Sahabat Ilmu

Khamis, 14 Februari 2008

ADAKAH ANDA TERGOLONG DALAM GOLONGAN INI???

16 Kategori Manusia Yang Tidak Dapat Menatap Wajah Allah

Salah satu nikmat yang paling besar yang dikecapi oleh penduduk syurga ialah mereka dapat melihat dan menatap wajah Allah Azza Wajalla. Allah berfirman dalam Surah al Qiamah ayat 22-25

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ
وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ بَاسِرَةٌ تَظُنُّ أَن يُفْعَلَ بِهَا فَاقِرَةٌ

Pada hari akhirat kelak, muka (orang-orang yang beriman kelihatan) berseri-seri; justeru mereka dapat menatap wajah Tuhannya. Sebaliknya muka (orang-orng kafir) serba muram dan pucat hodoh justeru mereka yakin akan menghadapi seksaan yang berat dan dahsyat.

Namun bagi orang yang bernasib malang mereka tidak akan dapat masuk syurga dan menatap wajah Allah . Golongan yang tidak akan dapat menatap wajah Allah yang mulia ialah :

1. Orang yang menjual janji setianya dengan Allah dengan harga yang tidak seberapa daripada habuan duniawi yang fana ini.(Orang bersumpah palsu) Allah berfirman dalam surah Ali-Imran 77 :

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya

2. Pemerintah yang menjauhkan diri dari suka duka rakyat, tidak peduli kepada penderitaan mereka dan tidak kesihan terhadap kemiskinan dan keperitan hidup yang dihadapi oleh mereka.

Abu Mariam al Azadi R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda :
“ Siapa yang memikul apa-apa jawatan atau tugas menguruskan orag Islam namun dia gagal memenuhi tanggongjawab dan dia mengelak daripada menyelesaikan keperluan mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaan umat Islam nescaya Allah akan mengelak (menjauhkan diri) daripadanya pada hari kiamat kelak daripada menyelesaikan keperluannya yang mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaannya pada hari tersebut.”

Hadith Sahih riwayat Abu Daud dan dianggap berstatus sahih oleh al Albani.

3. Orang Tua yang Berzina

Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:
“Tiga orang Allah enggan bercakap-cakap dengan mereka pada hari kiamat kelak. Allah tidak sudi memandang muka mereka, Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) . Untuk mereka disiapkan seksa yang sangat pedih. (Mereka ialah ): Orang tua yang berzina, pemerintah yang suka berdusta dan fakir miskin yang takabbur.”
Hadith ditakhrijkan oleh Muslim.

4. Pemerintah Atau Kerajaan Yang Suka Berbohong (Dusta)

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti… [al-Hujurat 49:6]

Surah Al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud: “Ingatlah, sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Barangsiapa yang menceritakan dariku satu hadis yang ia sangka, sesungguhnya hadis tersebut dusta/palsu, maka ia termasuk salah seorang dari para pendusta. [ Hadis Sahih: Dikeluarkan Muslim, Ibnu Majah, Tirmidzi, Ahmad. Lihat Muqaddimah Sahih Muslim. Lihat juga Musnad Ahmad (Hadis Daripada Samuroh Bin Jundud radhiallahu ‘anh) dengan lafaz yang sedikit berbeza.]

Menurut Imam Ath-Thahawiy diantara penjelasannya terhadap hadis di atas:
Barangsiapa yang menceritakan (hadis) dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan dasar zhan (sangkaan), berarti ia telah menceritakan (hadis) dari beliau dengan tanpa haq, dan orang yang menceritakan (hadis) dari beliau dengan cara yang batil, niscaya ia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam :"Barangsiapa yang sengaja berdusta atas (nama)ku, hendaklah ia mengambil tempat tinggalnya di neraka".[Musykilul Atsar (1/176)]

5. Orang miskin yang takabbur
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang menyombongkan diri (takabbur)}(an-Nahl ayat 23)

6. Orang yang tak sudi menolong walau dengan mengajukan seteguk air.

Dalam Hadith riwayat Abu Hurairah ada disebutkan prasa berikut: .. orang yang enggan memberi lebihan air minum (yang dia miliki kepada orang yang keputusan air minum). Sehingga Allah bersabda : Pada hari ini Aku akan menghalangmu daripada mendapat lebihan kurniaKu, persis sepertimana kamu menghalang orang lain daripada mendapat kurniaan yang bukan tangan kamu yang menciptanya.

7. Pembai’ah dan pengundi pemimpin kerana kebendaan

Dalam hadith riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah bersabda

”Tiga orang Allah tidak akan bercakap cakap dengannya pada hari kiamat kelak. Malah Allah tidak akan menoleh (memandang) kepadanya, Allah tidak akan menyucikan dirinya (daripada dosa) . Sebaliknya disediakan untuknya seksa yang sangat pedih.

Pertama; orang yang mempunyai bekalan air yang banyak di suatu kawasan lapang atau sahara tapi ia enggan untuk memberi minum ”Ibnu al Sabil” para musafir (yang kehabisan bekalan minuman ).

Kedua; orang yang menawar untuk membeli barangan selepas asar dengan bersumpah atas nama Allah; bahawa dia akan membeli atau mengambil barang itu dengan harga tertentu.Janjinya itu dipercayai benar oleh penjual. Pada hal dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk membelinya .

Ketiga; orang membai’ah pemimpin (mengundi dan memilih atau melantik pemimpin) semata-mata kerana perhitungan keduniaan (kebendaan). Kalau orang yang dipilihnya itu memberikan janji habuannya maka barulah dia akan menunaikan kewajibannya. Kalau tidak ia akan bersikap enggan (atau ingkar).”
(Hadith Muttafaqun ’alaihi)

8. Penderhaka Ibu Bapa

Rasulullah bersabda:

Abdullah Bin Omar R.A. meriawayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:
“Tiga orang Allah tidak akan sudi memandang wajah mereka pada hari kiamat kelak: Penderhaka kepada dua ibu bapanya, wanita yang berlagak lelaki yang meniru kaum jantan dan golongan orang Daiyuth. (Hadith sahih ditakhrijkan oleh Ahmad dan Nasaii)

9. Wanita yang berlagak seperti lelaki (Tomboy)

Sabda Rasulullah swt
“Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Sabdanya lagi:
“Rasulullah melaknat wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu) dan wanita yang minta disambungkan rambutnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabdanya lagi:
“Allah melaknat wanita yang membuat tatu, wanita yang minta dibuatkan tatu, wanita yang mencabut alisnya, wanita yang minta dicabutkan alisnya dan melaknat wanita yang mengukir giginya untuk tujuan memperindahnya, wanita yang merubah ciptaan Allah Azza wa Jalla.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

10. Orang Lelaki yang Dayyuth (Pengecut)

Suami atau bapa yang tidak lagi mempunyai rasa cemburu dan maruah diri sehingga membiarkan isteri berjahat dengan orang lain tanpa rasa cemburu dan marah
Apabila perasaan cemburu yang positif ini sudah tidak ada lagi dalam diri seseorang ; maka tidak ada usaha untuk menentang kemungkaran terhadap maruah keluarga atau diri sendiri. Dengan itu kejahatan akan bermerajalela.Juga bapa yang takut menegur kemungkaran yang dilakukan oleh keluarganya (seperti tidak menutup aurat, tidak solat, pergaulan bebas dan seumpmanya)

11.Pengamal Budaya Kaum Luth

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : Allah tidak akan sudi memandang wajah orang yang menyetubuhi lelaki atau mendatangi isterinya di duburnya. Hadith sahih ditakhrijkan oleh al Turmuzi

12. Pengamal Seks Abnormal

Golongan ini termasuk kalangan yang bernafsu terhadap binatang dan tergamak melakukan hubungan jenis dengan binatang .

13.. ”Al-Mannan” atau pemberi yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya; baik lelaki mahupun perempuan.

Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

“ Tiga orang Allah tidak akan bercakap-cakap dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) malah disiapkan untuk mereka seksa yang sangat pedih. Baginda mengulang prasa itu tiga kali.

Lalu (kata Abu Zar) aku pun menambah, malang , kecewa dan rugilah mereka ; siapakah mereka itu wahai Rasulullah?.

Beginda menjawab al Mannan atau orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang melariskan barang jualannya dengan sumpah (palsu) dan orang suka melabuhkan pakaiannya ( kerana-menunjuk-nunjukan kekayaan ).
(Hadith di takhrijkan oleh Muslim)

14. Orang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dengan pakaian labuh menyapu tanah dan berjalan di muka bumi dengan angkuh dan sombong

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku melihat seorang lelaki melabuhkan kainnya, beliau menghentakkan kakinya ke bumi. Lelaki itu ialah pembesar Bahrain. Beliau mengucapkan: Pembesar datang, pembesar datang. Sementara itu, aku mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan memandang orang yang melabuhkan kainnya dengan perasaan bongkak.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan, beliau begitu bangga dengan juntaian rambutnya serta kejantanannya, tiba-tiba beliau ditenggelamkan oleh bumi, maka beliau pun terbenam di dalam bumi sehingga ke Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah tidak akan memandang orang yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong.

“Orang melabuh-labuhkan pakaian (menunjuk-nunjuk kekayaan dengan sikap boros) yang berjalan dengan cara bermegah-megah dengan diri sendiri.”

15. Penjual yang melariskan barang jualannya dengan cara berdusta dan membohong

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka [ Hadis Sahih (Mutawattir): Dikeluarkan Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain. Lihat Sahih al-Bukhari, hadis no – 109 (Kitab al-Ilm, Bab dosa berdusta keatas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam). Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no – 3 dan 4 (Muqaddimah - Bab berdusta keatas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam).]

Sesungguhnya para pendusta adalah orang-orang jahil (bodoh), tidak mengerti apa-apa yang menunjukkan kedustaan mereka.”
(Majmu’ Fatawa, juz IV, hal. 507-508

16.Isteri yang tidak berterima kasih terhadap suami

Abdullah Bin Omar R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Bahwa Allah tidak akan memandang muka isteri yang tidak berterima kasih (kufur nikmat) kepada suaminya. Pada hal dia sendiri tidak boleh tidak memerlukan kepada suaminya itu.”(Hadith sahih ditakhrijkan oleh al Nasasii dan di anggap sahih oleh al Albani.)

MUHAMAD NAIM HASHIM
6 SAFAR 1429H
(Artikel asal dari ust Ghani Samsudin dan telah diubahsuai)

Tiada ulasan: