Sahabat Ilmu

Selasa, 26 Januari 2010

Hukum Berkabung Atas Kematian Pemimpin

Soalan saya:
1. Apakah hukum menetapkan pakaian tertetntu seperti baju hitam/songkok berlilit dll sbg tanda berkabung atas kematian seseorang?
2. Apakah tindakan yang munasabah bagi saya penjawat awam yang diwajibkan memakai pakaian sedemikian atas kematian pembesar negeri saya?
Jazakumullahu khairal jazak..

Jawapan:
Amalan perkabungan hanya khas bagi wanita sahaja, sebagaimana difahami dalam hadis di bawah:

Maksudnya: Tidak halal bagi seseorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat berkabung atas kematian seseorang, kecuali ke atas suami selama empat bulan sepuluh malam.
Direkod oleh Bukhari (no: 5334), dan Muslim (no: 1487).

Manakala kaum lelaki, tidak disyariatkan berkabung atas kematian. Perkara ini disepakati oleh ulama. Kita boleh lihat dalam kitab-kitab feqah klasik dan moden yang membahaskan hukum berkabung, ulama hanya membahaskan tentang perkabungan wanita.

Cuma, ada segelintir ulama yang mengisyaratkan kepada keharusan berkabung bagi lelaki, dalam tempoh tiga hari sahaja. Contohnya dalam kitab al-Inshaf 6/279 dan Matolib Uli al-Nuha 1/924.

Itupun, hanya bagi individu yang ditimpa musibah kematian dari kalangan saudara maranya sahaja.

Manakala, adat berkabung atas kematian pemimpin, dengan cara seperti merendahkan bendera, memakai pakaian serba hitam, songkok berlilit dan seumpamanya, ia satu perkara yang tidak ada asas dalam syarak dan tidak didapati sumbernya dalam agama, dan perbuatan salaf. Malahan, ketika wafat pemimpin paling agung, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sahabat tidak melakukan perkabungan seumpama ini.

Ini menunjukkan ia tidak syar'ie. Dan lebih dibimbangi amalan umpama ini diceduk daripada adat masyarakat bukan Islam. Sedangkan kita dilarang meniru adat mereka.

Tiada ulasan: