Sahabat Ilmu

Memaparkan catatan dengan label ISU SEMASA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ISU SEMASA. Papar semua catatan

Rabu, 5 Disember 2012

Kenapa Orang Tidak Solat Boleh Berjaya ?

بسم الله الرحمن الرحيم



Seperti yang kita tahu, ilmu itu merupakan cahaya, dan ianya tidak akan memasuki hati-hati yang gelap. tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha.

Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan dugaan. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.

Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?

Maka saya hendak bertanya kepada anda.

Adakah anda tahu apa itu istidraj?

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakah maksud istidraj?

Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.

Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Saya bagi contoh yang paling mudah. Salah seorang darinya adalah Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan. Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,

“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.

Nah… Apakah itu yang kita mahu?

Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?

Saya yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”

Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda langsung lupa bahawa yang memberi kejayaan adalah Allah SWT , dan ini buktinya ada semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.

Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa” ALLAH menjawab,

“ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”

Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah study ? gagal dalam perniagaan walau hebat menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,

“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.

Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita. Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?

Saya yakin tidak..

Anda tenang sekarang?

Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.

Aku berdosa, tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.

Mari kita sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula.


~http://dirihamba.blogspot.com~

Khamis, 26 April 2012

Siapa Mamat Nii..Sanggup Bayar Denda Wanita Pakai Niqab.??



Kalau anda nak tahu inilah Rachid Nekkaz, seorang ahli perniagaan muslim Perancis yang mengumumkan dia akan membayar setiap denda bagi wanita yang didakwa dengan kesalahan memakai niqab - bukan sahaja di Perancis tetapi "dalam mana-mana negara lain di dunia yang melarang wanita daripada berbuat demikian" ..... TRUE HERO! ALLAHUAKBAR,,..

Rabu, 1 Februari 2012

Pertama Kali SAUDI Benarkan Wanita Tonton Bolasepak

Sebuah laporan dari akhbar yang dikelola pemerintah Saudi Arabia menyatakan bahawa untuk pertama kalinya negara Muslim yang dianggap konservatif ini, wanita akan diizinkan untuk menghadiri pertandingan sepak bola di salah satu stadium di negara tersebut.

Akhbar Al-Sharq pada hari Sabtu lalu (28/1) memetik pegawai yang tidak disebutkan namanya yang mengatakan bahawa wanita akan dapat menonton pertandingan sepak bola di fasiliti baru yang akan selesai pada tahun 2014 di kota pelabuhan barat Jeddah.

Pegawai itu mengatakan bahawa stadium baru akan mencakup balkoni khusus keluarga dengan kabin peribadi dan balkoni khusus wanita yang ingin menghadiri pertandingan bolasepak.

Aturan yang ketat di Arab Saudi, melarang lelaki dan wanita yang bukan mahram saling bercampur baur. (fq/aby)sumber

Sabtu, 10 Disember 2011

Penghinaan Terhadap Hukum Allah



1. Sebelum ini negara kecoh dengan kenyataan Kamal Saidin Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu dan Chua Soi Lek Presiden MCA yang mempersenda hukum Allah swt dalam Majlis Wacana Hudud di Wisma MCA baru - baru ini sedang beliau tiada authoriti untuk bercakap mengenai hukum Islam. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ust Fathul Bari selaku Pengerusi Sekretariat Ulama' Muda UMNO sebagai salah seorang panel.

2. Belum pun reda rasa sugul diatas penghinaan terhadap hukum Allah swt dan perlecehan terhadap disiplin ilmu ketika membincangkan persoalan ini, kini tercetus pula penghinaan yang lebih strategik dan terancang dengan terhasilnya filem pendek di bawah tajuk Lagi Hudud PAS yang kini disiar menerusi laman youtube.

3. Pelaku yang mendalangi penghinaan terancang terhadap hukum Allah swt sedang berdepan dengan satu tanggungjawab yang sangat berat. Saya terlebih dahulu mewakili DPPM mengharapkan dalang dan para pelakon muslimnya bertaubat kepada Allah swt dan kembali kepangkalan jalan [bahkan pelakon non muslim juga selayaknya tidak menghina agama Islam dan mereka mesti memohon maaf ] lalu menjadikan bakat mengarah dan berlakon filem itu ke arah pembikinan filem pendek yang mendidik rakyat agar lahir sebuah generasi yang soleh serta menghormati nilai agama dan ilmu.

4. DPPM juga mengharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan wajar kepada mereka termasuk ke atas pemilik akaun kawasaki9722 yang menyiarkan filem tersebut. Filem ini tidak menguntungkan sesiapa malah mengundang kebencian ramai. Lihat sahaja [ statistik sehingga artikel ini ditulis ] jumlah like [ 91 orang ] berbanding jumlah dislike [ 4,299 orang ] sementara jumlah penontonnya [ 10, 123 orang ].

5. Kami kesal apabila kebebasan berkarya digunakan untuk menghina hukum Allah swt. sedang mereka tanpa segan silu menikmati segala macam kemudahan, keselesaan dan nikmat anugerah Allah swt di atas muka bumi ini. Masih terlalu banyak ruang kebaikan untuk mereka menghasilkan karya bermutu dengan bakat seni yang mereka miliki.

6. Saya doakan agar mereka insaf dan mengalu - alukan bakat seni yang mereka miliki untuk disalurkan kepada pelbagai bentuk karya yang mampu menaikkan nama Islam.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Khamis, 25 Ogos 2011

SUBKY LATIF BELA AZMIL MUSTAFA

24 Ramadhan 1432H,

KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Penulis veteran, Haji Subky Latif menyifatkan bekas pelakon, Azmil Mustafa (gambar) bercakap betul betapa yang mutlak ditakuti ialah Allah, bukan raja.

"Kalau takut pada raja itu sama takut pada Allah, ia menyamakan Allah dengan makhluk," kata Haji Subky.

Bagi beliau, kes ini sama seperti rakyat takutkan Fir'aun kerana menyangka Fir'aun itu tuhan.

Bagi beliau, "Raja wajar dihormati dan dimuliakan, tapi bukan ditakuti. Kalau ini yang dimaksudkan oleh Azmil, dia telah menyampaikan satu nasihat yang baik."

Sehubungan itu, Subky berkata, kalau ada kelemahan dalam penyampaian dia boleh ditegur, tetapi bukan diletakkan dia di kandang orang salah.

Baru-baru Azmil didakwa memberikan tazkirah di sebuah masjid dan didakwa menghina orang melayu dan raja-raja.

Tazkirahnya di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, di sini, dikatakan mengundang kemarahan kira-kira 300 ahli jemaah menunggu untuk menunaikan solat Terawih di masjid itu.

Berikutan itu, dua laporan polis dibuat terhadapnya di sini, semalam.

Bilal I Masjid An-Nur, Mohd Shafie Nasib berkata, pelakon itu memulakan sesi tazkirahnya selepas solat Isyak dan berlangsung selama lebih sejam sehingga menimbulkan kegelisahan ahli jemaah termasuk wanita yang menunggu untuk bersolat Terawih.

Bukan itu sahaja, aktor yang menempa nama menerusi filem-filem kisah cinta remaja pada zaman glamornya itu turut menyindir dan memperlekehkan institusi diraja yang dikatakan tidak patut ditaati kerana sewajarnya ditaati hanya Allah.

Sementara itu, para rakan Facebook Haji Subky menyokong penuh pandangan beliau itu.

Bagi mereka, isu ini sengaja dibesarkan oleh media Umno yang tidak senang duduk dengan kenyataan Azmil itu.-HD

TAKBIR LEBIH BAIK DARIPADA HIDUP MELAYU

25 Ramadhan 1432H,

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata laungan ‘takbir’ adalah lebih baik daripada laungan ‘hidup Melayu’ kerana laungan tersebut sekurang-kurangnya mengingatkan umat Islam kepada Allah SWT.

“Soal takbir ini, cuma saya ingat takbir ini lebih baik daripada hidup Melayu lah.

"Daripada kita duduk dalam ceramah hidup Melayu, hidup Melayu, apa pun tak dapat,” kata Tuan Ibrahim dalam wacana 'Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti' semalam yang disambut dengan sorakan daripada para hadirin.

Beliau berkata demikian sebagai mengusik Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang berkata laungan takbir itu boleh mengganggu orang yang sedang berucap atau berzikir, dan berkata akhir-akhir ini laungan takbir semakin menjadi-jadi semasa orang berucap dan bersyarah.

Laungan takbir itu sememangnya satu ungkapan lazim yang kedengaran dalam majlis-majlis dan ceramah yang dihadiri pemimpin PAS.

“Jadi kita takbir ini sekurang-kurangnya kita ingat pada Allah, kita bersama dengan Allah, kita tak lalai… Cuma apa Tan Sri kata terganggu ceramahnya, mungkin dia jarang dengar, kalau orang biasa dengar ok,” gurau Tuan Ibrahim lagi yang diiringi dengan ketawa daripada para hadirin.

Selain itu, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut melahirkan rasa kasihan kepada cerita pengalaman Harussani yang mana beliau ditolak untuk berjumpa dengan perdana menteri.

“Mufti pun kena tolak, kiralah tuan-tuan… lu pikirlah sendiri,” kata beliau yang mengundang ketawa besar kira-kira 500 peserta yang hadir dalam majlis kira-kira dua jam itu.

Dalam forum itu, Harussani berkata, beliau pernah ditolak dari berjumpa dengan Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri untuk menyampaikan pandangan agar Datuk Anwar tidak dipecat dan jangan dakwa Anwar kalau tidak ada bukti.

Menjawab soalan pengerusi majlis, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa ada anggapan dalam PAS bahawa ulama dalam Umno ini macam ‘terompah kayu’, Tuan Ibrahim berkata ini kerana ulama tidak diiktiraf oleh mana-mana parti atau pentadbiran negara.

“Saya lihat begini, yang pertama sekali, kita ulama ini ada tanggungjawab, kita ada amanah. Pertama, pengiktirafan… kalau kita duduk dalam satu parti yang tak ada pengiktirafan kepada ulama – nasihat kita tak didengar, pandangan kita tidak dipeduli, komentar kita diletak ke tepi, hata dalam isu hukum-hukum yang diberipun seolah-olah tidak mendapat pengiktirafan akhirnya kita, ulama yang duduk dalam politik, bukan menompang untuk mengambil atau sekadar untuk sahkan apa yang pemimpin kita buat.

"Bila pemimpin kita buat sesuatu, rujuk pada ulama hanya untuk mengesah. Tapi ulama memandu pemimpin supaya pemimpin ia buat sesuatu yang betul dengan pandangan syarak, bukan dia buat dan pandangan kita untuk cari nas untuk mengesahkan apa yang dia buat. Itu berbeza,” kata beliau disambut laungan takbir daripada hadirin.

Sambung Tuan Ibrahim,"Ulama sifatnya memandu sebab kita menganggap pandangan-pandangan lain bahawa ulama mendahului dalam pandangan… sebab itu bila kita guna istilah terompah kayu, istilah rice cooker, macam-macam lah istilah politik.

"Istilah ini menggambarkan kepada kita, orang perlu pada kita orang pakai, bila tak perlu letak ke tepi,” terang beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, bukan setakat pandangan mufti diletakkan ke tepi, sehinggakan kini keputusan majlis fatwa pun ditolak.

“Pemimpin ini mesti dipandu sebab kalau pemimpin baik, rakyat akan jadi baik. Jikalau pemimpin punah, rakyat akan jadi punah. Soalnya siapa nak baiki pemimpin? Yang nak memandu pemimpin ini ulama… sebab itu ulama politik mesti memandu politik itu supaya tidak bercanggah dengan syarak.

"Soalnya sejauh mana kita boleh memandu, sekiranya pengiktirafan tak ada?” soal beliau.

Dalam PAS, kata beliau sebelum parti membuat keputusan ia perlu melalui Majlis Syura yang dipimpin oleh para ulama.

“Dalam erti kata lain, kalau parti nak buat sesuatu keputusan, dasar mesti diputuskan oleh Majlis Syura yang dipimpin oleh para ulama. Dalam PAS, kita pernah buat keputusan yang dalam politik kita rugi.

"Dalam konteks politik kita rugi, tapi oleh kerana syarak mahupun begitu, maka kita kena ambil itu. Sebagai contoh, kita mengambil Kelantan, kita tutup pusat-pusat perjudian, disco dan bar – yang confirmnya kaki disco tak undi kita, kaki judi tak undi kita (hadirin gelak), kaki kelab malam tak undi kita, dalam konteks politik kita rugi tapi apakah kita nak tanggung dosa yang bercanggah dengan syarak?” tanya beliau.

Bagi Tuan Ibrahim, ulama di mana-manapun, yang paling penting ia mendapat pengiktirafan.

“Tolong iktiraf pandangan ulama, tolong hargai. Ulama bukan ada kepentingan, hatta dalam PAS, ulama masuk PAS bukan kerana nak bertanding politik. Bertanding beberapa kerusi saja?

"Tapi pengiktirafan. Kita harapkan sebagai contoh, Tan Sri (Harussani) pernah mengeluarkan pandangan, fatwa supaya penghormatan kepada tugu tak dibuat… (tapi) di Melaka dibina tugu 1Malaysia, berapa ribu duit rakyat dihabiskan?

"Demikian juga, banyak fatwa-fatwa yang kadang-kadang kita buat keputusan tapi macam tidak dinilai, macam tidak ada penghargaan, jadi bila pandangan fatwa itu tidak dihargai… fatwa pun tidak dihargai, apa lagi ulama?” sindir beliau.-HD

Selasa, 23 Ogos 2011

Panas!! Majlis Agama Islam Pahang (MUIP) Haramkan Tazkirah??

Posted by Addin at 8/23/2011

Berita 1.30 TV3 (22/8/2011 ) tadi Majlis Agama Islam Pahang (MUIP) telah mengharamkan semua majlis tazkirah di masjid dan surau di negeri Pahang. Timbalan Pengarah MUIP telah mengatakan majlis tazkirah telah mengangu majlis ilmu. Ya rabbi ya karim.....subhanallah......majlis agama pahang berpegang pada fatwa mana...?? Hukum mana...?? dalam imam 4 mazhab mana yang mengatakan majlis tazkirah mengangu ibadat ....?? Majlis tazkirah itu juga ibadat, majlis solat tarawikh adalah sunnat.....? Tazkirah majlis ilmu yg wajib...??

Majlis Agama Islam Pahang (MUIP) sudah menjadi alat Umno Pahang...??? Majlis tazkirah MUIP kata menganggu ibadat solat tarawikh....??? Solat habis baru buat tazkirah...yang mana yang kata menganggu....??? Solat tarawikh sunnat....??? Tazkirah (majlis ilmu ) wajib....??? Fatwa mana MUIP guna...?? Hukum mana MUIP guna..??? Tidak ada ibadat wajib menganggu ibadat sunat.....???? Mengapa peminum arak tak di hukum sebat di Pahang...????? Umno bukan Islam tapi Umno sudah kafir......???
Kredit : fb asfanizam

Addin :
Dah lama tak tengok berita TV3 suku
http://addin77.blogspot.com/2011

Tersungkurnya Sebuah Lagi Rejim Diktator....!!


Rejim Gaddafi akhirnya tumbang-MK

Selepas lebih enam bulan berlaku pemberontakan di Libya, rejim Muammar Gaddafi akhirnya tumbang setelah kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli.

Bagaimanapun nasib pemimpin Libya itu masih menjadi tanda tanya.

Menurut AFP, anak lelaki bongsu Gaddafi, Seif al-Islam ditangkap oleh pemberontak, manakala anak lelaki sulungnya, Mohammed Al-Gaddafi yang diwawancara oleh televisyen Al-Jazeera di kediamannya dilaporkan menyerah diri, tetapi nasib anak-anaknya yang lain masih tidak diketahui.

Awal pagi ini, Sky News melaporkan pemberontak Libya tiba di Dataran Hijau di tengah Tripoli.

Ramai pemuda mengibarkan bendera merah, hitam dan hijau milik pasukan anti-kerajaan dan bersorak dan menari sambil bertakbir dan melepaskan tembakan ke udara.

Ramai yang menunjuk isyarat jari keamanan sambil menjerit "beritahu Muammar dan anak lelakinya bahawa Libya mempunyai anak jantan".

Sementara itu, Reuters yang memetik televisyen al-Jazeera melaporkan anak lelaki sulung pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Mohammad, memberitahu awal hari ini bahawa beliau ditahan pemberontak dan dikenakan tahanan di rumah di Tripoli.

“Anggota bersenjata mengepung rumah saya dan saya masih berada di dalam dan mereka di luar. Mereka berkata akan menjamin keselamatan saya. Mereka mengepung rumah saya," katanya menerusi panggilan telefon dari Tripoli.

Bunyi tembakan boleh didengar semasa perbualan itu.

"Ya, tembakan itu dalam rumah saya," katanya sebelum talian tiba-tiba terputus

Jumaat, 19 Ogos 2011

Terkini: Kadar Zakat Fitrah Bagi Tahun 2011



Guna SMS untuk Bayar Zakat Fitrah




Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 4/2008 yang bersidang pada 27 Ogos 2008 telah memutuskan bahawa :
• HARUS menggunakan kaedah pembayaran zakat fitrah melalui internet, mesin ATM dan mesin e-debit.

• HARUS menggunakan kaedah pembayaran zakat fitrah melalui SMS sama ada secara prabayar atau pasca bayar.

• Pihak ejen kutipan zakat (telekomunikasi) hendaklah mendahulukan bayaran zakat yang telah dibayar melalui pasca bayar sebagai jaminan bayaran yang telah diterima.

• Pihak ejen kutipan zakat adalah wakil kepada LZS dan hendaklah menghadkan tempoh masa penggunaan keadah ini bagi mengelakkan pembayaran zakat yang dilakukan melepasi waktu wajib yang ditetapkan.

Isnin, 15 Ogos 2011

PUASA MELATIH DIRI SUPAYA SIMPATI KEPADA ORANG MISKIN

PENULIS: USTAZ IDRIS AHMAD

Puasa ialah amalan kerohanian seorang hamba dengan Allah SWT. Mereka yang berpuasa sanggup meninggalkan makan minum semata-mata kerana Allah SWT. Puasa mendidik manusia untuk bersimpati dengan mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan daripada mereka yang mempunyai lebihan rezki. Ketika berpuasa kita terasa lapar dan dahaga, kesemuanya mengingatkan kita kepada mereka yang kurang bernasib baik yang masih ramai di dalam negara kita walaupun negara, sudah mencapai kemerdekaan 54 tahun. Paling malang sekali isi rumah miskin ia melibatkan orang Islam, sedangkan pemimpin negara ialah orang Islam. Rakyat tertanya-tanya kenapa Sabah dan Trengganu mendahului negeri termiskin di negara ini, sedangkan negeri tersebut menghasilkan “emas hitam”.

Sebenarnya masih ramai rakyat yang tidak cukup zat, berapa ramai kanak-kanak ke sekolah dengan perut kosong kerana tidak ada makanan yang hendak dialas perut ketika ke sekolah. Kesemua ini menuntut kepada kita yang menunaikan Ramadhan merasai keperitan penderitaan yang mereka alami sepanjang masa. Sedangkan kita hanya Allah uji dalam masa lapan jam sahaja untuk sebulan Ramadhan.

Ibn Abbas Radhiallahu’anhuma meriwayatkan “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melebihi angin yang berhembus.” (Bukhari)

Seperti yang kita maklum baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah seorang yang sangat dermawan seperti disebut oleh Anas bin Malik radhiallahu’anhu:

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah orang yang paling berani dan paling dermawan.” (Bukhari dan Muslim)

Dermawan baginda dikatakan melebihi angin yang menghembus kencang. Diibaratkan demikian kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam sangat ringan dan cepat dalam memberi tanpa banyak berfikir, sebagaimana angin yang berhembus. Sikap prihatin yang ditunjukkan oleh baginda adalah amat perlu kita sebagai umat nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam yang ingin mengikut jejak langkah baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam melatih diri kita supaya menjadi seorang yang melihat orang sekeliling kita.

Beberapa insiden yang tragis berlaku di dalam negara kita baru-baru ini dengan berita orang yang melarat terpaksa menagih simpati kepada gereja, ia amat memalukan umat Islam. Menjadi fardu kifayah kepada umat Islam untuk membantu saudara mereka yang tidak bernasib baik, terutama agensi kerajaan seperti Baitul Mal, pejabat Agama, Jabatan Kebajikan Masyarakat. Agensi ini yang mempunyai kewangan yang kukuh sepatutnya mesti mengambil berat, berbanding dengan individu dan NGO yang mempunyai kekangan kewangan.

Kita mengharapkan, pejabat agama atau pejabat pungutan zakat yang begitu sistematik ketika memungut zakat, perlulah melakukan perkara yang sama ketika mengagihkan kepada mereka yang berhak. Kerana ini adalah hak mereka bukan untuk digunakan untuk perkara lain yang tidak ada kaitan untuk membela nasib mereka. Jika kita sanggup bersusah payah ketika hendak memungut zakat, maka wajib pula kita bersusah payah untuk memberi kepada yang berhak. Permudahkan prosedur, bukan menyusahkan mereka yang sudah susah. Jika ini berlaku, akhirnya gereja yang memudahkan mereka memberi bantuan. Konsepnya samalah mereka yang terjebak meminjam Along, kerana mudah berbanding berurusan dengan bank.

Sekurang-kurangnya apa yang terjadi di Gereja Methodist Damansara Utama menyedarkan kita umat Islam dan institusi yang mengagihkan zakat, supaya lebih pro aktif untuk membantu mereka yang berhajat. Kemanakah wang kutipan zakat yang beratus juta setiap tahun? Logiknya sudah tidak ada lagi orang miskin yang merempat? Muallaf yang dibuang keluarga meminta sedekah dan menagih simpati. Kesemua ini terjadi kerana berlaku pengagihan yang tidak betul dan mengkhianat amanah, maka tunggulah bala daripada Allah SWT. Benarlah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam “Siapa yang tidak mengambil berat berkenaan urusan orang Muslim, maka ia bukan di kalangan aku”.

Jika mereka pergi mengadu nasib kepada institusi bukan Islam maka Allah SWT akan menyiksa kita kerana mengabaikan saudara seagama mereka. Waliyazubillah
http://idrisahmad.wordpress.com/2011/08/11/puasa-melatih-diri-supaya-simpati-kepada-orang-miskin/

Isu Bacaan Sebelum Subuh: TG Nik Abd Aziz & Pemuda PAS Setuju Fatwa Pulau Pinang

Written by zain-ys

Bernama melaporkan, TG Nik Abd Aziz bin Nik Mat Mursyidul Am PAS bersetuju dan menyokong fatwa yang dikeluarkan oleh JK Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran diperdengarkan melalui pembesar suara di masjid-masjid sebelum azan Subuh sehingga mengganggu masyarakat sekeliling.

Sementara ini Ketua Pemuda PAS Pusat juga menyatakan sokongannya terhadap fatwa berkenaan.
---------------------------------------

Petikan Berita
Nik Aziz Sokong Larangan Bacaan al-Quran Guna Pembesar Suara

KOTA BAHARU, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju amalan bacaan al-Quran dibuat menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu mesyarakat sekitarnya.

Mursyidul Am PAS itu berkata perbuatan itu tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat sehingga boleh menyusahkan mereka dan seseorang Islam harus menghormati masyarakat sekeliling dengan tidak membuat bising, walaupun dengan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara.

Sehubungan itu, beliau menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh.

"Kita (umat Islam) hanya dibenarkan melaungkan suara ketika azan untuk mengerjakan solat. Oleh itu, saya tidak bersetuju jika masjid menggunakan pembesar suara sehingga menjejaskan orang lain yang sedang tidur atau sakit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB) di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan Kerajaan Pulau Pinang melarang penggunaan pembesar suara semasa mengaji al-Quran pada waktu subuh di masjid dan surau di negeri itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz menggesa wanita negeri ini yang suka membeli atau menyimpan barang kemas supaya menjualnya untuk dilaburkan dalam KRKB yang baru dilancarkan itu.

Ini kerana, katanya, ia akan memberi pulangan yang menguntungkan kesan kenaikan harga emas dunia yang menjadi bahan pelaburan urusniaga koperasi menerusi Permodalan Kelantan Berhad (PKB).

Semasa ditanya sama ada kebimbangan sesetengah rakyat Kelantan yang ingin melabur dalam koperasi itu kesan kegagalan Koperasi Kohilal yang kebanyakannya dianggotai PAS, Nik Abdul Aziz berkata kegagalan koperasi itu ekoran kejatuhan saham dan keadaan ekonomi merudum pada 1998.
[
BERNAMA]

PERPADUAN ITU BERSAMA PEMERINTAH?

Posted by ibnuabbas

1. Ulul Amri – Firman Allah bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (An-Nisa’ ayat 59) Ayat ini menunjukkan bahawa dalam Islam mesti ada kerajaan, di mana ada rakyat untuk mentaati perintah dan ada pemerintah untuk ditaati. Dalam sejarah Islam, ummat Islam sentiasa ada khalifah yang memerintah sesuatu kerajan atau khilafah. Selepas khulafa’ ar-rasyidin ada khilafah umawiyyah, selepas itu, abbasiyyah, umawiyyah di Sepanyol dan seterusnya khalifah di negara-negara kecil sampailah kepada khilafah Ayyubiyyah dan lain-lain sehinggalah yang terakhir iaitu khilafah Uthmaniyyah yang jatuh pada tahun 1924. Selepas itu, ummat Islam tidak ada khilafah lagi. Yang ada negara-negara ummat Islam yang dibahagikan oleh penjajah mengikut negara bangsa. Kata Muhammad Qutb, kefahaman ummat Islam tentang pemerintahan dan politik menyaksikan ummat Islam tidak pernah lekang mempunyai kuasa politik pemerintahan kecuali setelah kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam.

2. Ayat tersebut juga menyebutkan perkataan athi’u bermaksud taatlah kamu sebanyak dua kali, walhal pihak yang mesti ditaati ada tiga pihak iaitu Allah, Rasul dan Pemerintah. Perintah taatlah kamu secara langsung hanya digunakan oleh Allah sebanyak dua kali iaitu kepada Allah dan kepada Rasulullah SAW. Taat kepada pemerintah hanya berpada dengan makna ayat tanpa disebutkan lafaz taat secara khusus. Para mufassirin iaitu ahli tafsir menyatakan, ini menunjukkan bahawa taat kepada pemerintah mestilah dalam batasan selama mana mereka taat kepada Allah dan Rasulullah SAW. Bila mereka tidak lagi taat kepada Allah Allah dan kepada Rasulullah SAW, tidak wajib lagi taat kepada mereka kerana mereka sebenarnya sedang tidak taat dan berlaku derhaka kepada Allah. Sebagaimana sabda baginda Rasulullah SAW, “Tiada ketaatan yang perlu diberikan kepada mahkluk dalam perkara yang menderhakai al-Khaliq iaitu Tuhan Yang MahaPencipta.” Jadi taat kepada pemerintah tidak boleh difahami dengan makna taat yang mutlak seperti wajib taat kepada Allah dan Rasul secara mutlak.

3. Ayat tersebut juga dengan jelas menyebut, jika ada perbantahan antara ummat Islam termasuk antara rakyat dengan ulil Amri tentang sesuatu perkara, hendaklah dirujuk kepada Allah dan Rasul.

4. Daripada aspek sejarah. Khulafa’ ar-Rasyidin selama 30 tahun memerintah berdasarkan sepenuhnya kepada corak dan prinsip pemerintahan Nabi SAW, terutama dalam aspek pemilihan khalifah secara syura. Sama ada secara langsung atau tidak langsung. Selepas majlis tahkim, kali pertama ummat Islam mempunyai dua orang khalfah secara teknikalnya iaitu khalifah sebenar Saidina Ali dan khalifah daripada tahkim iaitu saidina Mu’awiyah. Apabila Saidina Ali dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljim daripada khawarij, anaknya Hassan dibai’ahkan sebagai pengganti saidina Ali. Pada tahun 40 hijrah, Saidina Hassan melihat ummat Islam tidak patut berpecah kepada dua orang khalifah, lalu beliau berjumpa dengan Mu’awiyah dan menyerahkan urusan khilafah ummat Islam kepada Saidina Mu’awiyah. Tahun 40 hijrah itu dinamakan sebagai ‘tahun perpaduan’ atau ‘amul jama’ah.

5. Apabila Saidina Mu’awiyah mengisytiharkan Yazid sebagai putera mahkota, itulah permulaan kepada penukaran sistem pemerintahan Islam daripada syura kepada monarki. Abdullah bin Zubair mula memberontak di Mekah dan disokong oleh ramai para sahabat, antaranya Abdullah bin Abbas. Abdullah bin Zubair hanya dapat ditewaskan pada zaman Abdul Malik bin Marwan di bawah gabenor Hajjaj bin Yusuf ath-Thaqafi yang kejam dan zalim sehingga sanggup menyerang habis-habisan sampai kaabah pun terbakar. Daripada peristiwa ini kita dapat melihat ada sahabat yang bersama-sama Abdullah bin Zubair menentang kemungkaran kerajaan Umayyah yang menukar sistem pemilihan khalifah dengan tidak lagi berdasarkan kepada syura. Ada juga sahabat yang memandangnya sebagai satu kemungkaran tetapi tidaklah sampai kepada tahap kufur, maka mereka memberi ketaatan dalam perkara yang tidak berlanggar dengan hukum syara’ dan tidak keluar membuat penentangan bersenjata.

6. Ayat dan Hadith mengenai taat kepada pemerintah telah sampai kepada Abdullah bin Zubair dan Ibnu Abbas tetapi mereka masih menentang kerajaan Yazid, Marwan dan Abdul Malik secara bersenjata. Adakah dua sahabat besar ini terdiri daripada kalangan khawarij juga? wal’iyazu billah. Ini menunjukkan hukum asal ialah kemungkaran pemerintah wajib ditegah di mana kemungkaran itu ialah satu bentuk penderhakaan kepada Allah. Lebih daripada itu, pendapat dua sahabat ini, kefasikan yang dilakukan pemerintah secara nyata dan terang-terangan membelakangi hukum Allah iaitu perintah syura dan keadilan, menggugurkan kelayakan mereka sebagai khalifah.

7. Terdapat beberapa pemberontakan lain menentang kerajaan Umayyah selepas itu termasuk pemberontakan pihak ‘alawiyyin yang dipimpin oleh Imam Zaid. Antara pemberontakan yang terkenal oleh ahlus sunnah ialah pemberontakan Abdul Rahman bin al-Asy’ath yang bermula di Sijistan telah disokong oleh ramai ulama’ tetapi akhirnya telah ditewaskan oleh Hajjaj bin Yusuf juga dan ramai tenteranya dibunuh secara beramai-ramai dengan kejam.

8. Selepas beberapa peristiwa penentangan bersenjata yang memakan begitu ramai jumlah korban, para ulama’ ahlus sunnah bersepakat dan berlaku ijma’ tentang perkara tersebut, iaitu keluar menentang pemerintah yang fasiq secara bersenjata adalah haram selama mana pemerintah itu tidak melakukan pekara-perkara kufur yang nyata dan terang (al-kufru al-bawwah) seperti menghalalkan arak dan babi. Sebabnya berdasarkan kaedah fiqh, iaitu dalam memilih antara dua mudharat yang mesti dilakukan, hendaklah mengambil mudharat yang lebih ringan. Walaupun kemungkaran telah berlaku, tetapi jalan mencegah kemungkaran itu lebih tinggi kadar mudharatnya berbanding dengan mudharat kemungkaran yang hendak dicegah, iaitu akan mengakibatkan kematian ribuan nyawa manusia tidak bersalah termasuk orang yang alim dan soleh semasa peperangan sedang berlangsung dan setelah tewas akibat tindak balas atau balas dendam pemerintah yang memenangi perang. Bukan saja pihak yang adil tidak dapat menghilangkan mudharat kefasikan, bahkan pihak yang fasiq bertambah fasiq dalam mengekalkan kuasa.

9. Oleh kerana ilmu Allah yang maha luas dan meliputi, Rasulullah SAW telah pun memberikan gambaran takdir ummat Islam setelah ketiadaan baginda. Pemerintah Islam sepatutnya adil dan taat kepada hukum Allah mengikut ajaran Islam, tetapi Allah menguji ummat Islam dengan khalifah yang zalim tetapi masih menjalankan hukum Islam dalam pemerintahan negara. Hadith-hadith Rasulullah SAW memberikan panduan kepada kita bagaimana untuk menghadapi keadaan tersebut. Antaranya hadith menyuruh bersabar di atas kezaliman pemerintah yang fasiq tetapi masih menjalankan undang-undang Islam dan mempertahankan maruah ummat Islam. Antaranya, hadith yang kelebihan berkata benar di hadapan Sultan yang zalim, hadith orang yang menegur pemerintah yang zalim sehingga dibunuh diberi gelaran penghulu para syuhada’ seperti Saidina Hamzah, hadith menyertai jamaah muslimin dan jika tidak ada jamaah muslimin hendaklah beruzlah sekalipun terpaksa memakan akar kayu, hadith pejuang kebenaran akhirnya akan sentiasa mengatasi pelaku kezaliman, hadith bumi yang dipenuhi kezaliman nanti akan disinari dengan keadilan diseluruh muka bumi, hadith pemerintah yang menipu rakyat diharamkan daripadanya syurga, hadith mencegah kemungkaran dengan tangan, lidah atau hati dan lain-lain hadith terutamanya dalam bab al-fitan dalam kitab-kitab hadith.

10. Dengan memahami semua nas berkaitan pemerintah dan rakyat, kesimpulan berikut dapat dirumuskan;

a. Memang benar ahlus sunnah bersepakat mengharamkan perbuatan keluar menentang kerajaan yang fasiq dan zalim selama mana mereka tidak melakukan kekufuran yang nyata berdasarkan kepada kaedah maslahah dan dharuriyaat yang lima atau enam mengikut sebahagian ulama’ setelah meneliti pengalaman sejarah yang sangat berdarah untuk menurunkan mereka daripada takhta. Walaupun pada asalnya wajib mencegah kemungkaran berbentuk fasik dan zalim di kalangan pemerintah sebagaimana yang telah diterangkan.
b. Sebab utama yang ditimbang oleh ahlus Sunnah ialah kehilangan nyawa yang tidak berdosa dan semakin sedikit golongan yang mempertahankan kebenaran.
c. Perbuatan keluar menentang pemerintah ini atau khuruj dalam bahasa arab bermaksud keluar menentang secara bersenjata dengan mempunyai ketua, angkatan perang, persenjataan dan alatan perang yang akan berperang secara langsung dengan angkatan bersenjata di bawah khalifah.
d. Adapun melaksanakan amar makruf dan nahi munkar tidak terhalang. Tidak dapat dengan kuasa, hendaklah dengan lidah secara nasihat. Inilah yang dibuat oleh Imam Malik bin Anas, menegur pemerintah Khalifah al-Mansur yang mengenakan bai’ah ke atas pemerintah dengan ta’liq jika melanggar bai’ah taat setia kepada kerajaan Abbasiyyah, nescaya jatuhlah talak isterinya. Imam Malik telah dipukul teruk kerana fatwanya yang mengatakan lafaz talak oleh orang yang dipaksa tidak jatuh. Demikian juga Imam Ahmad bin Hanbal dan para ulama’ lain seperti al-Buwaiti, murid kanan Imam asy-Syafie telah menegur kerajaan yang berpegang kepada pendapat mu’tazilah bahawa al-Quran yang merupakan kalam Allah itu adalah makhluk. Kedua-duanya telah diseksa di mana al-Buwaiti syahid dalam penjara mempertahankan kebenaran dan Imam Ahmad disebat oleh beberapa orang khalifah, namun bertegas, “Jika orang alim diam, sedangkan orang jahil dalam keadaan diselubungi kejahilan, maka bilakah kebenaran akan menjadi nyata dan terserlah”. Dan ramai lagi para ulama’ yang menegur pemerintah dan diseksa dan dizalimi sepanjang sejarah Islam sehingga ada buku yang khusus mengenainya.
e. Para ulama’ ini menjalankan amar makruf nahi munkar, bukannya keluar menentang pemerintah. Oleh itu mudharat yang menimpa hanya terhad kepada individu-individu tertentu yang berjiwa besar dan berani itu, dan tidak meliputi seluruh orang awam. Kerana itulah mereka mendapat kelebihan yang besar di sisi Allah.
f. Dalam hadith-hadith fitnah akhir zaman, disebutkan supaya bersabar. Bukan disebut supaya redha. Sabar berbeza dengan redha. Redha dengan kekufuran adalah kufur dan redha dengan maksiat adalah maksiat juga. Sabar bermakna tidak redha dengan keadaan yang tidak diredhai oleh Allah dan Rasul serta mencari jalan untuk mengatasinya dengan berdakwah, nasihat dan menunggu masa yang sesuai untuk mengubah keadaan. Ramai orang salah faham dengan menyangka, bahawa kita wajib redha dengan kezaliman dan kefasikan pemerintah, dan ummat Islam hanya perlu menyerah dan pasrah menerima sahaja dan tidak ada cara syar’ie untuk mengatasinya.
g. Batasan kekufuran yang nyata, kurang diperhalusi oleh golongan yang lebih cenderung untuk pasrah menerima kezaliman.

11. Ulul Amri pada zaman kita – Setelah kita memahami asas perbincangan tentang ketaatan kepada ulil amri mengikut pandangan ahlus sunnah, mari kita melihat kepada zaman kita. Selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah, negara-negara ummat Islam dipecahkan oleh penjajah sebagai negara bangsa berasaskan semangat nasionalisme dan berteraskan fahaman sekularisme yang memisahkan politik dangan agama. Bekas Mufti Kerajaan Uthmaniyyah, Syeikh Mustafa Sabri mengeluarkan fatwa, orang yang menganut fahaman sekularisme adalah murtad dan keluar daripada agama Islam. Yang lebih pelik negara-negara ummat Islam yang baru merdeka mengambil perlembagaan dan undang-undang negara yang menjajah mereka sebagai perlembagaan dan undang-undang negara.

12. Semasa era penjajahan para ulama’ dan para pengikut mereka telah berjihad menentang penjajah dengan gagah berani walapun kurang kelengkapan. Nama-nama seperti Syeikh Abdul hamid bin Badis, Badi’uz Zaman Said Nursi, gerakan al-Mahdi, gerakan as-Sanusiyyah dan lain-lain telah mengemukakan jutaan syahid dalam memperjuangkan kemerdekaan untuk Islam. Walhal raja-raja boneka telah dipegang oleh penjajah dan diberi kuasa dalam hal ehwal agama yang terbatas seperti lantikan qadhi nikah cerai, penentuan masjid, mengisytiharkan hari raya dan seumpamanya. Urusan ekonomi, pertahanan an hasil mahsul negara dikawal oleh penjajah. Penjajah menggunakan para ulama’ yang mencari makan dengan berhujjah, haram keluar menentang ulil amri mengikut akidah ahlus Sunnah. Dan ini bukanlah satu isu baru yang ditimbulkan oleh orang yang tak sukakan gerakan tajdid oleh pemimpin dan gerakan Islam di seluruh dunia.

13. Demikian juga dalam negara kita, semasa era penjajahan, British menghadkan kuasa Sultan iaitu Ulil Amri bagi setiap negeri kepada bidang ibadah dan undang-undang keluarga sahaja. Undang-undang Mal hanya sekadar berkaitan zakat fitrah sahaja. Yang benar-benar mentadbir negara ialah British melalui residen-residen. Para ulama’ dan pejuang kemerdekaan terus berjuang kerana tahu bahawa sultan telah dirampas kuasanya oleh British yan telah memerintah dengan undang-undang penjajah. Mereka tidak redha untuk taat secara membabi buta.

14. Bila kita merdeka, ulil amri dalam urusan pentadbiran agama ialah sultan-sultan setiap negeri dan SPB Yang Di Pertuan Agung bagi Persekutuan dan negeri-negeri tanpa Sultan. Kuasa Sultan dalam pentadbiran agama adalah mengikut tafsiran agama secara terhad sebagaimana yang diamalkan semasa penjajahan. Bila Malaysia memilih untuk merdeka, Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan dan semua sultan-sultan bersetuju untuk meletakkan diri-diri baginda di bawah perlembagaan. Ini menjadikan sultan-sultan di Malaysia adalah raja berperlembagaan. Bila para sultan sudah menandatangani perjanjian kemerdekaan, mereka telah rela untuk berada dalam lingkungan perlembagaan.

15. Dalam perlembagaan negara pula, membenarkan rakyat untuk menubuhkan parti-parti bagi menjana sokongan rakyat. Di mana ketua-ketua parti yang paling banyak mendapat sokongan dalam pilihanraya DUN atau Parlimen akan dipanggil oleh Ulil Amri untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri atau pun di peringkat persekutuan. Dan setiap 5 tahun, rakyat diberi peluang untuk memilih semula parti yang telah memerintah atau parti lain untuk menjadi kerajaan baru pula.

16. Jadi PAS menyertai pilihanraya tidak bermaksud menentang ulil amri, kerana ulil amri telah memberi keizinan dan persetujuan tentang kaedah pemilihan dan perlantikan kerajaan. Begitu juga orang yang menyokong pembangkang tidak bermaksud menentang ulil amri, kerana SPB Yang di Pertuan Agung dan Sultan-Sultan telah memberi izin untuk mereka membuat pemilihan.

17. Perlembagaan pula lebih besar kuasanya daripada Ulil Amri sendiri. Contohnya undang-undang hudud telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu dan telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu. Tetapi Kerajaan Pusat mengatakan undang-undang jenayah berada di bawah kuasa kerajaan pusat yang hanya boleh dipinda di parlimen dan bukan di DUN. Walaupun Sultan Terengganu telah menjadi SPB Yang Di Pertuan Agung, baginda Tuanku Mizan tidak boleh memaksa perlembagaan persekutuan ditukarkan begitu sahaja, kerana perlembagaan memperuntukkan hanya sokongan 2/3 ahli parlimen sahajalah yang boleh meminda perlembagaan.

18. PAS menyertai pilihanraya untuk mencapai sokongan 2/3 di parlimen bagi membolehkan hukum Islam kembali berdaulat di negara kita. Adakah ummat Islam tidak mahu memberikan sokongan kepada hasrat murni dan tuntutan syariat ini. Pilihanraya syar’ie atau tidak? Ini satu persoalan lain yang saya tidak akan bincangkan di sini, tetapi telah diterangkan oleh ramai sahabat-sahabat ang lain.

19. PAS tidak menentang SPB Yang di Pertuan Agung atau Kerajaan Malaysia. PAS setia dengan SPB Yang Di Pertuan Agung dan Kerajaan Malaysia. PAS bergerak mengikut perlembagaan dan undang-undang negara. Penyokong PAS membayar cukai, bekerja dan membayar saman kepada kerajaan. PAS tidak ada tentera dan polis sendiri. Tapi PAS menjalankan kewajibannya sebagai warga negara Malaysia yang baik dengan menjalankan amar makruf nahi munkar, menuntut kerajaan berlaku adil, mengelakkan amalan rasuah, pemerintahan yang lebih transparen dan mengenengahkan isu-isu rakyat dan negara mengikut neraca Islam di samping mencari sokongan rakyat untuk memilih mereka dalam pilihanraya aka datang sebagai ganti kerajaan sedia ada dalam lingkungan demokrasi berparlimen.

20. Jika PAS atau Pakatan Rakyat berjaya meraih lebih banyak sokongan di parlimen dan DUN-DUN, Ulil Amri akan memanggil PAS atau Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan di peringkat pusat dan negeri-negeri. Jika ada sokongan 2/3, perlembagaan pun boleh ditukarkan.

21. Menentang kerajaan sedia ada dalam sistem demokrasi ialah melalui undi. Proses mengundi tidak melibatkan kehilangan nyawa yang menjadi sebab kepada hukum haram menentang kerajaanIslam yang zalim mengikut pandangan ahlus Sunnah. Bila sebab pengharaman sudah hilang, maka hukum asal iaitu wajib mencegah kezaliman pemerintah menjadi wajib ke atas orang yang mampu mengundi melalui kertas undi.

22. Mengenai PAS mengangkat senjata. Asasnya ialah perlembagaan negara adalah bedasarkan sistem sekular yang difatwakan murtad oleh Syeikh Mustafa Sabri dan para ulama’ Azhar dan lainnya ketika berhadapan dengan kes Syeikh Abdul Raziq. Kalau perlembagaan menghalalkan judi berlesen, berzina dengan rela hati, riba dalam urus niaga, itulah yang disebutkan oleh para ulama’ ahlus Sunnah sebagai al-kufr al-Bawwah atau kufur yang nyata. Mengikut hukum asal, wajib keluar menentang kerajaan sebegini.

23. Tetapi PAS memilih untuk mengambil kaedah yang aman melalui sistem demokrasi berpilihanraya. Masih ada cara untuk mengubah sistem negara kepada negara Islam melalui undi 2/3 di parlimen. Demokrasi juga memberi ruang kepada PAS untuk berdakwah dan menjelaskan matlamat perjuangannya tanpa pelu mengangkat senjata. SPB Yang di Pertuan Agung juga bersedia untuk menukarkan perlembagaan jika terdapat sokongan 2/3 itu. Inilah antara sebab-sebab yang dijadikan asas kepada ijtihad Majlis Syura Ulama’ PAS untuk menyertai pilihanraya selain daripada dalil-dalil syara’ yang lain.

24. Penentangan bersenjata adalah langkah terakhir, bila pintu demokrasi telah tertutup rapat dan tak ada cara lain untuk mengubah kerajaan yang berada di puncak kezaliman. PAS tidak lagi merasakan langkah ini perlu diambil buat masa ini kerana masih ada terlalu banyak ruang-ruang untuk dakwah dan membuat perubahan secara aman yang belum digunakan sepenuhnya. Pertimbangan untuk membuat penentangan bersenjata memerlukan beberapa neraca usul fiqh untuk dipertimbangkan.Tuan Guru Haji Hadi membuat kenyataan itu sebagai memberi ingatan kepada kerajaan supaya tidak mencemarkan ruang berpolitik secara adil dalam sistem demokrasi dan mencetuskan kesiap-siagaan kepada para pejuang Islam, bahawa perjuangan Islam pada satu tahap tertentu mungkin memerlukan korban jiwa raga sebagaimana disebut oleh banyak ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW.

25. Sebagai ummat Islam, kitalah yang paling patut sensitif dengan kezaliman yang berlaku kerana ayat al-Quran dan hadith berkaitan pekara ini amat banyak. Kita jugalah yang paling patut memilih pemerintah yang adil kerana banyaknya suruhan Allah dan Rasul berkaitan perkara tersebut. Yang malangnya kita memilih untuk redha dengan kezaliman yang mencengkam ummat dan tidak mahu membuat sebarang perubahan kerana salah faham yang sangat tersasar daripada kehendak al-Quran dan hadith Rasulullah SAW. Sedang orang kafir berusaha memilih pemimpin yang bersih dan amanah dan memecat pemimpin yang rasuah dan pecah amanah, kita ummat Islam pula redha dengan pemimpin yang zalim dan korup walaupun seperti Presiden Mubarak dan Zainal Abidin bin Ali yang merompak berbilion dollar duit rakyat dan kerajaan. Ini adalah amat malang.

26. Kita tidak boleh berputus asa untuk berjuang mendapatkan khilafah dan khalifah yang baik kerana Allah telah berjanji dalam surah an-Nur ayat 55, “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”

27. Akhirnya marilah kita merenung satu hadith dalam riwayat imam Ahmad, daripada Huzaifah ra, Rasulullah SAW telah bersabda, “Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah Zaman Kenabian sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki. Kemudian belakulah zaman khilifah (Khulafa’ ar-Rasyidin) yang berjalan sepertimana Zaman Kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan beraja yang mengigit. Berlakulah zaman itu seperti yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya pula. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan kuku besi dan berlakulah zaman itu seperti mana yang Allah kehendaki. Kemudian berlakulah pula zaman khilafah yang berjalan sebagaimana Zaman Kenabian.”

Kemudian Rasulullah SAW pun diam….

Sekian. Harap dapat membantu.
Wassalam.

Zakaria Ismail
UIAM ‘99

http://ibnuabbas.wordpress.com/

Jumaat, 12 Ogos 2011

Jawab Mashitah : PAS pilih JAIS atau DAP ...jawabnya PAS Pilih ISLAM

Maka bertarilah kalam Mashitah, Ulama Wanita Umno dalam akhbar Sinar Harian hari ini menghentam PAS kononnya PAS takut kepada DAP sehingga tidak berani menegakkan kebenaran dalam isu pemeriksaan JAIS terhadap gereja kristian baru-baru ini.

Katanya, PAS sudah tunduk kepada DAP dan tidak lagi berjuang dengan prinsip asalnya iaitu Islam.

Saya hairan sejak bila pula Mashitah simpati dan peka terhadap perjuangan PAS. Apa yang menyebabkan tiba-tiba beliau simpati kepada PAS. Lebih baik dia mereformasikan Umno supaya mengambil Islam sebagai asas perjuangan.

Dengan kuasa yang ada mereka boleh melaksanakan Islam di dalam negara kita ini. Undang-undang murtad yang sepatutnya sudah lama digubal dan digunapakai di Malaysia ini tidak dilaksanakan oleh Umno sebab apa? Mengapa Mashitah tidak bising?

Dalam isu JAIS ini, PAS tidak pernah tunduk kepada sesiapa. PAS tetap dengan prinsipnya iaitu aqidah umat Islam mesti dipertahankan. PAS sudah lama berjuang supaya undang-undang murtad ditegakkan di negara kita......malangnya setiap kali PAS mengusulkannya di Parlimen ianya ditolak mentah-mentah oleh Umno. Usul mengenai murtad ditolak mentah-mentah termasuk usul yang pernah dibentangkan oleh YB Salahuddin Ayub pada Sidang Parlimen beberapa tahun lalu. Sudah beberapa kali PAS cuba usulkan malangnya ia tetap ditolak mentah-mentah oleh kerajaan pimpinan Umno.

PAS mengambil langkah yang cermat dalam hal ini kerana PAS kenal siapa JAIS dan PAS juga tahu kewujudan gerakan kristianisasi. PAS mengambil langkah mengikut undang-undang murtad ala Umno (sangat minima) yang ada di dalam negara kita.

PAS kenal JAIS, PAS kenal siapa di dalam dan dibelakang JAIS. Semua orang tidak lupa JAIS pernah merobohkan surau, JAIS pernah menghalang Ustaz mengajar di Masjid dan Surau. JAIS pernah menangkap Ustaz ....Kalau JAIS begitu sombong dan angkuh merobohkan surau atas dasar politik sempit apakah tidak ada kemungkinan JAIS juga melakukan apa sahaja kerjanya untuk kepentingan pihak tertentu.

Dalam masa yang sama PAS tidak akan sekali-kali berkompromi dengan pihak-pihak yang melanggar undang-undang sedia ada. Jika benar ada unsur-unsur penyebaran ajaran kristian kepada umat Islam ianya mesti dihalang dan dibenteras. Sebab itu PAS ingin bertemu dengan gereja dan JAIS untuk mendapatkan maklumat sebenar dan selepas itu mengambil ketetapan yang sahih dan tepat.

PAS sejak dari dahulu konsisten dalam hal menjaga aqidah ....tetapi siapa yang selalu memberikan jawapan bahawa isu murtad ini isu remeh, baru sedikit yang murtad ....siapa yang selalu mempersenda-sendakan isu murtad ...tepuk dada tanya iman.

Semua orang tahu siapa Umno dan apa tindakan Umno dalam isu murtad. Mengapa dalam isu JAIS ini Umno begitu beriya-iya mengambil tahu. Bagaimana dengan pendedahan Mufti Perak, Tan Sri Harussani bahawa ratusan ribu umat Islam murtad di Malaysia. Apa tindakan Umno? Mana undang-undang murtad yang digubal oleh kerajaan Umno? Bagaimana dengan kisah murtad Aishah Bokhari, Hartina Kamaruddin dan lain-lain mengapa sehingga hari ini ianya senyap dan sunyi. Mengapa Umno yang berkuasa tidak mahu menyokong usul PAS yang mahukan undang-undang murtad yang selaras dengan tuntutan Islam di gubal dan diamalkan di negara kita?

Mengapa Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang dipecat? Siapa pula yang menyokong IFC suatu ketikan dahulu. Adakah PAS atau pemimpin PAS yang menyokong IFC? Sedangkan PAS konsisten menentangnya ..

Saya mengharapkan Mashitah tidak payahlah sibuk menempelak dan memperlekehkan PAS. Ada baiknya beliau memperjuangkan perkara-perkara asas Islam dalam Umno yang masih belum diselesaikan. Alangkah baiknya beliau menasihat dan memastikan isteri Perdana Menteri dan menteri-menteri Islam tutup aurat. Itu belum kita sentuh isu-isu besar seperti hukum Islam, riba, hudud dan sebagainya. Cukup buat permulaan Mashitah selesaikan isu aurat itu dahulu,,,,,yang mana dalam PAS, kanak-kanak PASTI (Tadika PAS) pun tahu aurat mesti ditutup
......................
http://mutaligat.blogspot.com/2011/08/jawab-mashitah-pas-pilih-jais-atau-dap.html

Isnin, 8 Ogos 2011

Isu JAIS vs Gereja: Macam ni Baru Tindakan Matang, Bijak & Adil

Written by zain-ys

Isu JAIS menyerbu gereja, belum apa-apa, ada pihak yang sudah hentam, kritik, tulis pelbagai kenyataan dan komentar. Maklumat yang diperolehi cuma dari media. Ia tidak lebih hanyalah merupakan penafsiran dan kesimpulan dari pihak media sahaja.

Sepatutnya semua pihak mendengar terlebih dahulu penjelasan kedua-dua belah pihak secara langsung dari mulut mereka sendiri sebagaimana keputusan yang diambil oleh pihak PAS.

Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS menyatakan "PAS akan berjumpa secara langsung dengan Jais dan pihak gereja apabila mereka memberikan tarikh. PAS mesti mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkenaan dan tidak timbul kenyataan sokong mana-mana pihak."

Kenyataan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) juga cukup bagus. ISMA menekankan beberapa perkara:

1.Mempersoalkan pihak yang dari awal cuba memberi imej buruk terhadap JAIS.
2.Menyelar mereka yang mempolitikkan isu ini.
3.Jangan ganggu siasatan pihak JAIS sesuai dengan bidang kuasa yang ada.
4.Kesal dengan sesetengah pihak yang sudah hilang sensitiviti terhadap agama sendiri demi membela agama lain atas dasar hak asasi atau menjaga keharmonian.

Renungkan juga pepatah baru ini: "JAIS yang serbu, lembaga urusan zakat pula yang kena.."
-------------------------------

PAS akan jumpa Jais, gereja

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: PAS akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan pihak gereja bagi mendapatkan penjelasan mengenai serbuan Jais ke atas Gereja Methodist, Damansara Utama, minggu lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong atau menyalahkan mana-mana pihak sebelum mendapat penjelasan terperinci berhubung perkara ini.

"PAS akan berjumpa secara langsung dengan Jais dan pihak gereja apabila mereka memberikan tarikh.

"PAS mesti mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkenaan dan tidak timbul kenyataan sokong mana-mana pihak," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa pusat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan Jais melakukan pemeriksaan terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru ini.

Katanya, PAS akan berhubung dengan pihak Jais dan gereja mengikut tarikh yang sesuai untuk mendapat gambaran dan penjelasan langsung mengenai pemeriksaan tersebut.

“Selepas jumpa, baru buat keputusan,” ujarnya.

PAS, jelasnya menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk tindakan selanjutnya berhubung pemeriksaan Jais itu.

-----------------------------------------
Puas hati penjelasan Hassan Ali

Minggu lalu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan Jais itu.

Ditanya pendirian PAS terhadap Dr Hassan, Ustaz Hadi berkata parti telah mendengar penjelasan beliau dalam mesyuarat dan berpuas hati dengan penjelasannya.

"Kita tak bincang apa-apa ketetapan pun terhadap Dr Hassan dan beliau datang hari ini kerana menghadiri mesyuarat ajk, bukan kerana dipanggil," jelas beliau.

Beliau turut mendakwa isu ini sengaja dibesar-besarkan untuk menutup isu penduduk tetap (PR) diberi kad pengenalan biru dan didaftarkan sebagai pengundi untuk pilihan raya umum ke-13.

"Kita tahu isu ini sengaja ditimbulkan untuk menenggelamkan isu pemberian kad pengenalan (biru) kepada penduduk tetap.

"Tapi PAS akan terus turun ke medan bagi mendapatkan penjelasan kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu Ustaz Hadi memberitahu mesyuarat hari ini tertumpu kepada persiapan PRU ke-13 khususnya mengenai isu pembersihan dalam sistem pilihan raya.

"PAS bincang tentang PRU walaupun tarikh pilihan raya masih menjadi teka-teki.

"Daftar pemilih masih tidak bersih dan kita mahu daftar pemilih dibersihkan segera," katanya. [
harakahdaily.net]

-----------------------------------------
JAIS perlu teruskan siasatan tanpa gangguan

BANGI, 6 Ogos – ISMA berpendapat JAIS perlu meneruskan siasatan jika badan itu mendapati wujud kes gereja terlibat dalam kegiatan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam seperti yang dilaporkan dalam satu kejadian di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya.

ISMA juga meminta supaya pihak-pihak lain tidak mempolitikkan perkara ini yang boleh mengganggu siasatan JAIS.

“ISMA mahu JAIS meneruskan siasatan tanpa diganggu oleh mana-mana pihak kerana ia bertepatan dengan bidang tugas JAIS dan undang-undang. Kes ini berkait dengan isu sensitif di sisi perlembagaan dan umat Islam dan tidak sepatutnya dijadikan isu politik,” kata Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik kepada Media ISMA.

ISMA juga mempersoal laporan sesetengah media yang dari awal lagi cuba memberi imej negatif seolah-olah JAIS telah menceroboh kesucian rumah ibadat serta telah melakukan sesuatu yang tidak beretika dan keluar daripada lunas undang-undang, ujar beliau lagi dalam kenyataan yang sama.

Sehubungan itu, ISMA menyeru agar pemimpin-pemimpin umat Islam lebih prihatin terhadap apa-apa bentuk pencabulan terhadap kehormatan agama mereka.

“Saya kesal terhadap sesetengah pemimpin yang seolah-olah hilang ghirah (sensitiviti) terhadap agama sendiri bahkan lebih bersikap ingin membela agama lain atas dasar hak asasi atau menjaga keharmonian antara agama,” kata beliau lagi.

Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap sikap toleransi yang berlebihan, sama ada kerana faktor politik atau faktor lain kerana ia akan membawa kepada sindrom ‘kedayusan’ di kalangan umat Islam sehingga tidak bertindak apa-apa walaupun kehormatan Islam dan umatnya dicabul di hadapan mata.

Gejala murtad sama ada dengan memasuki agama lain atau tidak lagi beragama adalah satu jenayah yang mengancam keselamatan negara di sisi Islam.

Sebagai umat Islam, perbuatan ini sama seperti menconteng arang di muka sendiri dan mencabar maruah dan kehormatan agama Islam.

ISMA tidak bermaksud mencetuskan ketegangan bahkan sebaliknya mendukung hubungan harmoni antara kaum dan agama di negara yang berbilang bangsa ini tetapi bertegas dari aspek pelaksanaan undang-undang dan mempertahankan martabat agama dan bangsa. [
ISMA]