Sabtu, 1 Februari 2014

Benarkah Riwayat Yang Mengatakan Bahawa Tsa'labah Enggan Membayar Zakat?


Submitted by FatwaMalaysia on 18 October 2013 - 5:38am

ISU:Benarkah riwayat yang mengatakan bahawa Tsa'labah enggan membayar zakat?

PENJELASAN:

Kisah Tsa’labah yang dikatakan enggan mengeluarkan zakat adalah satu kisah masyhur yang disebut oleh sebahagian ahli tafsir dalam menafsirkan ayat berikut

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِين

َMaksudnya:  “Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh”. (Al-Tawbah: ayat 75).

Antara yang meriwayatkan kisah ini ialah Al-Tabarani dalam Al-Mu’jam al-Kabir (8/218 hadis no: 7873).

Namun sekalipun kisah ini agak masyhur, tetapi sebenarnya ia adalah kisah yang tidak sahih dan tidak layak dinisbahkan kepada Tsa’labah r.a. yang merupakan seorang sahabat Nabi S.A.W.

Al-Iraqi mengatakan, “Diriwayatkan oleh Al-Tabarani dengan sanad yang dhaif”. (Takhrij Ahadith al-Ihya’, m/s 1179).

Al-Qurtubi mengatakan, “Tsa’labah adalah seorang Badri (orang yang menyertai peperangan Badar), seorang Ansari, dan dari kalangan mereka yang disaksikan keimanan mereka oleh Allah dan Rasul-Nya sebagaimana yang akan diterangkan dalam permulaan surah al-Mumtahinah. Apa yang diriwayatkan mengenainya (tentang keengganan mengeluarkan zakat) adalah tidak sahih”. (Tafsir al-Qurtubi, 8/210).

Dari sudut kandungan kisah itu juga dipertikaikan, di mana menurut riwayat tersebut, apabila Tsa’labah ingin bertaubat dan ingin mengeluarkan zakat, Nabi S.A.W tidak menerima zakat tersebut. Begitu juga pada zaman pemerintahan Abu Bakr r.a., Umar r.a. dan Uthman r.a., mereka tidak menerima zakat yang hendak dikeluarkan oleh Tsa’labah.

Kisah ini tidak selayaknya dinisbahkan kepada Nabi S.A.W. dan khalifah-khalifah selepas baginda dan tidak mungkin ia berlaku. Kerana ia menyalahi prinsip-prinsip Islam dan nas-nas al-Quran yang menerima taubat mereka yang bertaubat, sebagaimana firman Allah

فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ فَخَلُّوا سَبِيلَهُم

Maksudnnya :  “Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Al-Tawbah: ayat 5).

 وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُون

َMaksudnya:  Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Ali Imran: ayat 135).

Kesimpulannya, kisah Tsa’labah yang tidak membayar zakat adalah kisah yang tidak sahih dari sudut sanadnya dan dari sudut kandungan ceritanya.

Wallahu A’lam.

http://www.e-fatwa.gov.my/blog/benarkah-riwayat-yang-mengatakan-bahawa-tsalabah-enggan-membayar-zakat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan