Sahabat Ilmu

Memaparkan catatan dengan label DOA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DOA. Papar semua catatan

Isnin, 5 November 2012

Adab Masuk Keluar Rumah

Doa keluar Rumah
 
بِاللَّه ‎اللَّهِ ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ ، وَلا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلاَّ‎ ‎‎ ‎بِسْمِ‎
‎
"Bismilaahi tawakkaltu 'alallahi wa laa hawla wa laa quwwata ‎illaa billaahi" ‎

Ertinya : ‎
Dengan nama Allah, aku menyerahkan diriku pada ‎Allah dan tidak ada ‎daya dan kekuatan selain dengan Allah ‎saja ‎


Doa sebelum memasuki rumah

بِسْمِ الله وَلَجْنَا ، وَ بِسْمِ الله خَرَجْنَا وَعَلَى رَبِّنَا تَوَكَلْنَا

‎"Bismillahi walajnaa wa bismillahi kharajnaa wa-ala ‎rabbina tawakkalnaa"‎

Ertinya :‎
Dengan nama Allah kami masuk rumah, dengan nama Allah ‎aku keluar rumah, ‎serta kepada-Nya aku berserah diri

Khamis, 24 Mei 2012

Ya Allah, aku tidak kisah......

Assalamualaikum w.b.t.

Ketika berjalan-jalan di internet hari ini. Aku terjumpa video Dr. Mohd Asri yang sangat menyentuh hati. Beliau membacakan doa yang dibaca oleh nabi s.a.w selepas orang Thaif menolak dakwah baginda s.a.w. Sungguh doa itu menunjukkan tawakkal dan redha yang sangat hebat. Meletakkan kebergantungan kepada Allah semata-mata.
 

عن عبد الله بن جعفر قال : لما توفي أبو طالب خرج النبي - صلى الله عليه وسلم - إلى الطائف ماشيا على قدميه ، يدعوهم إلى الإسلام ، فلم يجيبوه ، فانصرف فأتى ظل شجرة فصلى ركعتين ثم قال

‘Abdullah bin Ja’far berkata: Apabila meninggalnya Abu Talib, nabi s.a.w keluar menuju ke Thaif dengan berjalan kaki. Baginda s.a.w menyeru penduduk di sana untuk memeluk Islam, akan tetapi penduduk di sana tidak menerima dakwah nabi s.a.w. Lalu nabi s.a.w pun beredar sehinggalah tiba di sebatang pokok. Baginda s.a.w mendirikan solat dua rakaat kemudian berdoa:

" اللهم إني أشكو إليك ضعف قوتي ، وهواني على الناس ، أرحم الراحمين أنت ، أرحم الراحمين إلى من تكلني إلى عدو يتجهمني ؟ أم إلى قريب ملكته أمري ؟ إن لم تكن غضبان علي فلا أبالي ، غير أن عافيتك أوسع لي ، أعوذ بوجهك الذي أشرقت له الظلمات ، وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة ، أن ينزل بي غضبك أو يحل بي سخطك ، لك العتبى حتى ترضى ، ولا حول ولا قوة إلا بالله

Ya Allah, sesungguhnya aku mengadu kepadaMu, betapa lemahnya kekuatanku, betapa hinanya aku di mata manusia. Engkau Maha Pengasih dan Penyayang. Yang Maha Pengasih dan Penyayang,kepada siapapun Engkau serahkan diriku ini, sama ada kepada musuh yang akan mengancam diriku, atau kepada sahabat yang akan menjaga urusanku? Selagi mana Engkau tidak Marah kepada ku. Aku tak kisah. Akan tetapi, kesejahteraan yang Engkau kurniakan melegakan aku.

Aku berlindung dengan WajahMu, yang menyinari kegelapan, yang memperbaiki urusan dunia dan akhirat, daripada turunnya murkaMu ke atas diriku, atau kebencianMu menimpaku. Hanya milikMu keredhaan sehingga Engkau meredhai. Tiada usaha dan kekuatan kecuali denganMu.

[Majma’ az-Zawaid: 9851, Imam al-Haithami berkata: Diriwayatkan oleh at-Thabrani. Pada riwayat ini terdapat Ibn Ishak, beliau seorang mudallis yang thiqah. Perawi yang lain kesemuanya thiqah]

Khamis, 10 Mei 2012

Murah Hati Yang Mahal


Abah singgah solat di sebuah surau.Selesai solat seorang budak menghampiri abah. Sebuah tabung derma dihulurnya. Raut wajah dan gaya pakaian budak itu meyakinkan abah bahawa dia adalah anak yatim yang mewakili sekolahnya memohon sumbangan. Abah menghulurkan derma.

Di suatu sudut beranda surau kelihatan seorang pakcik penarik beca sedang berehat melepaskan penat.

Budak itu lalu menghampiri pakcik itu dan menghulurkan tabung derma kepadanya.

Pakcik penarik beca menyeluk saku seluarnya yang lusuh. Sekeping note berwarna merah sepuluh ringgit dikeluarkan lalu dimasukkan ke dalam tabung derma tersebut.

Budak itu mengucapkan terima kasih seraya berpaling untuk pergi. Tetapi pakcik itu memberi isyarat supaya menunggu. Pakcik menyeluk poket seluarnya yang sebelah lagi.

Dia mengeluarkan beberapa note kertas berwarna biru dan hijau lalu dimasukkan kesemuanya ke dalam poket baju melayu budak itu.

“Ini hok mu buat beli makanan.”

Abah kemudian menghampiri pakcik itu, sambil bertanya, “Berapo pendapatan pakcik sehari?”

Dia berkata, “Tak tentu! Kade-kade ado, kade-kade tak dok.”

Tanya abah lagi, “Bakpo pakcik sedekah semua duit pakcik kepada budak itu?”

Jawabnya, “Budak tu anak yatim. Berjalan kaki jauh, lapar. Pakcik tak pe, ada beca, boleh kayuh lagi.”

Subhanallah... Dia jauh lebih murah hati daripada abah.

Abah mula berasa sebak.

“Kalu gitu mari ikut ambo pergi makan.” sambil abah memegang tangannya.

“Hari ni pakcik posa.” jawabnya perlahan.

Abah tidak mampu bersuara lagi..

Nota: Murah hati yang mahal nilainya ialah apabila sanggup menyumbang harta kepada orang yang memerlukan, sedangkan dia sendiri memerlukannya. Berbeza daripada murah hati yang sanggup menyumbang harta sama ada kepada orang yang memerlukan, dalam keadaan dia sendiri tidak memerlukannya..

Kelebihan orang yang murah hati..
1. Pemiliknya akan mendapat kasih sayang dan redha Allah SWT.

2. Bukti kesempurnaan akal, lapang dada dan besar jiwanya.

3. Akan mendapat pertolongan malaikat.

4. Semua manusia akan terdetik hatinya untuk membantu dan bergabung dengan pemilik sifat ini.

5. Seseorang yang berusaha menanamkan sifat ini dengan cara membiasakan dan memupuknya akan mendapat pahala yang besar dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

6. Ia adalah salah satu sifat Allah SWT dan para wali-Nya.

7. Ia dapat menyatukan hati dan menebarkan kasih sayang antara manusia.

8. Melenyapkan kebencian, kedengkian dan dapat meluluhkan hati.

SUBHANALLAH ! ♥

Rabu, 9 Mei 2012

Restu Ibu Imam Syafie

Sejak kecil, Imam Syafie telah hafal al-Quran dan banyak hadis. Jika mendengar ada guru datang mengajar, dia segera pergi bagi menimba ilmu. Ketika berusia 14 tahun, Imam Syafie menyatakan hasrat kepada ibunya tentang keinginannya untuk merantau bagi menambahkan ilmu.

Pada mulanya, ibunya merasa berat untuk melepaskan kerana Syafie adalah satu-satunya harapan ibunya untuk menjaganya di hari tua. Demi ketaatan dan kasih sayang Syafi'e kepada ibunya, dia membatalkan keinginannya itu. Akhirnya ibunya mengizinkan Syafi’e merantau bagi menambah ilmu pengetahuan.

Sebelumnya melepaskan anaknya, maka ibunya berdoa, “Ya Allah Tuhan yang menguasai seluruh Alam! Anakku ini akan meninggalkan aku untuk berjalan jauh, menuju keredhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut pengetahuan peninggalan PesuruhMu. Oleh kerana itu aku bermohon kepadaMu, ya Allah agar dipermudahkan urusannya. Peliharakanlah keselamatannya, panjangkanlah umurnya agar aku dapat melihat kepulangannya nanti dengan dada yang penuh dengan ilmu yang berguna. Amin!”
Selesainya berdoa ibunya memeluk Syafie yang kecil dengan penuh kasih sayang dan dengan linangan air mata kerana sedih untuk berpisah.

“Pergilah anakku. Allah bersamamu! Insya-Allah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan dikemudian hari. Pergilah sekarang kerana ibu telah redha melepaskanmu. Ingatlah bahwa Allah itulah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan.”

Selepas ibunya berdoakan, Syafi'e mencium tangan ibunya dan mengucapkan selamat tinggal. Dia meninggalkan ibu yang sangat dikasihinya dengan hati yang pilu dan mengharapkan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraannya dalam menuntut ilmu. Juga di doakan dengan doa perlindungan daripada Surah Yusuf ayat 64:

Oleh kerana kehidupannya yang sangat miskin, maka Syafi'e berangkat dengan tidak membawa bekalan wang, kecuali dengan berbekalkan doa ibunya dan cita-cita yang teguh untuk menambah ilmu sambil bertawakkal kepada Allah.

Ketika mengingati kisah ini, Imam Syafie berkata, “Sesekali aku menoleh kebelakang untuk melambaikan tangan kepada ibuku. Dia masih berada perkarangan rumah sambil memperhatikan aku. Lama-kelamaan wajah ibu menjadi samar ditelan kabus pagi. Aku meninggalkan kota Makkah yang penuh barakah tanpa membawa sedikit pun bekalan wang. Apa yang menjadi bekalan bagi diriku hanyalah Iman yang teguh dan hati yang penuh tawakkal kepada Allah serta doa restu ibuku sahaja. Aku serahkan diriku kepada Allah seru sekalian Alam.”

Isnin, 7 Mei 2012

Kata-kata orang soleh itu...

Memang payah untuk membetulkan persepsi yang salah. Sebab ramai manusia hanya menggunakan citarasa diri sendiri sebagai neraca. Bukan Kalam suci dan panduan insan terpuji.Oleh kerana sudah terdidik sejak kecil dengan kepalsuan maka yang benar dan bathil tidak dapat dibezakan. Maka yang baik itu disangka buruk dan yang buruk disangka membawa kebahagiaan hidupnya.

Oleh itu kata-kata orang-orang soleh mengenai kehidupan dunia ini adalah pengikat nafsu berkesan dan penyembuh citarasa yang sudah rosak.

Ada sepotong kek terbiar di salah satu sudut rumah. Di kejauhan dari tempat itu ada 2 ekor anak tikus sedang berbalah : 

Tikus putih : awak nampak tidak kek itu? 

Tikus Kelabu : ya saya nampak. Tapi warnanya tidak cantik. 

Tikus putih : Tapi kan baunya enak sekali. Pedulikan warnanya. Rasanya pasti lazat. 

Tikus Kelabu : hmm kalau sudah pudar warna pasti rasanya pun sudah masam. 

Tikus putih : Aku yakin masih sedap lagi. Kalau tidak pasti tuan rumah sudah buang ke bakul sampah. 

Tikus Kelabu : mungkin juga kan… 

Si ayah tikus yang dari tadi mendengar perbualan anak-anaknya mencelah : 

Ayah tikus : Apa yang kamu riuhkan wahai anak-anakku? 

Tikus putih : kek sana tu ayah. 

Ayah tikus : Cuba kamu pandang betul-betul apa kamu nampak. 

Tikus Kelabu : tak ada-apa yang aneh. Hanya sepotong kek. 

Ayah tikus : tengok dengan pandangan cermat. 

Tikus putih : Kek lah ayah.. apa yang peliknya. 

Ayah tikus : kamu hanya fikirkan nak makan kek saja. Sedangkan sebelah kek itu ada perangkap. Wahai anak-anakku.. kalau kamu mahu selamat mintalah nasihat dari yang berpandangan jauh dan tiada kepentingan diri. Jika kamu salah penilaian kamu akan binasa kelak

-ust fuad osman-

Ahad, 6 Mei 2012

CELAAN PEMBAKAR SEMANGAT

KISAH YANG DISAMPAIKAN DALAM KULIAH MAGHRIB DI SURAU NURUL IMAN CEMPERAISARI SEBENTAR TADI (6/5/2012)

Diceritakan di dalam Kitab Lathaif al-Minan Wal Akhlak karya Imam Abdul Wahab asy-Sya'rani (seorang ulama' Mesir yg lahir pd 898H dan wafat pd 973H. Beliau sempat berjumpa dgn Imam ahli Hadis Mesir antaranya Jalaluddin as-Suyuthi&bljr dgn ulama' terkenal Syeikh Zakaria al-Anshari, Nashiruddin al-Laqani, Syihabuddin ar-Ramli dan ramai lagi) menukil daripada Imam Taqiyuddin as-Subki yang bercerita tentang kisah ABU ALI IBNU SINA, seorang tokoh falsafah Islam yg sangat pandai dan genius.

Suatu hari, ada seseorang mencela Ibnu Sina kerana beliau tidak haafaz al-Quran. Setelah mendengar celaan itu, Ibnu Sina pun menjadi sangat malu dan marah. Lalu beliau terdorong untuk menghafaz seluruh al-Quran, dan beliau melakukannya HANYA DALAM SATU MALAM! Padahal sebelum itu, beliau hanya menghafal surah al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas sahaja.

Kisah ini sangat mengagumkan, bahkan terlalu luar biasa sehingga sukar dipercayai. Allah yang lebih tahu kesahihan cerita ini.

#Teladan: Jadikan celaan sebagai pembakar semangat. Celaan memang pahit namun ia mengandungi ubat yang akan merubah hidup kita menjadi lebih sempurna. Syaratnya, kita mesti pandai merubah celaan itu menjadi pembakar semangat, seperti yang dilakukan tokoh2 yg berjiwa besar#

Rabu, 2 Mei 2012

Apa Yang Kita Sibukkan…?


“Saya sibuk sekarang ni”. Saya tak ada masa”. Banyak kerja yang perlu saya siapkan”.

Itulah jawapan yang selalu kita dengar bila kita ingin minta bantuan dari kawan-kawan…. lebih-lebih lagi ketika kita ingin mengajak rakan kita kepada program-program yang berkaitan dengan Islam. Benarkah semua orang sibuk atau buat-buat sibuk?

Saya yakin memang semua orang sibuk, cuma persoalannya apa yang mereka sibukkan. Kata Imam Al Ghazali “rugilah mereka yang sibuk tetapi segala kesibukan mereka hanya untuk dunia sahaja”. Bagaimana pula dengan kita… apa yang kita sibukkan, adakah kita sibuk menyiapkan bekalan untuk hari pertemuan dengan Allah SWT atau sebaliknya sibuk dengan kenikmatan dunia hingga menyebabkan hati kita terlalu keras untuk mendengar peringatan atau nasihat? Berapa peratuskah kesibukan kita untuk Akhirat?

Mahukah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi sepertimana dimaksudkan oleh Imam Al Ghazali. Dalam satu surah Allah SWT berfirman yang maksudnya “Sesungguhnya orang-orang yang rugi itu adalah orang yang merugikan diri mereka dan ahli keluarga mereka di Hari Qiamat. Itulah ‘kerugian’ yang sebenarnya”.

Sekiranya kita tidak fikirkan sekarang, kita akan menyesal pada hari pertemuan kita dengan Allah SWT, hari dimana akan dibentangkan kitab amalan kita….`ada yang akan menerima kitabnya dari sebelah kanan, ada yang akan terima dari sebelah kirinya dan ada pula yang akan menerima kitab amalannya dari belakang… bagaimana pula yang kita harapkan. Dalam surah al Kahfi Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan dibentangkan kitab (Kitab amalan kita yang selama ini dicatat dengan begitu rapi oleh malaikat yang menjaga di kiri dan kanan kita), kamu akan dapati orang-orang yang berdosa itu gementar ketakutan melihat apa yang ada di dalamnya, dan mereka berkata… celakalah kami, kitab apakah ini, tidak tinggal olehnya perkara kecil atau perkara besar melainkan semuanya dihitung, dan mereka dapati apa saja yang mereka kerjakan (di dunia) hadir/nampak di hadapan mereka”

Saat-saat beginikah baru kita nak muhasabah diri dan menyesali bahawa kesibukan diri kita selama ini hampir semuanya untuk dunia semata-mata. Apakah nilainya penyesalan kita pada masa itu? Sememangnya ramai yang menyesali perbuatan mereka pada masa itu dan minta supaya dikembalikan ke dunia untuk mereka beramal soleh….. tetapi kebanyakan permintaan ini Allah jawab dengan sindiran, kerana penyesalan ketika itu tidak bermakna lagi, seperti yang Allah rakamkan dalam surah As Sajdah (ayat 12)

“Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabb mereka, mereka berkata…. Ya Rabb kami, Kami dah nampak dah, kami dah dengar… kembalikanlah kami (ke dunia), kami nak buat amal soleh, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang yakin”

Apakah nilainya penyesalan kita pada ketika itu… setelah jatuhnya ketetapan Allah ke atas diri kita. Sekaranglah masanya untuk kita renungkan masa-masa yang kita lalui, setakat manakah ianya benar-benar bermanfaat untuk Akhirat kita dan berhati-hatilah dengan tipu daya dan belitan syaitan, kerana tipu dayanya terlalu halus.

Kita Dipandang kerana duit, Kita dihina kerana duit.

Posted by toyu


Benar bukan, apabila kocek penuh ada manusia menghampiri kita?. Kegembiraan dikongsi bersama. Malah apa sahaja yang kita percakapkan pasti akan dianggukkan jarang sekali ada salahnya. Diri kita bagaikan lauk yang dihurung oleh orang kiri dan kanan.

Duit, wang, money (apa sahaja yang dipanggil nilaian wang) di zaman mutakhir ini menjadi satu keperluan yang amat dirisaukan di dalam diri kita. Hari ini barang itu naik harganya, tepung, gula, minyak. Lalu masing-masing akan memikirkan bagaimana cara untuk mendapatkan duit.

Bermacam caralah yang akan dibuat untuk memperolehi wang samada dengan cara yang halal atau haram. Ada yang menggunakan kaedah MLM,ada yang mengikuti pertandingan sms, ada juga yang mengadakan cara yang kononnya islamik dengan mengadakan konsep bersedekah (padahal ia sama sahaja dengan sikap malas berusaha). Lalu digunakan segala macam dalil dan hujjah untuk menghalalkan perbuatan tersebut.

Dijaja ustaz dan ustazah itu sudah menceburi kaedah ini, jangan sangsi! Perniagaan ini halal!. Rupa-rupanya yang menentukan halal dan haram adalah dengan keberadaan ustaz dan ustazah di dalam sesuatu perniagaan. Yang menentukan halal dan haram adalah dengan meletakkan ayat – tolong menolong antara sesama Islam, tentang kelebihan bersedekah.

Lihat sahaja di masjid dan surau yang diletakkan risalah-risalah seperti ini. Modalnya adalah beberapa ringgit. Diletakkan pelbagai testimoni orang ini sudah mendapatkan duit dalam sehari tanpa perlu bekerja, terima kasih! Orang itu sudah dapat menyelesaikan hutangnya, dan kini sudah ada kenderaan baru dan mewah, alhamduliLlah! – Orang yang tidak berfikir panjang akan mengatakan “kenapa tak boleh?, kita mesti cuba. Alahhh.. berapa ringgit sangatlah hendak dilabur, tak rugi!”. Akhirnya dalam tidak rugi katanya itu, yang mendapatkan duit atas angin tanpa usaha siapa? Akhirnya yang ditipu bulat-bulat siapa? Siapa panel syari’ahnya?

Aku memikirkan – perkara duit bukanlah perkara kecil anak, ia digunakan untuk membeli barangan, untuk membeli makanan. Dari situ secara tidak langsung ada hubungannya dengan manusia dan ALlah. Aku teringat hadith yang mafhumnya ‘daging yang tumbuh dari sumber yang haram layak untuk api neraka’. Biarlah aku berusaha bersungguh-sungguh dengan caraku. Tiada daya melainkan untuk mendapatkan rezeki yang halal itu memang payah, untuk mendapatkan yang barokah itu susah. Biar tidak senang agar tidak pula banyak yang hendak dijawab di hadapan ALlah.

Lihatlah orang yang kaya di Malaysia ini seperti Syed Mokthar Bukhary dan Mohammad Ali Hassan (Al Ikhsan Sport) – adakah dengan tiba-tiba mereka menjadi kaya tanpa usaha berpenat lelah?

Wahai sahabatku : Dari Abu AbduLLah al Nu’man bin Basyir r.anhuma katanya : Aku dengar RasuluLLah s.a.w bersabda : Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran JATUHLAH IA KE DALAM YANG HARAM seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternaknya) di dalamnya.
Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan, Ketahuilah! Bahawa larangan ALlah ialah segala yang haramnya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya.

Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. – Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
- Rujukan matan al arba’in li Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Sharif al Nawawi (Imam An Nawawi)

Selasa, 1 Mei 2012

Setiap degupan ingat Allah..Allah..Allah

Setiap degupan ingat Allah..Allah..Allah

Kata Mutiara Pengorbanan

Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain.

Sesungguhnya pengorbanan itu bermaksud, usaha seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada penciptanya melalui amal perbuatannya yang ikhlas.

Jujur adalah sebuah pengorbanan yang tidak hanya membuat diri kita terhormat di mata orang lain tetapi lebih utama lagi, terhormat di sisi Allah.

Pejuang sejati boleh dilihat dari seberapa banyak pengorbanan yang diberikan.

Orang yang tidak mahu berkorban adalah orang yang menunjukkan kehinaan dirinya.

Ciri orang yang beriman adalah senantiasa rela berkorban untuk kepentingan umat.

Kesungguhan, kegigihan, keikhlasan dan pengorbanan adalah pilar-pilar cinta sejati.

Tunjukkan rasa cinta kita dengan berkorban kerana tidak ada cinta tanpa pengorbanan.

Allah membenci orang yang bersifat kikir kerana kekikiran itu akan menimbulkan kezaliman dan kedengkian.

Semakin orang itu mencintai apa yang dimilikinya semakin sulitlah dia berkorban untuk orang lain.

Jadilah manusia yang senantiasa mahu berkorban untuk sesama kerana itu menunjukkan kemuliaan akhlak.

Allah sangat mencintai orang-orang yang selalu ingin membahagiakan orang lain dengan apa yang dimilikinya.

Semakin seseorang itu banyak berkorban untuk orang lain, semakin mulialah dia di sisi Allah dan manusia.

Allah mencintai orang yang berkorban dengan harta dan jiwa untuk menegakkan kebenaran.

Allah sangat mencintai orang-orang yang berkorban untuk mendapatkan keredhaanNya, kerana itu menunjukkan cinta sejati pada Allah.

Terdahulu memberi salam

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang yang paling hampir disisi Allah ialah mereka yang terlebih dahulu memberi salam (diantara mereka) – Hadith riwayat Abu Daud

Dari Abdullah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasululllah s.a.w bersabda: Orang yang terlebih dahulu memberi salam akan terhindar dari sifat takabbur. – Hadith riwayat Baihaqi

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai. -Hadith riwayat Bukhari

Kata Imam Ghazali rah.a…

Dalam Al-Ihya menulis: Dalam diri manusia terdapat 4 sifat:

1. Sabiyah (kebuasan)
2. Bahimiyah (kebinatangan)
3. Syaithaniyah (kesyaitanan)
4. Rabbaniyah (ketuhanan)

Jika sifat rabbaniyahnya berhasil mengalahkan dan mengendalikan ketiga sifat yang lain, maka akan timbul sifat-sifat yang baik seperti:
1. menjaga kehormatan diri (iffah)
2. cukup dengan apa yang ada (qanaah)
3. tenang
4. zuhud
5. wara’
6. takwa
7. malu
8. jujur
9. berani
10. dermawan
11. sabar
12. suka menolong
13. tahan menderita
14. suka memaafkan
15. teguh pendirian
16. mulia
17. pandai
18. selalu ceria (senyum)

dan sebagainya.

Kesabaran

Salah satu ciri orang-orang beriman ialah orang-orang yang saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran.

Kesabaran itu adalah bekalan orang yang terpaksa, dan kerelaan itu adalah darjat ketinggian para arif.

Syukur dan sabar merupakan sarana meningkatkan kualiti diri agar lebih berharga dalam pandangan Allah.

Setiap hari kita selalu dituntun oleh keinginan. Kalau tidak sabar, keinginan inilah yang akan menjerumuskan kita. Luruskan niat ketika datangnya keinginan.

Kita dikurniakan oleh Allah keinginan. Keinginan itulah yang menuntun sikap. Kalau tidak sabar, kita kehilangan niat. Padahal niat adalah kunci agar amal diterima.

Berhati-hatilah, nafsu akan membutakan kita dari kebenaran. Kita harus sabar untuk bertanya, benarkah niat saya ini? Betulkah tujuan saya? Mintalah petunjuk kepada Allah.

Kegagalan itu adalah ketika kita tidak sabar menghadapi sesuatu hal yang tidak sesuai dengan keinginan kita

Jangan mencaci sesama kita

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mende...ngarkan akan jawaban itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.

Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w dibelakangnya dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?

Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.

(Hadith Riwayat Ahmad)

===========

Siapa lah kita yang mahu mencaci ciptaan Allah? Sebanyak mana keburukan dan kesalahan mereka yang kita ketahui, Allah lebih mengetahui. Walaupun sebanyak buih di laut, keampunan dan kasih sayang Allah jauh lebih luas daripada itu.

Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita yang telah lalu dan marilah kita bertaubat dan bertekad tidak akan mencaci sesama kita lagi.

KEBAIKAN

Ambillah kebaikan dari orang yang mempunyai kebaikan dan tinggalkanlah keburukan yang ada pada orang yang mempunyai keburukan.

Latihlah diri kita untuk membalas dengan kebaikan kepada orang-orang yang telah berbuat keburukan kepada kita.

Belajarlah menahan diri dari selalu ingin melihat jasa dan kebaikan sendiri. Orang yang ikhlas itu bijak menyembunyikan kebaikannya sebagaimana dia menyembunyikan keburukannya.

Tidak ada sesuatu yang lebih baik daripada akal yang diperindah dengan ilmu, ilmu dengan kebenaran, kebenaran dengan kebaikan, dan kebaikan dengan taqwa.

Orang yang beriman itu mempunyai upaya untuk mengajak kepada kebaikan, mengajak kepada perkara-perkara yang akan mendekatkan kepada Allah dan melarang dari perbuatan yang tidak disukai Allah.

Sabtu, 28 April 2012

IKHLAS : CABARAN MENITI PENDAKWAH

Ramai yang berkata tentang ikhlas, ada yang mempertikaikan keikhlasan seseorang, ada pula yang mendakwa tindakannya dibuat secara ikhlas. Apa sebenarnya ikhlas? Benarkah manusia, khususnya umat Islam di dunia kini terlalu kurang keikhlasan? Ikhlaskah diri kita dalam berdakwah, berpolitik, menulis, belajar, mengajar, mendidik dan berniaga? Ini satu persoalan yang besar di sisi Islam dan keikhlasan memerlukan satu mujahadah besar. Ia tidak mudah dan hanya mampu dicapai KECUALI oleh mereka yang benar-benar telah berjaya menanggalkan kecintaan kepada semua jenis makhluk, sama ada ia adalah pangkat, pujian, harta, dianggap selebriti, wang dan kebanggaan.

Allah Taala mengingatkan (maksudnya), "Katakanlah; sesungguhnya aku diperintahkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama" - Surah Az Zumar:11

Nabi S.A.W pula bersabda (maksudnya), "Sesungguhnya Allah Taala tidak akan menerima amalan kecuali apa yang dibuat dalam keadaan ikhlas, berkeinginan kepada wajahNya" (Sahih Al Bukhari, no 97, kitab al Ilm)

Imam Abu Al Qasim Al Qusyairi, seorang ahli tasauf yang terkemuka memberikan definisi Ikhlas sebagai, "Ikhlas adalah mengesakan hak Allah Taala dalam segala amalan ketaatan dengan niat, iaitu dia melakukan amalan ketaatannya hanyalah untuk menghampirkan diri kepada Allah Taala, tiada apapun selain itu, iaitu mereka yang melakukannya kerana Makhluk, atau kerana ingin mendapat pujian mereka, serta kecintaan kepada pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain redha Allah. Boleh juga dikatakan, bahawa Ikhlas itu adalah pembersihan (niat) diri (semasa amalan) dari segala perhatian manusia". (Al Risalah Al Qusyairiah, tahqiq Abd Halim Mahmud, 1/443)

Memang mudah untuk melafazkan kata ikhlas, mudah juga untuk cuba menyakinkan diri bahawa diri ikhlas dalam perjuangan, namun untuk benar-benar memastikan hati sentiasa istiqamah ikhlas kepada Allah Taala, ia bukan satu tugas yang mudah, namun ia maha penting dan penentu masa depan kita tatkala berdepan dengan Allah Taala kelak.

Ada yang berkata, ketidakikhlasan itu boleh terlihat dek tanda-tanda dari mulut melalui cakap-cakap dan kata-katanya, dari tulisan melalui baris ayatnya, dari tindakan melalui memek wajah dan pergerakannya. Apapun, persoalan utama bukanlah ghairah dan sibuk meneliti keikhlasan orang lain serta mempertikaikannya, tetapi adalah meneliti dan memperbaiki diri sendiri.

Pendakwah melalui medan ceramah hari ini sangat tercabar, bukan kerana bimbang ditangkap kerana ketiadaan tauliah, atau dikurung di dalam akta ISA kerana sebab yang tidak munasabah, itu tidak mencabar. Tetapi yang sebenarnya, apa yang lebih mencabar adalah menjaga hati untuk ikhlas. Ada yang 'jatuh' kerana beberapa tujuan baru yang mengambil alih tempat ‘ikhlas' kerana Allah Taala iaitu :

• Keujuban di dalam diri : Ada penceramah yang merasa diri sebagai hero dan telah mencapai maqam pejuang berkorban persis Nabi Ibrahim A.S apabila mereka ditangkap, dipenjara dan didenda oleh pihak yang menghalang dakwah. Malangnya, ujian itu merosakkannya, hingga dirasakan diri terlalu hebat, lalu dinafikan ketulenan pejuang lain yang belum ditangkap sebagai amatur dan bertaraf rendah. Sama ada melalui tulisan, percakapan mahupun gerak hatinya. Lebih menyedihkan jika peristiwa halangan ini mengubah niatnya kepada untuk terus menerus dilihat gagah dan berani dalam dakwahnya. Hilang habislah tujuan Allah dari hatinya.

• Imbuhan dan bayaran : Penceramah sekali lagi digegarkan keikhlasan mereka akibat imbuhan dan bayaran. Mungkin pada mulanya ramai penceramah yang mampu berniat ikhlas kerana Allah, menyampaikan ilmu kerana menurut sunnah Rasululah S.A.W. Namun, lama kelamaan, apabila nama menaik, muncul di kaca TV, di corong radio, berteleku di hadapannya para bangsawan, menteri, jutawan dan pembesar, ikhlasnya menjadi semakin terhakis. Populariti menjadikannya semakin ‘sakit' di sisi Allah Taala. Sebarang ceramah tanpa bayaran atau tidak menepati statusnya akan ditolak mentah atau dituntut tunggakan bayaran. Jika sekadar tambang dan kos-kos biasa, mungkin ia munasabah, namun apa yang dituntut dan diminta adalah tinggi menggunung tanpa mengira status pihak yang menjemput. Ketika itu, imbuhan dan bayaran telah mengambil tempat Allah Taala dalam hatinya.

• Kecintaan kepada pujian : Penceramah juga diserang oleh rasa cinta kepada pujian manusia, segala isi ceramah cuba difikirkan apa yang sesuai dan disukai oleh pendengar, jika pendengar sukakan gelak, seribu satu macam ceritera lucu mengundang tawa akan dimainkan. Jika pendengar sukakan dalil-dalil dan kata-kata ulama dan para sahabat akan dipersembahankan. Jika pendengar sukakan ‘nota kaki' dan nama kitab, itu juga akan digariskan dan disebutkan dengan lancar lagak seorang mujtahid ulung. Benar, ada yang mampu untuk terus ikhlas, menyediakan semua itu bagi menambah keberkesanan ceramahnya, membawa manusia kepada Allah Taala, namun tidak sedikit yang ikhlasnya menjadi pudar, lalu semua itu disediakan agar dilihat, ‘Hebat', ‘Alim', ‘Pakar' ‘Bijak', ‘Best', ‘Sarjana', ‘Setaraf Tok Guru', ‘Mujtahid' dan pelbagai lagi tujuan-tujuan salah yang dimomokkan oleh hasutan nafsu setiap hari.

Pendakwah Melalui Tulisan

Ada di kalangan insan yang soleh lagi baik ini, tidak berkemampuan dalam bertutur lancar dan menawan. Namun, dianugerahi kelebihan menulis yang baik dan mengkagumkan. Lalu pendawkah ini mula mengorak langkah menulis buku-buku, membuka web sendiri dan blog, menyebar ilmu melalui tulisannya di forum-forum maya, majalah, buletin dan sebagainya. Niatnya hanyalah satu, iaitu menyebarkan ilmu bagi mendekatkan manusia kepada Allah Taala, redha Allah adalah objektif. Namun, dari semasa ke semasa, objektif unggul itu boleh sahaja menjadi pudar akibat :

• Royalti & Honorium

Hasrat dunia sekali lagi boleh menjadi penghalang bagi seseorang penulis untuk istiqamah dalam keikhlasan. Royalti dan honorium sudah mengambil tempat ‘Kerana Allah', tujuan dan objektif tertinggi yang sepatutnya ‘Akhirat' sudah berubah nama kepada ‘Dunia'. Begitupun sebenarnya keikhlasan itu boleh wujud sama ada di ketika seseorang pendakwah menerima imbuhan wang hasil penulisan atau ceramahnya, atau juga sebaliknya. Apa yang terdetik di dalam hati serta menjadi tujuan diri, itulah jawapannya sama ada kita meniatkan perkara yang kita lakukan untuk Allah atau tujuan yang lain. Jika honorium dan royalti tidak memberi kesan kepada hati dan niat asal perjuangannya, ia masih boleh mengekalkan ikhlas di sisi Allah walau menerima gunungan royalti.

Bagi individu ikhlas yang mengambil royalti, apa yang diperolehi pasti digunakan bagi menambahkan amal bakti kepada umat Islam yang kurang bernasib baik atau menjalankan tanggung jawab dan kewajiban yang tertanggung ke atas dirinya seperti menyara kehidupan keluarga, isteri dan anak-anak. Hasilnya pahala kebajikan akan berganda hasil royalti dan honorium yang diterima.

Apapun orang lain tidak perlu mengukur ikhlas orang lain, tidak perlu juga mempertikai atau mengiakan keikhlasan seseorang. Cukuplah masing-masing mengukur keikhlasan dirinya dan fikirkan tentangnya sentiasa.

• Pujian, Nama dan Selebriti

‘Aku menulis bukan kerana nama', itulah laungan lagu yang sudah sekian lama kita dengari. Pendakwah mungkin menulis di peringkat awalnya, hanya kerana Allah. Namun, ketika pujian mencurah-curah datang tanpa ditagih. Hatinya kian terganggu, bukan apa... Terganggu apabila beberapa tulisannya tidak dipuji sebagaimana sebelumnya. Tatkala itu, keikhlasannya hancur. Tempatnya diambil oleh ‘Tuhan baru' iaitu ‘pujian' dan ‘sanjungan'. Redha manusia menjadi objektif barunya kini. Semuanya kerana dia menyedari sanjungan itu akan boleh membawanya kepada mencipta nama, bukunya boleh menjadi ‘best seller' kerana peminat fanatiknya itu, wang boleh mencurah jatuh ke atas ribaan.

Ibn Mas'ud R.A meriwayatkan, ketika beliau keluar berjalan, kerap ada ramai yang mengikutnya, bagi mendapatkan ilmu darinya, lalu beliau berkata kepada khalayak yang mengikutinya, "Atas sebab apakah kamu semua mengikutiku? Demi Allah kalau kamu tahu apa yang aku lakukan dibalik pintuku yang tertutup nescaya tiada siapa yang akan mengikutiku lagi". ( Ihya Ulumiddin, Imam Al Ghazali & Tafsir Ibn Kathir, 6/343)

Justeru, maka sedarilah diri yang mudah lupa, syaitan sentiasa berusaha menghancurkan kewarasan iman kita. Ikhlas kita sering menjadi sasaran syaitan untuk dilupuskan. Bukankah ia sebuah ujian yang sukar buat para pendakwah? Ya tentunya, malah mungkin lebih sukar dari ditangkap dan di penjara jasad. Hati yang terpenjara dengan niat selain Allah adalah sebesar-besar kegagalan manusia, yang sepatutnya menjadi hamba dan khalifah Allah Taala.

• Ahli Akademik, Pangkat & Gelaran

Sebahagian pendakwah dari kalangan penulis terdiri dari golongan bijak pandai di universiti, khususnya di fakulti-fakulti yang melibatkan Islam. Mereka banyak mengkaji dan menulis hasil kajian mereka dan seterusnya disiarkan melalui buku, jurnal, pembentangan di konferens dan seminar dan sebagainya. Niat asal tidak lain tidak bukan hanya mencapai redha Allah dan mencerahkan manusia kepada jalan keredhaan Ilahi. Merungkai yang kusut, menjernih yang keruh, melurus yang bengkok dan memurnikan yang bergolak. Namun, sebagaimana pendakwah yang lain, kumpulan ini juga turut digoda dan akhirnya niat ikhlas tersasar dari landasannya. Tiada manusia yang maksum dari godaan ini kecuali Para Rasul termasuklan Baginda Nabi S.A.W.

Justeru itu, tulisannya digubah indah lagi rumit dipenuhi bahasa-bahasa akademik yang menurutnya "khas untuk pembacaan bijak pandai". Ya, itu perlu bagi menunjukkan kebijaksanaannya. Jurnal-jurnal menjadi ‘kegilaan' ahli akademik di zaman ini, begitu banyak senarai jurnal dalam catitannya, sama ada jurnal kelas tinggi, sederhana dan rendah. Akhirnya, penulisan mereka hanya menjadi bahan simpanan arkib, tetapi malangnya tidak mampu menjadi rujukan kepada masyarakat.

Pendakwah Melalui Politik, Jawatan Dan Pangkat

Ada sekumpulan pendakwah, berjuang Islam dengan gerakan dan mencari redha Allah melalui jalan politik. Di dalam hati mereka tertulis, ingin melaksanakan yang terbaik untuk mencapai maqam terbaik di sisi Allah, lalu jalan ini diambil selain jalan-jalan sampingan yang lain juga turut digunakan. Namun liciknya syaitan, dengan mudah sahaja seorang pendakwah Islam melalui medium politik boleh jatuh tersungkur nilai amalannya di sisi Allah. Akhirnya dia berjuang bukan lagi kerana Islam dan redha Allah, tetapi kerana kecintaan kepada penyokong yang ramai, pangkat, pejabat besar dan puja-puji orang bawahan.

Lebih parah, apabila dipandang hina semua pendakwah yang tidak berjuang sepertinya atau 'tidak berjuang melalui jalan politik'. Dirasakan mereka itu semua bacul, penakut, sebahagiannya munafiq, tercicir di jalan dakwah, hanya ingin berjuang dalam comfort zone, pendakwah ‘mee segera' dan pelbagai lagi perasaan benci dan gelaran buruk kalau boleh disebatikan dengan pendakwah yang tidak sepertinya. Tatkala itu, hancurlah amalannya, bukankah telah disabda Nabi S.A.W bahawa ‘ujub itu menghancur amalan.

Lebih jauh dari itu, digelar pula dirinya sebagai mujahid, pejuang Islam tulen atau pelbagai gelaran lain bagi menunjukkan dirinya sedang berjuang dengan gagah berani lagi sengit. Tidak seperi pendakwah lain. Sepatutnya, jika gelaran ‘mujahid' itu diberi orang, janganlah dia terkesan dengannya, kerana dirinya mungkin dilihat pejuang di sisi manusia, namun belum tentu di sisi Allah. Orang yang berjuang boleh berdoa agar tergolong di kalangan pejuang, namun untuk melabelkan diri sebagai ‘pejuang', itu bukan caranya. Biar Allah sahaja menentukan kita adalah pejuang atau tidak. Tugas kita adalah memperjuangkan agamaNya tanpa mempedulikan penilaian dan pujian dari sesiapa.

Cabaran pendakwah melalui medan politik memang besar, ia boleh datang dari pihak sekular yang membencinya, lalu digunakan kuasa untuk menekan dan mengancamnya. Ia juga boleh datang dari nafsu yang jauh lebih arif tentang diri manusia. Boleh sahaja, perjuangan itu tersasar kerana keinginan kepada ‘kuasa' terlebih dari sepatutnya.

Pendakwah Menuntut Ilmu

Selain berdakwah dengan mengajar, pendakwah juga sentiasa berterusan belajar dan terus belajar. Hasil ilmu asas yang baik dalam diri, dijadikan modal untuk meneruskan pembacaan dan galian ilmu yang tiada tara dalamnya. Namun, seseorang yang menuntut ilmu sering diingatkan Nabi S.AW agar berterusan menjaga keikhlasan. Ilmu yang dicari dan digali dengan niat menunjuk lebih pandai dan alim, jaguh berdebat, mengelirukan orang ramai, menutup kesalahan diri dan seumpamanya, akan pasti membuahkan ilmu-ilmu yang memporak perandakan masyarakat, bukan menyatukannya. Bukankah ilmu sepatutnya membawa kepada Allah, dan semua pihak yang bersama Allah akan bersatu padu sekalipun berbeza pandangan.

Namun hari ini, negara kita semakin ramai pendakwah dan ilmu yang digali dari pelbagai jenis negara dan guru. Malangnya, manusia dan umat Islam khususnya tidak semakin tenang, tetapi semakin bergolak. Lebih tinggi ilmu mereka ini, lebih bergolak dan berpecah orang di bawahnya. Kerana apa? WAllahu'alam.

Kesimpulan

Tulisan ini sebenarnya lebih kepada peringatan kami yang berada dalam gerakan dakwah ini. Ia disiarkan untuk dimanfaatkan oleh mana-mana rakan pendakwah yang sudi mengambil manfaat. Ia merupakan peringatan kepada salah satu cabaran terbesar buat para individu yang menceburi bidang dakwah, namun terlupa akan cabaran ini. Akhirnya minda dan hati, menjadi sarang yang busuk dek kuman dan virus yang menyelinap di dalam diri. Bimbang matinya kita kelak, merasa diri sudah berjuang dan berdakwah tetapi dilihat SEBALIKNYA oleh Allah Taala.

Terdapat sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa;

Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka, "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya, "Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid".

Dibalas, "Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar - pejuang yang berani".

Setelah dikatakan begitu, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Ditanyakan pula kepada (orang kedua), "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya, "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al Quran".

Dijawab semula, "Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘alim, kamu membaca Al Quran agar digelar qari".

Setelah itu, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Kemudian ditanyakan kepada (orang ketiga), "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya, "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"

Dijawab semula, "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar dermawan". Lalu dia telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. (Riwayat Muslim, no:3527, Kitab Al Imarah)

Semoga kita semua dijauhkan kita semua dari racun hati oleh si musuh Allah yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas yang sebenarnya. Bagi sesiapa yang telah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah. Mereka itulah yang disebut dalam hadis (maksudnya), ((Ditanya kepada Nabi S.A.W berkenaan seorang yang berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya? Jawab Baginda, "Itulah ganjaran gembira yang didahulukan buat para Mukmin")) Riwayat Muslim

Manakala Ibn Qayyim pula pernah berkata berkata, "Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tetapi tidak bermanfaat"

Benarlah, bahawa ikhlas adalah satu ujian yang lebih malah sangat sukar bagi seorang pendakwah dan Mukmin itu sendiri. Bagi lagi medium yang diceburi pendakwah termasuklah seni, drama, nasyid dan pelbagai lagi. Namun, semua akan menghadapi cabaran besar ikhlas, ia sebuah cabaran yang sangat sukar.
http://www.tarbawi.my