Sahabat Ilmu

Jumaat, 26 Jun 2009

KHUTBAH JUMAAT MINGGU INI (26 / 6 / 09)

Bala Allah - Antara persoalan dan punca berlaku

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

FIRMAN ALLAH SWT:

"Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian"(Surah al-Isra’: 82)

KAUM MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA..

Kenapa Allah SWT menurunkan bala ke atas hamba-Nya? Mengapa ia tidak ditimpakan ke atas generasi akan datang? Adakah bala yang ditimpakan itu membuktikan kemarahan Allah ke atas diri kita yang terpaksa menanggung risiko akibat perbuatan orang lain?

Apabila dilihat telatah, gelagat dan perwatakan umat Islam hari ini memperlihatkan benar-benar mereka mengundang bala daripada Allah SWT.

Kita amat berharap agar cukuplah bala yang ditimpakan sejak peristiwa tsunami agar ia tidak berulang dengan yang lebih besar daripada itu.

Bermacam-macam persoalan timbul mengenai bala yang merisaukan banyak pihak.

Tapi apakah sebenarnya bala itu? Bala yang diambil daripada perkataan Arab iaitu 'bala' bermakna hukuman daripada Allah akibat salah laku manusia kerana mengingkari sepenuhnya atau sebahagian daripada perintah Allah SWT.

Bala ini pernah terjadi di zaman para Anbiya' sebelum Nabi Muhammad s.a.w., seperti yang diceritakan oleh Allah dalam al-Quran menerusi ayat 133 surah al-'Araf~ yang bermaksud: Telah Kami kirimkan ke atas mereka (umat Nabi Musa) ribut taufan, belalang, kutu, katak dan darah, sebagai tanda yang cukup jelas keingkaran mereka terhadap ajaran Nabi Ibrahim, mereka menyombong diri dan sesungguhnya mereka adalah golongan penjenayah (yang melakukan kerosakan di muka bumi).

Begitu juga Allah menceritakan mengenai kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan terkutuk yang disifatkan oleh Nabi Lut sendiri sebagai perbuatan yang tidak pernah berlaku di dunia sebelum itu, maka Allah musnahkan mereka tanpa memberi peluang untuk mereka bertaubat ke jalan kebenaran, sila rujuk ayat 81 surah al-'Araf~.

KAUM MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA..

Sesungguhnya bala tidak akan diturunkan oleh Allah ke atas manusia, melainkan kerana didahului dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Bezanya umat nabi-nabi terdahulu dikirimkan bala tanpa memberitahu isyarat kehadirannya, namun bagi umat Nabi Muhammad s.a.w., isyarat atau tanda-tanda kehadiran bala itu dapat dikesan oleh mereka yang kuat berpegang kepada agama dengan pelbagai kaedah, pendekatan dan bentuk tertentu.

Ini menandakan bahawa Allah SWT amat sayang kepada kita hingga menzahirkan isyarat atau tanda agar kita segera mengingati-Nya, boleh juga disifatkan diri kita sebagai hamba emas yang amat disayangi di sisi Allah, cuma umat ini sahaja yang tidak mengenal erti kasih sayang Allah.

Jelas di sini bahawa kesalahan umat terdahulu hingga ditimpakan pelbagai bentuk bala daripada Allah, kerana melakukan perkara-perkara yang becanggah dengan ajaran nabi-nabi mereka, tetapi kita perlu ingat, bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh mengirim bala kepada kita serupa dengan apa yang pernah berlaku pada zaman lampau dan juga mampu mengirim bala yang tidak pernah berlaku ketika itu.

Ini dapat kita lihat pada hari ini seperti jerebu, penyakit HIV,AIDS, denggi, chikungunya, selesema burung, , penyakit kaki, tangan dan mulut, yang terkini iaitu selsema babi yang menggerunkan banyak pihak dan macam-macam lagi, semua bala ini dikirimkan agar manusia kembali ke pangkal jalan.

KAUM MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA..

Sepatutnya sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. kita berjaya meloloskan diri daripada bala-bala yang disebutkan di atas, tetapi kenapa berlaku juga? Ia merupakan satu persoalan yang patut segera mencari jawapannya.

Ini tidak lain kalau tidak kita melakukan perkara yang menyanggah tuntutan agama, terdapat selain kita yang sanggup menggadai maruah agama.

Mari kita selidik secara halus tindakan manusia hari ini yang mengundang bala daripada Allah,antaranya seperti program hiburan keterlaluan yang terlalu banyak walaupun telah disanggah dan diingatkan oleh golongan alim ulama seperti konsert JomHeboh, Mentor, Akademi Fantasia,konsert2 yg melibatkan artis dalam dan luar negara dan banyak lagi.

Persoalannya, adakah agenda mencari penyanyi lebih afdhal dari agenda memulihkan akhlak rakyat Malaysia yang mengalami keruntuhan yang amat dasyat. Firman Allah yang bermaksud :-

"Dan di antara mereka (ada) orang yang (membeli) mempergunakan perkataan yang tidak berguna (lahwal hadis) untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan." (Surah Al-Luqman: 6)

Ulama mentafsirkan perkataan lahwal hadis sebagai hiburan atau nyanyian-nyanyian yang melalaikan dan menyesatkan manusia dari mengingati Allah swt. Manakala perkataan "yashtari" atau membeli dalam ayat ini bila ditafsirkan dalam konteks semasa, ialah terdapatnya di kalangan manusia hari ini sanggup membeli hiburan seperti menghantar undi melalui sms. Undi melalui sms ini adalah satu bentuk pembelian hiburan secara tidak langsung dan sangat bertepatan dengan ayat al-quran di atas. Ternyata Al-Quran telah mendahului kita, cuma manusia pada hari ini sahaja yang tidak mahu mengambil pengajaran.

KAUM MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA..

FAKTOR lain yang mengundang bala dari Allah ialah keruntuhan Sahsiyah Remaja Islam, umum mengetahui betapa sakitnya moral dan akhlaq remaja pada hari ini, tidak kiralah samada di bandar, di taman-taman perumahan, di kampung,di IPTA, IPTS dan seumpamanya.. keadaan pakaian dan pergaulan bebas sudah terlalu buruk dan bertambah busuk dengan timbulnya masalah seks bebas, bersekedudukan, clubbing, dadah, lesbian, homoseksual dan sebagainya. Ini bukan dapat diselesaikan sekadar dengan perkahwinan semata-mata kerana titik tolak punca itu sendiri adalah kerana rosaknya hati dan iman.

Selain itu antara penyebab yang mengundang bala Allah ialah manusia yang diciptakan oleh Allah sudah tidak berkenan lagi dengan hukum Allah swt.Manusia hari ini mendahului hukum akal atau undang2 manusia daripada undang2 Allah..menolak hukum hudud, qisas, takzir, peraturan2 Islam serta menerima pakai undang2 ciptaan barat, ciptaan yahudi, ciptaan orang kafir dalam mengharungi kehidupan seharian. Maka Allah yang Maha Penyayang hendak memberi peringatan dengan didatangkan bala - dengan bertambah ramainya pencuri2, penzina2, perogol2 bersiri, peminum2 arak, pemakan2 riba,pemberi dan penerima rasuah, pemimpin yang zalim dan sebagainya.

KAUM MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA..

Tidakkah orang-orang yang memerintah negara , negeri, seperti menteri2,wakil2 rakyat, para ilmuwan agama dan orang2 yang ada kuasa dan kita yang berada dalam masjid ini merasa bahawa kita akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat kelak dengan membiarkan banyak perkara yang menyinggung kesucian islam berlaku di hadapan mata kita?

Justeru, semua anggota masyarakat perlu sama-sama berusaha untuk memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah berpesan dalam kitab suci al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa juga bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan.

Masyarakat setempat hendaklah sensitif dengan keadaan sekeliling dengan saling bantu membantu di antara satu sama lain, menjaga kebajikan dan keselamatan sesama jiran setaman atau sekampung. Amalan ini mungkin dianggap lapuk, tetapi sepatutnya dihidupkan semula walaupun ramai orang Melayu hari ini lebih suka tinggal di taman perumahan.

Sikap 'sombong' dan tidak mahu saling kenal mengenali dan berbaik-baik dengan jiran apatah lagi satu jalan atau satu lorong, haruslah dihapuskan. Semai dan tanamkan semangat kejiranan seperti diamalkan sebelum ini.

Bagi Ibubapa sejak awal lagi anak2 perlu ditanam supaya membenci segala bentuk kemungkaran dan mencintai yang makruf. Didikan awal inilah yang biasanya melekat dalam sanubari mereka. Dengan demikian, apabila dewasa, mereka akan mudah menolak segala bentuk kemungkaran kerana ada benteng dalam diri yang menegah mereka membabitkan diri dalam sebarang tindakan merosakkan diri sendiri.

Sama-samalah kita fikirkan sebelum terlambat.Sama-samalah kita renung dan muhasabah diri akan kesalahan dan dosa serta maksiat yang telah kita buat selama ini.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

DISEDIAKAN DAN DISAMPAIKAN OLEH: USTAZ MUHAMAD NAIM HASHIM DI SURAU (JUMAAT) AL-IKHLAS BANDAR SUNGAI BUAYA RAWANG PADA 3 REJAB 1430 /26 JUN 2009

Tiada ulasan: