Sahabat Ilmu

Khamis, 2 Ogos 2018

Ajal Maut KetetapanNya

☆Tadabbur Kalamullah 21 Syawal 1439H☆

نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ الْمَوْتَ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ

"Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan" [Surah al-Waqi'ah 60]

#Ajal maut adalah ketetapan Allah swt bagi setiap makhluk yang hidup. Semua manusia akan menghadapi hari kematiannya. Hanya Allah swt sahaja yang tahu bila kita akan mati. Mati adalah sesuatu yang pasti akan terjadi dan setiap ahli keluarga akan kehilangan orang yang disayangi dalam hidupnya. Inilah ketetapan Allah swt. Nabi saw bersabda:

كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلاَئِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

“Allah telah mencatat takdir setiap makhluk 50 ribu tahun sebelum penciptaan langit dan bumi”(HR Muslim)

#Setiap kita perlu menerima hakikat kematian. Samada kita yang mati dahulu ataupun ahli keluarga kita yang akan dahulu meninggalkan kita. Namun kita perlu redha dengan qadha dan qadar Allah ini dan bersabar serta tabah atas ujian kematian ini. Walaupun berat, pilu, sedih dan meruntun jiwa apabila ada ahli keluarga kita (ibubapa, isteri, suami atau anak ) meninggal dunia, hakikat ini perlu diterima dengan hati yang sabar, tenang dan kembali kepada Allah.

#Bagi sesiapa yang diuji dengan kematian anak atau ahli keluarga maka hayatilah janji-janji Nabi saw kepada orang yang redha dengan ketentuan Allah ini:

1. Daripada Sayidina Abu Musa al-Asy’ari r.a berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:

إِذَا مَاتَ وَلَدُ الْعَبْدِ قَالَ اللَّهُ لِمَلاَئِكَتِهِ قَبَضْتُمْ وَلَدَ عَبْدِى. فَيَقُولُونَ نَعَمْ. فَيَقُولُ قَبَضْتُمْ ثَمَرَةَ فُؤَادِهِ. فَيَقُولُونَ نَعَمْ. فَيَقُولُ مَاذَا قَالَ عَبْدِى فَيَقُولُونَ حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ. فَيَقُولُ اللَّهُ ابْنُوا لِعَبْدِى بَيْتًا فِى الْجَنَّةِ وَسَمُّوهُ بَيْتَ الْحَمْدِ

“Apabila anak seorang hamba meninggal dunia, Allah berfirman kepada malaikatNya: “Kalian telah mencabut nyawa anak hamba-Ku?” Mereka berkata: “Benar.” Allah berfirman: “Kalian telah mencabut nyawa buah hatinya?” Mereka menjawab: “Benar.” Allah berfirman: “Apa yang diucapkan oleh hambaKu saat itu?” Mereka berkata: “Ia memujimu (dengan menyebut Alhamdulillah) dan mengucapkan istirja’ (innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun).” Allah berfirman: “Bangunkan untuk hambaKu sebuah istana di syurga, dan namakan ia dengan nama baitul hamdi (istana pujian).” (HR at-Tirmizi, Ahmad. Hadis Hasan).

2. Daripada Abu Hassan, beliau berkata, aku bertanya kepada Sayidina Abu Hurairah r.a: "Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Rasulullah saw yang akan melegakan diri kami atas kematian dua anak kami?" Sayidina Abu Hurairah menjawab: "Ya. Kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Dia tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ibu ayahnya ke dalam syurga." (HR Muslim)

#As-Suddi rahimahullah, seorang ahli tafsir mengatakan: “Balasan bagi orang yang bersabar adalah syurga.” [Tafsir Al-Quran al-Azhim, Imam Ibnu Katsir]

♡Ujian kematian adalah antara ujian yang berat kepada orang yang menghadapi kematian dan juga kepada kaum keluarganya serta mengusik iman seseorang samada redha ataupun sebaliknya. Yakinlah dengan janji Allah dan Rasul bahawa orang yang redha dan sabar apabila berdepan ujian kematian ini akan beroleh ganjaran yang hebat daripada Allah swt♡

🐊Ust naim
TELEGRAM :
Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:
https://t.me/tadabburkalamullah

FB PAGE:
https://m.facebook.com/ustazmuhamadnaim

BLOG :
https://tadabburkalamullah.wordpress.com

Tiada ulasan: