Selasa, 28 Disember 2010

KISAH JALUT DAN TALUT

Ayat 246 -251 surah al-Baqarah mengisahkan satu kaum Bani Israil yang diceritakan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW, untuk dijadikan iktibar oleh umatnya. Untuk lebih jelas, kisah ini dibawakan sekadarnya mengikut catatan para mufassirin, diantaranya daripada al-Khazin.

Kisah ini mula diceritakan selepas Nabi Musa AS wafat meninggalkan kaumnya iaitu Bani Israil. Orang yang menggantikannya untuk meneruskan syariat Allah yang berpandukan kitab Taurat ialah Yusyak bin Nun.

Dialah khalifah Nabi Musa yang pertama, yang kemudian digantikan pula oleh Kalib in Yuqana sebagai khalifah kedua dan kemudian digantikan pula oleh Hizqil bin Buza sebagai khalifah ketiga.

Setelah beberapa lama Hizqil bin Buza meninggal dunia, Bani Israil mula melupakan agamanya sehingga ada di antara mereka yang bertukar menyembah berhala-berhala. Kemudian Allah mengutus Ilyas kepada mereka.

Ilyas adalah seorang Nabi dan Rasul yang ditugaskan seperti lain-lain Nabi keturunan kaum Bani Israil, supaya mengingatkan kaumnya yang telah melupakan agama yang dibawa oleh Nabi Musa dahulu dan menyuruh mereka mengamalkan semula syariat tersebut.

Kemudian diutus pula Ilyasak, yang juga seorang Nabi dan Rasul. Ia meneruskan syariat Nabi Musa beberapa lama sehingga meninggal dunia.

Demikianlah sehingga beberapa lama sepeninggalan Nabi Ilyasak ini manusia telah berbalik semula kepada berbuat bermacam-macam kejahatan dan meninggalkan agama mereka.

Pada masa itulah timbul satu kaum yang menjadi musuh kepada Bani Israil yang menjajah dan menindas mereka. Musuh itu dikatakan bernama Balthatha, diketuai oleh seorang raja bernama Jalut.

Mereka mendiami tempat yang berdekatan dengan kawasan pantai jajahan Rum, yang terletak di antara Palestin dengan Mesir. Mereka itu juga dikatakan berasal daripada kaum Amaliqah – kaum yang terhitung tua daripada bangsa Arab.

Banyak kawasan negeri Bani Israil yang mereka takluki, anak pinak yang mereka perhambakan dan anak-anak raja yang ditawan. Mereka dikenakan ufti dan cukai, Taurat dirampas sehingga menyebabkan bencana dan kesengsaraan yang amat sangat.

Keadaan demikian berlaku kerana telah lama tidak ada nabi yang diutus seperti yang sudah-sudah. Biasanya seorang Nabi yang akan muncul daripada kaum Bani Israil mestilah berketurunan Nabi pula. Baka-baka yang akan menurunkan Nabi ini telah ramai yang mati.

Hal ini menyebabkan lama tidak dibangkitkan Nabi yang dapat memimpin dan membela mereka daripada kekejaman dan penindasan musuh.

Maka ditakdirkan Allah, ada seorang sahaja yang berketurunan Nabi – itu pun perempuan pula orangnya -  lalu mereka jaga dan pelihara baik-baik. Sampailah masanya perempuan ini mengandung, dia dikurniakan seorang anak lelaki yang kemudiannya dinamakan Syamwil.

Kanak-kanak ini telah dididik dan dibesarkan oleh seorang pendita yang alim dan diajarkannya syariat Nabi Musa serta kitab Taurat, yang akhirnya Allah mengutus Jibril kepadanya untuk melantiknya menjadi Nabi dan menyuruh supaya kaumnya menyembah Allah.

Syamwil telah menyeru kaumnya agar menyembah Allah, tetapi kaumnya itu telah mendustakannya dan mencabarnya supaya ia dapat menunjukkan bukti kenabiannya lalu mereka berkata :

“Utuslah seorang raja untuk kami, supaya kami boleh berperang di jalan Allah” (ayat 246)

Kata-kata mereka meminta bukti atas kenabian Syamwil dengan meminta kepadanya supaya mengadakan seorang raja bagi mereka ini, kerana sebagaimana yang telah diketahui bahawa Bani Israil dewasa itu sedang ditimpa malapetaka, ditindas dan diperkosa oleh musuh yang menyebabkan mereka berpendapat perlu beraja atau ketua yang akan memimpin umat mereka.

Manakala Nabi Syamwil mendengar cabaran kaumnya meminta kepada Allah supaya mengadakan bagi mereka seorang raja, Nabi Syamwil pun berkata :

“Boleh jadi jika diwajibkan ke atas kamu berperang, kamu tidak mahu berperang” (ayat 246)

Nabi Syamwil menyindir kaumnya, bahawa dalam perang itu boleh jadi mereka bersifat pengecut lalu melarikan diri meninggalkan medan perang.

Mereka menjawab  :

“Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?” (ayat 246)

Mereka menceritakan bagaimana kejamnya raja Jalut dan kaumnya yang telah menghalau mereka keluar dari rumah, menawan dan memperhambakan anak-anak raja mereka. Jadi, sudah semestinya mereka akan berperang dan menuntut bela.

Hanya syaratnya, hendaklah mereka beraja dan dengan itu barulah mereka percaya akan kenabian Syamwil. Tetapi Allah SWT telah menempelak pengakuan mereka :

“Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim”. (ayat 246)

Nabi Syamwil memohon kepada Allah SWT supaya mereka dikurniakan seorang raja. Allah SWT mewahyukan bahawa raja mereka bernama Talut. Nabi Syamwil telah membawa Talut ke hadapan pembesar Bani Israil untuk mengisytiharkan perajaannya, lalu berkata :

”Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu”. (ayat 247)

Mereka tertanya-tanya, bagaimana Talut boleh menjadi raja, setahu mereka setiap Nabi Bani Israil tidak akan dibangkitkan melainkan mestilah keturunan Lawi bin Yaakub dan setiap raja Bani Israil tidak akan dinagkitkan melainkan daripada keturunan Yahuza bin Yaakub.

Lawi dan Yahuza dua rumpun anak Nabi Yaakub bin Ishak bin Ibrahim yang menjadi sumber kemegahan Bani Israil. Daripada rumpun Lawi, terbitlah Nabi Musa dan Nabi Harun AS. Daripada rumpun Yahuza, terbitlah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman AS yang menjadi raja besar Bani Israil disamping menjadi Nabi.

Tetapi Talut ini tidaklah lahir daripada kedua-dua rumpun tadi bahkan beliau adalah keturunan Bunyamin bin Yaakub. Berdasarkan adat dan tradisi lama inilah mereka menolak Talut untuk menjadi raja mereka. Kata mereka :

“Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih menjadi raja daripadanya, dan ia pula tidak diberi harta kekayaan yang banyak?” (ayat 247)

Dengan kenyataan ini, jelaslah bahawa merek masih mengagung-agungkan keturunan dan kekayaan harta benda untuk melayakkan diri menjadi seorang raja.

Maka berdasarkan pendapat dan kebiasaan kaum Bani Israil ini, masih ramai yang terpengaruh dan berpegang dengan adat lama bahawa jawatan pimpinan, ketua negara, atau raja yang memerintah adalah merupakan warisan turun temurun yang tidak boleh diwarisi oleh orang lain.

Pendapat sebegini disangkal oleh Allah SWT :

Nabi mereka berkata : “Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dengan ilmu pengetahuan dan tubuh badan yang kuat”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. (ayat 247)

Ertinya Allah SWT memilih Talut sebagai raja mereka bukanlah sesuatu yang sia-sia, bukan atas dasar keturunan atau kekayaan tetapi di atas kekuasaan dan kehendak Allah SWT dengan kurnia ilmu dan kekuatan tubuh badan yang dimiliki oleh Talut.

Talut

Diceritakan bahawa Talut itu nama gelaran dalam bahasa Ibrani kerana susuk tubuhnya yang besar dan tinggi. Dialah di antara orang yang paling tinggi pada zamannya menurut ukuran kepala dan bahunya.

Nama Talut yang sebenar ialah Sawal bin Qais dari rumpun Bunyamin bin Yaakub. Kerjanya menyamak kulit binatang dan ada riwayat lain mengatakan ia sebagai tukang air yang memberi minum keldai.

Pada suatu hari keldai kepunyaan ayahnya hilang tersesat dan Talut pergi mencarinya. Ia lalu di hadapan rumah Nabi Syamwil untuk bertanyakan sekiranya Nabi itu tahu akan hal keldainya.

Sedang ia berada di rumah tersebut, tiba-tiba mendidihlah minyak yang tersimpan di sebuah tanduk binatang yang sentiasa diperhatikan oleh Nabi Syamwil setiap kali ada orang masuk ke rumahnya.

Ini kerana ketika Allah mewahyukan kepadanya tentang orang yang bakal menjadi raja, Nabi Syamwil telah dibekalkan dengan sebatang tongkat dan sebuah tanduk berisi minyak. Sekiranya ada orang yang masuk ke dalam rumahnya dan didapati minyak itu mendidih, itu adalah isyarat bahawa yang masuk itu ialah orang yang dijanjikan sebagai bakal raja.

Apabila Nabi Syamwil melihat minyak yang di dalam tanduk itu menggelegak, lalu diambilnya tongkatnya kemudian diukur dan didapati sama tinggi dengan Talut.

Yakinlah Nabi Syamwil bahawa Talut inilah orang yang bakal menjadi raja setelah melihat kebenaran tandanya. Lalu minyak itu pun disapukan ke kepala Talut dan diangkat menjadi raja Bani Israil di hadapan khalayak ramai.

Inilah Talut, raja yang dilantik dengan kehendak Allah SWT yang berasal daripada tukang menyamak kulit atau tukang air yang memberi minum kepada keldai. Bukanlah ia daripada keturunan raja-raja dan bukan pula daripada golongan orang kaya atau berharta.

Allah SWT hanya mengurniakan kepadanya ilmu pengetahuan, kepintaran dalam pemerintahan dan muslihat peperangan, dan mengurniakan pula kepadanya tubuh yang sasa, besar, tinggi dan penuh dengan kekuatan.

Allah SWT mengurniakan kerajaanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Bani Israil kemudiannya bergegas hendak berperang melawan musuh. Mereka terdiri daripada 70 ribu askar diketuai oleh Talut sendiri. Mereka melalui padang yang panas terik dan tidak berair.

Mereka gelisah bagaimana boleh menentang musuh dalam keadaan mereka kehausan dan kekurangan air. Mereka merayu agar raja mereka memohon air kepada Allah SWT.

“Bahawasanya Allah menguji kamu dengan sebatang sungai. Sesiapa yang minum airnya maka ia bukanlah daripadaKu, dan sesiapa yang tidak meminumnya sesungguhnya ia adalah pengikutku kecuali mencedok minum dengan tangannya. (ayat 249)

Apabila amaran ini telah diberikan kepada askarnya, bertemulah mereka dengan sebatang sungai – iaitu Sungai Palestin. Amaran ini menjadi ujian adakah mereka sebagai tentera mempunyai tatatertib, patuh kepada arahan dan pimpinan atau tidak.

“Maka mereka pun meminum air sungai itu kecuali sedikit sahaja daripada mereka yang tidak minum atau meminum secedok sahaja”. (ayat 249)

Diriwayatkan bilangan tentera Bani Israil yang melanggar arahan dengan meminum air sungai itu sangat ramai. Antara 70 ribu itu, hanya tinggal sekitar tiga ratus orang sahaja yang taat perintah ketua iaitu mereka yang beriman yang patuh kepada ketua.

Orang yang meminum hanya secedok, hilanglah haus mereka. Binatang tunggangan mereka juga cergas dan mereka dapat menyeberangi sungai untuk meneruskan perjuangan.

Sementara yang banyak minum semakin lemah, pucat dan kecut hati sehingga tidak berani untuk berperang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan