Jumaat, 30 September 2011

KHUTBAH JUMAAT 30 SEPTEMBER 2011

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Ayat yang dibacakan di awal khutbah tadi menjelaskan bagaimana Allah SWT memberi peringatan kepada manusia yang berbangga dengan bilangannya dan pengikutnya yang ramai sedangkan mereka itu akan menyesatkannya dari jalan yang benar. Seringkali kita mendengar tokoh-tokoh tertentu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang mendabik dada dengan pengikutnya yang ramai mendapat sokongan yang kuat seolah-olah hendak membuktikan bahawa mereka berada di landasan yang benar. Tetapi kita perlu ingat bilangan yang ramai itu tidak semestinya menunjukkan kita berada di pihak yang benar. Allah tidak menilai dan memandang kuantiti yang ada pada kita tetapi melihat kepada kualiti iman dan amalan kita. Jika kita membaca hadith-hadith Nabi s.a.w kita akan dapati bahawa pihak yang benar di akhir zaman nanti ialah pihak yang sedikit bilangannya berbanding pihak yang berada di jalan yang salah. Hadis daripada Thauban R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda;

"Sentiasa ada satu golongan daripada kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, tidak akan memberi mudarat kepada mereka orang yang meninggalkan mereka sehingga datang hari kiamat dan mereka dalam keadaan tersebut". (Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas membuktikan bahawa pada akhir zaman nanti pejuang-pejuang kebenaran dan mereka yang menyeru kepada ma'ruf dan mencegah kemungkaran bukan daripada kalangan yang ramai tetapi terdiri daripada kumpulan yang kecil. Mereka akan berjuang menegakkan kebenaran, mengajak kepada berpegang dan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-sunnah, bersabar di atas segala celaan dan hinaan dan tidak takut kepada ancaman.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan kepada kita mengenai tibanya zaman di mana Islam dianggap asing oleh masyarakat sekeliling sebagaimana zaman permulaan Islam dahulu. Pada masa itu orang yang mengamalkan Islam dianggap asing. Orang yang menyeru kepada kebaikan dianggap ketinggalan zaman, orang yang mencegah kemungkaran dianggap menjaga tepi kain orang atau tuduhan-tuduhan seumpamanya. Pada hari ini kita telah merasai keasingan Islam itu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing sebagaiman ia bermula maka beruntunglah orang yang asing. Sahabat-sahabat bertanya wahai Rasulullah siapakah orang asing itu?. Rasulullah s.a.w menjawab orang yang melakukan pembaikan (islah) ketika rosaknya manusia, tidak bersengketa dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan orang yang berada pada tauhid disebabkan dosa".(Riwayat Muslim)

Terdapat pelbagai riwayat yang menjelaskan maksud ghuraba' (asing) sebagaimana yang terdapat dalam hadith ini antaranya ialah golongan soleh yang bilangannya sedikit dalam kumpulan ramai yang melakukan kejahatan.

Antara sifat ghuraba' ialah tetap berpegang dengan ajaran Islam ketika masyarakat dalam keadaan rosak. Perkara ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud;

"Telah berpecah Yahudi kepada 71 kumpulan dan telah berpecah Nasrani kepada 72 kumpulan dan akan berpecah umatku kepada 73 kumpulan kesemuanya dalam neraka melainkan satu. Dikatakan siapakah dia wahai Rasulullah?. Jawab Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berpegang dengan apa yang aku pegang dan sahabatku".

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Jika kita membaca sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w kita akan dapati bagaimana risalah Islam yang dibawa oleh Baginda dianggap asing sehingga ditentang hebat oleh kafir Quraisy Mekah. Dakwah kepada agama tauhid yang dibawa oleh Rasulullah pada peringkat awalnya hanya diimani oleh kalangan keluarga dan sahabat yang terdekat sahaja.

Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dianggap asing dan pelik oleh masyarakat Jahiliah apatah lagi Rasulullah s.a.w menentang berhala-berhala mereka, menentang amalan syirik dan khurafat yang mereka lakukan, menentang perzinaan, adat dan budaya yang biasa mereka agungkan.

Justeru, apabila Rasulullah s.a.w membawa sesuatu yang bertentangan dengan amalan nenek moyang mereka maka mereka mula bertindak balas dengan menghina, mencela Rasulullah dan menyeksa serta membunuh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Inilah gambaran tentang asingnya Islam itu pada peringkat awal dakwah Rasulullah s.a.w.

Firman Allah s.w.t dalam surah Hud ayat 120:

"Setiap berita daripada Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya; telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang yang beriman".

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Apa yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w mengenai keasingan Islam telah mula kelihatan dalam masyarakat kita. Nilai-nilai Islam yang masih ada dalam diri kita telah terhakis sedikit demi sedikit, dosa-dosa besar dianggap biasa, kefasadan dan kemaksiatan dibiarkan berlaku secara terang-terangan, orang-orang jahil bercakap mengenai Islam dan kurangnya perlaksanaan al-amru bi al-ma'ruf wan nahy ‘anil-munkar.

Asingnya Islam juga ialah apabila umat Islam mengabaikan kewajipan ibadat mereka kepada Allah SWT, mengabaikan perkara fardu, jahil mengenai hukum halal dan haram, mendekati perkara syubhat, riba' dianggap halal. Yakin bahawa tanpa riba' ekonomi tidak mampu berkembang. Arak dan judi jika diharamkan akan memberi kesan kepada perkembangan ekonomi negara.

Perkara ma'ruf dianggap munkar dan munkar dianggap ma'ruf. Kebenaran dan kebatilan dicampuradukkan. Apa yang paling menakutkan ialah manusia lebih mempercayai hukum ciptaan manusia daripada hukum ciptaan Allah. Mereka yakin bahawa dengan melaksanakan hukum Allah akan menyebabkan Negara berada dalam keadaan kucar kacir dan kacau bilau.

Antara bukti asingnya Islam ialah apabila umat Islam dihina, dibunuh dan disembelih tetapi umat Islam lain hanya memerhatikannya sahaja. Lebih mengaibkan lagi apabila umat Islam bergantung penuh kepada negara luar dengan anggapan tanpa kuasa luar kita tidak mampu melakukan apa-apa.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Marilah sama-sama kita muhasabah diri, melihat sumbangan masing-masing terhadap agama yang kita cintai ini. Berapa ramaikah di kalangan kita yang mempunyai sifat ghuraba' (asing) sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w.?. Berapa ramai di kalangan kita yang sanggup menegur dan mencegah kemaksiatan dan kezaliman yang berlaku dalam masyarakat?. Berapa ramai di kalangan kita yang berani untuk mempertahankan Islam, memperjuangkannya dan menegakkannya. Berapa ramai di kalangan kita yang sanggup menahan celaan dan tohmahan kerana mempertahankan Islam?.

Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud;

"Mana-mana orang mukmin yang melihat orang mukmin lain dihina dan diaibkan tetapi dia tidak bingkas menolongnya, pada hal dia berkeupayaan membelanya, nescaya Allah mengaibkan dirinya di hadapan orang ramai pada hari kiamat kelak".(Riwayat Ahmad)

Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Moga-moga dengan kembalinya kita kepada ajaran Islam yang sebenar akan menjadikan kita umat yang bermotivasi, berinovasi dan memiliki keazaman yang tinggi untuk kembali semula menjadi umat yang cemerlang.

"Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang yang kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; Janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan". (Hud :112)

Khutbah Jumaat Bacaan 30 September 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan