HUKUM MEMBACA AL-QURAN SEBELUM SUBUH DENGAN MENGGUNAKAN PEMBESAR SUARA
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah memutuskan bahawa bacaan Al-Quran dengan pembesar suara daripada masjid atau surau adalah dilarang menurut hukum syara'.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KN) menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 7 April 2011 mengenai hukum tersebut. Namun, KN berpendirian pentadbiran masjid dan surau boleh mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan tradisi dan amalan sedia ada atau sebaliknya, setelah menerima pemberitahuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa.
"Saya ingin menekankan bahawa pihak KN tiada kaitan dengan keputusan ini dan sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Mufti Pulau Pinang. Saya juga menasihatkan agar jangan mempolitikkan isu ini kerana arahan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa, bukannya KN seperti yang diuar-uarkan," ujar EXCO Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Y.B. Tuan Abdul Malik Abul Kassim semasa sesi sidang media yang diadakan di KOMTAR, hari ini.
Beliau juga memaklumkan pihak KN sentiasa membuka pintu rundingan dan mengalu-alukan muzakarah dan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi memartabatkan Islam di negeri ini. Pihak media juga dinasihatkan untuk berjumpa dengan pihak yang sepatutnya untuk mendapatkan penjelasan dan bukannya dengan membuat andaian sendiri kerana isu ini berkaitan Agama Islam - Buletin Mutiara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan