Sahabat Ilmu

Khamis, 18 Mac 2010

Perihal Umat Akhir Zaman


سياتي زمان على أمتي يحبون خمسا وينسون خمسا : يحبون الدنيا وينسون العقبى, يحبون الدور وينسون القبور, ويحبون المال وينسون الحساب, يحبون العيال وينسون الحق, ويحبون النفس وينسون الله,
هم مني براء وأنا منهم بريء

Yang bermaksud : akan datang suatu masa, dimana umatku suka kepada lima perkara dan meninggalkan 5 perkara : Mereka suka kepada dunia dan mereka lupa tentang pembalasan, Mereka suka kepada kedudukan (pangkat) dan mereka lupa akan kubur, Mereka suka kepada harta dan mereka lupa kepada perhitungan, Mereka suka (cinta) kepada ahli keluarganya dan mereka lupakan yang hak, Mereka suka menuruti hawa nafsu dan mereka lupa kepada Allah swt, Mereka berlepas tangan (bebas) dariku dan aku juga berlepas tangan (bebas) dari mereka.

Hadith di atas menerangkan kepada kita tentang 5 perkara yang manusia suka melaksanakannya dan dalam masa yang sama, manusia lupa kepada 5 perkara yang sepatutnya di titik beratkan.

Yang pertama : يحبون الدنيا وينسون العقبى - Manusia suka kepada dunia dan manusia lupa kepada hari pembalasan. Dan inilah penyakit yang akan menimpa umat Nabi saw iaitu

"حب الدنيا وكراهية الموت"
Cintakan dunia dan membenci akan kematian.
Bilamana manusia telah rakus kehidupannya dengan kehidupan dunia semata-mata, tanpa menghiraukan kehidupan akhirat, maka manusia akan lupa kepada balasan azab seksa Allah swt di akhirat.

Bilamana manusia telah lupa akan ketakutan akhirat, maka manusia akan mula berani melakukan kemaksiatan dan keburukan di atas muka bumi,.Dan hal inilah yang akan menyebabkan kehidupan dunia umat akhir zaman ini dalam suasana yang sangat mendukacitakan.

Cintakan dunia juga merupakan suatu yang akan membawa kepada keburukan yang sangat besar sehingga disebutkan oleh Malik Ibnu Dinar :

"حب الدنيا رأس كل خطيئة"
Cintakan dunia kepala tiap-tiap kejahatan.

Walaubagaimanapun, kalam hukama' di atas bukan bermaksud kita menolak dunia secara seratus peratus. Tetapi ia memberi maksud agar kita memanfaatkan dunia untuk tujuan dan matlamat akhirat. Dan Nabi saw juga ada menyebutkan:

"ولو لم يحب الناس الدنيا هلك العالم وبطل المعاش"
Yang bermaksud : jika manusia tidak cinta kepada dunia, maka akan binasalah alam dan hilanglah kehidupan.

Imam al-Manawi menyatakan dalam kitabnya فيض القدير :

“Mereka yang berlebih-lebihan dalam mencintai dunia akan berada dalam perkara yang syubhah, kemudian mereka akan berada dalam perkara yang makruh, kemudian mereka akan berada dalam perkara yang haram, dan jika berterusan, maka mereka akan menjadi kufur kepada Allah swt, dan hal inilah yang berlaku kepada umat-umat terdahulu yang membunuh para nabi dan rasul di sebabkan kekufuran yang bermula dari sifat cintakan dunia.

Justeru, perlu bagi kita mengingati hari pembalasan untuk mengimbangi akal, nafsu, dan iman kita agar tidak terpengaruh dengan kehidupan dunia yang penuh dengan cabaran dan godaan kehidupan.

Yang keduanya : يحبون الدور وينسون القبور -Manusia suka kepada kedudukan dan pangkat di atas dunia, dan mereka lupa akan hal kehidupan mereka kelak di alam kubur.

Pangkat dan kedudukan sering kali menyebabkan manusia hilang arah dan berada di dalam lembah kehinaan. Hinanya mereka bukan kerana jawatan dan kedudukan tersebut, tetapi hinanya manusia tersebut kerana mengamalkan gejala rasuah, penipuan, pembohongan, fitnah-menfitnah, caci-mencaci dan sebagainya untuk merebut kedudukan dan jawatan.

Kedudukan dan jawatan bukanlah suatu perkara yang hina, namun biarlah ianya terlaksana dalam keadaan yang benar-benar penuh tanggungjawab dan amanah. Barulah jawatan dan kedudukan tadi di anggap suatu perkara yang mulia dan bermakna di sisi Islam.

Sabda Rasulullah saw :

من طلب القضاء واستعان عليه وكل إليه ومن لم يطلب القضاء ولم يستعن عليه
أنزل الله عليه ملكا يسدده
Yang bermaksud : barang siapa yang menuntut kedudukan dan meminta-mintanya, maka perkara tersebut akan diserahkan kepadanya (tanpa bantuan dari Allah swt), dan barang siapa yang tidak menuntut dan tidak pula meminta-minta jawatan dan kedudukan tersebut, maka Allah swt akan menurunkan malaikat untuk membantunya.

Hadith di atas membawa maksud, kedudukan dan pangkat bukan suatu yang hina, tetapi biarlah ianya bukan untuk diminta-minta dan diagung-agungkan.

Justeru, kita perlu menyinari kehidupan kita dengan penuh rasa tanggung jawab dan amanah, serta sentiasa mengingati kehidupan setelah mati. Bagaimana kehidupan kita di alam kubur? Terseksa atau sejahtera? Tersepit atau Selesa? Kegelapan atau cahaya yang meneranginya? Mudah-mudahan ianya mengingatkan kita kepada Allah swt dan alam yang kekal tersebut.

فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُمْ بَعْضاً فَلْيُؤَدّ الّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ وَلْيَتّقِ اللّهَ رَبّهُ - البقرة : من الآية 283

Yang ketiganya : ويحبون المال وينسون الحساب - Manusia seringkali suka kepada harta dan kekayaan, namun manusia juga sering lupa untung menghitungnya (menilai harta tersebut).

Kerana harta manusia sanggup memutuskan persaudaraan, kerana harta berlakunya hasad dan dengki, kerana harta manusia sanggup mati. Ketika hidup manusia bergaduh merebut harta, dan ketika mati juga manusia bertengkar kerana harta. Pendek kata, seluruh kehidupan kita tidak dapat lari dari fitnah harta benda.

Firman Allah swt dalam surah al-Taghabun ayat 15 :

إِنَّما أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ وَاللَّهُ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Yang bermaksud : Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah fitnah (cabaran bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar

Harta kekayaan yang berbentuk material, yang mencukupi nilai dan hitungannya, perlulah dikeluarkan darinya untuk dizakatkan, disedekah, dan darinya juga diguna pakai untuk membantu golongan fakir miskin yang memerlukan.

Ibadah zakat merupakan penyucian kepada harta benda yang kita cari. Keberkatan dari berzakat akan menyebabkan kehidupan seseorang yang kaya raya itu bertambah berkat dan di rahmati Allah swt.

Justeru, Islam menyeru umatnya untuk mencari kekayaan sebanyaknya dan dari kekayaan tersebut digunapakai untuk manfaat akhirat. Kekayaan bukan suatu yang dilarang, terdapat sejumlah besar para sahabat yang hidup dalam kemewahan dan kekayaan. Namun Islam menyeru agar umatnya menghitung harta dan kekayaan agar tidak melupakan tanggung jawab mereka terhadap kekayaan dan harta bendanya.

Yang keempat : يحبون العيال وينسون الحق - manusia suka (cinta) kepada kekeluargaan namun mereka lupakan yang hak العيال ialah mereka yang berhak mendapat nafkah dan mereka yang berada dibawah tanggungan dan penjagaan seseorang.

Bapa atau suami memikul tanggungjawab yang sangat besar untuk memastikan ahli keluarga yang berada dibawah tanggungannya sentiasa mentaati Allah, melaksanakan yang makruf dan menjauhi maksiat dan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah swt

Manakala isteri, anak-anak dan mereka yang berada dibawah tanggungan pula perlulah taat dengan perintah suami dan bapanya selagimana ianya tidak menyalahi perintah dan suruhan agama Islam.

Namun, pertanggungjawaban inilah sering dizalimi. Anak-anak tidak taat kepada ibubapa, isteri dan suami saling curiga-mencurigai sesama sendiri dan lebih dari itu ada yang mengkhianati tali pernikahan yang terjalin.

Firman Allah swt di dalam surah al-Kahfi ayat 46:

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَاباً وَخَيْرٌ أَمَلاً
Yang bermaksud : Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.

Ayat di atas memperakui bahawa harta benda, dan anak – anak juga merupakan perhiasan dunia yang boleh kita manfaatkan. Namun, amal soleh itu lebih utama dan ianya merupakan harta akhirat yang sangat bernilai yang perlu kita hitungi.

Ingatlah, hak dan kewajipan perlulah dilaksanakan, dan pertanggungjawaban ini akan dipersoal ke atas bahu kita di akhirat kelak.

Yang kelima : ويحبون النفس وينسون الله - Manusia suka kepada kehendak hawa nafsu mereka dan seringkali melupakan batasan dan ketentuan yang ditetapkan oleh Allah swt.

Nafsu manusia sering inginkan suatu perkara yang lebih dan melampaui batas. Banyak pepatah melayu yang menggambarkan keadaan nafsu manusia antaranya “ sudah bagi peha, hendak betis”, “ ikut hati mati, ikut badan binasa” “alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan”

Kekadang, peribahasa yang digambarkan ingin membawa kepada maksud yang baik, namun manusia yang bernafsu sering menggunakannya kepada yang tidak baik.

Nafsu perlu dididik agar tidak melampaui batas.

Firman Allah swt di dalm surah Yusuf ayat 53:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
Yang bermaksud : Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa nafsu itu sering membawa kepada kejahatan melainkan nafsu yang diberi rahmat oleh Allah swt.

Di antara nama-nama nafsu ialah :

1. Nafsu Amarah : iaitu nafsu yang menyeru kepada kejahatan seperti dalil di atas.

2. Nafsu Lawamah :iaitu nafsu yang sentiasa berbelah bahagi antara kebaikkan dan kejahatan, dan bila mana seseorang itu membuat kejahatan, dia akan bertaubat.

3. Nafsu Mutmainnah : iaitu nafsu yang sentiasa terdorong membuat kebaikan dan kebajikan.

Oleh itu, perlu bagi kita mendidik nafsu agar sentiasa dalam keadaan mutmainnah iaitu yang mendorong kepada kebaikan dan kebajikan dan dijauhi dari nafsu yang sentiasa berbelah bahagi antara kebaikan dan kejahatan serta nafsu amarah yang sentiasa dalam kejahatan.

Dari Saidina Abu Bakar al-Sidiq r.a berkata :

Terdapat lima perkara yang membawa kepada kegelapan dan terdapat 5 perkara juga yang dapat menerangi kegelapan tersebut iaitu :

1. حب الدنيا ظلمة والسراج له التقوى : cintakan dunia itu adalah kegelapan dan yang meneranginya ialah ketakwaan.
2. الذنب ظلمة والسراج له التوبة : dosa itu kegelapan dan yang meneranginya adalah taubat.
3. القبر ظلمة والسراج لها لاإله إلا الله محمد رسول الله : kubur itu gelap dan yang meneranginya adalah kalimah syahadah لاإله إلا الله محمد رسول الله
4. والآخرة ظلمة والسراج لها العمل الصالح : akhirat itu kegelapan dan yang meneranginya adalah amal soleh.
5. الصراط ظلمة والسراج له اليقين :titian sirat itu kegelapan dan yang meneranginya adalah keyakinan

Kesimpulan dari petikan dan intisari huraian hadith di atas :

1. Terdapat lima perkara penting yang menjadi buruan dan kecintaan dalam kehidupan manusia yang menyebabkan mereka didalam lembah kebinasaan iaitu :

• Cintakan dunia keterlaluan
• Terlalu mengejar pangkat dan kedudukan darjat
• Cinta kepada harta dan kekayaan
• Menyintai ahli keluarga tanpa panduan agama
• Melebihkan hawa nafsu.

2. Untuk mengatasi 5 perkara tersebut, maka kita perlu mengingati 5 perkara yang sering kita lupakan iaitu :

• Mengingati hari pembalasan
• Mengingati mati sepertimana yang disebut oleh para ulamak kita, nasihat dan bimbingan yang paling mujarab ialah dengan mengingati mati "كفي بالموت واعظا"
• Menunaikan hak kepada ahli keluarga yang dicintainya dan mendidik mereka mentaati perintah Agama.
• Mengingati Allah dalam memenuhi kehendak hawa nafsu agar terbatas dengan ketaqwaan dan keimanan.

3. Rasulullah saw juga pernah bersabda :

“Sesiapa yang bersyukur, maka Allah akan tambah kesyukuran itu dengan kebaikan, sesiapa yang berdoa, Allah akan sediakan perkenan baginya, sesiapa yang beristighfar, maka Allah akan sediakan keampunan baginya, sesiapa yang memohon taubat maka Allah swt sediakan penerimaan baginya, dan sesiapa yang bersedekah, maka Allah swt menyediakan penerimaan baginya”.

والله أعلم بالصواب وهو الهادي إلى سبيل الرشاد

مراجع:
تفسير القرآن الكريم
النصائح الدينية والوصايا الإيمانية
الأحاديث النبوي الشريف – المكتبة الشاملة
فيض القدير للمناوي
الاستعداد ليوم المعاد لابن حجر العسقلاني

Tiada ulasan: