Sahabat Ilmu

Selasa, 8 Mac 2011

Menasabkan Anak Angkat Kepada Bapa Angkat

Adalah menjadi kesalahan dan haram hukumnya menasabkan seseorang anak angkat kepada bapa angkatnya. Ini bererti dalam Islam adalah ditegah seorang yang mengambil anak angkat lalu di‘bin’kan kepada bapa angkatnya.
Hukum ini berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud :

"...dan dia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak-anak kamu sendiri..." (al-Ahzab: 4)

Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman yang bermaksud :

"...panggillah anak-anak angkat itu dengan ber‘bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. (al-Ahzab: 5)

Berdasarkan kepada kedua-dua ayat di atas jelas bahawa perbuatan membinkan anak angkat kepada bapa angkat adalah dilarang dalam al-Quran.

Ibnu al-Qayyim berkata: "Sesungguhnya nasab itu sthabit pada asalnya ialah kepada bapa." (Zad al-Ma’ad, jld. 4, hlm. 110)

Oleh itu, kita perlu ingat dan sedar yang menetapkan nasab itu ialah Allah dan menasabkan kanak-kanak itu kepada bapa kandungnya ialah hak kanak-kanak tersebut.

Memelihara hak Allah dan hak kanak-kanak itu merupakan sesuatu yang wajib. Maksudnya hak Allah dipelihara dengan menasabkan kanak-kanak itu kepada asal usul keturunannya, kerana dari situlah dia dijadikan Allah, manakala hak kanak-kanak itu ialah mesti dinasabkan kepada bapanya kerana darah daging seseorang itu thabit kepada bapa kandungnya.

Sekiranya berlaku khilaf (tidak dikenali bapanya) maka hendak dibinkan dengan Abdullah.

Gadis yang diwalikan oleh bapa angkat tidak sah akad nikahnya, urusan akad itu mesti diserahkan kepada wali hakim. Bapa angkat juga tidak boleh mewakilkan kepada wali hakim kerana dia tidak ada hak wali.

Jika berlaku juga perkahwinan maka perkahwinan yang diwalikan oleh bapa angkatnya tidak sah, jika berlaku juga akad maka akad tersebut terbatal dengan sendirinya.

Hubungan suami isteri juga menjadi haram (zina). Anak yang diperoleh juga akan menjadi anak tak sah taraf.

Tiada ulasan: