Ahad, 27 April 2014

HUKUM TUNDUK PADA JENAZAH

♡Menunduk kepala kepada jenazah: Pencerahan dan feqhul hadis♡

Hadis berkenaan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam berdiri ketika jenazah seorang Yahudi diusung melintasi Baginda, adalah hadis sahih.

Ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan ramai lagi ulama hadis.

Sahl Ibn Hunaif dan Qais Ibn Sa'd berkata:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّتْ بِهِ جِنَازَةٌ فَقَامَ، فَقِيلَ لَهُ : "إِنَّهَا جِنَازَةُ يَهُودِيٍّ"، فَقَالَ : "أَلَيْسَتْ نَفْسًا؟"

Terjemahan :Sesungguhnya Nabi sallallahu 'alaihi wasallam telah dilintasi [satu] jenazah [yang diusung], lantas Baginda sallallahu 'alaihi wasallam berdiri. Lalu, dikatakan kepada Baginda sallallahu 'alaihi wasallam, "sesungguhnya ia [adalah] jenazah [seorang] Yahudi". Lantas [Baginda sallallahu 'alaihi wasallam] bersabda, "bukankah ia [jenazah seorang] manusia?".

Hadis ini direkodkan Imam Bukhari dalam Kitab al-Jana'iz, no. hadis:1235, dan Imam Muslim juga dalam Kitab al-Jana'iz, no. hadis : 1602.

Tunduk kepada jenazah?

Ada 2 (dua) isu utama berhubung hadis yang menceritakan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bangun ketika jenazah seorang Yahudi melintasi Baginda.

Pertama, hadis-hadis yang merakamkan tindakan Baginda ini, hanya sekadar menyebut 'Baginda bangun' (iaitu ketika jenazah tersebut melintasi Baginda).

Tiada riwayat yang menyebut 'Baginda bangun dan diam sejenak sambil menundukkan kepala' kepada jenazah tersebut.

Ini berdasarkan rujukan kepada kitab Fathul Bari, karangan al-Hafiz Ibn Hajar, Jami' al-Usul Min Ahadith al-Rasul karangan Ibn Athir, Khulasah al-Ahkam Fi Muhimmat al-Sunan Wa Qawa'id al-Islamkarya Imam Nawawi radhiyAllahu 'anhu dan kitab-kitab hadis yang lain.

Sebab Nabi berdiri, Kedua, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam berdiri bukan dengan tujuan menghormati jenazah Yahudi itu.

Ini dinyatakan sendiri oleh hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiyAllahu 'anhu yang berbunyi:

أَنَّ جِنَازَةً مَرَّتْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَامَ، فَقِيلَ إِنَّهَا جِنَازَةُ يَهُودِيٍّ، قَالَ : "إِنَّمَا قُمْنَا لِلْمَلائِكَةِ"

Terjemahan : "Satu jenazah [yang diusung] telah melintasi Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, lantas [Baginda] berdiri. Lalu dikatakan [kepada Baginda], "sesungguhnya ia jenazah [seorang] Yahudi. [Baginda] berkata, "sesungguhnya kami bangun untuk para malaikat".

Menurut Imam Nawawi, hadis ini direkodkan Imam al-Nasaie dengan 'isnad yang sahih berdasarkan piawaian Imam Muslim'.

Dalam feqh Islam, penghormatan kepada jenazah dilakukan dengan cara tidak menyakiti, dengan memandi, mengafan, menyembahyangi (jika seorang Islam) dan mengebumikannya, bukan dengan cara berdiri untuknya, apatah lagi menundukkan kepala kepadanya.

Sebab mengapa Baginda berdiri dinyatakan oleh satu hadis sahih iaitu:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ : " مَرَّتْ جَنَازَةٌ فَقَامَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقُمْنَا مَعَهُ فَقُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهَا يَهُودِيَّةٌ ، فَقَالَ : إِنَّ الْمَوْتَ فَزَعٌ فَإِذَا رَأَيْتُمُ الْجَنَازَةَ فَقُومُوا" .

Terjemahan : "[Diriwayatkan] dari Jabir Ibn Abdillah [bahawa beliau] berkata, "satu jenazah melintas [di depan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam], lantas Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berdiri, dan kami berdiri bersama Baginda sallallahu 'alaihi wasallam. Kami berkata, "wahai Rasulullah, sesungguhnya ia [jenazah seorang] Yahudi", lantas [Baginda sallallahu 'alaihi wasallam] bersabda, "sesungguhnya kematian [adalah sesuatu yang] menggerunkan, maka apabila kamu melihat jenazah, hendaklah kami berdiri".

Hadis ini direkodkan Imam Muslim dalam Kitab al-Jana'iz, no. hadis: 1599.

Menurut Imam al-Qurtubi, tujuan Nabisallallahu 'alaihi wasallam berdiri ketika jenazah tersebut-yang kebetulannya seorang Yahudi-melintasi Baginda, ialah bagi mengajar umatnya agar tidak berterusan lalai setelah melihat kematian di hadapan mata.

Sebaliknya, umat Baginda hendaklah menunjukkan rasa bimbang dan tidak tenteram apabila melihat kematian berlaku.

Kesemua ini dizahirkan dalam bentuk 'berdiri apabila melihat jenazah'.
Imam Qurtubi-seperti yang dinukilkan al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari-mengatakan:

ومقصود الحديث أن لا يستمر الإنسان على الغفلة بعد رؤية الموت لما يشعر ذلك من التساهل بأمر الموت فمن ثم استوى فيه كون الميت مسلما أو غير مسلم

Terjemahan : "Maksud hadis ini [ialah supaya] manusia tidak berterusan lalai selepas melihat kematian, [gesaan ini dibuat] disebabkan yang demikian itu (berterusan lalai walaupun melihat kematian di depan mata) memperlihatkan [sikap] mengambil mudah terhadap soal kematian.

Oleh yang demikian, Islamnya si mati atau tidak Islamnya ia, sama saja [dari segi gesaan agar tidak berkekalan lalai bila melihat sesuatu jenazah].

Menurut Imam Hasan Ibn Ali radhiyAllahu 'anhuma pula, sebab Nabi sallallahu 'alaihi wasallam berdiri ialah kerana 'tidak suka jenazah Yahudi tersebut berada lebih tinggi daripada kepala Baginda'.

Imam al-Nasaie merekodkan:

أَنَّ الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ ، كَانَ جَالِسًا ، فَمُرَّ عَلَيْهِ بِجِنَازَةٍ ، فَقَامَ النَّاسُ حَتَّى جَاوَزَتِ الْجِنَازَةُ ، فَقَالَ الْحَسَنُ : إِنَّمَا مُرَّ بِجِنَازَةِ يَهُودِيٍّ ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى طَرِيقِهَا جَالِسًا ، " فَكَرِهَ أَنْ تَعْلُوَ رَأْسَهُ جِنَازَةُ يَهُودِيٍّ ، فَقَامَ "

Terjemahan : [Ketika] Hasan Ibn Ali sedang duduk, melintas [di depan] beliau satu jenazah. Lantas orang ramai berdiri sehingga jenazah melepasi [mereka]. Lalu Hasan berkata, "sesungguhnya lalu satu jenazah [seorang] Yahudi [yang diusung] dan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam [berada] di laluannya sambil duduk. Maka Baginda tidak suka jenazah Yahudi berada di atas kepala Baginda, lantas Baginda pun berdiri".

Hadis ini direkodkan Imam al-Nasaie dalam sunannya dalam Kitab al-Jana'iz, no. hadis: 2040.

Syaikh Albani menilainya sebagai sahih, yakni sahih penisbahan riwayat ini kepada Imam Hasan Ibn Ali radhiyAllahu 'anhuma.

Wallahu a'lam.

~ Ustaz Shamsul Muda ~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan