Rabu, 27 Februari 2013

PESAN UNTUK AHLI ILMU


SAIDINA Umar al-Khattab r.a pernah berkata:
"Apabila engkau melihat orang yang berilmu mencintai dunia, maka curigailah ia mengenai agamanya, kerana orang yang mencintai sesuatu ia akan menyibukkan diri dengan apa yang dicintainya itu.."

Ilmu itu, adalah cahaya daripada Allah s.wt. Tidak akan diberi Allah kepada hamba-Nya melainkan mereka yang benar-benar dicintai-Nya. Ilmu itu suatu yang suci dan kudus. Penuh dengan rahsia dan falsafah. Ia ibarat makhluk yang bernyawa, perlukan syarat-syarat yang terperinci untuk memilikinya. Bukan sebarang manusia boleh memautnya. Kerana itulah Rasulullah s.a.w ada memberi peringatan buat penuntut ilmu bahawa:

"Orang yang paling pedih siksaannya pada hari qiyamat nanti adalah seorang 'alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya.."

IKHLASLAH DALAM MENUNTUT ILMU DAN MENYAMPAIKANNYA SERTA BERAMALLAH DENGANNYA PENUH KEIKHLASAN...

KATA-KATA INDAH


"Orang yang halus perasaannya, orang lain bersalah, dia yang rasa bersalah. Orang lain berdosa, dia yang rasa berdosa. Ada orang mati kelaparan, dia rasa bersalah. Apatah lagi kalau dia yang bersalah dan berdosa, tersiksa jiwanya sepanjang masa"

TARBIYAH SEKETUL CEKODOK


Tatkala saya menghadapi hidangan sarapan pagi, saya teringatkan peristiwa ketika bersarapan bersama keluarga. Menu untuk pagi itu hanyalah beberapa ketul cucur ikan bilis, tetapi mempunyai makna yang sangat besar untuk ditafsirkan. Selesai bersarapan, tinggallah seketul cucur yang masih berbaki, namun saya katakan kepada ibu bahawa saya sudah kenyang. Lantas ibu mencapai baki cucur itu sambil mula bercerita,

“Cekodok ini...,” bahasa ibu, “Nak hasilkannya, bukan ibu seorang sahaja, cuba bayangkan, sebelum nak jadi cekodok, mesti ada tepung gandum dulu. Tepung gandum tu, bukan senang-senang je nak jadi, asalnya daripada biji gandum yang ditanam. Cuba bayangkan nak tanamnya berapa lama...? siapa yang tanam? Lepas itu dituai hasilnya, bukan seorang, malah beratus-ratus pekerja diperlukan.”

Sambung ibu lagi, “Kemudian perlu pekerja untuk menghasilkan tepung daripada biji gandum tu, setelah siap, perlu dibungkus dan barulah dijual kepada orang ramai.” Mata saya terkebil-kebil.

Ibu sambung lagi, “Telur pulak...kalau Man hendak, Man boleh beli sahaja di kedai Pak Wan di depan tu. Tapi telur sebiji ni, Allah tugaskan berapa ramai yang terlibat. Sebelum jadi telur, mesti bela ayam. Ayam bukan seekor, yang nak jaganya pun bukan seorang, hendak beri makannya. Kemudian apabila sudah bertelur banyak, dikutip telur itu dan dihantar untuk digredkan berdasarkan saiz telur...” Saya renung lagi, tanpa disedari, cucur yang ibu makan tadi sudah tidak bersisa.

“Dah siap semua barulah dipasarkan.” Ayat terakhir itu meninggalkan saya terus keseorangan di meja makan.

Ah! Betapa kurangnya saya bersyukur. Itu baru ibu kisahkan mengenai ‘cekodok’, yang kadang-kadang sekali tengok pun, tak ada selera nak makan. Belum lagi ibu buka cerita buat nasi lemak ke, nasi ayam ke...

Lamunan saya melayang kepada sahabat-sahabat kita yang masih kurang bernasib baik seperti di Bosnia, Somalia dan negara-negara miskin yang lain. Kadangkala makanan mereka hanyalah helaian-helaian daun dan ranting kayu, atau apa-apa yang boleh dijadikan makanan. Kalaulah diberikan seketul ‘cekodok’ tadi kepada mereka, Alahai, mesti berebut-rebut mahukannya!

Begitulah manusia, kalau dah nikmat melimpah-ruah dihadapan mata, yang tidak berkenan, tidak akan dilayan. Terlalu mengikut kehendak nafsu dan terlalu memilih. Saya teringat kata-kata seorang sahabat saya, waktu itu saya dalam tingkatan empat, “Malaysia ini negara makanan. Sebut sahaja makanan apa, semuanya ada.” Sampai macam itu sekali nilainya. Lebih-lebih lagi di bulan puasa, hari-hari tukar menu, sampaikan nak solat Maghrib selepas berbuka pun dah tak larat. Lepas tu nak tarawih apatah lagi.

Namun, Ramadhan sudah lama berlalu, yang tinggal hanyalah tapak-tapak didikan bulan itu yang masih berbekas di hati bagi orang yang mengambil kesempatannya. Tidak tahulah sejauh mana tarbiyyah Ramadhan yang lepas mencorak diri, itu masing-masing boleh ukurnya sendiri.

Jauh sungguh saya menerawang. Pinggan yang kotor saya bawa ke dapur. Terasa jauh benar diri daripada Yang Mencipta dan terlalu kerdil rasanya. Sambil mencuci pinggan, dalam hati berkata; ‘Nilailah sesuatu itu dengan teliti dan tepat, bukan pada lahiriah sahaja, tapi dalamannya itu yang paling penting’

Nampaknya hari ini, saya telah ditarbiyyah oleh seketul ‘cekodok’!


Posted by
Mohd Aizat Bin Mohd Saleh

JOM GI KULIAH


          Jom ke kuliah pd mlm ni di Masjid ar-Rahmah Kg Sg Buaya 48010 Rawang Selangor


Rabu, 6 Februari 2013

10 Tanda Hati Mati

Syeikh Ibrahim Adham menyatakan 10 tanda hati mati iaitu :

1. Mengaku kenal Allah s.w.t tetapi tetapi tidak menunaikan hak- haknya.

2. Mengaku cinta pada Rasulullah s.a.w tetapi tidak menunaikan Sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengan hukum- hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat- nikmat Allah s.w.t tetapi tidak mensyukuri atas pemberiannya.

5. Mengaku syaitan itu musuh tetapi tidak berjuang menentangnya

6. Mengaku adanya nikmat syurga tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka tetapi tidak berusaha untuk menjahinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain tetepi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantarkan dan menguburkan jenazah/ mayat saudara seIslam tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya

Isnin, 4 Februari 2013

Hukum Air Atau Cecair Yang Keluar Dari Manusia

Air Mani

Air mani ialah cecair putih pekat yang keluar kemaluan lelaki dan perempuan apabila sampai kepada kemuncak syahwat. Ia bukan najis tetapi hendaklah mandi wajib bagi mensucikannya untuk membolehkan seseorang itu menunaikan ibadat. Firman Allah yang berbunyi :

“(Setelah mengetahui Yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) Yang memancut (ke Dalam rahim), Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan.” (At-Taariq : 5-7)

Air mani lelaki kebiasaannya berwarna putih likat seperti hingus, ia keluar ketika seseorang itu rasa nikmat yang tidak terhingga sehingga secara memancut. Manakala air mani perempuan pula lebih cair dari air mani lelaki dan ia berwarna putih. Cara ia keluar ketika wanita tersebut gersang dan nikmat yang tidak terhingga.

Hukum Air Mani

Menurut Mazhab Syafie air mani adalah suci dan tidak mengandungi najis. Hujah ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW mafhumnya :

“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas ini, ia menunjukkan bahawa air mani itu adalah suci kerana Rasulullah SAW menggunakan pakaiannya yang terkena air mani tersebut untuk solat. Kalau ia najis maka sudah pasti Rasulullah SAW tidak menggunakan pakaian tersebut untuk solat.

Cara Mencuci Air Mani

Bagi air mani yang kering atau menempel kepada pakaian atau sebagainya, maka cara menyucikannya adalah seperti mengikis dengan kuku atau alat-alat yang lain, setelah dikikis cucikan pula dengan air sehingga bersih, maka ia sudah dianggap bersih. Dari Aisyah ra berkata :

“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.” (Riwayat Al-Bukhari)

Cara menyucikan air mani yang masih basah atau belum kering, maka disunatkan membasuhnya dengan menggunakan air bersih.

Air Mazi

Maksud Air Mazi adalah sejenis cecair jernih kekuningan yang keluar daripada kemaluan lelaki dan perempuan disebabkan rangsangan ketika permulaan syahwat dengan keadaan tidak sedar. Dari Ali ra berkata :

“Aku adalah seorang lelaki yang sering mengeluarkan mazi. Kemudian aku suruh seorang kawan supaya menanyakan tentang perkara ini kepada Nabi SAW. Aku malu bertanya secara langsung memandangkan puterinya telah menjadi isteriku. Kawan itu pun akhirnya menanyakan masalah ini kepada Nabi SAW dan beliau menjawab : Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Air Mazi

Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa air mazi ini adalah najis, ia juga boleh menyebabkan batalnya wuduk dan tidak boleh dibawa solat. Bagi orang yang mengeluarkan mazi tidak diwajibkan mandi hadas seperti keluarnya air mani.

Cara Mencuci Air Mazi

Air mazi dianggap seperti najis mutawassitah dan ia perlu dicuci dengan cara membasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih. Rasulullah SAW bersabda :

“Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Air Wadi

Air wadi adalah air berwarna putih kental atau pekat yang keluar dari kemaluan lelaki dan perempuan setelah habisnya air kencing. Dari Aisyah ra berkata :

“Wadi keluar setelah berkencing. Oleh kerananya, hendaklah seseorang itu mencuci zakar berserta kedua-dua buahnya, lalu berwuduk dan tidak perlu mandi.” (Riwayat Ibnu Munzir)

Hukum Air Wadi

Jumhur ulamak mengatakan air wadi ini adalah benda najis mutawassitah dan hukumnya sama seperti air kencing dan mazi. Ia tidak boleh dibawa solat. Begitu juga dengan Imam An-Nawawi mengatakan bahawa air wadi itu adalah najis.

Cara Mencuci Air Wadi

Cara mencuci air wadi adalah dengan mencuci kemaluan sehingga bersih dan mengambil wuduk. Orang yang mengeluarkan air wadi tidak perlu mandi hadas.

Air Kencing

Air kencing manusia adalah najis mutawassitah dan ia dapat membatalkan wuduk seseorang dan boleh menyebabkan solat itu tidak sah disebabkannya. Orang yang ingin membuang ari kencing ini perlu berhati-hati kerana takut air kencingnya terkena pakaiannya. Semasa membuang air kencing hendaklah dipastikan bahawa air kencing tersebut keluar habis dari kemaluan seseorang, air kencing yang tidak habis akan keluar secara sedar atau tidak sedar, ia boleh menyebabkan pakaian yang dipakai seperti seluar terkenanya dan seluar tersebut tidak boleh dibawa solat. Sebagai tindakan berjaga-jaga bawalah bersama kain atau seluar untuk digantikan ketika hendak melakukan solat, perbuatan ini adalah untuk memastikan supaya pakaian dan diri sentiasa didalam keadaan bersih dan suci. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mafhumnya :

“Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing. (iaitu hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)”

Cara untuk memastikan air kencing itu habis atau tidak habis keluarnya dari kemaluan, diantara caranya ialah seperti :

Bagi wanita untuk memastikan air kencing habis atau belum, caranya mudah sahaja dengan menunggu sebentar setelah selesai kencing. Jika didapati tiada lagi air kencing, maka ia bolehlah membersihkan kemalaunnya.

Bagi lelaki pula agak susah sedikit, kebiasaanya memerlukan waktu dan kesabaran. Cara untuk memastikan air kencing keluar, hendaklah diurut batang zakarnya dari pangkal hingga ke hujung kepala zakarnya. Dalam masa yang sama hendaklah berdehem-dehem untuk membantu mengeluarkan sisa-sisa air kencing di dalam zakarnya. Setalah pasti tiada lagi air kencing, maka bolehlah dibersihkan zakarnya dengan kaedah istinjak.

Hukum Kencing Sambil Berdiri

Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :

“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.

Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :

“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.

Author: Ustaz Nor Amin Sayani Bin Zainal

Perbezaan air mani , air mazi dan air wadi

 
Apakah perbezaan dari segi hukum dan ciri atau sifat fizikal antara air mani, air mazi dan air wadi?

Jawapan :

Air mani ialah cecair putih pekat yang keluar apabila sampai kepada kemuncak syahwat. Ia bukan najis tetapi hendaklah mandi wajib bagi mensucikannya untuk membolehkan seseorang itu menunaikan ibadat. Manakala air mazi ialah cecair jernih yang keluar disebabkan rangsangan ketika mukaddimah syahwat. Ia adalah najis dan tidak wajib mandi memadai membasuh sahaja tempat berkenaan. Manakala cecair yang keluar akibat letih atau mengangkat sesuatu yang berat dinamakan air wadi

HUKUM AIR WADI


Soalan:
Salam, air wadi tu air apa??

Jawapan:
Air Wadi merujuk kepada air yang warnanya agak putih, kental dan keruh, yang biasanya keluar melalui kemaluan lelaki atau zakar dan melalui kemaluan perempuan atau faraj sesudah membuang air kecil (air kencing) atau kerana bekerja berat.

Hukumnya najis mutawassitah dan wajib dicucinya apabila mahu melakukan ibadat. Ini bererti apabila keluar wadi jika seseorang itu dalam berwudhu' maka batallah wudhu'nya. Tetapi tidak wajib mandi junub/janabah / (mandi wajib).

wallahuaqlam

Jumaat, 1 Februari 2013

BERSAMA TG NIK RADZI NIK MAT



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

KULIAH MAGHRIB PERDANA
TARIKH: 1 FEB 2013
HARI: JUMAAT
MASA: SELEPAS MAGHRIB
TEMPAT: SURAU NURUL IMAN JLN CEMPERAISARI BDR SG BUAYA RAWANG

PENCERAMAH: TUAN GURU NIK RADHI NIK MAT

JOM GI KULIAH