Rabu, 27 Februari 2013

TARBIYAH SEKETUL CEKODOK


Tatkala saya menghadapi hidangan sarapan pagi, saya teringatkan peristiwa ketika bersarapan bersama keluarga. Menu untuk pagi itu hanyalah beberapa ketul cucur ikan bilis, tetapi mempunyai makna yang sangat besar untuk ditafsirkan. Selesai bersarapan, tinggallah seketul cucur yang masih berbaki, namun saya katakan kepada ibu bahawa saya sudah kenyang. Lantas ibu mencapai baki cucur itu sambil mula bercerita,

“Cekodok ini...,” bahasa ibu, “Nak hasilkannya, bukan ibu seorang sahaja, cuba bayangkan, sebelum nak jadi cekodok, mesti ada tepung gandum dulu. Tepung gandum tu, bukan senang-senang je nak jadi, asalnya daripada biji gandum yang ditanam. Cuba bayangkan nak tanamnya berapa lama...? siapa yang tanam? Lepas itu dituai hasilnya, bukan seorang, malah beratus-ratus pekerja diperlukan.”

Sambung ibu lagi, “Kemudian perlu pekerja untuk menghasilkan tepung daripada biji gandum tu, setelah siap, perlu dibungkus dan barulah dijual kepada orang ramai.” Mata saya terkebil-kebil.

Ibu sambung lagi, “Telur pulak...kalau Man hendak, Man boleh beli sahaja di kedai Pak Wan di depan tu. Tapi telur sebiji ni, Allah tugaskan berapa ramai yang terlibat. Sebelum jadi telur, mesti bela ayam. Ayam bukan seekor, yang nak jaganya pun bukan seorang, hendak beri makannya. Kemudian apabila sudah bertelur banyak, dikutip telur itu dan dihantar untuk digredkan berdasarkan saiz telur...” Saya renung lagi, tanpa disedari, cucur yang ibu makan tadi sudah tidak bersisa.

“Dah siap semua barulah dipasarkan.” Ayat terakhir itu meninggalkan saya terus keseorangan di meja makan.

Ah! Betapa kurangnya saya bersyukur. Itu baru ibu kisahkan mengenai ‘cekodok’, yang kadang-kadang sekali tengok pun, tak ada selera nak makan. Belum lagi ibu buka cerita buat nasi lemak ke, nasi ayam ke...

Lamunan saya melayang kepada sahabat-sahabat kita yang masih kurang bernasib baik seperti di Bosnia, Somalia dan negara-negara miskin yang lain. Kadangkala makanan mereka hanyalah helaian-helaian daun dan ranting kayu, atau apa-apa yang boleh dijadikan makanan. Kalaulah diberikan seketul ‘cekodok’ tadi kepada mereka, Alahai, mesti berebut-rebut mahukannya!

Begitulah manusia, kalau dah nikmat melimpah-ruah dihadapan mata, yang tidak berkenan, tidak akan dilayan. Terlalu mengikut kehendak nafsu dan terlalu memilih. Saya teringat kata-kata seorang sahabat saya, waktu itu saya dalam tingkatan empat, “Malaysia ini negara makanan. Sebut sahaja makanan apa, semuanya ada.” Sampai macam itu sekali nilainya. Lebih-lebih lagi di bulan puasa, hari-hari tukar menu, sampaikan nak solat Maghrib selepas berbuka pun dah tak larat. Lepas tu nak tarawih apatah lagi.

Namun, Ramadhan sudah lama berlalu, yang tinggal hanyalah tapak-tapak didikan bulan itu yang masih berbekas di hati bagi orang yang mengambil kesempatannya. Tidak tahulah sejauh mana tarbiyyah Ramadhan yang lepas mencorak diri, itu masing-masing boleh ukurnya sendiri.

Jauh sungguh saya menerawang. Pinggan yang kotor saya bawa ke dapur. Terasa jauh benar diri daripada Yang Mencipta dan terlalu kerdil rasanya. Sambil mencuci pinggan, dalam hati berkata; ‘Nilailah sesuatu itu dengan teliti dan tepat, bukan pada lahiriah sahaja, tapi dalamannya itu yang paling penting’

Nampaknya hari ini, saya telah ditarbiyyah oleh seketul ‘cekodok’!


Posted by
Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan