Sahabat Ilmu

Selasa, 5 Julai 2011


1) Assalamualaikum ustaz,
bolehkah kita melakukan 2 kali solat sunat witir dalam satu malam. Contohnya, selepas sunat tarawih saya terus melakukan sunat witir namun begitu pada pertengahan malam saya bangun untuk melakukan tahajud seterusnya witir. Adakah betul cara pelaksanaan ibadah ini???

Ahmad

2) Assalamualaikum ustaz,saya agak keliru dengan persoalan yang berkaitan dengan solat sunat witir. Ada yang mengatakan bahawa witir itu penutup yang bermakna penutup ibadah kita pada malam itu. Jadi, jika kita berniat untuk beribadah lagi (selepas terawih di rumah seperti qiam etc) maka tidak perlu buat solat witir. Saya kurang arif pada ketika saya mendengarkan perkara tersebut maka saya tidak bertanyakan dari mana sumber itu berasal. Monta panduan dan huraian sedikit daripada ustaz. Salam Ramadhan.

shariful fadzli

Jawapan:

:الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام علي رسول الله , وبعد

Pertamanya perlu diketahui di sini bahawa hukum melakukan solat witir adalah sunat muakkad. Persoalan yang ditimbulkan di sini ialah mengenai seseorang yang ingin melakukan solat sunat di rumah selepas dia mengerjakan solat terawih di masjid. Adakah dia perlu menangguhkan solat witir di masjid dan mengerjakan solat witir tersebut di rumah sebagai penutup solat malam, atau dia boleh melakukan solat witir selepas solat terawih dan menyambung solat-solat sunat di rumah walaupun telah mengerjakan solat witir di masjid?

Jika selesai sunat terawih dan anda tidak menunaikan solat witir kerana ingin mengerjakannya di rumah sebagai penutup kepada solat-solat sunat anda, maka ia adalah benar dan tidak menjadi persoalan di sini.

Yang menjadi perbahasan ulama ialah bagi mereka yang telah mengerjakan solat witir selepas solat terawih di masjid dan selepas itu ingin menyambung ibadat solatnya di rumah. Adakah dia boleh melakukan solat sunat tambahan kerana telah melakukan solat witir sedangkan solat witir dianggap sebagai penutup solat malam.

Permasalahan ini termasuk dalam masalah khilaf (masalah yang diperselisihkan ulama).

Ringkasnya, pandangan ulama dalam masalah ini adalah seperti berikut:

1) Jika seseorang telah melakukan solat witir dan kemudian dia ingin mengerjakan solat-solat sunat yang lain, maka dia boleh terus sahaja mengerjakan solat-solat tersebut dan tidak perlu mengulangi witirnya. Antara sandaran pendapat ini ialah:

عن أم سلمة أنه صلي الله عليه وسلم كان يركع ركعتين بعد الوتر وهو جالس
(رواه أحمد وأبو داود والترمذي وغيرهم)

Maksudnya: Daripada Ummu Salamah r.a, "Bahawa nabi saw pernah mengerjakan dua rakaat lagi sesudah witir dalam keadaan duduk. (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dll)

Daripada hadis di atas jelas menunjukan boleh melakukan ibadat solat bagi mereka yang telah melakukan solat witir. Dia tidak perlu mengulangi solat witirnya berdasar hadis di bawah.

عن علي أنه قال: سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول: لا وتران في ليلة
(رواه أبو داود والنسائ والترمذي وحسنه)

Maksudnya: Daripada Ali r.a bahawa dia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Tiada dua witir dalam satu malam". (riwayat Abu Daud, An-Nasaai, Tirmizi dan dia menganggapnya sebagai Hasan).

2) Pandangan yang kedua pula ialah dia perlu terlebih dahulu menggenapkan witir yang awal dan selepas itu barulah dia mengerjakan solat-solat sunat yang ingin dilakukan. Akhirnya dia menutup solatnya dengan witir yang baru. Antara sandaran kepada pendapat ini ialah hadis berikut:

Daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah telah bersabda: "Jadikanlah witir sebagai akhir sembahyangmu di malam hari". (riwayat Jamaah kecuali Ibnu Majah)

Sebagai kesimpulan, permasalahan ini berlaku khilaf di kalangan ulama. Setiap pandangan mempunyai hujah masing-masing dan kedapatan hujah-hujah lain yang tidak disebutkan di sini. Beramallah dengan mana-mana pandangan di atas dalam keadaan anda mengetahui sandaran dan hujahnya. Saya akhiri jawaban ini dengan membawa hadis nabi seperti berikut:

عن أبي مسعود الأنصاري رضي الله عنه قال: كان رسول الله صلي الله عليه وسلم يوتر أول الليل
-وأوسطه وآخره -رواه أحمد بسند صحيح

Maksudnya: Daripada Abi Mas'ud al-Ansori r.a bahawa dia telah berkata: Adalah Rasulullah saw telah melakukan solat witir di awal malam, di pertengahan malam dan juga di akhir malam. (riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang sahih)

Sekian والله أعلم بالصواب
Rujukan:
1) Fiqh sunnah
2) Pelbagai

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

Tiada ulasan: