Sahabat Ilmu

Selasa, 2 Mac 2010

JANGAN PERTIKAI HUKUM ALLAH

Soalan :
Apabila saya membaca mengenai hukum-hukum islam, kadang-kadang saya terbaca mangenai hukum yang menyebabkan saya terfikir adakah hukum ini masih boleh digunakan dizaman sekarang. Sebagai contoh Hukum Zihar dimana amalan Arab jahiliah yang mengharamkan isteri mereka dengan menyamakan dengan ibu-ibu mereka lalu hukum ini turunkan. Bukan niat saya untuk mempertikaikan atau menhina Allah SWT dan saya sedar perkara sebegini perlu dirujuk kepada mereka yang pakar mengenai hukum islam dan saya juga sedar akal manusia ini terhad jika dibandingkan dengan ilmu Allah SWT. Soalan saya adalah - Adalah berfikir sedemikian seperti mempertikaikan hukum, menyebabkan akidah saya rosak lalu murtad? .

Jawapan :
Perbuatan menziharkan isteri adalah budaya Arab Jahiliyyah untuk memulau atau menyeksa batin isteri dan perkara tersebut diharamkan dalam Islam kerana isteri tidak boleh disamakan dengan ibu dalam menggambarkan tubuh badan (anggota untuk berseronok). Lafaz yang sarih / jelas dengan niat atau tanpa niat, hukum zihar tetap berjalan. Tetapi sekiranya ia adalah lafaz kinayah maka ia perlu bergantung kepada niat.

Hukum Allah adalah releven sepanjang masa supaya manusia ini berhati-hati melafazkan kata-kata dan berpantang sedikit dalam bertindak . Contihnya dalam perkara zihar iaitu tubuh badan isteri yang boleh disetubuhi tidak boleh disamakan dengan tubuh badan ibu, adik beradik atau perempuan mahram yang kekal. Perkara tersebut boleh mencegah sumbang mahram, menjaga hati dan perasaan isteri, tidak memandang ibu dan adik beradik boleh disetubuhi dan sebagainya. Kafarah zihar pula dilihat sesuatu yang berat seperti memerdekakan hamba, atau puasa dua bulan berturut2 atau sekiranya tidak mampu ,memberi makan 60 orang miskin menunjukkan betapa berat hukum menyamakan tubuh badan isteri dengan ibu atau mahram sendiri.

Justeru, Umat manusia perlu mempelajari dan memahami apa yang tersurat dan tersirat di sebalik hukum yang ditetapkan . Oleh anda dinasihatkan agar berbaik sangka dengan Allah SWT, jangan terlalu cepat untuk mempertikaikan hukum hakam yang telah ditetapkan. Allah menentukan hukum syara' adalah untuk kebaikan hambanya. Sekiranya anda belum dapat mencari hikmah atau sebab musabab yang munasabah dengan akal, maka anggaplah mengamalkannya kerana sebab ta'abbud (beribadat 'iaitu aku dengar dan aku taat atas perintah dan larangan Mu Ya Allah). Sekiranya anda menentang hukum tersebut baru dikatakan kufur. Tetapi sekiranya anda hanya tertanya-tanya dan mengkaji (menambah kefahaman dan ilmu) untuk mendapat jawapan seperti apakah hikmah Allah menjadikan hukum sebegitu sebegini maka ia tetap tidak dinamakan kufur. Wallahua'lam..

Nota:
1. Jawapan kepada soalan disediakan oleh Panel Kemusykilan Agama, JAKIM
2. Setiap borang yang dihantar hendaklah mengandungi hanya satu soalan sahaja.
3. Jawapan yang diberi adalah berdasarkan Mazhab Shafie kecuali dinyatakan sebaliknya

Tiada ulasan: