Selasa, 28 Disember 2010

BAL’AM BIN BA’URA’ : ULAMA’ YANG MATI KUFUR

Tergelincir hati boleh berlaku kepada mana-mana hamba Allah tidak kira walaupun dia seorang wali Allah atau hanya orang biasa yang mana boleh mengakibatkan seseorang itu mati dalam keadaan kufur. Dari cerita seorang pencuri kain kapan yang ditangkap setelah mencuri dari 1000 buah kubur orang Islam. Katanya selepas ditangkap, hanya satu jenazah sahaja yang mengadap kiblat yang lain berpaling dari arah kiblat kerana mereka ini semasa hidup zahirnya saja Islam tapi bathin mereka ini adalah kafir. Pada masa sekarang pun bolehlah kita lihat golongan ini walau pun nama saja Islam, tetapi cara hidup mereka ini bukan mencerminkan seorang Islam.

176. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya Dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi dan Imam Ibni Khathir, ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa Bani Israel.

Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar [ Do'a Bal'am bin Ba'ura mustajab] . Setelah peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa A.S dan bani Israel yang terselamat terus mengembara sehinggakan hamper sampai  dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya [berdo'a] untuk mengalahkan Nabi Musa a.s.

Pada mulanya Wali Allah ini menolak permintaan raja negeri tersebut kerana takutkan Allah SWT. Seperti jugak sejarah Nabi Adam as  yang mana iblis pernah menyuruh Nabi Adam memakan buah dari pohon yang dilarang oleh Allah SWT melalui Hawa. Tetapi Nabi Adam a.s terpengaruh dengan Hawa disebabkan  bisikan iblis yang halus itu dan melanggari larangan Allah SWT dan diusir dari syurga dan dibuang ke dunia.

Begitu juga raja negeri tersebut telah menggunakan isteri Bal’am seperti mana iblis menggunakan Hawa. Firaun telah memberi hadiah berupa barang-barang kemas dan perhiasan yang mahal kepada isteri Bal’am sebagai umpan supaya Bal’am mendoakan akan Nabi Musa as.

Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa dibuat. Lama kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am berkata “berdoalah bukan susah seperti yang dipinta oleh Raja”.

Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa a.s. doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa tersesat di satu tempat yang bernama Tih (sekarang : semenanjung Sinai) selama 40 tahun.

Kesesatan yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah SWT, “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di Tih ini?”

Jawab Allah SWT, “berpunca dari doa Bal’am”

Nabi Musa berkata lagi kepada Allah, “wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”

Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir sepertimana anjing.

“minta berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am bin Ba’ura’”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan