Sabtu, 1 Februari 2014

Apakah Had Aurat Seorang Muslimah Di Hadapan Wanita Bukan Islam?


Submitted by Fatwa Malaysia on 15 January 2014 - 8:33am

ISU:Apakah had aurat seorang Muslimah di hadapan wanita bukan Islam? Bolehkah seorang Muslimah mendedahkan rambutnya terhadap wanita bukan Islam seperti memasuki pusat dandanan rambut yang mana pekerjanya terdiri dari kalangan wanita bukan Islam?

PENJELASAN:Ayat 31 daripada surah Al-Nur melarang wanita-wanita beriman daripada mendedahkan ‘perhiasan' mereka kecuali di hadapan beberapa golongan.

Antara yang dikecualikan ayat tersebut ialah wanita-wanita Islam sebagaimana firman Allah: أَوْ نِسَائِهِنَّ

Maksudnya: “...atau perempuan-perempuan Islam”. (Surah Al-Nur, ayat: 31).

Difahami daripada ayat tersebut bahawa wanita-wanita bukan Islam tidak termasuk dalam golongan yang dikecualikan.

Justeru Muslimah tidak diharuskan mendedahkan tubuhnya di hadapan wanita bukan Islam, sebagaimana aurat mereka di hadapan lelaki ajnabi. Ini merupakan pandangan majoriti ulama termasuk mazhab Syafie.

Pendapat ini juga disokong oleh athar daripada Umar bin al-Khattab:

 كَتَبَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ إِلَى أَبِي عُبَيْدَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: " أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّهُ بَلَغَنِي أَنَّ نِسَاءً مِنْ نِسَاءِ الْمُسْلِمِينَ يَدْخُلْنَ الْحَمَّامَاتِ مَعَ نِسَاءِ أَهْلِ الشِّرْكِ، فَإِنَّهُ مِنْ قِبَلِكَ عَنْ ذَلِكَ، فَإِنَّهُ لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى عَوْرَتِهَا إِلَّا أَهْلُ مِلَّتِهَا

Maksudnya:Umar bin al-Khattab r.a. menulis surat kepada Abu ‘Ubaidah r.a.,

“Sesungguhnya sampai khabar kepadaku bahawa ada wanita dari kalangan wanita Islam memasuki bilik-bilik air bersama-sama dengan wanita ahli syirik. Sesungguhnya daripada pihak kamu (hendaklah melarang) daripada perbuatan tersebut. Kerana sesungguhnya tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk dilihat auratnya kecuali oleh mereka yang seagama dengannya". (Riwayat Al-Baihaqi, 7/153, no: 13543)

Namun walaupun secara asasnya had aurat Muslimah di hadapan wanita bukan Islam adalah sebagaimana aurat Muslimah di hadapan lelaki ajnabi, hukum ini tidaklah terlalu ketat dan terdapat sedikit kelonggaran.

Antaranya, dibenarkan bagi wanita Muslimah mendedahkan kepada wanita bukan Islam sebahagian daripada anggota badan yang kebiasaannya terdedah ketika melakukan kerja-kerja harian(sekiranya dalam keadaan tidak dapat dielakkan). Antara anggota yang diberikan kelonggaran untuk didedahkan kepada wanita bukan Islam ialah kepala, tengkuk, tangan hingga ke siku dan kaki hingga ke lutut.

Kelonggaran ini adalah berdasarkan kepada pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie, sebagaimana dijelaskan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj 4/213.

Berdasarkan kepada pendapat muktamad ini, maka adalah harus bagi wanita Muslimah mendedahkan rambutnya kepada wanita bukan Islam termasuk mendapatkan perkhidmatan dandanan rambut di salun-salun yang dikelolakan oleh wanita bukan Islam (sekiranya tidak ada pilihan dan tidak ada percampuran antara lelaki dan wanita) Walaubagaimanapun memandangkan pada hari ini terdapat banyak salun khusus untuk wanita yang diusahakan oleh wanita Islam,maka adalah lebih aula diberi keutamaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan