Sahabat Ilmu

Jumaat, 15 Mei 2009

HUKUM MENGINGKARI ZAKAT

Tidak Mahu Mengeluarkan Zakat dan Ancamannya

Sesiapa yang mengingkari kewajipan zakat, ini bererti orang tersebut terkeluar dari agama Islam dan dia hendaklah diminta supaya bertaubat. Jika dia tetap bertegas tidak mahu bertaubat, dia boleh dibunuh sebagai seorang yang kafir kecuali orang tersebut baru sahaja memeluk Islam di mana dia boleh dimaafkan disebabkan oleh kejahilannya tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan ajaran Islam.

Dalam keadaan ini orang berkenaan hendaklah diajar sehingga dia betul-betul jelas dan dapat mengikutinya dengan baik. Adapun orang yang enggan membayarnya tetapi masih tetap mengakui tentang kewajipan zakat, maka orang yang berkenaan berdosa kerana tindakannya itu walau bagaimanapun dia tidaklah sampai terkeluar dari agama Islam. Oleh yang demikian, pemerintah wajib mengambil zakat hartanya secara paksa sekaligus menjatuhkan hukuman takzir (pengajaran) kepadanya.

Jika terdapat suatu golongan masyarakat yang mempunyai kekuatan dan enggan membayar zakat tetapi mereka masih tetap mengakui kewajipan mengeluarkan zakat, maka pemerintah berhak memerangi mereka sehingga mereka membayar zakat masing-masing berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh jemaah ahli hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w wafat, Abu Bakar dilantik menjadi khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w dan pada waktu itu ramai dikalangan bangsa Arab yang kufur (murtad).

Lalu Umar r.a berkata: (Bagaimanakah kamu ingin memerangi orang-orang yang murtad kerana Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperintahkan supaya memerangi orang-orang yang murtad sehingga mereka mengakui bahawa tiada Tuhan selain Allah, jika mereka menyatakan pengakuan tersebut, maka jiwa dan hartanya terpelihara daripada aku kecuali apabila orang berkenaan melakukan tindakan yang boleh dijatuhkan hukuman dan perhitungan orang tersebut terserahlah kepada Allah s.w.t?

Lantas Abu Bakar r.a menjawab: Demi Allah, aku akan terus memerangi orang yang memisahkan di antara sembahyang dengan zakat kerana zakat adalah kewajipan terhadap harta. Demi Allah, seandainya mereka tetap enggan membayar walaupun seekor anak kambing betina yang belum sampai umurnya satu tahun sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah s.a.w, aku tetap akan memerangi mereka kerananya. Kemudian Umar r.a berkata: Demi Allah sesungguhnya Allah telah menerangi dada Abu Bakar untuk memerangi mereka dan aku juga yakin bahawa tindakan tersebut adalah benar).

Manakala di dalam hadis lain yang juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak seorang pun yang memiliki emas dan perak yang tidak dibayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti dia akan disediakan dengan lembaran atau kepingan (besi) yang diperbuat dari api neraka kemudian dipanaskan di dalam api neraka jahanam seterusnya digosok ke badan, dahi dan punggungnya. Setiap kali kepingan tersebut sejuk, ia akan dipanaskan kembali kemudian digosok lagi kepadanya secara berterusan pada satu masa yang mana tempohnya sama seperti 50 ribu tahun sehinggalah selesai diputuskan nasib seluruh manusia. Pada waktu itu setiap orang masing-masing dapat melihat nasibnya (jalannya) adakah dia ditempatkan ke syurga atau ke neraka). (Hadis riwayat Imam Muslim).

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a, daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda: Tidak seorangpun di kalangan hamba yang tidak membayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti hartanya akan diperlihatkan kepadanya sebagai seekor ular yang sangat besar dan sangat berbisa lalu membelit lehernya. Kemudian Nabi s.a.w membaca kepada kami ayat suci al-Quran yang menegaskan lagi perkara tersebut: (وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا ءَاتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ) yang bermaksud: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan dia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. (Surah Aali Imran, Ayat: 180). Hadis Sahih, riwayat Imam Nasaie, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Majah serta lafaz hadis juga diambil dari riwayat Ibnu Majah. Dalam sebuah hadis yang lain pula diriwayatkan daripada Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengutuk (melaknat) orang yang memakan riba, pemberi riba, saksi riba, penulis riba, pelukis tatu, orang meminta supaya dilukis tatu, orang yang enggan membayar zakat, pengambil upah cina buta dan suami yang mengupah cina buta. (Hadis Hasan, riwayat Imam Ahmad dan Nasaie).‏

SELAMAT BERZAKAT..TUNAIKANLAH KEWAJIPAN ANDA SEBAGAI SEORANG MUSLIM SEJATI

Tiada ulasan: