Sahabat Ilmu

Memaparkan catatan dengan label TAZKIRAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TAZKIRAH. Papar semua catatan

Rabu, 13 Mac 2013

ALLAH SYG HAMBANYA LBH DARI IBU SYG ANAK

Adakah kita sedar bahawa Pencipta kita, Allah SWT amat mengasihi dan menyayangi kita. Dia yang bersifat dengan al-Rahman ( Maha Pemurah ) dan al-Rahim ( Maha Penyayang) amat mengasihi hambaNya melebihi kasihnya seorang ibu terhadap anak tunggalnya.

Umar bin al-Khattab r.a meriwayatkan bahwa satu ketika dibawa ke hadapan Rasulullah saw satu kumpulan tawanan perang. Ternyata terdapat seorang perempuan di kalangan rombongan itu sedang mencari-cari sesuatu ( anaknya ). Setiap kali dia menjumpai bayi di kalangan rombongan tawanan itu maka dia pun terus mengambil dan memeluknya dan menyusuinya.

Maka Rasulullah saw pun berkata kepada kami,“Apakah menurut kamu perempuan ini akan tergamak melemparkan anaknya ke dalam julangan api?”. Maka kamipun menjawab, “Tentu saja dia tidak akan sanggup melakukannya, demi Allah. Walaupun dia sanggup, pasti dia tidak ingin melemparkan anaknya.” 

Maka Rasulullah saw pun bersabda : “Sesungguhnya Allah jauh lebih menyayangi hamba-hambaNya dibandingkan kasih sayang ibu ini kepada anaknya.” ( Imam Bukhari dan Muslim)

Tiada seorang ibu pun sanggup melihat anaknya ditimpa sebarang kesulitan. Apatah lagi mencampakkannya ke dalam api yang menyala. Begitulah juga Allah yang menjadikan, memelihara, menjaga, memberi rezeki dan pelbagai nikmat kehidupan kepada kita lebih-lebih lagi menyayangi hambaNya dan tidak menghendaki hambaNya dicampakkan ke dalam neraka.

Oleh sebab itu Allah SWT sangat gembira bila hambanya yang jauh hanyut dalam kesesatan kembali ke pangkal jalan dan bertaubat kepadaNya. Kerana taubat asbab seseorang itu akan terselamat dari bakaran api neraka. Sabda Nabi saw :

“Sesungguhnya Allah sangat-sangat bergembira terhadap taubat salah seorang di antara kamu jauh melebihi kegembiraan salah seorang dari kalangan kamu di saat ia mendapat kembali untanya yang telah hilang.” ( Imam Muslim)

Allah sangat-sangat cemburu bila hambaNya melakukan perkara yang dimurkainya. Sabda Baginda saw bersabda :

“Sesungguhnya Allah merasa cemburu. Dan seorang mukmin pun merasa cemburu. Adapun kecemburuan Allah itu akan bangkit tatkala seorang mukmin melakukan sesuatu yang Allah haramkan atasnya.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim)

Namun kita seringkali alpa dan berulang kali membuatkan Allah SWT ‘cemburu’. Malah kita sering memandang remeh dosa-dosa yang dilakukan tanpa rasa takut akan dimurkai oleh Allah bila mengadapNya di akhirat kelak. Berbeza benar sikap kita dengan sikap para sahabat Nabi saw :

Anas bin Malik r.a berkata : “Sesungguhnya kamu akan melakukan perbuatan-perbuatan yang dalam pandangan mata kamu hal itu lebih ringan daripada helaian rambut. Sementara kami dulu di masa Nabi saw menganggapnya termasuk perkara-perkara yang membinasakan.” ( Imam al-Bukhari)

Kata-kata tokoh sahabat ini memang jelas sekali pada hari ini. Pada hari ini kebanyakan manusia tidak menganggap dosa satu beban dan perkara yang akan membinasakan. Mereka amat mudah melakukannya tanpa memikirkan risiko yang akan menimpanya bila dimasukkan ke lubang kubur dan kehidupan seterusnya.

Hargailah kasih sayang Allah kepada kita. Hargailah nikmat-nikmat percuma yang tidak terkira dariNya. Kejarlah syurga yang disediakan untuk kita dan hindarilah diri dari bakaran api neraka dengan sentiasa bertaubat dan mengelakkan diri dari sebarang dosa. Semoga Allah merahmati kita semua dan memimpin kita semua ke jalan yang diredaiNya

Rabu, 6 Mac 2013

NILAI TUDUNG WANITA

Tajuk: NILAI TUDUNG WANITA

Tazkirah hari ni ingin menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Rabu, 27 Februari 2013

PESAN UNTUK AHLI ILMU


SAIDINA Umar al-Khattab r.a pernah berkata:
"Apabila engkau melihat orang yang berilmu mencintai dunia, maka curigailah ia mengenai agamanya, kerana orang yang mencintai sesuatu ia akan menyibukkan diri dengan apa yang dicintainya itu.."

Ilmu itu, adalah cahaya daripada Allah s.wt. Tidak akan diberi Allah kepada hamba-Nya melainkan mereka yang benar-benar dicintai-Nya. Ilmu itu suatu yang suci dan kudus. Penuh dengan rahsia dan falsafah. Ia ibarat makhluk yang bernyawa, perlukan syarat-syarat yang terperinci untuk memilikinya. Bukan sebarang manusia boleh memautnya. Kerana itulah Rasulullah s.a.w ada memberi peringatan buat penuntut ilmu bahawa:

"Orang yang paling pedih siksaannya pada hari qiyamat nanti adalah seorang 'alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya.."

IKHLASLAH DALAM MENUNTUT ILMU DAN MENYAMPAIKANNYA SERTA BERAMALLAH DENGANNYA PENUH KEIKHLASAN...

TARBIYAH SEKETUL CEKODOK


Tatkala saya menghadapi hidangan sarapan pagi, saya teringatkan peristiwa ketika bersarapan bersama keluarga. Menu untuk pagi itu hanyalah beberapa ketul cucur ikan bilis, tetapi mempunyai makna yang sangat besar untuk ditafsirkan. Selesai bersarapan, tinggallah seketul cucur yang masih berbaki, namun saya katakan kepada ibu bahawa saya sudah kenyang. Lantas ibu mencapai baki cucur itu sambil mula bercerita,

“Cekodok ini...,” bahasa ibu, “Nak hasilkannya, bukan ibu seorang sahaja, cuba bayangkan, sebelum nak jadi cekodok, mesti ada tepung gandum dulu. Tepung gandum tu, bukan senang-senang je nak jadi, asalnya daripada biji gandum yang ditanam. Cuba bayangkan nak tanamnya berapa lama...? siapa yang tanam? Lepas itu dituai hasilnya, bukan seorang, malah beratus-ratus pekerja diperlukan.”

Sambung ibu lagi, “Kemudian perlu pekerja untuk menghasilkan tepung daripada biji gandum tu, setelah siap, perlu dibungkus dan barulah dijual kepada orang ramai.” Mata saya terkebil-kebil.

Ibu sambung lagi, “Telur pulak...kalau Man hendak, Man boleh beli sahaja di kedai Pak Wan di depan tu. Tapi telur sebiji ni, Allah tugaskan berapa ramai yang terlibat. Sebelum jadi telur, mesti bela ayam. Ayam bukan seekor, yang nak jaganya pun bukan seorang, hendak beri makannya. Kemudian apabila sudah bertelur banyak, dikutip telur itu dan dihantar untuk digredkan berdasarkan saiz telur...” Saya renung lagi, tanpa disedari, cucur yang ibu makan tadi sudah tidak bersisa.

“Dah siap semua barulah dipasarkan.” Ayat terakhir itu meninggalkan saya terus keseorangan di meja makan.

Ah! Betapa kurangnya saya bersyukur. Itu baru ibu kisahkan mengenai ‘cekodok’, yang kadang-kadang sekali tengok pun, tak ada selera nak makan. Belum lagi ibu buka cerita buat nasi lemak ke, nasi ayam ke...

Lamunan saya melayang kepada sahabat-sahabat kita yang masih kurang bernasib baik seperti di Bosnia, Somalia dan negara-negara miskin yang lain. Kadangkala makanan mereka hanyalah helaian-helaian daun dan ranting kayu, atau apa-apa yang boleh dijadikan makanan. Kalaulah diberikan seketul ‘cekodok’ tadi kepada mereka, Alahai, mesti berebut-rebut mahukannya!

Begitulah manusia, kalau dah nikmat melimpah-ruah dihadapan mata, yang tidak berkenan, tidak akan dilayan. Terlalu mengikut kehendak nafsu dan terlalu memilih. Saya teringat kata-kata seorang sahabat saya, waktu itu saya dalam tingkatan empat, “Malaysia ini negara makanan. Sebut sahaja makanan apa, semuanya ada.” Sampai macam itu sekali nilainya. Lebih-lebih lagi di bulan puasa, hari-hari tukar menu, sampaikan nak solat Maghrib selepas berbuka pun dah tak larat. Lepas tu nak tarawih apatah lagi.

Namun, Ramadhan sudah lama berlalu, yang tinggal hanyalah tapak-tapak didikan bulan itu yang masih berbekas di hati bagi orang yang mengambil kesempatannya. Tidak tahulah sejauh mana tarbiyyah Ramadhan yang lepas mencorak diri, itu masing-masing boleh ukurnya sendiri.

Jauh sungguh saya menerawang. Pinggan yang kotor saya bawa ke dapur. Terasa jauh benar diri daripada Yang Mencipta dan terlalu kerdil rasanya. Sambil mencuci pinggan, dalam hati berkata; ‘Nilailah sesuatu itu dengan teliti dan tepat, bukan pada lahiriah sahaja, tapi dalamannya itu yang paling penting’

Nampaknya hari ini, saya telah ditarbiyyah oleh seketul ‘cekodok’!


Posted by
Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Rabu, 6 Februari 2013

10 Tanda Hati Mati

Syeikh Ibrahim Adham menyatakan 10 tanda hati mati iaitu :

1. Mengaku kenal Allah s.w.t tetapi tetapi tidak menunaikan hak- haknya.

2. Mengaku cinta pada Rasulullah s.a.w tetapi tidak menunaikan Sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengan hukum- hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat- nikmat Allah s.w.t tetapi tidak mensyukuri atas pemberiannya.

5. Mengaku syaitan itu musuh tetapi tidak berjuang menentangnya

6. Mengaku adanya nikmat syurga tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka tetapi tidak berusaha untuk menjahinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain tetepi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantarkan dan menguburkan jenazah/ mayat saudara seIslam tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya

Khamis, 27 Disember 2012

DOSA MENGGELAPKAN HATI

Dosa boleh menghalang seseorang itu daripada mendapat cahaya ilmu. Satu ketika, Imam Malik terpegun melihat Imam Syafie (masih remaja ketika itu) kerana kepandaian dan kecerdikannya, lantas beliau berkata: "Sesungguhnya aku melihat Allah mencampakkan ke dalam hati kamu cahaya, maka jangan kamu padamkan cahaya iu dengan kegelapan maksiat". Dosa boleh menyebabkan seseorang itu malas untuk membuat ketaatan. Seseorang pernah berkata kepada Ibnu Masud: "Kami tidak mampu untuk bangun malam (untuk beribadat)". Jawab Ibnu Masud: "Dosa kamu menjauhkan kamu (daripada ibadat di waktu malam)". Oleh yang demikian, hampirilah kebajikan yang akan memberi cahaya kepada hati dan jauhilah kejahatan yang boleh menggelapkan hati seterusnya menghalang cahaya ilmu.

Selasa, 18 Disember 2012

Kelebihan Mati Syahid Di Medan Peperangan

Malaikat khas akan didatangkan untuk mensyahidkan (menyaksikan) mereka yang mati syahid di medan peperangan. Mati syahid yang besar ialah mereka yang terbunuh dalam pertempuran di medan peperangan kerana mendaulatkan Islam, menegakkan perintah atau hukum Allah dan mempertahankan negeri Islam daripada serangan musuh.

Mereka Tidak Mati

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (Ali-Imran:169)

Dalam mazhab Syafie, mereka yang syahid besar tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyangkan jenazah mereka kerana segala dosa mereka telah gugur (dihapuskan). Dalam mazhab Hanbali pula, mereka yang syahid besar tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafan dan tidak perlu di sembahyang jenazahkan kerana telah mereka sebenarnya masih hidup dan tidak mati berdasarkan firman Allah.

Baqarah [154] Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

Mereka Bersukacita di Syurga
(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Ali-Imran:170)

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman. (Ali-Imran:171)

Sakitnya Tidak Melebihi Gigitan Semut
Dalam sebuah hadith dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Orang yang mati syahid itu tidak mendapatkan kesakitan kerana terkena pembunuhan, melainkan hanyalah sebagaimana seseorang di antara engkau semua mendapatkan kesakitan kerana terkena gigitan – semut dan sebagainya.” (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi)

Ingin Kembali Ke Dunia Dan Mengulanginya Hingga 10 Kali

Para Syuhada ini menerima ganjaran yang sangat istimewa sehingga sanggup kembali ke dunia untuk mengulangi kematian berbanding golongan lain seperti para wali dan orang soleh yang tidak sanggup lagi kembali ke dunia yang penuh dengan syirik, maksiat dan kezaliman.

Dari Anas bin Malik r.a, dari nabi SAW sabdanya:”Tidak ada seorangpun yang telah masuk syurga ingin kembali semula ke dunia walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya kecuali orang-orang yang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia lalu dia tewas (syahid) di dunia hingga sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang yang mati syahid. (Muslim)
 
-Nasbun Nurain-

Khamis, 7 Jun 2012

~PERKARA HARAM YG DI ANGGAP BIASA~

Pada zaman sekarang, bersalaman tangan antara laki-laki dengan perempuan hampir sudah menjadi tradisi. Tradisi hina itu meruntuhkan akhlak Islam yang mesti ditegakkan. Bahkan mereka menganggap kebiasaan itu jauh lebih baik dan lebih tinggi nilainya daripada syariat Allah yang mengharamkannya. Sehingga jika ada seorang daripada mereka berbincang tentang hukum sya...riat, dengan dalil-dalil yang kuat dan jelas, tentu serta merta ia akan menuduh anda sebagai kolot, ketinggalan zaman, kaku, susah untuk didekati, ekstrim, hendak memutuskan silaturrahim, menggoyahkan niat baik dan sebagainya.

Sehingga dalam masyarakat kita, berjabat tangan dengan sepupu, ipar, biras, isteri bapa saudara (mak saudara), suami ibu saudara (bapa saudara) lebih mudah daripada minum air.

Seandainya mereka melihat secara jernih dan penuh pengetahuan tentang bahaya persoalan tersebut menurut syara’ tentu mereka tidak akan melakukan hal tersebut.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sungguh ditusuknya kepada salah seorang dari kalian dengan jarum besi lebih baginya daripada ia menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (Hadis Riwayat At-Thabrani)

Kemudian tidak diragukan lagi, hal ini termasuk zina tangan, sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Kedua mata berzina, kedua tangan berzina, kedua kaki berzina dan kemaluan pun berzina.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dan, adakah orang yang hatinya lebih bersih dari hati Muhammad S.A.W ? Namun begitu, beliau mengatakan:

“Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan wanita” (Hadis riwayat Ahmad)

Beliau juga bersabda:

“Sesungguhnya aku tidak menyetuh tangan dengan wanita” (Hadis riwayat Ath Thabrani)

Dan dari Aisyah R.A, dia berkata:

“Dan demi Allah, sesungguhnya tangan Rasulullah S.A.W tidak pernah menyentuh tangan perempuan sama sekali, tetapi beliau membai’at mereka dengan perkataan.” (Hadis riwayat Muslim)

Hendaknya takut kepada Allah, orang-orang yang mengancam cerai isterinya yang solehah kerana tidak mahu bersalaman tangan dengan lawan jenis meskipun memakai alas hukumnya tetap HARAM.

Sumber:
http://www.halaqah.net/

WALLAHUAQLAM...

Rabu, 6 Jun 2012

Orang Zuhud Dikasihi Allah

Rasulullah bersabda lebih kurang maksudnya, “Jika kamu hendak dikasihi Allah, maka hendaklah kamu zuhud dengan dunia”.

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa untuk mendapat kasih sayang Tuhan, maka yang perlu kita perbuat di dunia ini ialah zuhud kepada dunia. Yang dikatakan zuhud itu bukanlah boleh diukur kepada miskin atau kaya. Sesetengah orang berpendapat miskin itu zuhud dan kaya itu tidak zuhud. Tidak sebegitu dan tidak semestinya. Malah ada juga yang menyatakan zuhud itu menolak atau membuang dunia. Salah tafsir ini perlu diperbetulkan.

Zuhud itu letaknya di hati. Dikatakan zuhud bila hati tidak cinta dunia. Hanya sanya dunia itu dijadikan sebagai saluran untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Biarpun kaya, kaya digunakan untuk jalan Tuhan. Biarpun miskin, hatinya tetap dengan Tuhan dan tak terikat dengan dunia. Maksudnya di sini, orang zuhud bukanlah menolak dunia. Dunia itu diambil sekadar keperluan. Selebihnya digunakan di jalan Tuhan.

Diceritakan bahawa pernah Sayyidina Ali, pergi melihat sebuah masjid dan dilihatnya di situ ada halaqah pengajian. Yang mengajar itu adalah Hasan Basri, seorang remaja belasan tahun umurnya walhal orang-orang yang mendengar itu kebanyakannya orang dewasa. Timbullah niat di hati Sayyidina Ali untuk menguji apakah Hasan Basri benar-benar layak mengajar. Ditanya kepada Hasan Basri, “apakah yang boleh menyelamatkan manusia?” “Zuhud”, jawab Hasan Basri secara spontan. Maka, yakinlah Sayyidina Ali yang Hasan Basri itu mempunyai kelayakan untuk mengajar hanya kerana dapat menjawab dengan tepat soalan beliau. Pengajaran daripada kisah ini dapatlah kita ketahui bahawa zuhud adalah kunci kepada keselamatan manusia. Manakan tidak, hadis di atas juga telah meletakkan orang zuhud sebagai orang kesayangan Allah. Sudah pasti orang kesayangan Allah itu akan terselamat di dunia juga di Akhirat. Selama mana seseorang itu boleh zuhud, selagi itulah dia akan terselamat.

Tuhan ada berfirman, “Tidak ada dua hati dalam diri anak Adam” (Al-Ahzab:4) . Hati manusia ini kalaulah tanpa zuhud, nescaya akan diisi dengan cinta dunia. Seolah-olah hati manusia itu menjadi rebutan, bertarik-tarik antara zuhud dan cinta dunia. Amat malang, jika hati terarah kepada cinta dunia, maka tiadalah lagi keselamatan kepada manusia itu. Benarlah sabda Nabi tentang dunia ini iaitu: “Cinta dunia adalah kepala bagi segala kejahatan.” Daripada cinta dunia, lahirlah berbagai kejahatan lain seperti hasad dengki, pemarah dan sombong. Semua ini bukan sahaja merosakkan empunya diri tetapi boleh juga merosakkan orang lain. Hakikat krisis dan perpecahan umat yang berlaku hari ini adalah disebabkan dengan penyakit cinta dunia ini. Selagi penyakit cinta dunia ini tidak diungkai daripada hati manusia, selagi itulah manusia akan terus berkrisis dan bersengketa. Tidak akan aman dunia ini dengan adanya manusia-manusia yang bersarang cinta dunianya.

Lagi, bila kita kaji dan teliti hadis ini, orang zuhud itu disayangi Tuhan kerana hati orang zuhud itu sudah tidak terikat dengan dunia lagi. Apa maksudnya? Dunia bila sudah masuk hati, maka rasa-rasa dengan Tuhan akan menjauhi. Tapi bila dunia itu sudah dibuangkan daripada merajai hati, maka mudahlah rasa-rasa dengan Tuhan itu masuk dan menguasai hati. Justeru, selarilah rasa hati seseorang itu dengan kehendak-kehendak Tuhan. Jadilah, dia itu orang yang memahami kehendak dan peranan Tuhan dalam kehidupan.

Disebut tadi, zuhud itu mengambil dunia sekadar perlu. Dan selebihnya digunakan untuk jalan Tuhan. Itu ilmunya. Nak berbuat, tidaklah semudah yang diceritakan. Ianya perlukan mujahadah. Kena benar-benar mengekang nafsu daripada berkehendak kepada yang tidak perlu. Kena benar-benar merasai kesusahan orang lain agar mudah harta dunia itu dialihkan kepada orang yang susah. Kena benar-benar ada jiwa untuk memperjuangkan Tuhan, barulah dunia itu disalurkan untuk perjuangan fisabilillah. Kuat mujahadah, maka lemahlah nafsu mencintai dunia, Sebaliknya, bila lemah mujahadah, jadilah nafsu itu kuat dalam mencintai dunia.

Moga-moga tulisan ini dapat membantu kita untuk memahami tentang zuhud. Sekian.

~MINDA GLOBAL~

Khamis, 24 Mei 2012

Ya Allah, aku tidak kisah......

Assalamualaikum w.b.t.

Ketika berjalan-jalan di internet hari ini. Aku terjumpa video Dr. Mohd Asri yang sangat menyentuh hati. Beliau membacakan doa yang dibaca oleh nabi s.a.w selepas orang Thaif menolak dakwah baginda s.a.w. Sungguh doa itu menunjukkan tawakkal dan redha yang sangat hebat. Meletakkan kebergantungan kepada Allah semata-mata.
 

عن عبد الله بن جعفر قال : لما توفي أبو طالب خرج النبي - صلى الله عليه وسلم - إلى الطائف ماشيا على قدميه ، يدعوهم إلى الإسلام ، فلم يجيبوه ، فانصرف فأتى ظل شجرة فصلى ركعتين ثم قال

‘Abdullah bin Ja’far berkata: Apabila meninggalnya Abu Talib, nabi s.a.w keluar menuju ke Thaif dengan berjalan kaki. Baginda s.a.w menyeru penduduk di sana untuk memeluk Islam, akan tetapi penduduk di sana tidak menerima dakwah nabi s.a.w. Lalu nabi s.a.w pun beredar sehinggalah tiba di sebatang pokok. Baginda s.a.w mendirikan solat dua rakaat kemudian berdoa:

" اللهم إني أشكو إليك ضعف قوتي ، وهواني على الناس ، أرحم الراحمين أنت ، أرحم الراحمين إلى من تكلني إلى عدو يتجهمني ؟ أم إلى قريب ملكته أمري ؟ إن لم تكن غضبان علي فلا أبالي ، غير أن عافيتك أوسع لي ، أعوذ بوجهك الذي أشرقت له الظلمات ، وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة ، أن ينزل بي غضبك أو يحل بي سخطك ، لك العتبى حتى ترضى ، ولا حول ولا قوة إلا بالله

Ya Allah, sesungguhnya aku mengadu kepadaMu, betapa lemahnya kekuatanku, betapa hinanya aku di mata manusia. Engkau Maha Pengasih dan Penyayang. Yang Maha Pengasih dan Penyayang,kepada siapapun Engkau serahkan diriku ini, sama ada kepada musuh yang akan mengancam diriku, atau kepada sahabat yang akan menjaga urusanku? Selagi mana Engkau tidak Marah kepada ku. Aku tak kisah. Akan tetapi, kesejahteraan yang Engkau kurniakan melegakan aku.

Aku berlindung dengan WajahMu, yang menyinari kegelapan, yang memperbaiki urusan dunia dan akhirat, daripada turunnya murkaMu ke atas diriku, atau kebencianMu menimpaku. Hanya milikMu keredhaan sehingga Engkau meredhai. Tiada usaha dan kekuatan kecuali denganMu.

[Majma’ az-Zawaid: 9851, Imam al-Haithami berkata: Diriwayatkan oleh at-Thabrani. Pada riwayat ini terdapat Ibn Ishak, beliau seorang mudallis yang thiqah. Perawi yang lain kesemuanya thiqah]

Selasa, 15 Mei 2012

BERILAH PERINGATAN

Hadis riwayat Ibnu Abbas ra., ia berkata:

Ketika diturunkan ayat ini:
Dan berilah peringatan berbentuk ancaman kepada kaum kerabatmu yang terdekat,  Iaitu kaum kerabatmu yang benar-benar ikhlas. Rasulullah saw. keluar dan naik ke bukit Shafa, lalu berteriak: Hati-hatilah! Orang-orang saling bertanya: Siapa yang berteriak? Di antara mereka berkata: Muhammad! Mereka pun berkumpul mengerumuni beliau. Beliau bersabda: Wahai Bani fulan! Wahai Bani fulan! Wahai Bani fulan! Wahai Bani Abdi Manaf! Wahai Bani Abdul Muthalib! Mereka mengerumuni beliau. Lalu beliau bersabda: Apa pendapat kalian seandainya aku beritahu kalian bahwa pasukan berkuda akan keluar di kaki gunung ini. Apakah kalian mempercayaiku? Orang-orang menjawab: Kami telah buktikan engkau tidak pernah berbohong. Rasulullah saw. bersabda: Aku peringatkan kalian akan siksa yang sangat pedih. Mendengar itu Abu Lahab berkata: Celaka engkau! Hanya untuk inikah engkau mengumpulkan kami? Kemudian ia pergi. Lalu turunlah surat ini, Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan ia benar-benar binasa (HR MUSLIM)

Khamis, 10 Mei 2012

Murah Hati Yang Mahal


Abah singgah solat di sebuah surau.Selesai solat seorang budak menghampiri abah. Sebuah tabung derma dihulurnya. Raut wajah dan gaya pakaian budak itu meyakinkan abah bahawa dia adalah anak yatim yang mewakili sekolahnya memohon sumbangan. Abah menghulurkan derma.

Di suatu sudut beranda surau kelihatan seorang pakcik penarik beca sedang berehat melepaskan penat.

Budak itu lalu menghampiri pakcik itu dan menghulurkan tabung derma kepadanya.

Pakcik penarik beca menyeluk saku seluarnya yang lusuh. Sekeping note berwarna merah sepuluh ringgit dikeluarkan lalu dimasukkan ke dalam tabung derma tersebut.

Budak itu mengucapkan terima kasih seraya berpaling untuk pergi. Tetapi pakcik itu memberi isyarat supaya menunggu. Pakcik menyeluk poket seluarnya yang sebelah lagi.

Dia mengeluarkan beberapa note kertas berwarna biru dan hijau lalu dimasukkan kesemuanya ke dalam poket baju melayu budak itu.

“Ini hok mu buat beli makanan.”

Abah kemudian menghampiri pakcik itu, sambil bertanya, “Berapo pendapatan pakcik sehari?”

Dia berkata, “Tak tentu! Kade-kade ado, kade-kade tak dok.”

Tanya abah lagi, “Bakpo pakcik sedekah semua duit pakcik kepada budak itu?”

Jawabnya, “Budak tu anak yatim. Berjalan kaki jauh, lapar. Pakcik tak pe, ada beca, boleh kayuh lagi.”

Subhanallah... Dia jauh lebih murah hati daripada abah.

Abah mula berasa sebak.

“Kalu gitu mari ikut ambo pergi makan.” sambil abah memegang tangannya.

“Hari ni pakcik posa.” jawabnya perlahan.

Abah tidak mampu bersuara lagi..

Nota: Murah hati yang mahal nilainya ialah apabila sanggup menyumbang harta kepada orang yang memerlukan, sedangkan dia sendiri memerlukannya. Berbeza daripada murah hati yang sanggup menyumbang harta sama ada kepada orang yang memerlukan, dalam keadaan dia sendiri tidak memerlukannya..

Kelebihan orang yang murah hati..
1. Pemiliknya akan mendapat kasih sayang dan redha Allah SWT.

2. Bukti kesempurnaan akal, lapang dada dan besar jiwanya.

3. Akan mendapat pertolongan malaikat.

4. Semua manusia akan terdetik hatinya untuk membantu dan bergabung dengan pemilik sifat ini.

5. Seseorang yang berusaha menanamkan sifat ini dengan cara membiasakan dan memupuknya akan mendapat pahala yang besar dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

6. Ia adalah salah satu sifat Allah SWT dan para wali-Nya.

7. Ia dapat menyatukan hati dan menebarkan kasih sayang antara manusia.

8. Melenyapkan kebencian, kedengkian dan dapat meluluhkan hati.

SUBHANALLAH ! ♥

Rabu, 9 Mei 2012

Restu Ibu Imam Syafie

Sejak kecil, Imam Syafie telah hafal al-Quran dan banyak hadis. Jika mendengar ada guru datang mengajar, dia segera pergi bagi menimba ilmu. Ketika berusia 14 tahun, Imam Syafie menyatakan hasrat kepada ibunya tentang keinginannya untuk merantau bagi menambahkan ilmu.

Pada mulanya, ibunya merasa berat untuk melepaskan kerana Syafie adalah satu-satunya harapan ibunya untuk menjaganya di hari tua. Demi ketaatan dan kasih sayang Syafi'e kepada ibunya, dia membatalkan keinginannya itu. Akhirnya ibunya mengizinkan Syafi’e merantau bagi menambah ilmu pengetahuan.

Sebelumnya melepaskan anaknya, maka ibunya berdoa, “Ya Allah Tuhan yang menguasai seluruh Alam! Anakku ini akan meninggalkan aku untuk berjalan jauh, menuju keredhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut pengetahuan peninggalan PesuruhMu. Oleh kerana itu aku bermohon kepadaMu, ya Allah agar dipermudahkan urusannya. Peliharakanlah keselamatannya, panjangkanlah umurnya agar aku dapat melihat kepulangannya nanti dengan dada yang penuh dengan ilmu yang berguna. Amin!”
Selesainya berdoa ibunya memeluk Syafie yang kecil dengan penuh kasih sayang dan dengan linangan air mata kerana sedih untuk berpisah.

“Pergilah anakku. Allah bersamamu! Insya-Allah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan dikemudian hari. Pergilah sekarang kerana ibu telah redha melepaskanmu. Ingatlah bahwa Allah itulah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan.”

Selepas ibunya berdoakan, Syafi'e mencium tangan ibunya dan mengucapkan selamat tinggal. Dia meninggalkan ibu yang sangat dikasihinya dengan hati yang pilu dan mengharapkan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraannya dalam menuntut ilmu. Juga di doakan dengan doa perlindungan daripada Surah Yusuf ayat 64:

Oleh kerana kehidupannya yang sangat miskin, maka Syafi'e berangkat dengan tidak membawa bekalan wang, kecuali dengan berbekalkan doa ibunya dan cita-cita yang teguh untuk menambah ilmu sambil bertawakkal kepada Allah.

Ketika mengingati kisah ini, Imam Syafie berkata, “Sesekali aku menoleh kebelakang untuk melambaikan tangan kepada ibuku. Dia masih berada perkarangan rumah sambil memperhatikan aku. Lama-kelamaan wajah ibu menjadi samar ditelan kabus pagi. Aku meninggalkan kota Makkah yang penuh barakah tanpa membawa sedikit pun bekalan wang. Apa yang menjadi bekalan bagi diriku hanyalah Iman yang teguh dan hati yang penuh tawakkal kepada Allah serta doa restu ibuku sahaja. Aku serahkan diriku kepada Allah seru sekalian Alam.”

Isnin, 7 Mei 2012

Kata-kata orang soleh itu...

Memang payah untuk membetulkan persepsi yang salah. Sebab ramai manusia hanya menggunakan citarasa diri sendiri sebagai neraca. Bukan Kalam suci dan panduan insan terpuji.Oleh kerana sudah terdidik sejak kecil dengan kepalsuan maka yang benar dan bathil tidak dapat dibezakan. Maka yang baik itu disangka buruk dan yang buruk disangka membawa kebahagiaan hidupnya.

Oleh itu kata-kata orang-orang soleh mengenai kehidupan dunia ini adalah pengikat nafsu berkesan dan penyembuh citarasa yang sudah rosak.

Ada sepotong kek terbiar di salah satu sudut rumah. Di kejauhan dari tempat itu ada 2 ekor anak tikus sedang berbalah : 

Tikus putih : awak nampak tidak kek itu? 

Tikus Kelabu : ya saya nampak. Tapi warnanya tidak cantik. 

Tikus putih : Tapi kan baunya enak sekali. Pedulikan warnanya. Rasanya pasti lazat. 

Tikus Kelabu : hmm kalau sudah pudar warna pasti rasanya pun sudah masam. 

Tikus putih : Aku yakin masih sedap lagi. Kalau tidak pasti tuan rumah sudah buang ke bakul sampah. 

Tikus Kelabu : mungkin juga kan… 

Si ayah tikus yang dari tadi mendengar perbualan anak-anaknya mencelah : 

Ayah tikus : Apa yang kamu riuhkan wahai anak-anakku? 

Tikus putih : kek sana tu ayah. 

Ayah tikus : Cuba kamu pandang betul-betul apa kamu nampak. 

Tikus Kelabu : tak ada-apa yang aneh. Hanya sepotong kek. 

Ayah tikus : tengok dengan pandangan cermat. 

Tikus putih : Kek lah ayah.. apa yang peliknya. 

Ayah tikus : kamu hanya fikirkan nak makan kek saja. Sedangkan sebelah kek itu ada perangkap. Wahai anak-anakku.. kalau kamu mahu selamat mintalah nasihat dari yang berpandangan jauh dan tiada kepentingan diri. Jika kamu salah penilaian kamu akan binasa kelak

-ust fuad osman-

Ahad, 6 Mei 2012

CELAAN PEMBAKAR SEMANGAT

KISAH YANG DISAMPAIKAN DALAM KULIAH MAGHRIB DI SURAU NURUL IMAN CEMPERAISARI SEBENTAR TADI (6/5/2012)

Diceritakan di dalam Kitab Lathaif al-Minan Wal Akhlak karya Imam Abdul Wahab asy-Sya'rani (seorang ulama' Mesir yg lahir pd 898H dan wafat pd 973H. Beliau sempat berjumpa dgn Imam ahli Hadis Mesir antaranya Jalaluddin as-Suyuthi&bljr dgn ulama' terkenal Syeikh Zakaria al-Anshari, Nashiruddin al-Laqani, Syihabuddin ar-Ramli dan ramai lagi) menukil daripada Imam Taqiyuddin as-Subki yang bercerita tentang kisah ABU ALI IBNU SINA, seorang tokoh falsafah Islam yg sangat pandai dan genius.

Suatu hari, ada seseorang mencela Ibnu Sina kerana beliau tidak haafaz al-Quran. Setelah mendengar celaan itu, Ibnu Sina pun menjadi sangat malu dan marah. Lalu beliau terdorong untuk menghafaz seluruh al-Quran, dan beliau melakukannya HANYA DALAM SATU MALAM! Padahal sebelum itu, beliau hanya menghafal surah al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas sahaja.

Kisah ini sangat mengagumkan, bahkan terlalu luar biasa sehingga sukar dipercayai. Allah yang lebih tahu kesahihan cerita ini.

#Teladan: Jadikan celaan sebagai pembakar semangat. Celaan memang pahit namun ia mengandungi ubat yang akan merubah hidup kita menjadi lebih sempurna. Syaratnya, kita mesti pandai merubah celaan itu menjadi pembakar semangat, seperti yang dilakukan tokoh2 yg berjiwa besar#

Rabu, 2 Mei 2012

Apa Yang Kita Sibukkan…?


“Saya sibuk sekarang ni”. Saya tak ada masa”. Banyak kerja yang perlu saya siapkan”.

Itulah jawapan yang selalu kita dengar bila kita ingin minta bantuan dari kawan-kawan…. lebih-lebih lagi ketika kita ingin mengajak rakan kita kepada program-program yang berkaitan dengan Islam. Benarkah semua orang sibuk atau buat-buat sibuk?

Saya yakin memang semua orang sibuk, cuma persoalannya apa yang mereka sibukkan. Kata Imam Al Ghazali “rugilah mereka yang sibuk tetapi segala kesibukan mereka hanya untuk dunia sahaja”. Bagaimana pula dengan kita… apa yang kita sibukkan, adakah kita sibuk menyiapkan bekalan untuk hari pertemuan dengan Allah SWT atau sebaliknya sibuk dengan kenikmatan dunia hingga menyebabkan hati kita terlalu keras untuk mendengar peringatan atau nasihat? Berapa peratuskah kesibukan kita untuk Akhirat?

Mahukah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi sepertimana dimaksudkan oleh Imam Al Ghazali. Dalam satu surah Allah SWT berfirman yang maksudnya “Sesungguhnya orang-orang yang rugi itu adalah orang yang merugikan diri mereka dan ahli keluarga mereka di Hari Qiamat. Itulah ‘kerugian’ yang sebenarnya”.

Sekiranya kita tidak fikirkan sekarang, kita akan menyesal pada hari pertemuan kita dengan Allah SWT, hari dimana akan dibentangkan kitab amalan kita….`ada yang akan menerima kitabnya dari sebelah kanan, ada yang akan terima dari sebelah kirinya dan ada pula yang akan menerima kitab amalannya dari belakang… bagaimana pula yang kita harapkan. Dalam surah al Kahfi Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan dibentangkan kitab (Kitab amalan kita yang selama ini dicatat dengan begitu rapi oleh malaikat yang menjaga di kiri dan kanan kita), kamu akan dapati orang-orang yang berdosa itu gementar ketakutan melihat apa yang ada di dalamnya, dan mereka berkata… celakalah kami, kitab apakah ini, tidak tinggal olehnya perkara kecil atau perkara besar melainkan semuanya dihitung, dan mereka dapati apa saja yang mereka kerjakan (di dunia) hadir/nampak di hadapan mereka”

Saat-saat beginikah baru kita nak muhasabah diri dan menyesali bahawa kesibukan diri kita selama ini hampir semuanya untuk dunia semata-mata. Apakah nilainya penyesalan kita pada masa itu? Sememangnya ramai yang menyesali perbuatan mereka pada masa itu dan minta supaya dikembalikan ke dunia untuk mereka beramal soleh….. tetapi kebanyakan permintaan ini Allah jawab dengan sindiran, kerana penyesalan ketika itu tidak bermakna lagi, seperti yang Allah rakamkan dalam surah As Sajdah (ayat 12)

“Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabb mereka, mereka berkata…. Ya Rabb kami, Kami dah nampak dah, kami dah dengar… kembalikanlah kami (ke dunia), kami nak buat amal soleh, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang yakin”

Apakah nilainya penyesalan kita pada ketika itu… setelah jatuhnya ketetapan Allah ke atas diri kita. Sekaranglah masanya untuk kita renungkan masa-masa yang kita lalui, setakat manakah ianya benar-benar bermanfaat untuk Akhirat kita dan berhati-hatilah dengan tipu daya dan belitan syaitan, kerana tipu dayanya terlalu halus.

Kita Dipandang kerana duit, Kita dihina kerana duit.

Posted by toyu


Benar bukan, apabila kocek penuh ada manusia menghampiri kita?. Kegembiraan dikongsi bersama. Malah apa sahaja yang kita percakapkan pasti akan dianggukkan jarang sekali ada salahnya. Diri kita bagaikan lauk yang dihurung oleh orang kiri dan kanan.

Duit, wang, money (apa sahaja yang dipanggil nilaian wang) di zaman mutakhir ini menjadi satu keperluan yang amat dirisaukan di dalam diri kita. Hari ini barang itu naik harganya, tepung, gula, minyak. Lalu masing-masing akan memikirkan bagaimana cara untuk mendapatkan duit.

Bermacam caralah yang akan dibuat untuk memperolehi wang samada dengan cara yang halal atau haram. Ada yang menggunakan kaedah MLM,ada yang mengikuti pertandingan sms, ada juga yang mengadakan cara yang kononnya islamik dengan mengadakan konsep bersedekah (padahal ia sama sahaja dengan sikap malas berusaha). Lalu digunakan segala macam dalil dan hujjah untuk menghalalkan perbuatan tersebut.

Dijaja ustaz dan ustazah itu sudah menceburi kaedah ini, jangan sangsi! Perniagaan ini halal!. Rupa-rupanya yang menentukan halal dan haram adalah dengan keberadaan ustaz dan ustazah di dalam sesuatu perniagaan. Yang menentukan halal dan haram adalah dengan meletakkan ayat – tolong menolong antara sesama Islam, tentang kelebihan bersedekah.

Lihat sahaja di masjid dan surau yang diletakkan risalah-risalah seperti ini. Modalnya adalah beberapa ringgit. Diletakkan pelbagai testimoni orang ini sudah mendapatkan duit dalam sehari tanpa perlu bekerja, terima kasih! Orang itu sudah dapat menyelesaikan hutangnya, dan kini sudah ada kenderaan baru dan mewah, alhamduliLlah! – Orang yang tidak berfikir panjang akan mengatakan “kenapa tak boleh?, kita mesti cuba. Alahhh.. berapa ringgit sangatlah hendak dilabur, tak rugi!”. Akhirnya dalam tidak rugi katanya itu, yang mendapatkan duit atas angin tanpa usaha siapa? Akhirnya yang ditipu bulat-bulat siapa? Siapa panel syari’ahnya?

Aku memikirkan – perkara duit bukanlah perkara kecil anak, ia digunakan untuk membeli barangan, untuk membeli makanan. Dari situ secara tidak langsung ada hubungannya dengan manusia dan ALlah. Aku teringat hadith yang mafhumnya ‘daging yang tumbuh dari sumber yang haram layak untuk api neraka’. Biarlah aku berusaha bersungguh-sungguh dengan caraku. Tiada daya melainkan untuk mendapatkan rezeki yang halal itu memang payah, untuk mendapatkan yang barokah itu susah. Biar tidak senang agar tidak pula banyak yang hendak dijawab di hadapan ALlah.

Lihatlah orang yang kaya di Malaysia ini seperti Syed Mokthar Bukhary dan Mohammad Ali Hassan (Al Ikhsan Sport) – adakah dengan tiba-tiba mereka menjadi kaya tanpa usaha berpenat lelah?

Wahai sahabatku : Dari Abu AbduLLah al Nu’man bin Basyir r.anhuma katanya : Aku dengar RasuluLLah s.a.w bersabda : Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran JATUHLAH IA KE DALAM YANG HARAM seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternaknya) di dalamnya.
Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan, Ketahuilah! Bahawa larangan ALlah ialah segala yang haramnya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya.

Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. – Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
- Rujukan matan al arba’in li Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Sharif al Nawawi (Imam An Nawawi)

Selasa, 1 Mei 2012

Setiap degupan ingat Allah..Allah..Allah

Setiap degupan ingat Allah..Allah..Allah

Kata Mutiara Pengorbanan

Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain.

Sesungguhnya pengorbanan itu bermaksud, usaha seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada penciptanya melalui amal perbuatannya yang ikhlas.

Jujur adalah sebuah pengorbanan yang tidak hanya membuat diri kita terhormat di mata orang lain tetapi lebih utama lagi, terhormat di sisi Allah.

Pejuang sejati boleh dilihat dari seberapa banyak pengorbanan yang diberikan.

Orang yang tidak mahu berkorban adalah orang yang menunjukkan kehinaan dirinya.

Ciri orang yang beriman adalah senantiasa rela berkorban untuk kepentingan umat.

Kesungguhan, kegigihan, keikhlasan dan pengorbanan adalah pilar-pilar cinta sejati.

Tunjukkan rasa cinta kita dengan berkorban kerana tidak ada cinta tanpa pengorbanan.

Allah membenci orang yang bersifat kikir kerana kekikiran itu akan menimbulkan kezaliman dan kedengkian.

Semakin orang itu mencintai apa yang dimilikinya semakin sulitlah dia berkorban untuk orang lain.

Jadilah manusia yang senantiasa mahu berkorban untuk sesama kerana itu menunjukkan kemuliaan akhlak.

Allah sangat mencintai orang-orang yang selalu ingin membahagiakan orang lain dengan apa yang dimilikinya.

Semakin seseorang itu banyak berkorban untuk orang lain, semakin mulialah dia di sisi Allah dan manusia.

Allah mencintai orang yang berkorban dengan harta dan jiwa untuk menegakkan kebenaran.

Allah sangat mencintai orang-orang yang berkorban untuk mendapatkan keredhaanNya, kerana itu menunjukkan cinta sejati pada Allah.