Sahabat Ilmu

Memaparkan catatan dengan label FEQAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label FEQAH. Papar semua catatan

Rabu, 15 Mei 2013

ANAK 8 TAHUN MASIH TIDUR BERSAMA IBU DAN BAPA

Soalan; Assalamualaikum, saya ingin bertanya kemusykilan saya tentang hukum anak berumur 8 tahun masih tidur bersama ibu-bapa. Ada yang berkata kena asingkan tempat tidur habis tempoh menyusu, saya tidak pasti kesahihannya. Terima kasih.

Jawapan;

Tidak digalakkan oleh agama untuk anak yang telah mumayyiz (yakni telah mengerti dan tahu membezakan) untuk tidur bersama dengan ayah dan ibunya kerana dikhuatiri berlaku pendedahan aurat dari bapa dan ibunya ketika tidur. Di dalam al-Quran, Allah berfirman (bermaksud);


“Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu, tidaklah menjadi dosa ke atas kamu dan juga ke atas mereka (untuk masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu) kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar di sekitar kamu, yakni sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang lain. Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana” (ayat 58).

Dalam ayat di atas Allah memerintah anak-anak sekalipun belum baligh (tetapi telah sampai umur mumayyiz) supaya meminta izin sebelum memasuki bilik atau kamar ibu dan ayahnya terutamanya pada tiga waktu;
a) Sebelum subuh adalah masa kamu bangun tidur
b) Selepas solat isyak ialah masa kamu tidur
c) Waktu tengahari (ketika matahari tegak atas kepala) adalah waktu qailulah iaitu waktu disunatkan kita tidur seketika sebelum solat zohor.

Sebab perintah tersebut ialah untuk mengelak dari terdedahnya aurat ibu-bapa kepada anak-anak. Inilah yang kita fahami dari ungkapan Allah dalam ayat tersebut; “Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu”. Berkata ulamak –antaranya Syeikh Tohir Ibnu ‘Asyur-; “Adalah suatu yang jelik ibu-bapa membiarkan anak-anak mereka (yang telah mumayyiz) melihat aurat mereka kerana pandangan anak-anak akan membekas (dan menjadi tabiat) dalam diri mereka. Wajib anak-anak diasuh supaya menjaga aurat sejak dari kecil (yakni memelihara diri dari mendedahkan aurat dan dari melihat kepada aurat orang lain) agar ia akan menjadi tabiat pada diri mereka apabila mereka besar nanti” (Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir, surah an-Nur, ayat 58).


Jika pasti akan berlaku pendedahan aurat –seperti ibu dan bapa berniat berseronok atau berjimak pada malamnya-, maka haramlah membenarkan anak yang telah mumayyiz untuk turut tidur dalam bilik bersama ayah dan ibunya. Suami dan isteri wajib memastikan mereka tidak dilihat oleh orang lain ketika sedang berjimak. Diharamkan berjimak dengan dilihat orang lain termasuk anak kecil jika ia telah mumayyiz (sekalipun ia belum baligh). Malah sebahagian ulamak (antaranya jumhur ulamak mazhab Maliki) melarang berjimak dengan dilihat oleh anak belum mumayyiz kerana mengambil contoh dari sahabat Nabi SAW bernama Ibnu ‘Umar RA yang memerintahkan anaknya yang masih di dalam buaian supaya di bawa keluar dari bilik sebelum ia berjimak dengan isterinya (kerana malu dengan anak itu). Menurut jumhur; perbuatan Ibnu Umar RA itu tidaklah wajib –kerana ia sukar dan sulit amalkan-, tetapi jika dapat diamalkan adalah baik. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178).

Berkata Syeikh Ibnu al-‘Uthaimin (salah seorang ulamak besar Arab Saudi); “Pandangan yang soheh dalam masalah ini ialah; diharamkan bersetubuh di hadapan orang lain, kecuali jika yang ada di hadapan itu adalah anak kecil yang belum mengerti dan belum dapat menggambarkan sesuatu, maka tidak mengapa. Adapun di hadapan anak yang sudah pandai menggambarkan apa yang berlaku di depannya, tidak harus melakukan persetubuhan di hadapannya sekalipun ia masih kecil kerana anak kecil sebegitu kadang-kadang ia bercakap menceritakan kepada orang lain apa yang dilihatnya tanpa ia maksudkan. Anak kecil yang masih dalam buaian –sebagai contohnya- jika usianya baru beberapa bulan, tidak mengapa berlaku persetubuhan di hadapannya kerana ia tidak mengerti perbuatan tersebut dan belum dapat menggambarkannya. Namun jika anak itu telah berusia tiga atau empat tahun, tidak sepatutnya ibu-bapa melakukan persetubuhan di hadapannya kerana boleh berlaku pada pagi nanti ia menceritakan apa yang dilihatnya kpada orang lain. Oleh demikian, adalah dibenci agama ibu-bapa bersetubuh di hadapan anak kecil mereka sekali belum mumayyiz jika ia sudah pandai menggambarkan dan memahami apa yang dilihatnya” (Dinaqalkan dari Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid).

Rujukan;

1. az-Zawaj, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 279.
2. al-Muqtataf Min 'Uyun at-Tafasir, surah an-Nisa', ayat 19.
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (www.islamqa.com), no. 104246.
4. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178

MATI TANPA SEMPAT MEMBAYAR HUTANG & CARA MENYELESAIKAN HUTANG YANG DILUPAI

Soalan; Salam Ustaz, mohon jawab persoalan ini.

1- Seseorang yang berhutang tanpa diketahui oleh warisnya, jika meninggal, tiada siapa yg melunaskan hutang tersebut bagi pihak dirinya, jadi bagaimana dosa hutang yang ditanggung tersebut, adakah diselesaikan di akhirat nanti dgn cara membayar pahala amalan kepada si penghutang

2-Semasa hidup, kalau kita merasakan kita ada hutang dgn seseorang pada masa lampau tetapi kita telah lupa siapa orang yang menjadi tempat kita berhutang itu atau org tersebut tidak diketahui di mana berada atau tidak diketahui berapa jumlahnya, adakah boleh kita melangsaikan hutang yang sudah dilupai itu dgn cara mengeluarkan sejumlah wang dan disedekahkan (umpamanya utk pembinaan masjid) sbg pelunasan semua hutang yg tidak diingat itu dan wang itu diniatkan sbg sedekah mewakili org yg memberi hutang atau bagi pihak org yg memberi hutang. Adakah hutang tersebut terlunas dengan cara itu.

Mohon diperjelaskan. Terima kasih.

Jawapan;

1. Terdapat hadis menegaskan;

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ “Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).

Menurut penjelasan ulamak; maksud “mengambil harta orang lain’ merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya (wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.

Maksud “Allah akan membayar bagi pihaknya” ialah; Allah akan membantunya untuk membayarnya atau Allah akan melapangkan rezkinya sehingga ia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga difahami dengan maksud doa dari Nabi SAW, iaitu; “Semoga Allah akan membayar bagi pihaknya”. Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian ia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil dari kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).

Maksud “mengambil dengan keinginan untuk memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya. Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan menghukumnya kerana hak orang lain tersebut.

Abu Hurairah RA menceritakan; Suatu hari Nabi SAW pernah bertanya sahabat-sahabatnya; ‘Tahukah kamu siapa orang muflis?’. Mereka menjawab; ‘Orang muflis mengikut kefahaman kami ialah seorang yang tidak memiliki wang (untuk membayar hutangnya) dan tidak pula memiliki barang (untuk digadai bagi membayar hutangnya)’. Lalu Nabi bersabda; “Seorang muflis dari kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) ia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah oang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian dari pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditapukkan ke atasnya hingga akhirnya ia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (HR Imam Muslim. Soheh Muslim, kitab al-Birri wa as-Shilah wa al-Adab, hadis no. 2581).

2. Untuk soalan kedua; hendaklah berusaha mengingati siapa pemilik hutang tersebut,kemudianmencarinya dan menyerahkan kembali wangnya. Jika ia sudah meninggal hendaklah diserahkan kepada waris-warisnya. Jika masih tidak berupaya mengingati siapa pemilik hutang itu atau ia tidak dijumpai setelah puas mencarinya dan begitu juga waris-warisnya juga tidak dijumpai, hendaklah duit hutang itu disedekahkan kepada fakir miskin atau kepada mashalah-maslahah am agama dan kaum muslimin (pembinaan masjid, imarah masjid, pengajian Islam, program dakwah dan seumpamanya) dan diniatkan sedekah itu untuk pemilik hutang tersebut. Namun jika setelah disedekahkan hutang tersebut, tiba-tiba muncul pemiliknya, wajib dibayar hutangnya dan pahala sedekah tadi berpindah menjadi milik orang yang memberinya.
Rujukan;


1. Faidhul-Qadier (Syarah al-Jami’ as-Saghier), Imam al-Munawi, hadis no. 8351.
2. Minhatul-Bari Fi Khidmati Soheh al-Bukhari (Syeikh Mustafa al-Bugha), hadis no. 2275.
3. Subulus-Salam (Syarah Bulughul-Maram), kitab al-Buyu’ Abwab; as-Salam wa al-Qardh wa ar-Rahn, no. hadis 876.
4. Fatwa Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 132202.

Isnin, 4 Februari 2013

Hukum Air Atau Cecair Yang Keluar Dari Manusia

Air Mani

Air mani ialah cecair putih pekat yang keluar kemaluan lelaki dan perempuan apabila sampai kepada kemuncak syahwat. Ia bukan najis tetapi hendaklah mandi wajib bagi mensucikannya untuk membolehkan seseorang itu menunaikan ibadat. Firman Allah yang berbunyi :

“(Setelah mengetahui Yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) Yang memancut (ke Dalam rahim), Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan.” (At-Taariq : 5-7)

Air mani lelaki kebiasaannya berwarna putih likat seperti hingus, ia keluar ketika seseorang itu rasa nikmat yang tidak terhingga sehingga secara memancut. Manakala air mani perempuan pula lebih cair dari air mani lelaki dan ia berwarna putih. Cara ia keluar ketika wanita tersebut gersang dan nikmat yang tidak terhingga.

Hukum Air Mani

Menurut Mazhab Syafie air mani adalah suci dan tidak mengandungi najis. Hujah ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW mafhumnya :

“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas ini, ia menunjukkan bahawa air mani itu adalah suci kerana Rasulullah SAW menggunakan pakaiannya yang terkena air mani tersebut untuk solat. Kalau ia najis maka sudah pasti Rasulullah SAW tidak menggunakan pakaian tersebut untuk solat.

Cara Mencuci Air Mani

Bagi air mani yang kering atau menempel kepada pakaian atau sebagainya, maka cara menyucikannya adalah seperti mengikis dengan kuku atau alat-alat yang lain, setelah dikikis cucikan pula dengan air sehingga bersih, maka ia sudah dianggap bersih. Dari Aisyah ra berkata :

“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Cara menyucikan air mani yang masih basah atau belum kering, maka disunatkan membasuhnya dengan menggunakan air bersih.

Air Mazi

Maksud Air Mazi adalah sejenis cecair jernih kekuningan yang keluar daripada kemaluan lelaki dan perempuan disebabkan rangsangan ketika permulaan syahwat dengan keadaan tidak sedar. Dari Ali ra berkata :

“Aku adalah seorang lelaki yang sering mengeluarkan mazi. Kemudian aku suruh seorang kawan supaya menanyakan tentang perkara ini kepada Nabi SAW. Aku malu bertanya secara langsung memandangkan puterinya telah menjadi isteriku. Kawan itu pun akhirnya menanyakan masalah ini kepada Nabi SAW dan beliau menjawab : Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Air Mazi

Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa air mazi ini adalah najis, ia juga boleh menyebabkan batalnya wuduk dan tidak boleh dibawa solat. Bagi orang yang mengeluarkan mazi tidak diwajibkan mandi hadas seperti keluarnya air mani.

Cara Mencuci Air Mazi

Air mazi dianggap seperti najis mutawassitah dan ia perlu dicuci dengan cara membasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih. Rasulullah SAW bersabda :

“Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Air Wadi

Air wadi adalah air berwarna putih kental atau pekat yang keluar dari kemaluan lelaki dan perempuan setelah habisnya air kencing. Dari Aisyah ra berkata :

“Wadi keluar setelah berkencing. Oleh kerananya, hendaklah seseorang itu mencuci zakar berserta kedua-dua buahnya, lalu berwuduk dan tidak perlu mandi.” (Riwayat Ibnu Munzir)

Hukum Air Wadi

Jumhur ulamak mengatakan air wadi ini adalah benda najis mutawassitah dan hukumnya sama seperti air kencing dan mazi. Ia tidak boleh dibawa solat. Begitu juga dengan Imam An-Nawawi mengatakan bahawa air wadi itu adalah najis.

Cara Mencuci Air Wadi

Cara mencuci air wadi adalah dengan mencuci kemaluan sehingga bersih dan mengambil wuduk. Orang yang mengeluarkan air wadi tidak perlu mandi hadas.

Air Kencing

Air kencing manusia adalah najis mutawassitah dan ia dapat membatalkan wuduk seseorang dan boleh menyebabkan solat itu tidak sah disebabkannya. Orang yang ingin membuang ari kencing ini perlu berhati-hati kerana takut air kencingnya terkena pakaiannya. Semasa membuang air kencing hendaklah dipastikan bahawa air kencing tersebut keluar habis dari kemaluan seseorang, air kencing yang tidak habis akan keluar secara sedar atau tidak sedar, ia boleh menyebabkan pakaian yang dipakai seperti seluar terkenanya dan seluar tersebut tidak boleh dibawa solat. Sebagai tindakan berjaga-jaga bawalah bersama kain atau seluar untuk digantikan ketika hendak melakukan solat, perbuatan ini adalah untuk memastikan supaya pakaian dan diri sentiasa didalam keadaan bersih dan suci. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mafhumnya :

“Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing. (iaitu hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)”

Cara untuk memastikan air kencing itu habis atau tidak habis keluarnya dari kemaluan, diantara caranya ialah seperti :

Bagi wanita untuk memastikan air kencing habis atau belum, caranya mudah sahaja dengan menunggu sebentar setelah selesai kencing. Jika didapati tiada lagi air kencing, maka ia bolehlah membersihkan kemalaunnya.

Bagi lelaki pula agak susah sedikit, kebiasaanya memerlukan waktu dan kesabaran. Cara untuk memastikan air kencing keluar, hendaklah diurut batang zakarnya dari pangkal hingga ke hujung kepala zakarnya. Dalam masa yang sama hendaklah berdehem-dehem untuk membantu mengeluarkan sisa-sisa air kencing di dalam zakarnya. Setalah pasti tiada lagi air kencing, maka bolehlah dibersihkan zakarnya dengan kaedah istinjak.

Hukum Kencing Sambil Berdiri

Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :

“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.

Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :

“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.

Author: Ustaz Nor Amin Sayani Bin Zainal

Perbezaan air mani , air mazi dan air wadi

 
Apakah perbezaan dari segi hukum dan ciri atau sifat fizikal antara air mani, air mazi dan air wadi?

Jawapan :

Air mani ialah cecair putih pekat yang keluar apabila sampai kepada kemuncak syahwat. Ia bukan najis tetapi hendaklah mandi wajib bagi mensucikannya untuk membolehkan seseorang itu menunaikan ibadat. Manakala air mazi ialah cecair jernih yang keluar disebabkan rangsangan ketika mukaddimah syahwat. Ia adalah najis dan tidak wajib mandi memadai membasuh sahaja tempat berkenaan. Manakala cecair yang keluar akibat letih atau mengangkat sesuatu yang berat dinamakan air wadi

HUKUM AIR WADI


Soalan:
Salam, air wadi tu air apa??

Jawapan:
Air Wadi merujuk kepada air yang warnanya agak putih, kental dan keruh, yang biasanya keluar melalui kemaluan lelaki atau zakar dan melalui kemaluan perempuan atau faraj sesudah membuang air kecil (air kencing) atau kerana bekerja berat.

Hukumnya najis mutawassitah dan wajib dicucinya apabila mahu melakukan ibadat. Ini bererti apabila keluar wadi jika seseorang itu dalam berwudhu' maka batallah wudhu'nya. Tetapi tidak wajib mandi junub/janabah / (mandi wajib).

wallahuaqlam

Jumaat, 14 Disember 2012

Hukum Memotong Saluran Peranakan


Soalan:

Apa hukumnya isteri yang memotong saluran peranakan oleh kerana tidak mahu mengandung lagi walaupun diberi keizinan oleh suami? Adakah ia satu dosa besar?

Jawapan:

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam Fatawa Mu’asyirahnya (jil. 2) apabila ditanya berkenaan hukum mengikat saluran peranakan, beliau menjawab: “Perbuatan tersebut tidak harus kerana mengandungi tindakan mengubah ciptaan Allah SWT. Ia adalah perbuatan yang dipengaruhi oleh Syaitan dan dihiasi oleh Syaitan. Dikecualikan jika terdapat darurat yang kemuncak, seperti kelahiran anak akan mendatangkan bahaya kepada Ibu dan tidak ada jalan lain lagi untuk menghalang kelahiran melainkan dengan cara tersebut (yakni mengikat saluran peranakan itu). Hukum darurat tersebut hanya bersifat individu dan merupakan kes terpencil yang dilakukan mengikut kadar perlu. Tidak harus hukum darurat tersebut diambil menjadi satu prinsip umum untuk semua keadaan”. (hlm. 680)

Ulasan:

1. Berdasarkan fatwa di atas dapat kita simpulkan bahawa; mengikat saluran peranakan –apatah lagi memotongnya- hukum asalnya ialah haram kerana ia mengubah ciptaan Allah SWT iaitu merosakkan fungsi anggota tubuh yang dijadikan Allah SWT. Hukum asal ini tidak berubah kecuali jika ada suatu darurat yang tidak dapat dielakkan.

2. Perbuatan yang dipengaruhi oleh Syaitan dan dihiasi oleh Syaitan yang disebut oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam fatwanya di atas adalah merujuk kepada firman Allah yang bermaksud: “(Syaitan derhaka) yang telah dilaknat oleh Allah dan ia (yakni syaitan itu) berkata: ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil dari hamba-hambaMu sebahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku), dan aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak); lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu, dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah’. Dan (ingatlah) sesiapa mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang-nyata”.
- (Surah an-Nisa’, ayat 118-119)

Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. Fatawa Mu’ashirah, Dr. Yusuf al-Qaradhwai, jil. 2, hlm. 680. (Cet. Al-Maktab al-Islami, Beirut/Dimasyq/’Amman, 2000).

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Rabu, 6 Jun 2012

Syarat Qabul (Diterima) Sembahyang

Dinyatakan dalam kitab Sulamuttaufiq:

“Dan disyaratkan berserta dengan syarat-syarat yang lain untuk diterima sembahyang di sisi Allah, bahawa niat sembahyang itu tiada lain kerana Allah sahaja, dan adalah makanannya, pakaiannya dan tempat sembahyangnya itu halal, dan hadir hatinya dalam sembahyang, tiada apa-apa dari sembahyangnya kecuali yang difikirkan adalah sembahyangnya, dan tiada ia ujub tentangnya.”

Keterangan:
Di sini pengarang kitab menerangkan kepada kita bahawa selain ada syarat sah sembahyang dan syarat wajib sembahyang berserta dengan rukun-rukunnya, ada satu lagi syarat untuk sembahyang kita diterima Tuhan. Atau dalam ertikata lain dinilai sebagai ibadah di sisi Tuhan. Bila kita sudah memenuhi syarat wajib, syarat sah dan rukun sembahyang, lahirnya sembahyang kita sudah selesai. Namun, bila dibawa kepada Tuhan, selagi syarat-syarat tambahan itu tidak dipenuhi, maka sembahyang kita itu seperti tiada nilainya. Tuhan tak pandang sembahyang kita. Makanya sembahyang kita adalah tertolak.

Syarat-syarat tambahan ini disebut sebagai syarat qabul dan ia adalah seperti berikut:

1. Niat kerana Allah – Menetapakan yang niat kita bersembahyang itu benar-benar kerana kita cinta dan takutkan Allah. Benar-benar untuk mendapat keredhaan Allah dan bukan selainNya. Dikekalkan niat kerana Allah itu dari sebelum sembahyang hingga kepada selesai sembahyang.

2. Makanan halal – Maksudnya kita menjaga agar sebarang makanan yang masuk ke dalam perut kita adalah halal. Di sini ada dua pengertian, a) Bahan makanan itu halal, suci dan bersih b) Sumber pendapatan untuk mendapatkan makanan halal itu bukan dari sumber yang haram. Maksud Firman Allah: Makanlah oleh kamu daripada makanan yang baik (halal) dan perbuat olehmu akan amal yang soleh. (Al-Mukminun: 51)

3. Pakaian halal – Biarpun sah sembahyang kita dengan pakaian yang dicuri atau pakaian yang dibeli daripada hasil yang haram, tetapi hakikatnya Allah tidak menerima sembahyang kita itu. Sabda Rasululllah: “Barangsiapa yang bersembahyang mengenakan pakaian yang diperolehi dengan 10 dirham, sedangkan ada 1 dirham daripadanya adalah haram, maka tiadalah Allah menerima sembahyangnya” (Riwayat Ahmad).

4. Tempat sembahyang halal – Sumber pendapatan dalam membina tempat sembahyang seperti masjid dan surau mesti halal. Maksud Firman Allah: “Sesungguhnya masjid yang berasaskan taqwa dari permulaan hari berdirinya, lebih baik bagi engkau mendirikan sembahyang di dalamnya” (At-Taubah:108).

5. Hadir hati dalam sembahyang – Membawa pengertian khusyuk. Iaitu kita mengetahui, memahami justeru menghayati setiap pergerakan dan bacaan dalam sembahyang. Sehingga dapat merasa-rasa dengan Tuhan dalam sembahyang seperti rasa takut, rasa cinta, rasa hina diri dan rasa gementar.

6. Tiada ujub – Janganlah sampai kita bangga dengan bacaan kita atau dengan sembahyang kita. Hingga sampai membawa rasa diri hebat, rasa diri baik dan rasa diri itu sudah istimewa di sisi Tuhan. Patutnya kesan daripada sembahyang lebih menajamkan rasa hamba dalam diri seperti rasa berdosa dan rasa takut dengan Tuhan.

7. Imam yang alim lagi warak – Ini satu perkara yang tidak disebutkan dalam kitab tersebut. Tapi adalah sangat penting bagi kita dalam bersembahyang jemaah, maka imam yang mengimami sembahyang kita adalah orang alim (berilmu) lagi warak (yang takutkan Tuhan). Ini seperti yang disabdakan Rasulullah: ”Jika kamu gembira untuk sembahyang kamu diterima, hendaklah mengimami sembahyang kamu itu orang yang baik (alim & warak), kerana dia adalah penghubung kamu dengan Tuhan kamu (Riwayat Thabrani).

Taqaballahu minna wa minkum - Moga-moga Allah menerima segala amalan kita.

Sekian

Isnin, 4 Jun 2012

Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie.

Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.

Kahwin Lari di Selatan Thailand

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Kahwin Lari di Selatan Thailand. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah SAH dengan syarat :
1.Pernikahan itu mengikut rukun nikah

2.Pernikahan itu melebihi dua marhalah

3.Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak ditempat dia bermastautin.

4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim

Selasa, 27 Mac 2012

Hukum Memakai Inai Bagi Lelaki & Perempuan

Salam kepada semua semoga semua dalam keadaan gembira dan bahagia disamping beribadah dan bersama keluarga bahagia. Ada soalan yang diajukan oleh pengunjung blog ini meminta saya mengulas sedikit mengenai hukum memakai inai (henna). Saya harap kepada sesiapa yang berilmu dapat berkungsi dengan saya mengenai masalah ini.

Menurut pendapat hambali dan syafie mengatakan pemakaian inai ini adalah harus, inai ini boleh digunakan di mana-mana baghagian tubuh lelaki dan perempuan. Cuma Iamam Hambali tidak membenarkan inai dibahagian kepala lelaki dan perempuan. Manakala Imam Syafie pula, tidak membenarkan bagi lelaki menginaikan kaki dan tangan mereka kerana menyerupai sifat perempuan. Tetapi apabila dharurat dibenarkan untuk tujuan perubatan. Tidak dibenarkan sama sekali memakai inai bagi perempuan yang idah iaitu (isteri bagi suami yang meninggal) tidak dibenarkan berhias dan keluar rumah tanpa tujuan selama 4 bulan 10 hari atau 3 kali suci dari haid.

Begitu juga pendapat dari Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan "bahawa hukum lelaki memakai inai di kukunya adalah di antara haram dan makruh. Ini kerana ia menyerupai perhiasaan wanita . Inai yang digunakan untuk perubatan tidaklah mengapa(tujuan kesihatan seperti inai di ibu jari kaki yang menghidap penyakit kuku rosak."

Kesimpulan dari perbahasan di atas, bagi lelaki tidak dibenarkan memakai inai di kaki dan ditangan kecuali wanita, kerana menyerupai wanita. Sekiranya ada pandangan lain yang membolehkan, maka kita sebagai Islam mestilah berhati-hati dalam menentukan perbuatan kita, kerana dikuatiri menjadi haram. Tidak dibolehkan juga kepada wanita yang memakai inai dengan mengukirkan inainya seperti tatu sepertimana hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra katanya: “Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan. Dan (Rasulullah s.a.w) mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu”.(Sahih Muslim).
http://www.ustaznoramin.com/2010/02/hukum-memakai-inai-bagi-lelaki.html

Rabu, 15 Februari 2012

TAYAMMUM DAN MENGAMBIL WUDHUK DALAM TANDAS

Soalan; Assalamua'laikum Ustaz. Saya ingin dapatkan pandangan Ustaz berkenaan wudhuk.

1) Rumah saya tidak mempunyai tangki air (yang biasanya terletak dibawah bumbung rumah). Bagaimanapun, saya mempunyai 2 tong air kecil didalam bilik air saya. Rumah saya juga tidak mempunyai pasir untuk dibuat tayamum. Sekiranya bekalan air ke rumah saya terputus, pada pendapat Ustaz, apakah cara yang boleh saya lakukan agar saya dapat berwudhuk / tayamum bagi membolehkan saya bersolat dirumah?
2) Apakah hukum sekiranya saya mengambil wudhuk didalam tandas (sebagai contoh, tandas awam/pejabat)?

Jawapan;

1. Bila kita keputusan air untuk mengambil wudhuk, kita diharuskan untuk bertayammum. Namun sebelum diharuskan bertayammum itu, kita wajib berusaha mencari air terlebih dahulu di kawasan sekitar kita. Mungkin di rumah tidak ada air, namun di kawasan sekitar kita ada air termasuk dengan kita pergi ke surau atau masjid berdekatan. Setelah dipastikan benar-benar tidak ada air, barulah diharuskan tayammum. Tayammum dilakukan dengan debu tanah mengikut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie).

Ada ulamak mengharuskan bertayammum dengan segala yang ada di atas permukaan bumi; tidak hanya tanah, tetapi juga pasir, kapur, batu dan seumpamanya. Anggota tayammum ialah muka dan dua tangan sahaja, iaitu dengan menyapukan debu tanah ke muka dan dua tangan. Jika ditakdirkan tidak ada kedua-duanya (yakni air dan debu) setelah diusaha mencarinya, wajib ditunaikan juga solat fardhu sebelum habis waktunya walaupun dalam keadaan tidak bersuci.

Menurut mazhab Syafi’ie; solat yang ditunaikan tanpa bersuci itu tidaklah sah, cuma sebagai menghormati waktu solat sahaja. Kerana itu, ia wajib diulangi apabila bertemu air atau debu nanti.

Sebahagian ulamak berpandangan; tidak perlu diulangi semula kerana solat yang dilakukan itu sudah dikira sekalipun tanpa berwudhuk atau bertayammum kerana hal tersebut dilakukannya kerana terpaksa. Antara yang menyokong pandangan kedua ini ialah Imam al-Muzani dan Imam an-Nawawi (dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim). Berkata Imam al-Muzani; “Solat yang diperintah agar dilaksanakan di dalam waktunya sekalipun ada suatu kekurangan, tidak wajib mengqadhanya (apabila telah dilakukan)”.

2. Mengenai mengambil wudhuk di dalam tandas (iaitu tempat yang dikhaskan untuk manusia kencing dan berak), tidaklah terdapat larangan khusus dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-.

Namun menurut ulamak; hukumnya adalah makruh kerana tandas itu merupakan tempat yang disediakan untuk najis dan menjadi tempat berlindung Syaitan (kerana itu kita disuruh oleh Nabi supaya memohon perlindungan dari Allah dari Syaitan syaitan jantan dan betina sebelum memasuki tandas).

Ketika hendak mengambil wudhuk kita disunatkan membaca Bismillah, namun di dalam tandas kita dilarang menyebut nama Allah.

Berdasarkan factor-faktor tersebut, tidak digalakkan mengambil wudhuk di dalam tandas. Namun demikian, wudhuk yang diambil di dalam itu tandas itu tetap sah jika memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukunnya, cuma perbuatan/tindakan mengambil wudhuk dalam tandas itu sahaja yang makruh.

Satu perkara lagi perlu diperhatikan; hendaklah berjaga-jaga dari terkena percikan najis pada pakaian atau badan kerana kemungkinan untuk berlaku perkara tersebut adalah ada terutama jika kita mengambil wudhuk dalam tandas awam.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Siri Soal-Jawab Fiqh (siri 1); Pengenalan Tentang Fiqh & Fiqh Toharah (Bersuci), Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.
2. Fatwa dalam laman as-Syabakah al-Islamiyyah (http://www.islamweb.net), no. 115863 dan 14269.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat?

Jawapan;

Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie dan Ahmad serta jumhur Salaf dan Khalaf) yang berpandangan; sesiapa yang menambah rakaat solatnya kerana lupa, tidaklah batal solatnya. Malah jika ia menyedarinya selepas salam, solatnya kekal sah. Ia hendaklah sujud sahwi jika menyedarinya sebaik sahaja selepas memberi salam dalam tempoh yang dekat. Namun jika menyedarinya setelah lama masa selepas memberi salam, tidak perlu lagi sujud sahwi. (Syarah Soheh Muslim).

Tambahan;

1. Jika disedari ketika masih dalam solat, wajiblah kembali duduk, kemudian menyelesaikan bacaan tasyahhud, setelah itu lakukan sujud sahwi dua rakaat dan memberi salam. Jika diteruskan juga solat sebaik menyedari tertambah rakaat, batallah solat.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jilid 2, kitab al-Masajid wa Mawadhi’ as-Solah, bab as-Sahwi Fi as-Solah wa as-Sujud Lahu.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, jilid 4, bab Iza Shalla Khamsan.
3. Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil Yusuf al-‘Azzazi, 1/428.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Jumaat, 27 Januari 2012

Letak sesuatu berunsur patung dalam kenderaan

Assalamualaikum ustaz,saya ingin bertanya.

- Bolehkah kita meletakkan sesuatu yang berunsur patung di dalam kenderaan? (bukan untuk tujuan permainan, tetapi perhiasan). Contohnya:
key chain yang ada patung kangaroo, patung koala dan sebagainya.

- Bagaimana pula jika ia digunakan? Contohnya: Bekas tisu yang ada patung kangaroo. Contoh gambar boleh rujuk di sini: http://farm3.static.flickr.com/2577/3889228685_46a3984164_m.jpg

Sekian, mohon penerangan para asatizah.
Jazakumullahu khairan.

Jawapan:

الحمدلله رب العالمين و الصلاة و السلام علي أشرف الأنبياء و المرسلين
:وعلي آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلي يوم الدين ، أما بعد

Patung atau anak patung adalah objek yang sinonim dengan kanak-kanak bahkan orang dewasa samada lelaki mahupun perempuan turut menggemarinya. Bahkan menjadi satu ‘kekurangan’ apabila sebahagian daripada kita tidak mampu tidur tanpa memeluk dan menyentuh anak patung ini. Lantas kerana kesukaan dan minat yang mendalam ini, kita meletakannya dalam rumah sebagai hiasan dan kadang-kadangn menjadi objek kenang-kenangan hasil pemberian sahabat karib dan rakan taulan yang mempunyai signifikan tersendiri.

Memperkatakan tentang patung dan anak patung ini, beberapa ulama terkenal dunia masakini mempunyai pandangan masing-masing berhubung patung dan anak patung ini. Antara ulama tersohor adalah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Jaadal Haq Ali Jadal Haq dan Syeikh ‘Atiah al- Saqr.

Mengenai hukum orang Islam memiliki patung, al-Qaradawi di dalam “Fatawa Muasirah” berkata Islam sememangnya mengharamkannya, sama ada patung tersebut berbentuk manusia mahupun patung berbentuk haiwan atau binatang-binatang. Pengharaman itu menjadi lebih kuat jika patung itu merupakan makhluk yang disanjung tinggi seperti raja, nabi sepertimana Nabi Isa a.s. di kalangan orang Kristian dan lembu di kalangan orang Hindu.

Menurut beliau,terdapat satu jenis patung saja yang diharuskan dalam Islam untuk dimiliki, iaitu patung atau anak patung berbentuk mainan anak-anak. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith Rasulullah SAW. yang menceritakan bahawa isteri baginda yang masih kecil, Saydatina Aisyah RA cenderung dan suka bermain patung.

Selain daripada itu Syeikh Gadul Haq, Bekas Syeikh al-Azhar, mengutarakan pendapat yang sama dengan Dr. Yusuff al-Qaradawi yang mana beliau membenarkan patung untuk pendidikan seperti patung mainan anak-anak dan berpendapat harus hukumnya bagi patung separuh tubuh dan mudah rosak yang diperbuatkan daripada tepung (atau bahan-bahan lembut spt plastesin dll).

Syeikh ‘Atayyah al-Saqr dalam fatwanya, pula berpendapat bahawa patung dan anak patung bagi tujuan permainan kanak-kanak, patung cepat rosak dan patung separuh badan adalah dibenarkan.

Menurut Syeikh ‘Atayyah al-Saqr lagi, Imam Malik berpendapat harus hukumnya memiliki patung yang lengkap seperti seorang manusia, tetapi dengan syarat ia berlubang walaupun sangat kecil. (untuk mencacatkannya) . Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad mengenakan syarat patung lengkap itu mesti mempunyai lubang yang besar. Ini termasuk juga patung mannequin yang digunakan untuk mempamerkan pakaian di butik-butik dan gedung-gedung pakaian.

Secara dasarnya, ulama bersepakat bahawa patung dianggap harus jika ada faedah seperti untuk mainan anak-anak dan dan dianggap haram jika digunakan untuk penyembahan.

Merujuk juga kepada fatwa Negeri Kedah Darul Aman; Mengukir/membuat patung –patung manusia dan binatang adalah haram kecuali untuk permainan kanak-kanak atau bagi tujuan pendidikan , pembelajaran atau pengetahuan. Pekerjaan membuat patung mainan dan pendidikan adalah harus pada syarak.

Dr. Yusoff al-Qardhawi sekali lagi dalam Bukunya Halal dan Haram Dalam Islam menyebutkan bahawa Islam mengharamkan dalam rumahtangga Islam meliputi masalah patung. Sebab adanya patung dalam suatu rumah, menyebabkan Malaikat akan jauh dari rumah itu, padahal Malaikat akan membawa rahmat dan keredhaan daripada Allah SWT untuk isi rumah tersebut.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

"Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya ada patung." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ulama-ulama berkata: Malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat patung, karena pemiliknya itu menyerupai sifat orang kafir, di mana pada kebiasaannya mereka akan meletakkan patung dalam rumah-rumah mereka untuk diagung dan disembah.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di hari kiamat, yaitu orang-orang yang menggambar gambar-gambar ini. Dalam satu riwayat dikatakan: Orang-orang yang menandingi ciptaan Allah." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan Rasulullah SAW menjelaskan dengan terperinci dalam sebuah hadithnya:

"Barangsiapa yang membuat gambar (patung), nanti pada hari kiamat dia akan dipaksa untuk meniupkan roh padanya; padahal dia selamanya tidak akan mampu meniupkan roh itu." (Riwayat Bukhari)

Sekian والله أعلم

Disediakan oleh:
Ustaz Mohamad Shukry Sulaiman
Ahli Panel MUIS

Solat sambil dukung anak

Assalamualaikum ustaz,Saya seorang surirumah dan mempunyai anak yang masih kecil.Saya ingin bertanya adakah dibolehkan mendukung anak ketika saya sedang solat untuk mengelakkan anak menangis. Jika boleh apakah dalil dan syarat-syaratnya. Terima kasih.

Jawapan:


Adalah dibolehkan solat sambil mendukung anak yang masih kecil. Soalan sebegini telah ditanya kepada Syeikh Fauzan dan beliau telah menjawab seperti berikut:

ويجوز حمل الطفل في الصلاة‏.‏ فقد حمل النبي صلى الله عليه وسلم أمامة بنت ابنته زينب رضي الله عنها وهو يصلي وكان الحسن والحسين رضي الله عنهما يصعدان على ظهره صلى الله عليه وسلم وهو ساجد

Maksudnya:
Diharuskan mendukung anak kecil sewaktu mendirikan solat. Sesungguhnya Nabi saw telah mendukung Umamah binti Zainab r.a dalam keadaan baginda sedang solat. (riwayat Bukhori dan Muslim). Dan adalah Hasan dan Husain memanjat belakang Nabi saw ketikan baginda sedang sujud. (tamat jawaban syeikh Fauzan)

Syarat yang perlu dipatuhi ialah jangan melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan solat seperti:

1) Pastikan anak itu bersih dari najis. Perkara ini telah disebut oleh Imam an-Nawawi dalam kitab majmuknya.
2) Kawal pergerakan. Jangan banyak bergerak sehingga hilang fokus (khusyu').
3) Dada sentiasa mengadap kiblat.

Sekian والله أعلم

Rujukan:
1) Fatwa Syeikh Fauzan
2) http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=199160

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS
الحمدلله رب العالمين و الصلاة و السلام علي أشرف الأنبياء و المرسلين
وعلي آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلي يوم الدين ، أما بعد

Cukur bulu di muka

Assalamualaikum ustaz,bolehkah kalau seorang perempuan cukur bulu di muka terutama sekali di antara hidung dan mulut?

Jawapan:


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسوله الأمين وعلى آله وصحبه أجمعين

Mengikut Mazhab Shafie , harus mencabut bulu lebihan yang tumbuh di luar dari alis mata dengan tidak berlebihan dan keterlaluan pada menghilangkannya .Begitu juga masalah janggut ,jambang dan bulu di bawah bibir bagi wanita .Bagi yang telah berkahwin ,perlu mendapat keizinan suami untuk berbuat demikian .

Sesungguhnya perkara ini tidak termasuk dalam makna menghilangkan dan menghaluskan alis mata yang di haramkan oleh syara’ .Ini kerana menipis dan membuang alis mata menunjukkan perbuatan melampau dan sikap kepura-puraan , sebaliknya ini tidak timbul dalam masalah menghilangkan bulu-bulu yang tumbuh di luar alis mata , seperti tumbuh di bawah bibir ,misai ,janggut dan jambang kerana ianya adalah untuk mengembalikan keadaan seorang wanita pada kejadian tabie dengan sifat kewanitaannya yang telah dijadikan Allah tanpa memiliki keadaan tersebut .Maka apabila tumbuhnya bulu di bahagian tersebut ,ianya terkeluar dari asal tabie kejadiannya , dan jika dihilangkan nya adalah diibaratkan menghilang kecacatan pada dirinya dan mengembalikan dirinya ke asal kejadiannya yang dijadikan Allah SWT.

Antara dalil sandarannya ialah hadith Nabi SAW

عن أبى اسحاق عن إمرأته أنها دخلت على عائشة رضى الله عنها وكانت شابة يعجبها الجمال , فقالت : المرأة تحف جبينها لزوجها ؟ فقالت : أميطى عنك الأذى ما استطعت

Bermaksud : Daripada Abu Ishaq daripada isterinya , katanya beliau masuk kepada Aisyah r.a dan kelihatan muda dan cantik seraya berkata erempuan mencukur alis mata untuk suaminya Jawabnya : Tanggalkanlah dari kamu perkara yang dibenci sekadar kemampuan kamu (lihat fath al-bari)

Cara penghujahan dalil

1. Perkataan Aisyah r,a menjelaskan bahawa harus menghilangkan bulu yang terdapat pada muka wanita dan menganggapkannya sebagai kemudaratan kepada wanita .Kaedah syara’ mengatakan (الضرر يزال)bermaksud : kemudaratan dihindarkan .

2. Hadis-hadis yang sahih banyak melarang wanita dari menyerupai lelaki. Janggut dan misai bukanlah sifat yang sepatutnya dimiliki oleh oleh wanita , tetapi keduanya adalah kepunyaan sifat lelaki dan jika seseorang wanita memilikinya maka umpama ia menyerupai lelaki.

3. Dinyatakan bahawa definisi pencabutan ialah mencabut bulu kening untuk melembutkannya atau menyamakannya namun kadangkala wanita menaggalkannya terus dan menggantikannya dengan garisan hitam atau melembutkannya seperti lenturan yang merupakan pembuangan secara melampau dan ini yang diharamkan. Adapun mencabut atau mencukur sebahagian daripadanya yang terkeluar dari kawasan tumbuhnnya yang semulajadi seperti juga mencabut bulu yang tumuh dijanggut dan misai bagi seorang perempuan adalah satu usaha untuk mengembalikan semula wanita berkenaan ke kejadian asalnya dan mengangkat keaiban dan kesukaran yang di hadapinya.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

Disediakan oleh
Zamri Hashim
Sekretariat MUIS

(Untuk meluaskan bahan bacaan , boleh merujuk buku “Pembedahan kosmetik menurut perspektif Islam)

Rabu, 18 Januari 2012

Hukum Kencing Sambil Berdiri

Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :

“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.

Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :

“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.

Status Darah Sebelum Bersalin

Soalan: Jika seorang wanita sudah hampir bersalin, lalu terkeluar darah sebelum bersalin. Bolehkah ustaz jelaskan apakah jenis darah yang keluar itu, adakah ia darah haid atau nifas? Saya keliru kerana sudah tentu jenis darah akan berikan hukum berbeza. Terima kasih uztaz.

Jawapan Uzar:

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan jenis darah yang keluar itu, seperti berikut :-


Mazhab Hanafi & Hanbali : Ia adalah darah istihadah. Justeru solat masih wajib.
Sebahagian ulama Hanbali : Ia adalah darah nifas jika keluar sehari atau dua hari sebelum melahirkan anak. Jika demikian bermakna, tidak lagi wajib puasa (jika pada bulan Ramadhan) dan solat.

Mazhab Syafie : Ia adalah darah haid dari sudut tidak perlu solat, puasa dan haram untuk digauli suaminya.

Mazhab Maliki : Ia adalah darah haid jika keluar pada bulan pertama dan kedua mengandung, namun jika keluar darah itu pada bulan ketiga, keempat dan kelima serta berterusan lebih dari 20 hari, jelaslah ia darah istihadah.

Bagi penduduk Malaysia yang bermazhab Syafie, bolehlah bertaqlid dengan pendapat mazhab Syafie dalam hal ini. Iaitu ia darah haid. Pendapat mazhab Syafie ini boleh dirujuk dari kata-kata Imam An-nawawi di dalam kitabnya :-

فإذا رأت الحامل دما يصلح أن يكون حيضا فقولان مشهوران قال صاحب الحاوي والمتولي والبغوي وغيرهم : الجديد أنه حيض , والقديم : ليس بحيض , واتفق الأصحاب على أن الصحيح أنه حيض

Ertinya : "Apabila seorang wanita yang sedang hamil melihat darah (keluar), yang sesuai untuk dihukum sebagai darah haid maka terdapat dua pendapat yang masyhur (dalam mazhab Syafie), berkata pengarang kitab Al-Hawi (Al-Mawardi), Al-Mutawalli dan Imam Al-Baghawi dan lain-lain :

"Pendapat Syafie yang baru adalah ia Haid, pendapat Syafie yang lama, ia bukan haid. Telah sepakat ulama Syafie pendapat yang paling sohih ia adalah DARAH HAID" ( Al-Majmu', 1/412)

Sekian, 
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
1 Mei 2008

Ahad, 15 Januari 2012

Hukum memakai sesuatu ada lambang salib


Assalamualaikum ustaz,

saya seorang pelajar perubatan di UK
masalah saya ialah apakah sesuatu lambang yang berasal dari agama lain tetapi diadaptasikan untuk membawa maksud yang lain seperti lambang salib digunakan sebagai bantuan kecemasan di hospital masih dianggap salib dalam agama kristian? Contohnya apakah haram seorang jururawat memakai pakaian jururawat yang mempunyai lambang salib yang digunakan sebagai simbol healthcare personel. Lambang salib ini membawa maksud healthcare symbol (pada zaman ini) tetapi historically berasal dari agama kristian.

Sebagai pelajar perubatan, mahu tidak mahu saya perlu mengunakan symbol ini dalam pelbagai urusan. First aid kit contohnya juga menggunakan simbol ini. Begitu juga dengan persatuan red cross (Di UK tidak ade red cresent.
Selain logo salib, bidang perubatan banyak menggunakan simbol Caduceus (http://en.wikipedia.org/wiki/Caduceus) iaitu 'staff' yang digunakan dewa mercury dalam kepercayaan greek. Apakah haram seorang doktor memakai dan menggunakan logo ini.

sila rujuk (www.hablamosjuntos.org/signage/PDF/SymbolPosterB.pdf) untuk melihat contoh-contoh simbol dalam perubatan yang kadang-kala ada simbol salib

Jawapan:


الحمد لله

Haramnya seseorang itu membeli, membuat, mengukir mahupun membeli salib atas sifatnya sebagai salah satu syiar agama kristian. Ini ditegaskan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h.

“tidak harus membuat salib samada dengan upah ataupun tanpa upah, begitu juga menjualnya atas sifatnya sebagai salib (syiar agama kristian) sebagaimana tidak harusnya membuat berhala dan menjualnya. Nabi SAW telah melarang perbuatan ini dalam hadith saheh:


Sesungguhnya Allah mengharamkan penjualan arak, bangkai, babi dan berhala” (Majmu’ Fatawa 141/22)

Namun jika sesuatu objek itu berbentuk seperti salib ataupun lambang yang digunakan itu seumpama lambing salib, ada perincian mengenai hukum menggunakannya seperti berikut:

1. Apabila objek ataupun lambang berkenaan digunakan atas maksud ianya adalah salib yang merupakan syiar kristian maka jelaslahlah haram orang Islam menggunakannya kerana ilah (sebab) pengharamannya adalah kita dilarang menyerupai dan mengagungkan syiar agama lain.

2. Namun jika ia terzahir bukan atas maksud mengagungkan salib seperti tanda campur (+) dan symbol-simbol yang telah dikenali umum dan terpakai secara meluas maka ia harus digunakan. Walaupun begitu jika kita mampu untuk menghilangkan symbol-simbol itu jika bentuknya sangat jelas , maka kita hendaklah menghilangkannya.

Untuk penerangan lebih lanjut boleh melayari
http://www.islam-qa.com/ar/ref/121170 dilayari pada 11 April 2011

Disediakan oleh:
Ustaz Zamri Hashim
Sekretariat MUIS

Hukum Melakonkan Watak Nabi dan Sahabat

Assalamualaikum ustaz,

saya ada satu kemusykilan,sememangnya saya sendiri pernah membaca mengenai hukum melakonkan watak sahabat dan Nabi itu haram,tetapi x berapa jelas,sebab menjadi keliru pada saya apabila ada yang bertanya kepada saya,untuk tontonan ramai memang x boleh,tetapi untuk mengambil pengajaran antara kita(maksudnya apabila sesuatu pogram seperti malam kebudayaan perkhemahan yang memerlukan lakonan kisah2 dalam al-quran) itu x mengapa,betul ke ustaz?

Jawapan:


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على رسوله الأمين وعلى آله وصحبه أجمعين


Berlakon ialah bermain atau berlagak dalam sandiwara. Berpura-pura menunjukkan sesuatu kelakuan, menunjukkan kelakuan yang bukan sifat sebenar(Kamus Dewan). Di dalam bahasa arab ia disebut sebagai Tamthil yang membawa maksud “menggambarkan” ataupun “menyerupakan” sesuatu (Lisanul Arab).

Merujuk kepada soalan saudara, terlebih dahulu kita membezakan antara perbuatan melakonkan perbuatan dan melakonkan watak.

Adapun melakonkan perbuatan , ia adalah diharuskan contohnya seorang guru melakonkan perbuatan Nabi saw ketika mengambil wudu’ atau solat dan sebagainya .

Dalilnya ialah seperti mana Saidina Usman r.a melakonkan semula perbuatan wudu’ mengikut apa yang dilihatnya daripada perbuatan wudu’ Nabi saw. Ini dijelaskan dalam hadith berikut:


عن حمران مولى عثمانبن عفان : أنه رأى عثماندعا بوضوء ، فأفرغ على يديه من إنائه فغسلهما ثلاث مرات ، ثم أدخل يمينه في الوضوء ، ثم تمضمض واستنشق واستنثر ، ثم غسل وجهه ثلاثا ويديه إلى المرفقين ثلاثا ، ثم مسح برأسه ، ثم غسل كل رجل ثلاثا ، ثم قال : رأيت النبي صلى الله عليه وسلم يتوضأ نحو وضوئي هذا ، وقال : من توضأ نحو وضوئي هذا ، ثم صلى ركعتين لا يحدث فيهما نفسه ، غفر الله له ما تقدم من ذنبه .

 

الراوي:عثمان بن عفان المحدث:البخاري - المصدر:صحيح البخاري – الصفحة أو الرقم:164
خلاصة حكم المحدث:[صحيح]
Jadi jika melakonkan semula perbuatan Nabi SAW itu untuk tujuan pengajaran dan tujuan-tujuan lain yang baik maka diharuskan berdasarkan kaedah الأمور بمقاصدها“setiap perkara itu adalah berdasarkan kepada niatnya”

Adapun melakonkan watak Nabi saw , banyak badan fatwa sedunia dan ulama’ yang mengharamkannya , sebagai contoh :
Pusat Fatwa Kebangsaan Mesir (1980)
Lajnah Fatwa Kementerian Wakaf Kuwait
Dr Yusuf al-Qardhawi

Tiada dalil yang khusus mengenai pengharaman itu samada ia berbentuk Dilalah Ibarah/mantuq (dalil spesifik seperti dalil yang mengharamkan judi, dalil yang mengharamkan zina) mahupun Dilalah Nas /mafhum (dalil yang tidak langsung dan tidak spesifik berkaitan sesuatu perkara, namun ianya dapat difahami samada secara tersirat mahupun tersurat seperti haramnya memukul ibubapa difahami dari larangan meninggikan suara di hadapan keduanya)

Dalil yang digunakan dalam isu ini adalah dalil-dalil yang berbentuk dilalah iqtidha’ (tidak langsung daripada dalil, namun kesan daripada perlakuan kepada sesuatu perkara akan membawa kepada perbuatan yang haram, maka perbuatan tersebut dikira haram.)

Perbuatan melakonkan watak Nabi saw akan menyebabkan kesan-kesan berikut:
Menghina Rasul
Menipu atas nama Rasul
Memperlekeh Rasul

Mustahil kita akan menemui pelakon yang menyerupai watak dan akhlak Baginda saw bahkan dikhuatiri akan menyebabkan celaan kepada peribadi Rasul saw hasil dari gagalnya pelakon berkenaan menampilkan watak yang sesuai dengan peribadi Rasul samada di dalam lakonan mahupun diluar lakonan. Perbuatan ini termasuk dalam larangan menyakiti dan mencerca Rasul saw.


“Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah akan melaknati nya di dunia dan di akhirat, dan (Allah) menyediakan bagi mereka azab yang menghinakan”.( surah al-Ahzab (33): ayat 57)


“Dan mereka yang menyakiti kaum Mukminin dan Mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka mereka telah berbohong dan melakukan dosa yang nyata”.(ayat 58)

Berdasarkan kaedah Sadd al-Dhara i’ (menutup pintu-pintu kejahatan), maka lakonan watak Nabi dan Rasul adalah haram kerana ia membuka ruang untuk mereka yang berniat jahat menggunakan peluang berkarya dalam filem , menghina Islam dan para anbiya’

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Disediakan oleh:
Ustaz Zamri Hashim
Sekretariat MUIS

Rabu, 28 Disember 2011

Hukum Zikir & Tasbih Secara Nyanyian

Apakah hukumnya zikir dan tasbih yang dibuat secara nyanyian dan di dalam suasana yang bercampur gaul antara lelaki dan perempuan?

Jawapan:

Alhi Jawatankusa Syariah memutuskan zikir dan tasbih dibuat dalam bentuk nyanyian adalah harus mengikut masa dan tempat, ramai sahabat Rasulullah yang mengharuskannya, seperti: Abdullah bin Jaafar, Ibn al Zubair, Al Mughirah bin Syu’bah dan Muawiah begitu juga barisan Ulama’ Tasawwauf seperti al Junaid, Sariyyu al Saqati dan Zunnun.

Walau bagaimanapun ianya hendaklah selaras dengan Syariah Islam samada pada tujuan, tempat, masa, suasana dan niat. Perkara ini hendaklah diruju’ kepada Komposer yang arif tentang agama
[1].
-----------------------------------------------------------
[1] Siarus Salikin, Abdul Samad al Palimbangi, Jld.2, Pustaka National, Singapura, h.184-197

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Sembilan