Ragam Manusia Menyambut Ramadhan.
Sesungguhnya Allah swt telah memberikan beberapa anugerah kepada kita dalam kehidupan ini. Anugerah-anugerah ini datang satu demi satu. Anugerah ini akan mempeingati kita tatkala kita lupa, menyedarkan kita ketika kita lalai dan leka dan menguatkan keazaman kita untuk berubah serta melakukan amalan kebaikan setiap kali kita berasa lemah.
Anugerah tersebut berbentuk musim-musim untuk melakukan kebaikan yang diberikan peluang oleh Allah kepada hamba-hambanya untuk mengambil bekalan dari musim tersebut sedaya upaya. Bekalan yang terbaik adalah TAQWA.Firman Allah swt:
"Dan sediakanlah bekalan kamu, dan sebaik-baik bekalan ialah TAQWA" (al-aqarah 197)
Anugerah yang dimaksudkan ialah kedatangan bulan Ramadhan. Namun, bukan ini bermakna hanya di musim ini sahaja kita perlu mengingati Allah dan melakukan perintahnya.Suruhan dan tegahan adalah sepanjang masa perlu dipatuhi. Tetapi anugerah ini adalah sebaai satu titik tolak atau madrasah untuk melatih kita supaya lebih bersemangat dan terus merindui untuk beribadah selamanya kepada Allah swt.
Terdapat beberapa ragam manusia menyambut kedatangan Ramadhan:
1. Gembira, seronok dan berazam tambah amalan
Mereka gembira kerana terdapat banyak ganjaran dan fadhilat yang dikurniakan Allah dalam bulan Ramadhan. Mereka berlumba-lumba untuk medapat syafaat Ramadhan dan juga syafaat al-Quran. Pahala amalan digandakan, doa tidak akan di tolak,bulan menambah kebaikan, meningkatkan darjat, terdapat Lailatul Qadar, memperbanyakkan solat malam, qiyamullail, dan membersihkan diri dari dosa.
2. Tidak Rasa Apa-Apa
Bagi golongan ini, kedatangan Ramadhan tidak membawa sebarang makna atau nilai kepada mereka. Golongan ini tetap sama sahaja dari segi amalan ibadah, kerja, baca quran, ke masjid. Amalan mereka tidak bertambah dan tidak berkurang. Rasa nak solat, solat. Rasa nak ke masjid, pergi. Rasa malas, tak pergi.Rasa nak melepak,pergi kedai kopi. Rasa nak baca quran, baca, rasa malas tak baca. Mereka tetap dengan dunia mereka.Rasa nak bertudung, pakai. Malas bertudung, tak payah pakai.Ganjaran Ramadhan tiada nilai disisi mereka.
3. Sambut Dengan Kemungkaran
Kedatangan Ramadhan tetap tidak dapat menggugat aktiviti kemungkaran yang dilakukan sebelum Ramadhan. Mereka inilah ahli maksiat-tetap dengan konsertnya, rakaman lagunya,diskonya, dangdutnya, hiburannya, tariannya,araknya, zinanya, rasuahnya, menipunya dan gila-gilanya. Mereka tetap tidak nampak masjid/surau, tak nampak al-Quran, tidak berpuasa, tetap dengan nafsu syahwatnya dan tetap dengan syaitannya.
4. Sambut Ramadhan dengan bermandikan darah, bom, peluru dan kebuluran
Mereka ini terdiri daripada saudara kita seislam yang sedang menghadapi ujian yang besar dalam hidup mereka. Kedatangan Ramadhan disambut dengan resah gelisah, serabut, sedih, sakit, kelaparan, sengsara dan sebagainya. Mereka ini berada di Palestin, Iraq, Darfur (sudan), Afghanistan, Pakistan, Thailand dan beberapa negara lagi. Rumah mereka hancur dibom, bekelan air dan elektrik diletupkan, kedai-kedai hancur, saban hari bermandikan darah,tidur berbumbungkan langit, berselimutkan malam. Mereka juga akan menyambut Ramadhan. Dimana mereka akan makan sahur, dimana mereka akan berbuka puasa, apa yang akan mereka makan untuk berbuka dan bersahur.Bersyukurlah kita yang masih diberikan nikmat yang berbagai-bagai dalam kehidupan ini.
Renung-renung dan fikir-fikirkanlah dalam golongan manakah kita berada sekarang ini...
Wallahua'alam.
Ustaz Naim
11 September 2007
29 Syaaban 1428H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan