Sahabat Ilmu

Memaparkan catatan dengan label SOAL-JAWAB HAJI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SOAL-JAWAB HAJI. Papar semua catatan

Khamis, 27 Oktober 2011

Bertaqlid Dengan Mazhab Maliki Dalam Perkara Wudhu Ketika Mengerjakan Tawaf

Soalan:
Bagaimanakah cara berwudhu yang sebaik-baiknya sewaktu melakukan tawaf haji atau umrah bagi mengelakkan berulang-ulang mengambil wudhu kerana keadaan sekeliling Ka’bah yang sentiasa bersesak-sesak dan ramai? Adakah sebarang rukhshah mengenainya atau dibolehkan bertaqlid kepada mazhab lain?

Jawapan:

الحمد لله حمدا يوافى نعمه ويكافئ مزيده ، يا ربنا لك الحمد كما ينبغى لجلال وجهك وعظيم سلطانك ، اللهم صل وسلم على سيدنا ومولانا محمد وعلى آل سيدنا محمد صلاة تحيينا بها حياة طيبة ترضاها وتجعلنا بها هداة مهديين غير ضآلين ولا مضلين، وبعد

Masalah batal wudhu ketika tawaf kerana tersentuh kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah isu yang sering kali ditimbulkan oleh para jemah haji atau umrah. Perkara ini menjadi rungutan sebilangan jemaah khususnya lelaki terutama pada musim haji atau pada bulan ramadhan kerana ia sangat sukar dielakkan.

Mengikut al-qaul al-azhar dalam mazhab asy-Syafi’e bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram merupakan antara perkara-perkara yang membatalkan wudhu kedua-dua pihak sama ada yang disentuh atau yang menyentuh. Maka sebagai langkah ke arah itu orang yang tawaf hendaklah berusaha supaya tidak menyentuh orang yang boleh membatalkan wudhu, kerana menurut al-qaul al-muqabil li al-azhar wudhu orang yang menyentuh sahaja yang batal sementara orang yang disentuh itu tidak batal wudhunya.

Maka dalam permasalahan tawaf yang menyebabkan kesulitan kepada para jemaah untuk mengambil wudhu kerana kepadatan yang amat sangat di kawasan tawaf itu, maka bolehlah beramal dengan qaul yang mengatakan tidak batal wudhu orang yang disentuh sebagai jalan masyaqqah atau kesulitan kerana terpaksa mengambil wudhu berulang-ulang kali jika beramal dengan qaul yang azhar. Bahkan jika secara amalinya pendapat berkenaan itu pun susah juga untuk diamalkan, maka dalam hal ini adalah diharuskan bagi jemaah bertaqlid dengan mazhab Imam Malik yang mengatakan tidak batal jika bersentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa diiringi nafsu syahwat. Akan tetapi perlu difahami bahawa keharusan bertaqlid dengan mazhab-mazhab lain itu terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi supaya perkara yang ditaqlidkan itu sah dan boleh damalkan.

Jika seorang yang bermazhab Syafi’e bertaqlid dengan mazhab Imam Malik, maka terlebih dahulu hendaklah dia mengetahui perkara-perkara yang hendak ditaqlidkan itu. Umpamanya jika bertaqlid dalam perkara tidak membatalkan wudhu jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan, maka hendaklah dia mengetahui syarat-syarat sah wudhu dan mengamalkan perkara-perkara wajib dalam wudhu yang terdapat dalam mazhab Imam Malik seperti yang akan dihuraikan kemudian, baharulah bertaqlid dalam perkara yang tidak membatalkan wudhu iaitu dalam perkara bersentuh dengan wanita bukan mahram tanpa syahwat.

Oleh yang demikian secara terperinci dijelaskan, bagi jemaah yang hendak mengikut mazhab Maliki dalam perkara ini hendaklah dia mengambil wudhu sebagaimana cara berwudhu dalam mazhab Maliki iaitu:
1. Niat.
2. Membasuh muka.
3. Membasuh dua tangan serta dua siku.
4. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga).
5. Membasuh dua kaki serta dua buku lali.
6. Berturut-turut dengan tidak berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota wudhu yang dibasuh.
7. Menggosok atau menyental dengan tapak tangan anggota-anggota wudhu yang dibasuh.
Perlu diingat, ketika membasuh dan menyapu anggota wudhu hendaklah dilakukan berturut-turut tanpa bertangguh dari satu anggota ke satu anggota yang lain dan menggosok atau menyental dengan tapak tangan setiap anggota wudhu. Perbuatan ini menjadi tuntutan kerana termasuk di dalam fardhu atau rukun wudhu dalam mazhab Maliki.

Sementara perkara-perkara yang membatalkan wudhu dalam mazhab Maliki adalah seperti berikut:
1. Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubul (kemaluan) dan dubur, iaitu air kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah istihadhah, tahi, dan angin.
2. Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab tidur yang lena. Antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang tidur itu tidak lagi mendengar suara di sekelilingnya, mengalir air liur daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu daripada genggamannya.
3. Apabila seorang yang baligh menyentuh lawan sejenis (antara lelaki dan perempuan) dengan perasaan nikmat (syahwat). Adapun mengucup pada mulut juga membatalkan wudhu walaupun tanpa perasan nikmat.
4. Apabila seorang lelaki baligh menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya tanpa berlapik. Tetapi tidak membatalkan wudhu seorang perempuan yang menyentuh kemaluannya (farj).
5. Murtad.
6. Merasa ragu setelah berwudhu adakah masih suci atau sudah batal.

Sehubungan dengan ini kita sarankan pihak yang bertanggungjawab dalam urusan haji sewajarnyalah menyampaikan maklumat di atas kepada jemaah haji supaya pengetahuan jemaah tentang bertaqlid dengan mazhab lain dalam masalah wudhu ketika tawaf akan lebih jelas dan sempurna dilakukan mengikut sebagaimana yang dikehendaki dalam mazhab berkenaan. Dengan demikian tidaklah bertaqlid dalam perkara wudhu itu dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang betul.

والله أعلم بالصواب

Bahasa Asal: Melayu
Negara Asal: Brunei
Tahun: 2004
Pengarang: Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid
Rujukan: Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Nota: Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam 2004

Hukum berkaitan bayaran dam haji dan umrah

Bersama Ustaz Zahazan Mohamaed
SAYA sudah mengerjakan umrah pada Syawal tahun lalu dan dimaklumkan tidak dikenakan dam memandangkan tidak mengerjakan haji pada tahun sama. Bagaimanapun, beberapa pendapat yang saya terima pada tahun ini menyatakan ada dikenakan dam. Soalan saya, adakah dikenakan dam terhadap umrah yang saya sudah kerjakan pada bulan haji (bermula Syawal hingga Zulhijjah)? Jika ya, bagaimanakah untuk membayar dam itu? N

TIDAK harus. Dam hanya dikenakan sekiranya anda meninggalkan sesuatu perkara yang wajib atau melanggar sesuatu larangan. Untuk menjelaskan lagi secara ringkas iaitu dam, dari sudut bahasa bererti darah. Dari sudut istilah pula ia bermaksud menyembelih binatang ternakan (seperti unta, lembu, kambing) sebagai denda kerana meninggalkan sesuatu yang wajib atau melanggar sesuatu yang dilarang dalam masa mengerjakan ibadat haji dan umrah.

Ertinya, seseorang yang melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika dalam masa berihram diwajibkan dam. Seseorang yang meninggalkan wajib haji dan umrah diwajibkan dam. Seseorang yang luput wukuf di Arafah selepas berniat ihram wajib dikenakan dam. Seseorang meninggalkan tawaf wada’ tanpa uzur syar’i wajib dikenakan dam. Seseorang yang melanggar nazar dalam masa mengerjakan haji juga dikenakan dam. Seseorang yang terhalang dalam menyempurnakan baki rukun haji atau umrah kerana sebab-sebab tertentu (ihsar), dikenakan dam.

Dam juga dikenakan sebagai syarat wajib haji apabila seseorang melaksanakan haji tamatuk atau Qiran. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Dan sempurnakan ibadat Haji dan Umrah kerana Allah SWT. Maka sekiranya kamu dikepung (iaitu ihsar dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah di dapati. Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.

Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau ada sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah iaitu berpuasa atau bersedekah atau menyembelih dam.

Kemudian apabila kamu kembali aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih dam yang mudah didapati.

Kalau ia tidak dapat (mengadakan dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan ibadat haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing) yang semuanya itu 10 hari yang sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjidil Haram (Makkah). Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah SWT. Dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan siksa-Nya (terhadap orang yang melanggar perintah-Nya).”

Dam terbahagi kepada empat iaitu:

# Dam tertib dan taqdir.

Maksud tertib iaitu melakukan satu dam yang ditetapkan jika tidak mampu, lakukan dam berikutnya yang ditetapkan. Manakala taqdir pula iaitu kadar dam yang telah ditetapkan oleh syarak. Contohnya, seseorang yang mengerjakan haji Tamatttu’ atau Qiran, hendaklah ia melaksanakan dam iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu hendaklah berpuasa 10 hari (iaitu 3 hari di masa haji dan 7 hari apabila ia pulang ke tempatnya), sekiranya tidak mampu juga disebabkan tua, hendaklah dikeluarkan satu cupak tiap-tiap satu hari (sebanyak 10 cupak).

# Dam tertib dan ta’dil.

Maksud ta’dil apabila seseorang tidak berkuasa mengeluarkan makanan, hendaklah ia ganti dengan berpuasa. Contohnya, seseorang yang melakukan persetubuhan, maka si suami dikenakan dam iaitu menyembelih seekor unta, jika tidak mampu hendaklah ia menyembelih seekor lembu, jika tidak mampu hendaklah digantikan dengan tujuh ekor kambing. Jika tidak mampu hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor unta dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Haram. Jika tidak mampu, hendaklah ia berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor unta.

# Dam takhyir dan Taqdir

Maksudnya ketetapan kepada barang yang boleh diganti. Contohnya seseorang yang memakai pakaian yang dilarang dalam ihram atau memotong kuku, maka dam yang dikenakan menyembelih seekor kibas (atau kambing atau 1/7 unta). Sekiranya tidak mampu, bersedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak 2 cupak makanan tiap-tiap seorang. Sekiranya tidak mampu, berpuasa tiga hari.

# Dam dan Ta’dil.

Takhyir ertinya boleh memilih satu daripada perkara-perkara yang ditetapkan. Contohnya, memburu binatang yang halal dimakan atau mencabut pokok. Dam yang dikenakan iaitu menyembelih binatang mengikut binatang yang diburu. Jika rusa, bandingannya ialah lembu, jika kijang, bandingannya ialah kambing dan seumpamanya.

Jika tidak mampu, hendaklah membeli makanan dengan nilai harga binatang sebagai bandingan dan dibahagikan kepada fakir miskin di Makkah. Sekiranya tidak mampu hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan harga nilainya iaitu satu cupak satu hari. Wallahua’lam

darululumonline.wordpress.com/

TAWAF DAN PERMASALAHANNYA

Oleh Tengku Aziz Raja Abdullah

Tawaf adalah amalan yang sangat penting dalam ibadat haji dan umrah. Ia merupakan rukun yang perlu dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

Jika tidak sempurna maka tidak sah tawaf sama ada tawaf haji atau umrah.

Jenis-Jenis Tawaf

Tawaf Rukun

Tawaf yang dilakukan untuk menyempurnakan rukun-rukun haji ataupun rukun umrah. Ada juga dikenali sebagai tawaf haji dan tawaf umrah.

Tawaf Qudum

Iaitu tawaf bagi jemaah yang masuk ke Mekah dan juga dikenali sebagai tawaf selamat datang. Ini adalah sebagai penghormatan kepada Tanah Haram iaitu dengan melakukan tawaf qudum. Tawaf qudum adalah sunat. Bagi jemaah yang masuk dengan melakukan umrah, tawaf umrah akan terjadi serentak dengan tawaf qudum.

Tawaf Sunat

Tawaf yang dilakukan bila-bila masa yang sesuai. Tawaf ini dikenali dengan tawaf sunat. Jika dilakukan dapat pahala, jika tidak dilakukan tidak mendapat pahala.

Tawaf ini dimulai dengan niat: “Sahaja aku melakukan tawaf sunat tujuh keliling di Baitullah Haram kerana Allah SWT”. Tawaflah menurut syarat-syaratnya.

Tawaf nazar

Tawaf nazar ini dilakukan sekiranya jemaah atau seseorang itu bernazar untuk melakukan tawaf. Maka tidak dapat tidak mestilah sempurnakan nazar tersebut.

Contohnya: “Saya bernazar kalau dapat anak, saya ingin tawaf tujuh kali”. Ia mesti laksana nazar tersebut dengan tujuh kali tawaf.

Tawaf tahiyatu al-bait

Tawaf ini bagi memberi penghormatan kepada Baitullah. Apabila jemaah masuk ke dalam Masjid Haram, disunatkan tawaf tahiyatu al-bait. Sekiranya tidak ada kesempatan masa boleh melakukan solat tahiyatul masjid.

Kesuntukan masa disebabkan waktu solat atau kesesakan semasa tawaf.

Tawaf tahallul
Tawaf yang dilakukan oleh seseorang jemaah yang melaksanakan haji.

Contohnya hajinya terbatal disebabkan oleh sesuatu (seperti jimak sebelum tahallul awal) mereka perlu juga tawaf. Tawaf inilah yang dikatakan tawaf tahallul.

Tawaf wada’
Tawaf yang dilakukan oleh jemaah sebelum mereka meninggalkan Mekah. Tawaf ini wajib dilakukan oleh setiap orang kecuali bagi mereka yang dikategorikan uzur/dikecualikan seperti di bawah :-

* Wanita yang datang haid/nifas atau istihadah.

* Kencing yang sentiasa keluar tak henti.

* Orang yang luka darah tidak terhenti keluar.

* Dipaksa meninggalkan tawaf.

* Takut kepada orang zalim.

* Takut ditinggal teman sepemergian.

* Takut kepada peminta hutang kerana tidak upaya.

Uruf (tempoh masa kebiasaan yang boleh menunggu kenderaan untuk meninggalkan Mekah selepas tawaf wada’) adalah di antara tiga ke empat jam.

Perkara-perkara yang boleh dibuat selepas tawaf wada’

l Makan/minum sekadar keperluan.

* Qada’ hajat dalam tandas bilik penginapan.

* Mengambil beg/barang yang diletak dalam bilik penginapan.

* Mencari keluarga yang hilang.

* Mencari harta yang hilang.

* Melawat atau membawa seorang yang sakit ke hospital.

* Membeli keperluan makanan/minuman sekadar keperluan perjalanan sahaja.

Mereka juga dikehendaki melakukan tawaf wada’ apabila keluar Mekah melebihi dua marhalah (93 kilometer), atau meninggalkan kota Mekah untuk balik ke kampung dan menetap di sana walaupun kurang dua marhalah kena juga tawaf wada’.
http://darululumonline.wordpress.com/2010/10/31/tawaf-dan-permasalahan/

Persoalan wuduk di Tanah Suci

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

DALAM menuju ke Kota Suci Mekah dan melaksanakan ibadat haji, pelbagai permasalahan timbul dari sekecil-sekecil perkara sehingga sebesar-besarnya.

Bermula daripada berniat untuk menuju ke Mekah, bertaubat dan bermusafir hingga kepada selesainya acara ibadat haji seperti tawaf wada’, ziarah Rasulullah SAW dan berangkat pulang juga dibahaskan oleh para ulama sama ada daripada segi adab, rukun, tertib, wajib dan lain-lain lagi.

Antara ulama yang terkenal dalam membahaskan hal ini ialah Imam al-Nawawi melalui kitabnya, al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah.

Perbincangan pada kali ini akan dinyatakan secara ringkas memandangkan ruang yang terbatas dan terhad ini.

Wuduk

Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah. Menurut bahasa, ia bererti elok dan berseri, manakala dalam syarak pula adalah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat.

Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. Perkataan wadhu’ pula ialah nama air yang digunakan untuk berwuduk.

Berkenaan permasalahan wuduk, isunya adalah bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi, adakah ia membatalkan wuduk atau sebaliknya?

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi telah menyebut di dalam kitabnya yang masyhur.

Justeru, sayugia bagi lelaki jangan melalui tempat yang sesak ini. Begitu juga bagi wanita jangan bersesakan di tempat lelaki kerana dibimbangi batal wuduk. Jika salah seorang bersentuh kulit seseorang yang lain, hukumnya batal wuduk yang menyentuh, dan yang kena sentuh ada dua pendapat menurut Imam al-Syafie:

Pendapat pertama: Bahawa hukumnya batal wuduknya. Inilah yang dinaskan dalam kebanyakan kitabnya.

Pendapat kedua: Tidak batal wuduknya. Inilah yang dipilih oleh jemaah yang sedikit daripada ashabnya. Sedangkan pendapat yang terpilih batal iaitu pendapat pertama.

Isu batal wuduk adalah bersentuhan antara lelaki dan perempuan dibahaskan oleh ulama dengan panjang lebar sejak dahulu lagi.

Muzakarah Haji oleh Tabung Haji memutuskan bahawa sekiranya di Mekah pada musim haji ketika tawaf atau berada dalam Masjid al-Haram tidak batal wuduk bersentuh antara lelaki dan perempuan yang ajnabi kerana darurat dan sukar untuk memelihara wuduknya.

Tayamum

Tayamum daripada segi bahasa bererti tujuan, sementara menurut syarak pula adalah menyapu debu tanah yang suci kemuka dan dua tangan dengan niat dan cara yang tertentu.

Imam al-Nawawi berkata: Tidak sah tayamum untuk menunaikan fardu solat kecuali selepas masuk waktu solat. Begitu juga solat sunat rawatib mengikut pendapat yang asah. Dan tidak boleh solat untuk satu tayamum lebih daripada satu fardu solat sahaja. Tetapi dia boleh solat sunat seberapa banyak yang dia mahu sebelum solat fardu atau selepasnya, sama ada dalam waktu atau luarnya.

Apabila seseorang solat dengan tayamum kerana ketiadaan air yang wajib digunakannya, maka tidaklah wajib baginya mengulang solat sama ada musafirnya itu lama atau sekejap.

Jika dia mendapati air selepas solat di mana waktu masih ada atau dalam solat, maka sah solatnya tanpa perlu mengulang.

Jika dia tidak mendapati air atau debu tanah, hendaklah dia solat mengikut keadaan fardu yang satu sahaja. Kemudian dia wajib mengulang solat dengan air atau debu tanah.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut antara sebab yang membolehkan tayamum adalah:

Terhalang daripada menggunakan air sama ada halangan yang nyata, seperti ada air di tempat yang berhampiran tetapi tidak jauh dari situ pula ada musuh yang ditakuti. Ataupun ada halangan syarak, iaitu seperti takut menggunakan air kerana bimbang terkena penyakit dan melambatkan proses penyembuhan.

Dalam keadaan yang demikian, dia bolehlah bertayamum dan tidak wajib menggunakan air. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW tentang seorang yang mendapat luka di kepala dan meninggal dunia selepas dia mandi.
http://darululumonline.wordpress.com/2010/10/30/persoalan-wuduk-di-tanah-suci/