Rabu, 2 September 2009

Ilmu tanpa amal dan amalan tanpa ilmu


25 Wasiat Imam Ghazali
(Wasiat 8)

Imam Ghazali berkata: ``Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia- sia.''

Ilmu semata-mata masih belum dapat menjauhkan diri kita daripada maksiat, kerana ilmu yang tidak diamalkan tidak akan mampu menolong manusia melarikan diri daripada melakukan maksiat selama-lamanya.

Di samping itu, ilmu yang ada juga masih belum mampu mendorong kita untuk taat kepada Allah s.w.t. Ini kerana beramal dan taat kepada Allah itu datangnya daripada kesedaran diri bahawa ia akan menghadapi maut suatu hari nanti.

Seseorang itu juga tidak mampu menjauhkan dirinya daripada api neraka hanya dengan bergantung kepada pencapaian hidup dan ilmunya semata-mata.

Ia hendaklah diikuti dengan amalan yang didasari dengan ilmu yang telah dipelajarinya.

Apabila kita tidak beramal dengan ilmu yang ada pada diri kita, kita sudah tentu tidak dapat melepasi perhitungan Allah pada Hari Akhirat kelak.

Janganlah sampai kita menjadi orang yang menyesal dan meminta dikembalikan semula ke dunia, suatu perkara yang tidak mungkin terjadi. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah as-Sajdah ayat 12 yang bermaksud :

Wahai Tuhan kami, kami telah melihat kebenaran di hadapan mata kami, kami telah mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan perkara yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan perkara yang baik-baik. Sesungguhnya kami sekarang telah yakin.

Maka pergunakanlah masa di dunia ini sebaik- baiknya dengan menuntut ilmu dan beramal dengannya, dan jauhilah sikap hanya berbangga- bangga dengan amalan sedangkan ilmunya tiada.



KITAB IHYA' ULUMUDDIN - AL-GHAZALI
Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan