Sahabat Ilmu

Selasa, 26 Julai 2011

Solat ‘pendinding’ daripada kemungkaran

by nurjeehan

Oleh Mohd Shukri Hanapi

DIDIKAN AWAL: Rasulullah berpesan agar mengajar anak mengambil wuduk dengan betul dan menunaikan solat sejak berusia tujuh tahun.

Kesempurnaan ibadat jadikan jiwa sentiasa tenang dan bencikan kejahatan

SALAH satu peristiwa agung yang berlaku kepada Rasulullah ialah Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj adalah antara mukjizat terbesar dan tidak pernah dikurniakan kepada nabi serta rasul sebelumnya.

Pada peristiwa itu Rasulullah SAW menyaksikan tanda kebesaran dan kekuasaan Allah. Di samping itu, Baginda juga diperlihatkan dengan pelbagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perilaku manusia dengan balasan bakal mereka terima.

Di kemuncak peristiwa inilah Allah mensyariatkan solat kepada umat Islam. Sesungguhnya solat adalah ibadat paling utama bagi umat Islam sehingga ia disebut sebagai tiang agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia sudah mendirikan agama, sesiapa meninggalkannya sesungguhnya dia meruntuhkan agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kewajipan mendirikan solat diperintahkan Allah dalam firman yang bermaksud:

“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna seperti mana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah al-Nisa’, ayat 103)

Melihat betapa pentingnya kewajipan solat dilaksanakan oleh setiap umat Islam, Rasulullah menyuruh supaya ibadat solat itu diajarkan kepada anak ketika berumur tujuh tahun dan memukul mereka dengan pukulan bertujuan mendidik jika enggan solat ketika berumur 10 tahun.

Diriwayatkan daripada Amru bin Syu’ib bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Suruhlah anak kamu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Saranan hadis itu bertepatan dengan pepatah Melayu, “Jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Inilah cara pendidikan awal untuk melatih anak mengerjakan solat yang mesti dilaksanakan ibu bapa.

Di samping itu, kita juga digalakkan berdoa supaya anak dan zuriat sentiasa mendirikan solat. Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Surah Ibrahim, ayat 40)

Sesungguhnya solat mempunyai banyak rahsia dan kelebihan, antaranya ialah solat dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah.

Allah berfirman yang bermaksud:


“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan-Ku. Oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Surah Taha, ayat 14)

Solat adalah jalan untuk kita sentiasa mengingati Allah. Dalam perkataan lain, solat tanda pengabdian dan syukur seseorang hamba kepada Allah atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan.

Solat juga boleh menghapuskan dosa. Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Oleh itu, solat lima kali sehari semalam boleh menghapuskan dosa kecil yang kita lakukan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat itu, selama dijauhinya dosa besar.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, solat juga boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar. Solat yang dikerjakan dengan ikhlas, khusyuk dan mengikut segala rukunnya mencegah orang mengerjakannya daripada melakukan maksiat serta kemungkaran.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan perkara yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Seterusnya solat juga memberi keberkatan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Orang yang memelihara solat, kehidupannya dipenuhi dengan kejayaan, keberkatan dan kebahagiaan.

Solat juga mempunyai pelbagai kelebihan daripada aspek perubatan dan kesihatan antaranya, solat yang ikhlas dan khusyuk boleh mendamaikan jiwa, mengawal tekanan perasaan dan menjadikan tubuh badan sihat serta cergas.

Perkara itu terbukti apabila pakar urat saraf bukan beragama Islam melakukan kajian mendapati bahawa ada beberapa urat saraf dalam otak manusia yang berkeadaan selalu kosong, tidak dimasuki darah, iaitu darah tidak boleh masuk ke dalamnya, padahal setiap bahagian otak manusia itu memerlukan darah yang cukup untuk ia dapat berfungsi dengan sempurna.

Namun, selepas sekian lama membuat kajian, akhirnya doktor itu mendapati memang darah tidak dapat sampai ke beberapa bahagian urat saraf tertentu dalam otak kecuali pada ketika seseorang itu sujud dalam solatnya, barulah darah itu boleh masuk dan mengalir.

Sesungguhnya ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah kerana Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Perintah ibadat solat berbeza dengan ibadat lain seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan Malaikat Jibril. Ini menunjukkan ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah.

Oleh itu, sesiapa yang meremehkan dan mensia-siakan soal ibadat solat, mereka adalah golongan yang sesat. Allah berfirman yang bermaksud:

“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).” (Surah Maryam, ayat 59)

Abdullah bin Abbas berkata, maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkan daripada waktunya. Misalnya seseorang yang menunaikan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat Asar di dalam waktu maghrib, solat Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta solat Subuh dilaksanakan selepas terbit matahari.

Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumbankan ke sebuah lembah bernama al-Ghai’a dalam neraka dan diberikan makanan amat jijik. Jika mengerjakan solat fardu di luar waktu sudah sebegini hukumannya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa orang yang tidak menunaikan solat fardu sama sekali.

Justeru, melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Oleh itu, marilah kita mentaati perintah Allah dengan menunaikan solat supaya kehidupan seharian sentiasa tenang dan dapat menghindarkan daripada melakukan mungkar.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda kesyukuran).” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2).

Tiada ulasan: