusia bersa-samanya. Dia umpama seorang hamba kepada rakyatnya dengan menjaga harta dan keluarga tuannya, tidak sekali-kali menghukum dengan cara jahiliyyah dan mengikut hawa nafsu mereka, tidak menyelusuri jalan orang2 yang zaalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar mustakbirin dalam menindas golongan lemah mustad’afin, dialah penjaga anak2 yatim, pembantu kepada orang2 miskin, mendidik anak2 mereka dan menjaga golongan tua dikalangan mereka.
Firman Allah swt:

Maksudnya: Dan sungguh Allah Telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir&munafik), Maka janganlah kamu duduk (bersekongkol) bersama dengan mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Karena Sesungguhnya (kalau kamu duduk,bersekongkol&menyokong mereka), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam neraka Jahannam(an-nisa’ 140)

USTAZ MUHD NAIM HASHIM
6 MAC 08