Selasa, 8 Februari 2011

KISAH NABI IBRAHIM DENGAN MAJUSI

"Dalam suatu kisah pada zaman Nabi Ibrahim a.s., telah datang seorang Majusi ke rumah Nabi Ibrahim a.s. untuk meminta sedikit makanan dan menumpang tidur di rumah baginda. Sebelum baginda bersetuju menolongnya, baginda telah bertanya kepada Majusi tersebut, apakah agama yang dianutinya. Si Majusi pun menjawab, dia menganut agama Majusi. Apabila mendengar jawapan Majusi tadi Nabi Ibrahim pun tidak mahu menolongnya. Lalu Majusi tadi pun beredarlah.

Sebaik sahaja Majusi itu pergi, Allah pun menurunkan wahyu kepada Nabi Ibrahim yang bermaksud:
“Wahai Ibrahim, kenapakah kamu tidak menolong Majusi yang dalam kesusahan tadi, sedangkan Aku telah memberi rezeki kepadanya selama 40 tahun walaupun dia dalam keadaan kufur kepada Aku.”

Mendengar wahyu tersebut, Nabi Ibrahim segera mencari semula Si Majusi lalu diberi pertolongan padanya. Majusi tadi merasa hairan melihat perubahan sikap Nabi Ibrahim, lalu dia pun bertanya:

“Tadi kamu telah mengusir aku, tetapi Kenapa sekarang kamu menjemput aku semula?”

Nabi Ibrahim pun menjawab:

“Aku telah ditegur oleh Tuhanku bahawa walaupun engkau kufur pada-Nya tetapi dengan kasih sayang-Nya, selama 40 tahun Dia tidak pernah lupa untuk menurunkan rezeki untuk kamu, tetapi Kenapa aku tidak dapat menolongmu ketika kamu memerlukannya?”

Mendengarkan hal itu, Majusi tadi terus mengucap syahadah kerana katanya:
“Tuhan kamu ada kasih sayang, tapi tuhan aku tidak ada kasih sayang.”

Begitulah Tuhan, walaupun hamba-Nya menderhakai-Nya, tetapi kasih sayang-Nya tetap melitupi semua makhluk-Nya.Oleh itu salah satu cara untuk mendapatkan rasa bertuhan ialah sentiasa mengenangkan kasih sayang Tuhan yang tidak terhingga. Nikmat oksigen, naik turunnya nafas, kerdipan mata, denyutan jantung, sudah cukup menjadi tanda-tanda kasih sayang dan tanda kebesarannya.

Bila mengenangkan kasih sayang Tuhan ini, sudah tentu rasa diri lemah. rasa-rasa inilah yang dikatakan rasa kehambaan. rasa kehambaan inilah yang akan mendorong untuk melaksanakan perintah Tuhan dan syariat-Nya.

1 ulasan:

  1. cerita yang menarik. dengan izin, mahu berkongsinya di blog saya.

    BalasPadam