Rabu, 25 Januari 2012

Garis Panduan Hukum Khurafat Dan Azimat


Tarikh Keputusan: 5 Jul, 2011
Keputusan: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2011 yang bersidang pada 4 Sya’aban 1432H bersamaan 5 Julai 2011 sebulat suara bersetuju dengan Garis Panduan Hukum Khurafat dan Azimat seperti berikut :

a) Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan
bersifat karut atau dusta;

b) Antara ciri-ciri khurafat adalah seperti berikut:

(i) Ia tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith;

(ii) Ia merupakan cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut;

(iii) Ia bersumberkan kepada kepercayaan-kepercayaan lama dan adat yang
bercanggah dengan Islam;

(iv) Ia berbentuk pemujaan dan permohonan kepada selain daripada Allah Ta’ala untuk tujuan yang bercanggah dengan ajaran Islam;

(v) Ia melibatkan penggunaan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok, busut, dan sebagainya untuk tujuan yang tertentu; dan

(vi) Ia mempunyai unsur-unsur negatif kepada akidah dan syariah Islam.

c) Antara bentuk-bentuk khurafat adalah seperti berikut:

(i) Kepercayaan kepada keramat seperti makam, kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, cincin, bukit, tongkat, haiwan tertentu dan sebagainya;

(ii) Kepercayaan kepada sial majal seperti adat mandi safar, adat mandi membuang sial dan sebagainya;

(iii) Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepung tawar, adat semah pantai dan sebagainya;

(iv) Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi, bersemah, membuang ancak ke sungai dan laut dan sebagainya;

(v) Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang contohnya seperti tidak melihatkan bayi di muka cermin kerana kelak ia akan mati di dalam air, tidak boleh keluar ketika gagak berbunyi kerana takut mendapat sial atau bala dan sebagainya;

(vi) Kepercayaan kepada ramalan-ramalan bintang, zodiak, angka, nombor, kod matrik, tarikh kelahiran, abjad nama, rajah-rajah tertentu, kitaran hari dan bulan dalam kalendar dan sebagainya dalam merancang dan melaksanakan sesuatu perkara dan mengatur kehidupan; dan

(vii) Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang, kubur-kubur yang dianggap wali atau syeikh tertentu, melakukan upacara menghadirkan roh dan sebagainya.

d) Antara amalan khurafat yang berlaku di Negeri Melaka:

(i) Membaca tahlil dan doa serta bertakbir di tiang bendera semasa upacara menurun dan menaikkan bendera;

(ii) Upacara menyapu dan menyiram cairan cendana pada batu nisan, mebentang kain penutup ke atas kubur, membalut kain putih pada batu nesan, memasang colok dan meletakkan bendera di atas kubur;

(iii) Perarakan membawa bendera, bunga telur, bunga-bungaan, buah-buahan di dalam dulang disertai oleh para pengunjung sambil berselawat menuju ke kubur tertentu;

(iv) Mengadakan Majlis maulud atau sambutan hari hol atau upacara tertentu di perkuburan;

(v) Membawa haiwan ternakan hidup ke sesuatu tempat untuk disembelih bagi tujuan tertentu seperti membayar nazar, memohon hajat, lambang terima kasih kepada kubur dan simbol penutup selepas usaha memuja tempat yang didakwa keramat;

(vi) Melakukan bai’ah di atas kubur atau ditempat-tempat yang dianggap keramat.

(vii) Upacara zikir dan ratib di sisi kubur untuk memohon hajat tertentu; dan

(viii) Upacara suluk atau uzlah dengan menghabiskan zikir tertentu berhari-hari di kawasan kubur dengan kepercayaan boleh meningkatkan taraf atau darjat di sisi Allah.

e) Azimat atau tangkal ialah suatu objek yang ditulis dengan ayat-ayat tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semula jadi apabila dijampi atau dipuja untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat diri sendiri atau memudharatkan orang lain.

f) Islam sangat menitikberatkan soal-soal akidah dan syariah. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ dan Qiyas adalah ditolak oleh Islam.

g) Amalan memuja dan memohon pertolongan dari objek yang dipuja seperti yang selalu dilakukan oleh sesetengah bomoh dan dukun adalah syirik dan menyesatkan.Orang-orang yang bersahabat dengan mengunakan jin, tukang sihir dan tukang tenung adalah tergolong di dalam golongan orang-orang jahil dan menzalimi diri sendiri.

h) Haram mengunakan azimat atau tangkal yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami seperti obejek-objek tertentu dan bercampur aduk dengan ayat al-Quran atau berdasarkan kepada sihir, atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis, atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor dan menganggapkan tangkal mempunyai kuasa.

i) Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin, penimbul, penyeri, pemanis,mempercepatkan jodoh, pelaris, penunduk musuh, penunduk kata, pemerdu suara,pembungkam, penarik rezeki, penjaga diri, penguat batin dan sebagainya yangdicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.

j) Jampi adalah haram sekiranya ia mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir atau memuja hantu syaitan dan jin iblis atau mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh.

k) Pihak Berkuasa Negeri perlu mewujudkan peraturan untuk menghalang mana-mana orang Islam membawa dan menyembelih haiwan di tempat-tempat pemujaan dalam negeri Melaka bagi mencegah berlakunya perbuatan syirik dan khurafat selaras dengan kaedah sadd az-zari’ah (menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudharatan)

l) Mana-mana orang Islam yang terlibat dengan perbuatan syirik atau khurafat, menggunakan azimat atau tangkal atau mengamalkan jampi serapah yang bertentangan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam wajib segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah Ta’ala.
Status Penwartaan: Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: JMM/BFB(S)/351/255/01/13
Akta/Enakmen: Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002
Negeri: 
Melaka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan