Sahabat Ilmu

Khamis, 29 November 2007

SOAL JAWAB BERKAITAN KORBAN / AQIQAH


BAB KORBAN DAN AQIQAH

1. Apakah bezanya Korban dan Aqiqah?
Korban hanya boleh dilakukan pada Hari Raya Haji dan 3 hari selepasnya. Ia adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan memberi daging kepada orang miskin dan ahli keluarga serta sahabat handai. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Tiada seorang dari kamu harus melakukan korban sehinggalah kamu telah melakukan solat (Eid)”.
Aqiqah adalah ibadat yang dilakukan bagi anak yang baru lahir. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sehingga anak itu baligh. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Seorang anak lelaki sedang diikrarkan untuk aqiqah, ia dilakukan pada hari ketujuh, rambutnya dicukur dan dia diberi nama.”
Kedua-dua ibadat ini adalah sunat.


2. Adakah aqiqah cuma boleh dilakukan untuk bayi yang baru lahir sahaja?
Aqiqah boleh dilakukan untuk anak selagi mana anak itu belum baligh.
Jika anak itu sudah baligh, maka adalah lebih baik dilakukan ibadat korban.
Aqiqah boleh dilakukan bila-bila masa, tetapi korban hanya boleh dilakukan pada hari-hari tertentu sahaja dalam bulan Zulhijjah.


3. Bilakah waktu yang paling sesuai untuk aqiqah, cukur rambut dan khatan untuk bayi yang baru lahir?
Adalah sunat untuk dilakukan aqiqah dan cukur rambut pada hari ketujuh selepas kelahiran anak itu. Namun, dalam konteks Singapura, adalah sukar untuk melakukan aqiqah pada hari ketujuh. Maka, adalah baik didahulukan cukur rambut pada hari ketujuh. Kemudian apabila ada kesempatan, seperti pada Hari Raya Haji, lakukan aqiqah anak itu.
Tempoh aqiqah adalah sehingga anak itu baligh.
Khatan pula baik dilakukan ketika anak masih kecil agar ia tidak ingat kesakitan yang dilaluinya. Namun, tidak mengapa ia ditangguhkan sehingga anak itu besar.


4. Bolehkah aqiqah ditangguhkan jika ibu bapa tidak mampu?
Aqiqah hanya digalakkan setelah seorang anak itu lahir, sebaiknya 7 hari selepas kelahirannya. Jika pada waktu itu kedua ibu dan bapa anak itu tidak berkemampuan untuk melaksanakan aqiqah, bolehlah ditangguhkan sehingga mereka mampu. Aqiqah boleh dilakukan sehingga anak itu belum mencapai usia baligh.


5. Berapa ekor kambing yang harus diaqiqahkan untuk anak lelaki?
Adalah sunat bagi melaksanakan aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing jika mampu. Namun, jika tidak, seekor pun memadai.
Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Dua ekor kambing yang menyerupai (dalam usianya) disembelih untuk seorang lelaki dan seekor untuk seorang perempuan.”


6. Bolehkah seorang selain dari ibu bapa melakukan aqiqah untuk seorang bayi/kanak-kanak?
Dibolehkan melakukan aqiqah untuk seorang bayi/kanak-kanak oleh seorang selain dari ibu bapanya lebib-lebih lagi orang yang menjaga bayi atau kanak-kanak itu. Ia sebaiknya dilakukan pada hari ketujuh selepas lahirnya bayi tersebut.


7. Bolehkah seseorang itu melaksanakan aqiqah untuk anak angkatnya?
Aqiqah boleh dilaksanakan untuk anak kandung dan juga anak angkat.
Ia sebaik-baiknya adalah pada hari yang ketujuh selepas kelahiran bayi.


8. Bolehkah digantikan aqiqah beberapa ekor kambing dengan seekor lembu?
Seekor lembu boleh disembelih atas 7 nama, tidak kira samada ia merupakan 7 individu, atau beberapa individu. Disunatkan bagi binatang yang diaqiqahkan agar tidak dibpecahkan tulang-tulangnya. Dagingnya pula dibahagikan seperti berikut: sepertiga untuk fakir miskin, sepertiga untuk keluarga dan sahabat handai, dan sepertiga lagi untuk anda sekeluarga.


9. Adakah boleh melakukan aqiqah untuk anak di luar negara, kerana di Malaysia ia kebanyakannya dilakukan di hari raya Aidiladha saja?
Aqiqah boleh dilakukan di mana sahaja, tidak kira dalam negara atau luar negara, tidak kira samada disaksikan oleh orang yang lakukan aqiqah tersebut atau tidak. Selagi mana sewaktu membeli kambing tersebut ia telah jatuhkan niat sebagai aqiqah dan tukang sembelih berniatkan aqiqah ketika sembelih, maka aqiqah tersebut adalah sah.


10. Bolehkah seseorang itu mengerjakan ibadah korban/ aqiqah untuk yang sudah meninggal dunia?
Korban dan aqiqah hanya boleh dibuat untuk orang Islam yang masih hidup. Oleh itu, tidak boleh mengerjakan ibadah korban untuk yang sudah meninggal dunia. Adalah lebih baik berdoa, membaca Al-Quran atau bersedekah atas nama mereka yang sudah tiada dan berharap agar pahala ibadah-ibadah tersebut sampai kepada mereka.


11. Bagaimanakah caranya melakukan ibadah korban buat ahli keluarga yang masih hidup?
Cara melakukan korban untuk ahli keluarga yang masih hidup adalah dengan memberikan mereka wang untuk membeli kambing korban ataupun untuk membelikan kambing korban itu untuk mereka. Walaubagaimanapun, izin mereka haruslah diminta dahulu. Apabila waktu korban telah tiba, tukang sembelih akan menyebut nama mereka yang melakukan ibadah.


12. Perlukah seseorang itu menunggu sehingga segala hutangnya diselesaikan sebelum melaksanakan ibadah korban?
Sekiranya hutang tersebut ada tempoh untuk membayar dan kita yakin bahawa kita mampu membayar kembali hutang itu, maka itu tidak menghalang kita dari melakukan ibadah korban.
Sayugia diingatkan disini bahawa hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat dan bukanlah wajb, maka jika melaksanakan ibadah korban akan membebankan seseorang itu, maka tidak mengapa jika tidak melaksanakannya.


13. Kepada siapakah daging korban harus diagihkan?
Daging korban dibahagikan kepada tiga:
1) Sepertiga untuk fakir miskin.
2) Sepertiga untuk ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat-handai walaupun mereka tidak mengharapkannya.
3) Sepertiga untuk diri sendiri, dan bahagian ini boleh dimakan atau diberikan kepada orang bukan Islam.
Walau bagaimanapun, jika ia merupakan korban wajib seperti nazar, maka yang membuat korban itu tidak boleh mengambil daging tersebut.


14. Bolehkah daging korban diberikan kepada orang bukan Islam?
Korban merupakan satu ibadat yang mendekatkan diri seseorang kepada Allah s.w.t. Sebahagian ulama mengkhususkan pembahagian tersebut hanya kepada orang Islam sahaja demi memelihara dan menjaga ibadat tersebut. Namun ianya tidak menjadi satu kesalahan jika daging korban yang telah dimiliki seseorang melalui pembahagian daging tersebut diberikan kepada teman atau jirannya yang bukan Islam. Hal ini sesuai dengan konteks masyarakat majmuk negara ini yang bergaul sesama masyarakat bukan Islam.


15. Bagaimanakah seseorang itu menerangkan tentang ibadah korban kepada mereka yang menganggapnya sebagai kezaliman keatas haiwan? Jika tujuannya untuk membantu fakir miskin, bukankah pilihan lain lebih bersesuaian?
Perkataan Korban berasal dari perkataan “qaraba” yang bermaksud mendekati dan dalam konteks ibadah korban pula, bermaksud mendekati Allah dengan mengikut perintahNya agar mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain dengan pemberian daging korban atau amalan-amalan yang lain.
Perkara ini mungkin tidak boleh diterima oleh ahli vegetarian, penyayang haiwan dan kumpulan-kumpulan hak asasi haiwan yang menentang segala kekejaman terhadap haiwan. Walaupun pandangan golongan ini harus dihormati dan difahami, keperluan dan amalan golongan yang memakan daging (maserba) yang bersifat majoriti harus diambil kira juga.
Islam membenarkan manusia memakan daging dan sayuran kerana ia akur bahawa manusia secara semulajadi termasuk dalam golongan pemakan daging (maserba) dan mempunyai kedua-dua jenis gigi untuk memakan daging dan sayuran iaitu molars dan canine. Akan tetapi, kebenaran ini datang dengan beberapa syarat dan syarat terpenting adalah larangan keatas segala kezaliman atau kekejaman ke atas haiwan. Ia juga melarang segala penganiayaan terhadap tumbuh-tumbuhan dan bumi kita.
Sehubungan dengan soalan diatas, sayugia diterangkan disini bahawa walaupun Islam membenarkan manusia memakan daging, ia tidak bermaksud bahawa mereka boleh memakan apa sahaja yang diingini dan seberapa banyak yang diingini . Islam telah memberi garis panduan tentang haiwan manakah yang boleh dimakan (halal) dan manakah yang dilarang (haram). Hanya haiwan pemakan sayuran atau tumbuhan (herbivores) adalah halal dimakan. Akan tetapi, memakan daging haiwan yang eksotik tidak digalakkan kerana tujuan asas memakan adalah untuk terus hidup dan bukan sebaliknya. Tidak perlu untuk memakan daging haiwan seperti zirafah dan kuda belang kerana haiwan yang dibela jinak seperti kambing, lembu dan ayam lebih dari cukup.
Islam melarang pembunuhan segala jenis haiwan yang tidak bermoral. Haiwan harus dibunuh dalam dua keadaan sahaja. Pertama, apabila ia membahayakan nyawa manusia. Dan kedua, apabila datangnya keperluan untuk memakan daging haiwan. Dalam hal ini, Islam telah menetapkan cara yang terbaik yang penuh belas kasihan untuk mengambil nyawa haiwan. Sebagaimana yang dikatakan di Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t telah memutuskan bahawa segala amalan harus dilakukan dengan belas kasihan. Jikalau seseorang itu harus membunuh seseorang (didalam peperangan atau sebagai hukuman mati) bunuhlah ia dengan belas kasihan. Dan jikalau seseorang itu menyembelih seekor haiwan, sembelihlah ia dengan belas kasihan. Asahlah pisau yang digunakan dan izinkanlah haiwan itu berehat sebanyak mungkin.”
Dengan itu, sudah menjadi kebiasaan bagi orang-orang Islam untuk mengasah pisau sebelum menyembelih. Pisau yang tajam akan memastikan pemotongan yang cepat dan bersih di saluran nafas dan saluran makanan dan minuman. Ini akan menyebabkan haiwan itu mati dengan serta-merta dan mengelakkan ia dari rasa terseksa. Haiwan itu juga harus dilindungi dari mana-mana tekanan, seperti mengasah pisau didepan haiwan tersebut.
Menurut cara penyembelihan Islam, kedua-dua urat saraf utama si haiwan itu harus dipotong tanpa memenggalkan kepalanya. Pemotongan kedua-dua urat tersebut akan menyebabkan kehilangan darah yang amat banyak di jantung dan otak dalam waktu yang singkat dan seterusnya menyebabkan penutupan kedua-dua organ tersebut secara serta-merta. Dan ini akan memastikan kematian yang cepat dan tidak menyakitkan. Sebuah kajian yang dilakukan oleh Universiti Hanover di Germany telah membuktikan bahawa cara penyembelihan Islam akan memastikan bahawa haiwan yang disembelih itu akan mati hanya 6 saat selepas pemotongan.
Memang terdapat banyak pilihan atau alternatif yang lain untuk membantu golongan fakir dan miskin. Satu contoh ialah dengan memberi sedekah atau dengan memberi mereka makanan. Memandangkan bahawa kebanyakan dari mereka bukan dari golongan vegetarian, memberi mereka daging adalah sesuatu yang mereka amat menghargai kerana sayur-sayuran agak mudah didapati kerana harganya yang murah akan tetapi daging bukanlah sesuatu yang mereka mampu untuk membeli.
Kekejaman terhadap haiwan yang dilakukan segolongan manusia, samada Islam atau bukan Islam, tidak patut menghalang seseorang itu dari memahami matlamat dan hikmah sebenar di sebalik ibadah Korban dan cara Islam yang penuh belas kasihan dalam menangani isu kekejaman terhadap binatang.


16. Mengapakah umat Islam menyambut Hari Raya Haji?
Islam telah menetapkan dua sambutan agama bagi umatnya iaitu; Hari Raya Puasa (Eid Al-Fitri) dan Hari Raya Haji (Eid Al-Adha). Sambutan Hari Raya Haji adalah sempena peristiwa yang berlaku antara Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. mengenai ujian yang diturunkan Allah s.w.t kepada mereka.
“Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan "satu umat" (walaupun Ia seorang diri); ia taat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik. Ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus.” (Qur'an 16:120-121)


SOALAN YANG MENJADI PERBAHASAN!!

Bolehkah berkorban bagi pihak orang yang telah mati?


Jawapan ulamak:
Ibadah korban ialah ibadah menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau, dan kambing pada hari raya `idil Adha dan tiga hari Tasyriq kerana Allah. Berkorban hokumnya sunnat muakkadah. Ini berdasarkan firman Allah:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: ?i>maka hendaklah kamu kerjakan solat untuk Tuhanmu dan menyembelihlah?

(al-QurAn, al-Kauthar; 2).


Juga berdasarkan hadis Tirmizi:


أُمِرْتُ بِالنَّحْرِ وَهُوَ سُنَّةٌ لَكُمْ
Makusdnya: Aku diarahkan untuk menyembelih sedangkan ia sunat bagi kamu?


Berkorban adalah satu syiar yang mesti dizahirkan terutama oleh orang berkemampuan hinggakan Imam Malik berpandangan ianya wajib.


Menyembelih adalah Sunnat Kifayah bagi sebuah keluarga. Maksud Sunnat Kifayah ialah apabila salah seorang ahli keluarga melakukannya semua ahli keluarga mendapat pahala.


Malah kerajaan juga sunat berkorban bagi pihak orang Islam menggunakan harta Bait Mal.


Adapun berkorban bagi pihak si mati ia menjadi khilaf di kalangan ulama berdasarkan khilaf mereka tentang amalan si hidup adakah memberi manfaat kepada si mati. Pandangan yang shah (paling tepat) dalam mazhab Syafie ialah tidak harus melainkan dengan wasiat daripada si mati. Wallahua`lam


Moga apa yang dibincangkan ini dapat memberi manfaat dan menambahkan pengetahuan kita mengenai ibadah tahunan yang kita lakukan setiap tahun. Segala kesilapan atau salah faham mengenai ibadah korban yang kita lakukan sebelum ini, sama-samalah kita perbetulkan dan mohon keampunan kepada Allah SWT.
USTAZ NAIM HASHIM
29 NOV 2007

Kesan Beragama Dalam Kehidupan Muslim

Written by al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Wednesday, 23 August 2006

Agama dalam Islam disebut sebagai ad-Din. Kalimah ad-Din bermaksud tunduk dan patuh. Ketundukan dan kepatuhan ini merangkumi seluruh aktiviti kehidupan manusia. Justeru, kefahaman beragama dalam Islam tidak sama dengan kefahaman beragama bagi orang lain. Bagi agama lain, agama hanyalah amalan ritual seperti upacara beragama tertentu yang dilakukan pada waktu tertentu.

Tetapi maksud beragama dalam Islam bermaksud berpegang dengan himpunan kepercayaan dan kumpulan peraturan kehidupan yang akan membentuk perilaku dan tatacara kehidupan seseorang.

Kumpulan kepercayaan ini dikenali sebagai aqidah. Ia akan membentuk cara berfikir seorang muslim. Seterusnya menentukan hala tuju hidupnya.

Kumpulan peraturan pula dikenali sebagai Syariat. Ia akan menjadi landasan dan panduan seorang muslim dalam menjalani hidupnya. Dia akan hidup dalam lingkusan dan batasan peraturan yang telah digariskan oleh Allah. Hatta di kala tiada manusia memantau segala perlakuannya, dia tetap mengikat dirinya denganh peraturan kehidupan tersebut.

Justeru, agama Islam yang mengandungi aqidah dan syariat berperanan dalam kehidupan seorang yang menerima Islam sebagai agama untuk menjadikan dirinya seorang yang baik bagi dirinya, baik bagi ahli keluarganya, baik bagi masyarakatnya yang Islam atau tidak, baik bagi negaranya bahkan baik kepada seluruh makhluk Allah yang lain termasuklah binatang dan alam persekitaran.

Ad-Din yang diterima di sisi Allah pula hanyalah Islam sebagaimana
firman Allah:Maksudnya:

Sesungguhnya ad-Din (agama) yang (diterima) di sisi Allah ialah Islam.

Inilah aqidah yang diyakini oleh setiap muslim. Setiap muslim meyakini hanya Islam agama yang benar. Seorang muslim tidak menganggap semua agama sama. Seruan untuk menganggap semua agama sama adalah seruan kekufuran kerana ia bermaksud kita boleh memilih apa sahaja agama kerana semuanya nanti akan membawa ke syurga. Semua agama munghkin berusaha untuk mencari jalan ke syurga. Namun, hanya Islam yang membawa manusia ke syurga. Inilah aqidah muslim. Ia ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya
: قل يا أيها الكافرون لا أعبد ما تعبدون ولا أنتم عابدون ما أعبد ولا أنا عابد ما عبدتم ولا أنتم عابدون ما أعبد لكم دينكم ولي دين

Maksudnya:
Katakanlah wahai Muhammad! Wahai orang yang kafir. Saya tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukannya penyembah apa yang saya sembah. Dan saya sama sekali bukan penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu juga bukan penyembah apa yang saya sembah. Bagi kamu agama kamu .Bagi saya agama saya.

Seorang muslim mesti merasa megah dengan agama Islam. Kemegahan inilah yang menjadikan dirinya tanpa segan silu untuk mempraktikkan segala amalan beragama. Malah tanpa segan silu mempromosinya kepada seluruh umat manusia atas kesedaran untuk berkongsi kebaikan dengan seluruh manusia. Namun, rasa megah ini tidak pula membawa kepada sikap tidak menghormati agama lain.

Ini kerana Islam menegaskan bahawa tiada paksaan dalam beragama sebagaimana firman Allah:لا إكراه في الدين
Maksudnya:Tiada paksaan dalam beragama.

Seorang muslim ialah seorang yang menerima Islam sebagai agama. Islam bermaksud menyerah dan tunduk. Iaitu menyerah diri serta tunduk kepada segala kehendak Allah. Justeru, seorang muslim ialah seorang yang bersedia menyerahkan dirinya kepada Allah serta tunduk kepada segala kehendak Allah yang berupa perintah dan larangan.

Syiar hidup seorang muslim ialah :إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين
Maksudnya:
Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan yang mencipta, memiliki dan menguruskan seluruh alam.

Penyerahan diri ini menjadikan seseorang manusia sentiasa tenang menghadapi segala pancaroba hidup. Dia menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah. Dia tidak akan terkeluar dari landasan peraturan yang digariskan oleh Allah. Dia hanya melakukan apa yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang. Perintah dan larangan Allah pasti membawa kepada kebahagian dan kebaikan. Dengan itu hidupnya sentiasa dalam keadaan bahagia, aman dan tenteram.

Inilah janji Allah: فمن اتبع هداي فلا يضل ولا يشقى ومن أعرض عن ذكري فإن له معيشة ضنكا

Maksudnya:
Sesiapa yang mengikut petunjukKu dia tidak akan sesat dan mendapat kecelakaan.Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatanKu, baginya kehidupan yang amat sukar.

Segala nikmat diterima dengan syukur. Segala musibah diterima dengan sabar. Kekayaan diterima dengan syukur dengan cara menggunakannnya untuk jalan kebaikan. Dia tidak akan menjadi pemboros, sombong dan rakus dengan kekayaan sehingga menindas golongan miskin. Malah dia menjadi seorang dermawan. Sebahagian hartanya dibelanjakan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan. Ini dilakukan dengan keyakinan bahawa itulah yang disuruh oleh Allah. Hartanya adalah milik Allah. Justeru, dia terikat untuk membelanjakannnya menurut kehendak Allah. Antara kehendak Allah ialah membelanjakannnya untuk faqir miskin. Inilah hidup seorang muslim yang kaya.

Kemiskinan pula di terima dengan dada lapang sebagai ujian. Seorang muslim tidak akan menjadi penjenayah untuk mengatasi kemiskinannya. Baginya kemiskinan di dunia tidak bererti miskin di akhirat. Dia boleh memperolehi keakyaan di hari Akhirat sekiranya bersedia terikat dengan peraturan Tuhan. Justeru seorang muslim yang miskin akan sentiasa redha dengan keadaan dirinya. Dia tidak menyalahkan orang lain. Dan tidak akan menyusahkan orang lain.
Apabila seseorang menyerah dirinya kepada Allah, segala perlakuannya tidak akan menurut hawa nafsu. Masalah yang dihadapi oleh manusia hari ini ialah sikap ngin memuas hati dan kehendak sendiri? Sikap sebegini menjadikan manusia tidak mengambil kira kepentingan orang lain.
Nafsu selalu mendorong manusia ke arah kejahatan. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya: إن النفس لأمارة بالسوء
Maksudnya:
Sesungguhnya nafsu sentiasa menyuruh melakukan kejahatan.
Apabila manusia menurut nafsu, dirinya akan menjadi sarang segala kerosakan dan kejahatan. Inilah penyebab kepada berleluasanya pembunuhan, jenayah rompakan dan kecurian.

Justeru itu Allah menempelak golongan yang bertuhankan nafsu dengan firmanNya
:أفرأيت من اتخذ ألاهه هواه
Maksudnya
Tidakkah kamu melihat kepada orang yang menjadikan nafsunya sebagai tuhan?

Manusia yang hidup bertuhankan nafsu akan membunuh untuk memuaskan nafsunya. Manusia yang bertuhankan nafsu bersedia merompak dan mencuri untuk mendapatkan harta dengan jalan mudah bagi memuaskan nafsu keinginannya.

Dia akan melakukan apa sahaja demi kepuasan diri. Akibatnya berlakulah vandalisma iaitu merosakkan harta awam semata-mata untuk kepuasan diri.

Islam menjadikan seseorang itu menjadi manusia yang seimbang. Dia kan menjadi warganegara yang baik untuk negaranya. Ia menjadi penyumbang kepada ketamadunan negaranya. Ia akan bekerja keras demi menyebarkan kebaikan dalam masyarakatnya. Moto hidupnya ialah enyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Seorang muslim juga mempunyai akhlak yang baik. Sentiasa menghormati ahli masyarakat baik yang tua atau yang muda. Ini kerana dia berpegang dengan sabda baginda:اتق الله حيثما كنت وأَتْبِعِ السَّيِّئَةََ الحسنةَ تَمْحُها وخَالِقِ الناسَ بخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya:

Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah kejahatan yang kamu lakukan dengan kebaikan nescaya kebaikan itu menghapuskan kebaikan dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik.

Penulis ialah:al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Last Updated ( Saturday, 09 December 2006 )