AL-QURAN KALAMULLAH
Al-Quran adalah kalam Allah dan petunjuk kepada sekalian manusia. Diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui Jibril a.s. dan membacanya adalah ibadat. Allah s.w.t. telah menjanjikan pahala yang baik bagi setiap pembacanya.
Di samping membacanya Allah menggalakkan kita berfikir dan mengambil pengajaran daripada ayat-ayat Allah serta meneliti akan makna-makna yang terkandung di dalamnya supaya dapat mencapai tujuan dan matlamat yang dikehendaki iaitu melaksanakan al-Quran serta menjalankan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya bagi menjamin keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Al-Quran merupakan sumber utama manusia bagi akidah Islam. Ini kerana, jika seseorang itu tidak berpegang teguh dengan segala ajaran al-Quran, maka akan rosak binasalah akidah. Begitu juga dengan syariat Islam. Al-Quran menjadi sumber rujukan utama dan terpenting kerana segala gerak geri kerja manusia tidak pernah terlepas daripada ruang lingkup al-Quran. Justeru, manusia wajib beriman, mempelajari, dan memahami al-Quran sekaligus mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian serta memelihara kesuciannya daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan kesyumulannya.
Dalam erti kata lain, pentingnya kepada seseorang itu untuk sentiasa membaca dan menghayati al-Quran dengan penuh khusyuk, tawaduk, tadabbur dan tafakur di samping menggunakan kaedah-kaedah tajwid dengan betul, memahami segala isi kandungan al-Quran dan mempraktikkanya di dalam kehidupan.
Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w dan merupakan rahmat yang besar bagi seluruh umat, terdapat pengajaran yang menjadi pedoman dan petunjuk bagi sesiapa yang mengkaji dan mengamalkannya. Al-Quran merupakan kitab suci yang terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada manusia di alam ini. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. (Surah Israk:9)
Kandungan al-Quran mencakupi semua ajaran yang terdapat dalam kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya. Bagi mereka yang sentiasa membaca, mempelajari dan menghayati segala ajarannya akan menambahkan rasa cinta kepada Allah dan mereka akan diberi keberkatan pada setiap masa.
Setiap orang mukmin merasa yakin bahawa dengan membaca al-Quran mereka sudah dijanjikan dengan pahala yang berlipat ganda kerana ia merupakan amal ibadat yang sangat mulia disisi agama islam. Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan tidak kira di masa senang atau susah, masa gembira atau duka, malahan ia menjadi penawar dan ubat kepada segala penyakit.Firman Allah:
Maksudnya:
Dan Kami turunkan Dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci Yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang Yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang Yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
(Surah al-Israk: 82)
MENGAPA AL-QURAN DITURUNKAN
Daripada sumber sejarah, khasnya sejarah nabi-nabi dan umatnya, dapat difahamkan bahawa setiap nabi itu dikurniakan Allah s.w.t mukjizat sebagai tanda kenabiannya. Ia merupakan sebagai satu bukti kepada masyarakatnya atau kaum nabi itu supaya mereka percaya kepada dakwaannya sebagai rasul utusan Allah dan beriman dengannya.
Al-Quran merupakan sumber utama bagi Akidah Islam. Akidah yang bersumberkan al-Quran ini ialah akidah yang benar dan suci daripada sebarang syirik. Sekiranya kita tidak berpegang dengan ajaran al-Quran dalam hal-hal kepercayaan atau keimanan, maka akidah kita akan rosak. Akidah kita akan menjadi tidak suci. Kepercayaan kita akan bercampur baur dengan kepercayaan karut, khurafat, bidaah,syirik dan lain-lain.
Justeru itu, sebagai seorang mukmin yang benar-benar cintakan Islam dan sayangkan Iman, sewajarnyalah kita berdamping dengan al-Quran dan jauhkan diri daripada sifat-sifat-sifat yang di tegah oleh al-Quran supaya kita terselamat daripada kerosakan Iman dan akidah. Al-Quran juga merupakan sumber yang terpenting dalam syariat Islam. Segala gerak manusia, khasnya yang beriman, di bawah naungan panduan al-Quran. Gerak-geri kita dikawal oleh al-Quran. Kita tidak dapat lari daripada al-Quran walaupun pada zahirnya ada orang yang mahu melepaskan diri daripada ruang lingkup al-Quran.
Prinsip dan cara hidup manusia telah digaris dengan begitu rapi dalam al-Quran, kemudian ianya diperjelaskan pula oleh Rasulullah s.a.w. Setiap gerak pada setiap saat dalam hidup manusia seharian, bermula daripada bangun tidur di waktu pagi hinggalah tidur semula di waktu malam semuanya di bawah petunjuk al-Quran.
Sebaliknya, jika kita tidak ikut atau tidak mahu ikut bimbingan al-Quran seperti yang diperingatkan oleh rasul, dengan beranggapan bahawa ikut al-Quran itu suatu susah, terkongkong dan tidak boleh maju atau sebagainya, maka kita masih juga di bawah hukum al-Quran. Orang yang tidak mengikut dan tidak mahu mengikut al-Quran digelarkan sebagai orang yang ingkar. Dalam al-Quran Allah menjanjikan bahawa orang yang ingkar akan diberi kesenangan sementara di dunia kemudia di seksa di akhirat. Firman-Nya:
Maksudnya:
(Allah berfirman) sesiapa yang kufur dan ingkar maka akan Aku berikan ia bersenang-senang menikmati kebahagian yang sementara ini (di dunia) kemudian Aku akan paksanya (dengan menyeretnya) masuk ke dalam azab neraka, dan itulah seburuk-buruknya tempat kembali.
(al-Baqarah: 126)
Orang yang percaya kepada al-Quran dan beramal dengan apa yang diterangkan di dalam al-Quran adalah orang yang berjaya di sisi Allah dan akan mendapat balasan yang baik kurniaann Allah kerana Allah redha dengan amalannya.Firman- Nya yang bermaksud:
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, maka adalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya (Al-Baqarah :82)
Dari catatan seperti yang dibincangkan di atas dapat difahamkan betapa pentingnya kita mendekati al-Quran. Mendekatinya dalam erti kata yang syumul, iaitu membaca dengan penuh khusyuk,tawadduk, tadabbur dan tafakkur. Membacanya dengan baik mengikut kaedah hukum Tajwid. Mengetahui maknanya, memahami isi, kehendak dan ajarannya, kemudian mengamalkannya dengan jiwa raga kita.
BAGAIMANA AL-QURAN DITURUNKAN
Sudah diketahui umum bahawa al-Quran mula diturunkan pada malam 17 Ramadhan semasa baginda Rasulullah s.a.w. sedang beribadat di dalam Gua Hira’. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aishah r.a. yang panjang seperti yang tercatat dalam kitab Sahih Bukhari bab Bad-ul-Wahyi: (Al-Hafiz bin Ali bin Hajar al-Asqalani.2000. Fathul Bari Syarah Şāhih Bukhāri.Kitab Bad-ul-Wahyi.Bab 2.No.Hadis 3).
كان أول ما بدئ به رسول الله صلى الله عليه وسلم الرؤيا الصادقة في النوم ، فكان لا يرى رؤيا إلا جاءت مثل فلق الصبح ، ثم حبب إليه الخلاء ، فكان يلحق بغار حراء ، فيتحنث فيه - قال : والتحنث التعبد - الليالي ذوات العدد قبل أن يرجع إلى أهله ، ويتزود لذلك ، ثم يرجع إلى خديجة ، فيتزود بمثلها ، حتى فجئه الحق وهو في غار حراء ، فجاءه الملك فقال : اقرأ ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ما أنا بقارئ ) . قال : ( فأخذني فغطني حتى بلغ مني الجهد ، ثم أرسلني فقال : اقرأ ، قلت : ما أنا بقارئ ، فأخذني فغطني الثانية حتى بلغ مني الجهد ، ثم أرسلني فقال : اقرأ ، قلت : ما أنا بقارىء ، فأخذني فغطني الثالثة حتى بلغ مني الجهد ، ثم أرسلني فقال : { اقرأ باسم ربك الذي خلق . خلق الإنسان من علق . اقرأ وربك الأكرم . الذي علم بالقلم } . الآيات إلى قوله : { علم الإنسان ما لم يعلم } ) . فرجع بها رسول الله صلى الله عليه وسلم ترجف بوادره ، حتى دخل على خديجة ، فقال : ( زملوني زملوني ) . فزملوه حتى ذهب عنه الروع . قال لخديجة : ( أي خديجة ، ما لي ، لقد خشيت على نفسي ) . فأخبرها الخبر ، قالت خديجة : كلا ، أبشر ، فوالله لا يخزيك الله أبدا ، فوالله إنك لتصل الرحم ، وتصدق الحديث ، وتحمل الكل ، وتكسب المعدوم ، وتقري الضيف ، وتعين على نوائب الحق . فانطلقت به خديجة حتى أتت به ورقة بن نوفل ، وهو ابن عم خديجة أخي أبيها ، وكان امرأ تنصر في الجاهلية ، وكان يكتب الكتاب العربي ، ويكتب من الإنجيل بالعربية ما شاء الله أن يكتب ، وكان شيخا كبيرا قد عمي ، فقالت خديجة : يا ابن عم ، اسمع من ابن أخيك ، قال ورقة : يا ابن أخي ، ماذا ترى ؟ فأخبره النبي صلى الله عليه وسلم خبر ما رأى ، فقال ورقة : هذا الناموس الذي أنزل على موسى ، ليتني فيها جذعا ، ليتني أكون حيا ، ذكر حرفا ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( أو مخرجي هم ) . قال ورقة : نعم ، لم يأت رجل بما جئت به إلا أوذي ، وإن يدركني يومك حيا أنصرك نصرا مؤزرا . ثم لم ينشب ورقة أن توفي ، وفتر الوحي فترة ، حتى حزن رسول الله صلى الله عليه وسلم.
Maksudnya:
Daripada Aishah ummul Mukminin r.a. katanya: “Bahawa wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. ialah Ar –Rukya As-Sadiqah (mimpi yang benar). Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melihat seperti fajar di waktu subuh. Sejak itu Rasulullah s.a.w. sangat gemar bersendirian ( ‘uzlah ). Rasulullah beruzlah seorang diri di dalam Gua Hira’ untuk beribadat kepada Allah s.w.t.”Baginda berada di situ beberapa malam, kemudian balik kepada keluarganya untuk mengambil bekalan. Setelah itu baginda balik semula ke gua sehingga datanglah kepadanya kebenaran. Seorang malaikat datang kepadanya dan berkata: Iqra’ (bacalah). Jawab baginda “Aku tidak tahu baca”. Sabda baginda bermaksud: “Dia (malaikat) memeluk aku sekuat-kuatnya sehingga aku susah hendak bernafas, kemudian dia lepaskan aku dan berkata lagi Iqra’ aku menjawab “Aku tidak tahu baca”. Dia memeluk aku sekali lagi dengan sekuat-kuatnya sehingga aku rasa susah bernafas. Lepas itu dia peluk aku lagi untuk ketiga kalinya dan berkata: “ Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Menjadikan manusia daripada segumpal darah.Selepas itu Rasulullah s.a.w. terus balik dengan perasaan takut dan gementar. Bila masuk ke rumah baginda berkata kepada Khadijah: “Selimutkan aku, selimutkan aku….” Mereka menyelimutkan baginda sehingga hilang gementarnya. Baginda kemudian memberitahu Khadijah dengan katanya: “Aku takut terhadap diriku.” '"Maka kata Khadijah “ Tidak! Jangan takut, Allah tidak akan mendukacitakan tuan hamba.”
Jumhur Ulama berpendapat bahawa inilah wahyu pertama berupa ayat al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ada pendapat lain yang mengatakan ada ayat lain dari surah lain yang diturunkan sebelum ayat daripada surah al-Alaq ini.
TUNTUTAN TERHADAP AL-QURAN
Sebagai umat Islam, maka sudah menjadi kewajipan kita untuk membaca serta mengamalkan intisari al-Quran, yang merupakan sumber utama syariat perundangan dalam agama Islam.
Oleh yang demikian, semua umat Islam diamanahkan oleh Allah s.w.t. dengan tugas masing-masing. Para ulama dan qurra’ bertanggungjawab untuk menyebarkan al-Quran dengan cara mengajarkan kepada mereka yang tidak memahami kandungan al-Quran atau tidak mampu membacanya dengan baik. Tiada seorang individu pun yang boleh dari daripada tanggungjawab tersebut, malah Rasulullah sendiri telah diamanahkan oleh Allah s.w.t. untuk menyampaikannya kepada para sahabat. Demikianlah juga dengan para sahabat, para tabi’in sehinggalah ke generasi pada hari ini. Kewajipan ini secara jelas Allah s.w.t. sebutkan dalam al-Quran:
Yang bermaksud:
Wahai Rasulullah, sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusannya. (Surah al-Maidah:67)
Bagi umat Islam yang tidak memahami kandungan al-Quran, atau tidak boleh membaca al-Quran dengan baik, mereka juga mempunyai tanggungjawab yang tersendiri. Tanggungjawab itu ialah mempelajari intisari al-Quran dan cara bacaannya agar mereka dapat membaca serta mengamalkannya. Daripada Uthman Bin Affan katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda : (Rujuk: Muhammad Abd al-Azim al-Zarqani (1996), Manahil al-Irfan fi Ulmu al-Quran, jil.1, Beirut : Dar al-fikr, hlm.218).
خيركم من تعلم القران وعلمه
Yang bermaksud:
Sebaik-baik orang di kalangan kamu ialah sesiapa yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya (kepada orang lain )( Riwayat Abu Abdillah Muhammad Bin Ismail Bin Ibrahim al-Bukhari dalam kitab sahihnya)
Umat Islam yang tidak memahami sesuatu daripada al-Quran diumpamakan seperti keldai yang memikul buku. Sebagaimana yang disebutkan oleh Prof. Dr. Hamka (Tafsir Al-Azhar m/s 7366) perumpamaan tersebut bermaksud: Dipikulkan kepada keldai itu buku-buku untuk diangkat dari satu tempat ke satu tempat yang lain,sampai keluar keringatnya kerana terlalu berat tetapi keldai itu tetap tidak tahu apa isi buku-buku yang dipikulnya.
Perumpamaan ini dirakamkan oleh Allah di dalam Surah Jumu’ah ayat 5:
Maksudnya:
Maka bandingan orang-orang (Yahudi) Yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai Yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). buruk sungguh bandingan kaum Yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum Yang zalim.
Mereka yang mempelajari al-Quran dan mampu membacanya dengan baik, Allah s.w.t. letakkan kedudukan mereka ini setaraf dengan para malaikat yang mulia, tetapi sekiranya mereka masih tidak mampu membacanya dengan baik walaupun setelah berusaha dengan gigih, maka Allah s.w.t. tetap akan kurniakan kepada mereka dengan dua pahala. Perkara ini telah dinyatakan oleh Rasulullah dalam sabdanya.
#BERUSAHALAH...SEMOGA KITA TERGOLONG DALAM GOLONGAN YANG MENDAPAT SYAFAAT AL-QURAN SEMASA DI DUNIA, DI DALAM KUBUR, DI PADANG MAHSYAR DAN DIMASUKKAN KE SYURGA JUGA DENGAN SYAFAAT AL-QURAN. DIDIKLAH DIRI KITA, KELUARGA KITA, MASYARAKAT KITA DAN RAKYAT NEGARA KITA DENGAN PANDUAN AL-QURAN YANG SEBENARNYA#
MUHAMAD NAIM HASHIM
8 JAN 2008