Khamis, 2 Ogos 2018

Adab Belajar dan Mengajar al-Quran

☆Tadabbur Kalamullah 19 Syawal 1439H☆

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar" [Surah Sad 29]

#Ketahuilah bahawa Allah swt menurunkan al-Quran dengan dipenuhi ilmu dan hikmah agar manusia mempelajari ayat-ayatnya, memanfaatkan ilmu yang terdapat di dalamnya, dan merenungkan pelbagai rahsia daripadanya untuk dijadikan iktibar dan ikutan sepanjang hayat.

#Daripada Sayidina Uthman bin Affan r.a, Nabi saw bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya" (HR al-Bukhari, Abu Dawud dan at-Tirmizi)

#Tulisan kali ini ingin membicarakan tentang adab yang perlu ada kepada sesiapa yang ingin belajar, mengkaji, mendalami dan mengajar kalam Allah swt yang mulia ini. Antara adab-adabnya ialah:

1. Ikhlaskan niat. Mengharapkan redha daripada Allah swt bukan kerana selainnya. As-Sariyy rahimahullah meriwayatkan:

"Jangan lakukan sesuatu kerana mengharapkan pujian orang ramai. Jangan tinggalkan sesuatu kerana mereka. Jangan menutup sesuatu kerana mereka dan jangan membuka sesuatu kerana mereka"

2. Bukan kerana tujuan dunia. Bukan untuk mengecapi kesenangan dunia berupa harta, kedudukan, kemasyhuran, pujian, saingan dan seumpamanya. Nabi saw bersabda:

"Sesiapa yang mempelajari ilmu yang sepatutnya diniatkan kerana Allah sedangkan dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapat kesenangan dunia, maka dia tidak akan mencium bau Syurga pada hari kiamat kelak" [HR Abu Dawud]

3. Tidak memaksa orang ramai belajar dengannya sahaja. Pada masa yang sama membenci orang yang belajar dengan orang lain selain dirinya. Berkata Imam as-Syafie rahimahullah:

"Aku berharap orang yang belajar ilmu ini (yakni ilmu dan kitabnya), tidak menisbahkan kepadaku satu huruf pun daripadanya"

♡Semoga kita benar-benar mempelajari dan mendalami al-Quran demi meraih redha dan rahmat Allah swt. Semoga Allah swt sentiasa membimbing kita untuk memperolehi ilmu yang bermanfaat daripada al-Quran dan mampu mengamalkannya. Aamiiin♡

🐊Ust naim
TELEGRAM :
Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:
https://t.me/tadabburkalamullah

FB PAGE:
https://m.facebook.com/ustazmuhamadnaim

BLOG :
https://tadabburkalamullah.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan