Sahabat Ilmu

Jumaat, 15 Mac 2013

MILIKI SEKARANG- JILID 1 HINGGA 5






HUBUNGI USTAZ NAIM(PENULIS)- 0173112753/0196023803
HARGA SENASKAH: RM 5

MILIKI KOMIK ISLAMIK-KEMBARA USTAZ ISU 5


Hubungi/sms: 0173112753/0196023803(ustaz naim)

Rabu, 13 Mac 2013

ALLAH SYG HAMBANYA LBH DARI IBU SYG ANAK

Adakah kita sedar bahawa Pencipta kita, Allah SWT amat mengasihi dan menyayangi kita. Dia yang bersifat dengan al-Rahman ( Maha Pemurah ) dan al-Rahim ( Maha Penyayang) amat mengasihi hambaNya melebihi kasihnya seorang ibu terhadap anak tunggalnya.

Umar bin al-Khattab r.a meriwayatkan bahwa satu ketika dibawa ke hadapan Rasulullah saw satu kumpulan tawanan perang. Ternyata terdapat seorang perempuan di kalangan rombongan itu sedang mencari-cari sesuatu ( anaknya ). Setiap kali dia menjumpai bayi di kalangan rombongan tawanan itu maka dia pun terus mengambil dan memeluknya dan menyusuinya.

Maka Rasulullah saw pun berkata kepada kami,“Apakah menurut kamu perempuan ini akan tergamak melemparkan anaknya ke dalam julangan api?”. Maka kamipun menjawab, “Tentu saja dia tidak akan sanggup melakukannya, demi Allah. Walaupun dia sanggup, pasti dia tidak ingin melemparkan anaknya.” 

Maka Rasulullah saw pun bersabda : “Sesungguhnya Allah jauh lebih menyayangi hamba-hambaNya dibandingkan kasih sayang ibu ini kepada anaknya.” ( Imam Bukhari dan Muslim)

Tiada seorang ibu pun sanggup melihat anaknya ditimpa sebarang kesulitan. Apatah lagi mencampakkannya ke dalam api yang menyala. Begitulah juga Allah yang menjadikan, memelihara, menjaga, memberi rezeki dan pelbagai nikmat kehidupan kepada kita lebih-lebih lagi menyayangi hambaNya dan tidak menghendaki hambaNya dicampakkan ke dalam neraka.

Oleh sebab itu Allah SWT sangat gembira bila hambanya yang jauh hanyut dalam kesesatan kembali ke pangkal jalan dan bertaubat kepadaNya. Kerana taubat asbab seseorang itu akan terselamat dari bakaran api neraka. Sabda Nabi saw :

“Sesungguhnya Allah sangat-sangat bergembira terhadap taubat salah seorang di antara kamu jauh melebihi kegembiraan salah seorang dari kalangan kamu di saat ia mendapat kembali untanya yang telah hilang.” ( Imam Muslim)

Allah sangat-sangat cemburu bila hambaNya melakukan perkara yang dimurkainya. Sabda Baginda saw bersabda :

“Sesungguhnya Allah merasa cemburu. Dan seorang mukmin pun merasa cemburu. Adapun kecemburuan Allah itu akan bangkit tatkala seorang mukmin melakukan sesuatu yang Allah haramkan atasnya.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim)

Namun kita seringkali alpa dan berulang kali membuatkan Allah SWT ‘cemburu’. Malah kita sering memandang remeh dosa-dosa yang dilakukan tanpa rasa takut akan dimurkai oleh Allah bila mengadapNya di akhirat kelak. Berbeza benar sikap kita dengan sikap para sahabat Nabi saw :

Anas bin Malik r.a berkata : “Sesungguhnya kamu akan melakukan perbuatan-perbuatan yang dalam pandangan mata kamu hal itu lebih ringan daripada helaian rambut. Sementara kami dulu di masa Nabi saw menganggapnya termasuk perkara-perkara yang membinasakan.” ( Imam al-Bukhari)

Kata-kata tokoh sahabat ini memang jelas sekali pada hari ini. Pada hari ini kebanyakan manusia tidak menganggap dosa satu beban dan perkara yang akan membinasakan. Mereka amat mudah melakukannya tanpa memikirkan risiko yang akan menimpanya bila dimasukkan ke lubang kubur dan kehidupan seterusnya.

Hargailah kasih sayang Allah kepada kita. Hargailah nikmat-nikmat percuma yang tidak terkira dariNya. Kejarlah syurga yang disediakan untuk kita dan hindarilah diri dari bakaran api neraka dengan sentiasa bertaubat dan mengelakkan diri dari sebarang dosa. Semoga Allah merahmati kita semua dan memimpin kita semua ke jalan yang diredaiNya

Khamis, 7 Mac 2013

PENGAJIAN BERSANAD KITAB SYAMAAIL MUHAMMADIYYAH






BERSAMA SYEIKH DR. MUHAMMAD ABDULLAH 'ALI MAHYUDDIN AS-SYAFIE (MUHADDIS, PENSYARAH SYARIAH WAL QANUN UNIVERSITI ANTARABANGSA AFRIKA, KHARTOUM, SUDAN 

(Alhamdulillah dapat khatam 415 hadis dalam kitab Syamaail bersama Syeikh Muhammad)

BERSAMA AL-FADHIL USTAZ ABDULLAH KHAIRI BIN HJ HARON





BERSAMA AL-FADHIL USTAZ ABDULLAH KHAIRI BIN HJ HARON
(PENCERAMAH TERSOHOR/PENDAKWAH BEBAS DARI PULAU PINANG)

Mimpi Nabi Tapi Pelik : Benarkah ?

Soalan 
Assalamualaikum,
Ustaz, saya pernah bermimpi Rasulullah menurut kata hati saya inilah, tetapi masalahnya badannya agak gemuk dan pernah juga perbuatannya dalam mimpi tu macam tak beradab, tak elok dan ada yang macam bercanggah dengan amalan Islam. Tapi apa yang saya tahu, ada hadith yang mengatakan jika mimpi Nabi maka memang nampak nabi yang sebenarnya. Macam mana pula jika mimipi Nabi begini dan dia ajar satu perkara yang bercanggah dengan Islam?. Adakah ia khusus untuk kita atau bagaimana, mohon ustaz menerangkan. Terima kasih

Jawapan

Pada asasnya, memang benar, terdapat hadith sohih yang menyebutkan :-

وَمَنْ رَآنِي في الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي فإن الشَّيْطَانَ لَا يَتَمَثَّلُ في صُورَتِي

Ertinya : Barangsiapa yang telah melihatku di dalam tidurnya ( mimpi) , maka ia sesungguhnya telah melihatku, kerana Syaitan tidak (mampu) menyerupai gambaranku" ( Riwayat Al-Bukhari, 1/52 ; Muslim, no 2266, 4/1775 ) 

Dalam hadith yang lain pula disebutkan :-

من رَآنِي في الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي فإن الشَّيْطَانَ لَا يَتَخَيَّلُ بِي وَرُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ من سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا من النُّبُوَّةِ

Ertinya : "Barangsiapa yang telah melihatku di dalam tidurnya ( mimpi), maka ia sesungguhnya telah melihatku, kerana Syaitan tidak (mampu) menyerupaiku, dan mimpi seorang mukmin adalah satu juzuk dari 46 juzuk dari kenabian" ( Riwayat Al-Bukhari, 6/2568 )

Dalam mentafsirkan hadith ini, para ulama telah terbahagi kepada tiga kelompok. Apabila saya utarakan tiga pendapat ini, inshaAllah jawapan kepada soalan anda akan terjawab.

Kumpulan pertama : Antara yang tergolong dalam kumpulan ini adalah pakar tafsir mimpi Muhammad Ibn Sirin, Al-Qadhi Iyadh dan lain-lain,

Mereka berpendapat bahawa hadith di atas terikat dengan samanya wajah dan bentuk Rasulullah yang dilihat dalam mimpi dengan apa yang diriwayatkan atau yang dilihat semasa hayat (bagi sahabat nabi). Jika ia sama sifatnya, dan perwatakkannya, di ketika itu ia adalah wajah benar-benar Nabi SAW, jika bercanggah, maka ia bukanlah Nabi SAW.

Ini bermakna, hadith di atas tidak ‘mutlaq' kepada semua bentuk wajah yang dilihatnya. Ia hanya benar-benar wajah Nabi jika sifatnya sama dengan apa yang diriwayatkan.

Bagi para sahabat Nabi, apa yang dilihat mestilah sama dengan wajah Nabi yang diketahui mereka.

Dalil yang diutarakan oleh kumpulan ini adalah hadith lain yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dan disebut oleh Ibn Hajar Al-Asqolani iaitu seorang lelaki telah bermimpi bertemu Rasulullah SAW, lalu ia menceritakannya kepada Ibn ‘Abbas r.a, Maka Ibn Abbas bertanya : "Sifatkan apa yang kamu lihat" Maka, ia berkata : "Aku menyebut hasan Bin Ali, lalu aku menyerupakan dengannya" . Ibn Hajar berkata sanad hadith ini adalah baik. (Fath al-Bari)

Jika di ambil pendapat kumpulan ini, mimpi yang sebagaimana anda tanya tadi adalah mimpi yang tidak benar kerana tubuh baginda SAW tidak gemuk dan tidak mungkin ia melakukan perkara ‘aib dan tidak bersopan. Ia juga bukan Nabi SAW kerana mustahil Nabi akan menyuruh sesuatu yang bercanggah dengan tuntutan Al-Quran.

Kumpulan Kedua : Antara ulama kumpulan ini adalah Imam An-Nawawi, Al-Mazari dan lain-lain.

Kumpulan ulama ini berpendapat hadith di atas umum bagi semua orang samada yang pernah melihat Nabi semasa hidup (seperti sahabat) atau yang tidak pernah (seperti kita semua). Semua jenis mimpi Rasulullah SAW adalah benar sebagaimana maksud hadith tadi.

Hasil dari pendapat ini, apa saja yang dilhat dalam mimpi dan mendapat ilham atau apa jua perasaan bahawa ia adalah Nabi SAW, maka benarlah mimpi itu dan itulah Nabi SAW.

Imam Ibn Hajar ketika mengulas pendapat Imam Nawawi ini berkata perlu diingat bahawa Muhammad Ibn Sirin adalah Imam dalam bab ta'bir mimpi manakala pandangan Al-Qadhi ‘Iyadh pula adalah sederhana dan baik.

Berdasarkan kepada pendapat ulama kumpulan ini, mungkin benarlah anda telah melihat Nabi SAW di dalam mimpi itu.

Kumpulan ketiga : Antara ulama dari kumpulan ini adalah Ibn Juzay dan Syeikh Mustafa Az-Zarqa, ( Al-‘Aql wal Fiqh Fi Fahmi Al-Hadith An-Nabawi, hlm 25 )

Syeikh Mustafa Az-Zarqa berkata setelah beliau membuat analisa seluruh pandangan ulama, ia mengatakan memang secara zahirnya kelihatan hadith di atas seolah-olah menjamin semua wajah Nabi (sebagaimana ilham seseorang) yang dilihat dalam mimpi itu adalah wajah Nabi yang sebenarnya tetapi setelah melakukan analisa tafsiran para ulama, jelaslah hadith tadi tidak memberi jaminan untuk semua.

Malah jaminan benarnya Nabi yang dilihat dalam mimpi itu adalah khas bagi para sahabat baginda SAW yang mengetahui dengan jelas rupa para Nabi.

Adapun, bagi individu yang tidak pernah melihat Nabi semasa hayat, mereka tidak termasuk dalam jaminan hadith « syaitan tidak boleh meyerupaiku »

Ini kerana kita tidak tahu wajah sebenarnya baginda SAW, maka mungkin sahaja Syaitan membentuk satu wajah yang tidak kita ketahui lalu mendatangkan perasaan atau (ilham kononnya) bahawa ia adalah Nabi. 

Syaitan memang tidak boleh menyerupai nabi SAW tapi dalam hal ini, ia hanya menyerupai sebuah wajah lain lalu mendakwa ia nabi, dan kita tidak mengetahuinya.

Lebih merbahaya apabila gambaran itu memberi mesej dalam bentuk cakap atau tindakan yang tidak sesuai dengan watak sebenar baginda SAW.

Syeikh Mustafa Az-Zarqa juga menegaskan, jika seseorang merasakan ia mimpi Nabi di zaman ini, maka ia tiada jaminan apa yang dilihatnya adalah Nabi SAW, ia terbuka untuk benar atau salah. Oleh kerana itu, mimpi orang di zaman ini adalah sebuah mimpi biasa yang terbuka kepada permainan jahat Syaitan, monolog dalamannya ataupun mimpi benar orang soleh yang dapat melihat wajah Nabi sebenar, tapi tidak termasuk dalam jaminan hadith tadi. ( Al-Aql wa al-Fiqh, hlm 27)

Ini samalah macam mimpi buruk yang dialami seorang sahabat Nabi:

يا رَسُولَ اللَّهِ رأيت في الْمَنَامِ كَأَنَّ رَأْسِي قُطِعَ قال فَضَحِكَ النبي وقال إذا لَعِبَ الشَّيْطَانُ بِأَحَدِكُمْ في مَنَامِهِ فلا يُحَدِّثْ بِهِ الناس

Ertinya : "Wahai Rasulullah aku telah nampak dalam mimpiku seolah-olah kepalaku dipenggal. Maka Nabi SAW tertawa mendengarnya lalu berkata : Apabila Syaitan mempermainkan seseorang darimu ( dengan mimpi-mimpi begini) dalam tidurmu, maka janganlah kamu menceritakannya kepada orang lain" ( Riwayat Al-Bukhari)

Nabi juga menyebut :

الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ من اللَّهِ وَالْحُلْمُ من الشَّيْطَانِ فَمَنْ رَأَى شيئا يَكْرَهُهُ فَلْيَنْفِثْ عن شِمَالِهِ ثَلَاثًا وَلْيَتَعَوَّذْ من الشَّيْطَانِ فَإِنَّهَا لَا تَضُرُّهُ

Ertinya : Mimpi yang baik ( dari orang soleh) adalah dari Allah SWT dan mimpi (buruk) adalah dari Syaitan, barangsiapa yang telah melihat sesuatu (mimpi) yang tidak disukainya, hendaklah ia meniup ke kirinya 3 kali dan beristi'azah (meminta perlindungan dari gangguan syaitan), kemudian mimpi itu tidak akan memudaratkannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 6/2568)

Kesimpulan

Setelah melihat kepada tiga kumpulan ulama ini, saya kira pandangan ketiga adalah gabungan kedua-dua kumpulan di atas, huraiannya adalah paling dekat dengan hati, minda dan keyakinan saya. Wallahu ‘alam. Justeru menurut pandangan saya, mimpi anda tidak benar dan ia bukannya gambaran Nabi SAW dan arahan tadi juga tidak benar sama sekali.

Hadith jaminan benarnya nabi di dalam mimpi tadi juga tidak terpakai dalam hal mimpi yang anda sebutkan itu. Wallahu'alam.

Perlu difahami, setiap orang mampu mendapat mimpi Nabi SAW tetapi dengan ia hanya benar jika bertepatan dengan sifat yang terdapat dalam hadith-hadith sahaja. Selain dari itu ia bukan nabi dan tiada percanggahan dengan hadith nabi tentang sesiapa yang melihatkau dalam mimpi maka ia telah melihatku.

Sekian

U.Zaharuddin Abd Rahman

Rabu, 6 Mac 2013

Lebih Baik Daripada Kerajaan ....

Apabila kita melihat kemewahan duniawi pada sesetengah manusia, akan timbul kekaguman kita kepadanya, dan sering terwujud dalam benak kita bahawa alangkah baiknya jika kita juga memperolehi kemewahan tersebut. Tanpa kita memikirkan bahawa segala-galanya adalah ujian daripada Allah ta`ala dan amanahNya yang akan diminta pertanggungjawabannya kelak di akhirat. Namun nafsu yang tidak pernah mengenal puas tetap sahaja menggoda kita untuk sentiasa gemarkan kemewahan duniawi yang sementara ini, bahkan ada yang tergoda sehingga sanggup menggadaikan akhirat demi mengunggulkan kemewahan yang fana.... Allahu ... Allah.

Janganlah kita jadikan dunia ini sebagai matlamat akhir kita, ingatlah bahawa kita ini umat yang beragama. Dunia ini hanyalah sementara, yang bakal kita tinggalkan nanti apabila sampai masa meneruskan perjalanan kita menuju negeri yang kekal abadi. Junjungan Nabi shallAllahu `alaihi wa sallam berpesan agar kita jadikan keberadaan kita di negeri dunia ini seumpama seorang musafir, yakni hidupnya kita di negeri dunia ini hanyalah singgah sebentar sahaja untuk mencari bekalan buat kehidupan di negeri yang abadi nanti. Sampai masanya nanti, kita akan meneruskan perjalanan ke negeri yang abadi. Bertamu di dunia ini pun tidak lama, sebentar sahaja bak kata Sasterawan Negara A. Samad Said:- "Kita Ini Tetamu Senja", tak lama terbenamlah matahari, kalau bertamu dari pagi sampai petang boleh tahan jugak lamanye...Allahu ... Allah. Makanya, janganlah kita tergiurkan kehidupan duniawi sehingga lupa negeri yang akhirat yang abadi. Dunia yang ada itu jadikanlah untuk akhirat, dunia untuk akhirat bukan dunia untuk dunia kerana dunia itu bakal kita tinggal pergi. Seorang penyair berpesan:-


Jadikan hidupmu seperti musafir berkelana
Setelah kau tiada biarlah yang tinggal kebaikan belaka
Maka tidaklah kita di dunia ini melainkan bertamu sementara
Dan tiadalah atas tetamu melainkan pasti berlalu perginya


Bekal akhirat itu lebih penting daripada dunia seisinya. Kemewahan duniawi itu ada noktah akhirnya, manakala bekal akhirat itulah yang kita harapkan jadi sebab mendapat kebahagiaan yang abadi. Renungilah satu kisah yang diceritakan oleh Imam al-Qalyubirahimahullah dalam karya beliau "an-Nawaadir" pada kisah yang ke-194 di halaman 174, bahawa satu ketika Nabi Sulaiman bin Daud `alaihimas salamlalu dengan tunggangannya di hadapan seorang penggembala kambing. Maka terluncurlah daripada mulut si penggembala akan kata-kata: "Raja Sulaiman telah dianugerahkan dengan kerajaan yang besar." Kata-kata si penggembala tadi dibawa angin ke telinga Nabi Sulaiman, maka turunlah baginda daripada tunggangannya lalu baginda datang kepada si penggembala. Baginda bersabda kepada si penggembala:"Wahai penggembala, sesungguhnya satu ucapan tasbih dalam lembaran amal seseorang hamba itu lebih afdhal di sisi Allah daripada kerajaannya Sulaiman, kerana kerajaannya itu bakal binasa sedangkan ucapan tasbih tersebut akan kekal bagi si pembacanya dan akan bermanfaat baginya pada hari kiamat nanti."

Moga Allah selamatkan kita dari segala fitnah dunia dan membahagiakan kita di akhirat nanti dalam negeri yang abadi Jannatun Na`im, syurga yang penuh kenikmatan. Allahumma aamiin.

Dicatat oleh Abu Muhammad

NILAI TUDUNG WANITA

Tajuk: NILAI TUDUNG WANITA

Tazkirah hari ni ingin menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

KALAU TAK SUKA, PULANGKAN...

Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta dihalakan ke dalam garaj.

“Horey! ...Papa balik!” Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.
“Tepi! Bahaya tau tak?” Jeritnya.
Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.
“Aimin bawa adik ke belakang.” Arahnya pada anak yang sulong.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

“Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita,” pujuk Laila.
Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

“Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!” Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya.

“Asal saya balik rumah mesti bersepah. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?” sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

“Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman.” Balas isterinya lembut.
“Fail saya kat depan tu mana?”
“Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.”
“Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi.” Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu.
Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya. “Laila” Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.

—————————————————————————-

“Saya nak ke out station minggu depan.”
“Lama?” Soal Laila.
“Dalam seminggu.”
“Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?”
“Budak-budak? “
“Ikut jugalah.”
“Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana . Tengok masa kat Legacy dulu tu..”
“Masa tu Amirul kecik lagi.” Balas Laila.

Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi.

” Bolehlah Pa ! Lama sangat kita tak ke mana-mana.”
“Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung,” Muktamad!

Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

“Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!”
“Manalah saya ada masa..”
“Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!” Dia tersentak dari khayalannya.
“Kalau tak suka pulangkan balik!” Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir.
Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma..
“Mizi, makan!” Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. “Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah.”

———————————————————————————-

“Papa! Makan!” Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.
“Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?”
Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.
“Awak masak apa?”
“Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.
“Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!”
“Papa nak ke mana?” Soal isterinya perlahan.
“Keluar!”
“Mama dah masak Pa!”
“Awak saja makan!”
“Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!”
Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan.
“Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi.
“Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.”
“Abang tak suka tengok papa marah-marah. .”
“Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan ?”
Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris.Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.
“Laila..” serunya
“Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.
“Sunyi pulak rumah ni mak,”
“Lama-lama kau biasalah.”
Airmatanya menitis laju. “Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.

———————————————————————————-

“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.
“Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.”
“Tak ada lah?”
“Ingat papa ni cop duit?”

Aiman termangu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.
Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya.
“Awak tak sihat ke?”
Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.
“Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.
Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.

“Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!” Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

“Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”
Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

“Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. ” Ujar Laila perlahan
“Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana , kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

———————————————————————————–

“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni.”
Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang.

Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah.
“Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.
“Abang!”
“Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!” Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Shamizi terpana. Dia mengangguk.
“Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti.”
Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A.
“Laila”

—————————————————————————————————-

“Papa nak ke mana hensem-hensem gini?” Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. “Wangi-wangi lagi. Dating ye?”
“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.
“Ikut boleh?”
“Dia tak ajak family. Staff only!” Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang.
“Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami.”
“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. “
“Papa pesanlah..”
“Nantilah besar sikit.” Dalihnya.
“Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”
“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,”
Laila terdiam. “Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.”
“Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik.”
“Mama tanya sikit boleh?” Dia mengangguk
“Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?”

Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah.
Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

“Kalau tak suka pulangkan!” Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.
Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian.

“Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan! ” Laila merenungnya dalam..

Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil.Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa..

“Kalau tak suka pulangkan,”
Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.
Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.
Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah.

Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan…….

Rabu, 27 Februari 2013

PESAN UNTUK AHLI ILMU


SAIDINA Umar al-Khattab r.a pernah berkata:
"Apabila engkau melihat orang yang berilmu mencintai dunia, maka curigailah ia mengenai agamanya, kerana orang yang mencintai sesuatu ia akan menyibukkan diri dengan apa yang dicintainya itu.."

Ilmu itu, adalah cahaya daripada Allah s.wt. Tidak akan diberi Allah kepada hamba-Nya melainkan mereka yang benar-benar dicintai-Nya. Ilmu itu suatu yang suci dan kudus. Penuh dengan rahsia dan falsafah. Ia ibarat makhluk yang bernyawa, perlukan syarat-syarat yang terperinci untuk memilikinya. Bukan sebarang manusia boleh memautnya. Kerana itulah Rasulullah s.a.w ada memberi peringatan buat penuntut ilmu bahawa:

"Orang yang paling pedih siksaannya pada hari qiyamat nanti adalah seorang 'alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya.."

IKHLASLAH DALAM MENUNTUT ILMU DAN MENYAMPAIKANNYA SERTA BERAMALLAH DENGANNYA PENUH KEIKHLASAN...

KATA-KATA INDAH


"Orang yang halus perasaannya, orang lain bersalah, dia yang rasa bersalah. Orang lain berdosa, dia yang rasa berdosa. Ada orang mati kelaparan, dia rasa bersalah. Apatah lagi kalau dia yang bersalah dan berdosa, tersiksa jiwanya sepanjang masa"

TARBIYAH SEKETUL CEKODOK


Tatkala saya menghadapi hidangan sarapan pagi, saya teringatkan peristiwa ketika bersarapan bersama keluarga. Menu untuk pagi itu hanyalah beberapa ketul cucur ikan bilis, tetapi mempunyai makna yang sangat besar untuk ditafsirkan. Selesai bersarapan, tinggallah seketul cucur yang masih berbaki, namun saya katakan kepada ibu bahawa saya sudah kenyang. Lantas ibu mencapai baki cucur itu sambil mula bercerita,

“Cekodok ini...,” bahasa ibu, “Nak hasilkannya, bukan ibu seorang sahaja, cuba bayangkan, sebelum nak jadi cekodok, mesti ada tepung gandum dulu. Tepung gandum tu, bukan senang-senang je nak jadi, asalnya daripada biji gandum yang ditanam. Cuba bayangkan nak tanamnya berapa lama...? siapa yang tanam? Lepas itu dituai hasilnya, bukan seorang, malah beratus-ratus pekerja diperlukan.”

Sambung ibu lagi, “Kemudian perlu pekerja untuk menghasilkan tepung daripada biji gandum tu, setelah siap, perlu dibungkus dan barulah dijual kepada orang ramai.” Mata saya terkebil-kebil.

Ibu sambung lagi, “Telur pulak...kalau Man hendak, Man boleh beli sahaja di kedai Pak Wan di depan tu. Tapi telur sebiji ni, Allah tugaskan berapa ramai yang terlibat. Sebelum jadi telur, mesti bela ayam. Ayam bukan seekor, yang nak jaganya pun bukan seorang, hendak beri makannya. Kemudian apabila sudah bertelur banyak, dikutip telur itu dan dihantar untuk digredkan berdasarkan saiz telur...” Saya renung lagi, tanpa disedari, cucur yang ibu makan tadi sudah tidak bersisa.

“Dah siap semua barulah dipasarkan.” Ayat terakhir itu meninggalkan saya terus keseorangan di meja makan.

Ah! Betapa kurangnya saya bersyukur. Itu baru ibu kisahkan mengenai ‘cekodok’, yang kadang-kadang sekali tengok pun, tak ada selera nak makan. Belum lagi ibu buka cerita buat nasi lemak ke, nasi ayam ke...

Lamunan saya melayang kepada sahabat-sahabat kita yang masih kurang bernasib baik seperti di Bosnia, Somalia dan negara-negara miskin yang lain. Kadangkala makanan mereka hanyalah helaian-helaian daun dan ranting kayu, atau apa-apa yang boleh dijadikan makanan. Kalaulah diberikan seketul ‘cekodok’ tadi kepada mereka, Alahai, mesti berebut-rebut mahukannya!

Begitulah manusia, kalau dah nikmat melimpah-ruah dihadapan mata, yang tidak berkenan, tidak akan dilayan. Terlalu mengikut kehendak nafsu dan terlalu memilih. Saya teringat kata-kata seorang sahabat saya, waktu itu saya dalam tingkatan empat, “Malaysia ini negara makanan. Sebut sahaja makanan apa, semuanya ada.” Sampai macam itu sekali nilainya. Lebih-lebih lagi di bulan puasa, hari-hari tukar menu, sampaikan nak solat Maghrib selepas berbuka pun dah tak larat. Lepas tu nak tarawih apatah lagi.

Namun, Ramadhan sudah lama berlalu, yang tinggal hanyalah tapak-tapak didikan bulan itu yang masih berbekas di hati bagi orang yang mengambil kesempatannya. Tidak tahulah sejauh mana tarbiyyah Ramadhan yang lepas mencorak diri, itu masing-masing boleh ukurnya sendiri.

Jauh sungguh saya menerawang. Pinggan yang kotor saya bawa ke dapur. Terasa jauh benar diri daripada Yang Mencipta dan terlalu kerdil rasanya. Sambil mencuci pinggan, dalam hati berkata; ‘Nilailah sesuatu itu dengan teliti dan tepat, bukan pada lahiriah sahaja, tapi dalamannya itu yang paling penting’

Nampaknya hari ini, saya telah ditarbiyyah oleh seketul ‘cekodok’!


Posted by
Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Sabtu, 23 Februari 2013

FITNAH MEDIA LIDAH BERCABANG

JOM GI KULIAH


          Jom ke kuliah pd mlm ni di Masjid ar-Rahmah Kg Sg Buaya 48010 Rawang Selangor


Rabu, 6 Februari 2013

10 Tanda Hati Mati

Syeikh Ibrahim Adham menyatakan 10 tanda hati mati iaitu :

1. Mengaku kenal Allah s.w.t tetapi tetapi tidak menunaikan hak- haknya.

2. Mengaku cinta pada Rasulullah s.a.w tetapi tidak menunaikan Sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengan hukum- hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat- nikmat Allah s.w.t tetapi tidak mensyukuri atas pemberiannya.

5. Mengaku syaitan itu musuh tetapi tidak berjuang menentangnya

6. Mengaku adanya nikmat syurga tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka tetapi tidak berusaha untuk menjahinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain tetepi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantarkan dan menguburkan jenazah/ mayat saudara seIslam tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya

MUTIARA JIHAD


MUTIARA AMAL


Isnin, 4 Februari 2013

Hukum Air Atau Cecair Yang Keluar Dari Manusia

Air Mani

Air mani ialah cecair putih pekat yang keluar kemaluan lelaki dan perempuan apabila sampai kepada kemuncak syahwat. Ia bukan najis tetapi hendaklah mandi wajib bagi mensucikannya untuk membolehkan seseorang itu menunaikan ibadat. Firman Allah yang berbunyi :

“(Setelah mengetahui Yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) Yang memancut (ke Dalam rahim), Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan.” (At-Taariq : 5-7)

Air mani lelaki kebiasaannya berwarna putih likat seperti hingus, ia keluar ketika seseorang itu rasa nikmat yang tidak terhingga sehingga secara memancut. Manakala air mani perempuan pula lebih cair dari air mani lelaki dan ia berwarna putih. Cara ia keluar ketika wanita tersebut gersang dan nikmat yang tidak terhingga.

Hukum Air Mani

Menurut Mazhab Syafie air mani adalah suci dan tidak mengandungi najis. Hujah ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW mafhumnya :

“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas ini, ia menunjukkan bahawa air mani itu adalah suci kerana Rasulullah SAW menggunakan pakaiannya yang terkena air mani tersebut untuk solat. Kalau ia najis maka sudah pasti Rasulullah SAW tidak menggunakan pakaian tersebut untuk solat.

Cara Mencuci Air Mani

Bagi air mani yang kering atau menempel kepada pakaian atau sebagainya, maka cara menyucikannya adalah seperti mengikis dengan kuku atau alat-alat yang lain, setelah dikikis cucikan pula dengan air sehingga bersih, maka ia sudah dianggap bersih. Dari Aisyah ra berkata :

“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Cara menyucikan air mani yang masih basah atau belum kering, maka disunatkan membasuhnya dengan menggunakan air bersih.

Air Mazi

Maksud Air Mazi adalah sejenis cecair jernih kekuningan yang keluar daripada kemaluan lelaki dan perempuan disebabkan rangsangan ketika permulaan syahwat dengan keadaan tidak sedar. Dari Ali ra berkata :

“Aku adalah seorang lelaki yang sering mengeluarkan mazi. Kemudian aku suruh seorang kawan supaya menanyakan tentang perkara ini kepada Nabi SAW. Aku malu bertanya secara langsung memandangkan puterinya telah menjadi isteriku. Kawan itu pun akhirnya menanyakan masalah ini kepada Nabi SAW dan beliau menjawab : Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Air Mazi

Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa air mazi ini adalah najis, ia juga boleh menyebabkan batalnya wuduk dan tidak boleh dibawa solat. Bagi orang yang mengeluarkan mazi tidak diwajibkan mandi hadas seperti keluarnya air mani.

Cara Mencuci Air Mazi

Air mazi dianggap seperti najis mutawassitah dan ia perlu dicuci dengan cara membasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih. Rasulullah SAW bersabda :

“Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Air Wadi

Air wadi adalah air berwarna putih kental atau pekat yang keluar dari kemaluan lelaki dan perempuan setelah habisnya air kencing. Dari Aisyah ra berkata :

“Wadi keluar setelah berkencing. Oleh kerananya, hendaklah seseorang itu mencuci zakar berserta kedua-dua buahnya, lalu berwuduk dan tidak perlu mandi.” (Riwayat Ibnu Munzir)

Hukum Air Wadi

Jumhur ulamak mengatakan air wadi ini adalah benda najis mutawassitah dan hukumnya sama seperti air kencing dan mazi. Ia tidak boleh dibawa solat. Begitu juga dengan Imam An-Nawawi mengatakan bahawa air wadi itu adalah najis.

Cara Mencuci Air Wadi

Cara mencuci air wadi adalah dengan mencuci kemaluan sehingga bersih dan mengambil wuduk. Orang yang mengeluarkan air wadi tidak perlu mandi hadas.

Air Kencing

Air kencing manusia adalah najis mutawassitah dan ia dapat membatalkan wuduk seseorang dan boleh menyebabkan solat itu tidak sah disebabkannya. Orang yang ingin membuang ari kencing ini perlu berhati-hati kerana takut air kencingnya terkena pakaiannya. Semasa membuang air kencing hendaklah dipastikan bahawa air kencing tersebut keluar habis dari kemaluan seseorang, air kencing yang tidak habis akan keluar secara sedar atau tidak sedar, ia boleh menyebabkan pakaian yang dipakai seperti seluar terkenanya dan seluar tersebut tidak boleh dibawa solat. Sebagai tindakan berjaga-jaga bawalah bersama kain atau seluar untuk digantikan ketika hendak melakukan solat, perbuatan ini adalah untuk memastikan supaya pakaian dan diri sentiasa didalam keadaan bersih dan suci. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mafhumnya :

“Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing. (iaitu hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)”

Cara untuk memastikan air kencing itu habis atau tidak habis keluarnya dari kemaluan, diantara caranya ialah seperti :

Bagi wanita untuk memastikan air kencing habis atau belum, caranya mudah sahaja dengan menunggu sebentar setelah selesai kencing. Jika didapati tiada lagi air kencing, maka ia bolehlah membersihkan kemalaunnya.

Bagi lelaki pula agak susah sedikit, kebiasaanya memerlukan waktu dan kesabaran. Cara untuk memastikan air kencing keluar, hendaklah diurut batang zakarnya dari pangkal hingga ke hujung kepala zakarnya. Dalam masa yang sama hendaklah berdehem-dehem untuk membantu mengeluarkan sisa-sisa air kencing di dalam zakarnya. Setalah pasti tiada lagi air kencing, maka bolehlah dibersihkan zakarnya dengan kaedah istinjak.

Hukum Kencing Sambil Berdiri

Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :

“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.

Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :

“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.

Author: Ustaz Nor Amin Sayani Bin Zainal

Perbezaan air mani , air mazi dan air wadi

 
Apakah perbezaan dari segi hukum dan ciri atau sifat fizikal antara air mani, air mazi dan air wadi?

Jawapan :

Air mani ialah cecair putih pekat yang keluar apabila sampai kepada kemuncak syahwat. Ia bukan najis tetapi hendaklah mandi wajib bagi mensucikannya untuk membolehkan seseorang itu menunaikan ibadat. Manakala air mazi ialah cecair jernih yang keluar disebabkan rangsangan ketika mukaddimah syahwat. Ia adalah najis dan tidak wajib mandi memadai membasuh sahaja tempat berkenaan. Manakala cecair yang keluar akibat letih atau mengangkat sesuatu yang berat dinamakan air wadi

HUKUM AIR WADI


Soalan:
Salam, air wadi tu air apa??

Jawapan:
Air Wadi merujuk kepada air yang warnanya agak putih, kental dan keruh, yang biasanya keluar melalui kemaluan lelaki atau zakar dan melalui kemaluan perempuan atau faraj sesudah membuang air kecil (air kencing) atau kerana bekerja berat.

Hukumnya najis mutawassitah dan wajib dicucinya apabila mahu melakukan ibadat. Ini bererti apabila keluar wadi jika seseorang itu dalam berwudhu' maka batallah wudhu'nya. Tetapi tidak wajib mandi junub/janabah / (mandi wajib).

wallahuaqlam