Isnin, 7 Januari 2013

HUKUM WANG INSURANS KEMATIAN

Soalan;

Assalammualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya beberapa soalan dan harap ustaz dapat memberi penjelasan:-
1. Kakak saya telah mendapat wang insuran diatas kematian anak lelakinya, soalan saya ialah :
a. Adakah duit itu perlu dibahagikan secara faraid kepada ayah dan adik-adik simati.
b. Bolehkah siibu menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan harian dan apakah hukumnya.
c. Bolehkah siibu memberi wang tersebut kepada anak-anaknya (adik-adik simati) dan apakah hukumnya.
Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Wang Insurans jika sepenuhnya pemberian dari pihak syarikat Insurans, ia tidaklah termasuk dalam harta pusaka. Oleh itu, ia diberikan kepada orang yang ditentukan oleh si mati (semasa hayatnya) atau orang yang ditentukan oleh pihak yang menaja Insuran itu (majikan, persatuan khairat dan sebagainya). Jika si mati tidak menentukannya atau pihak yang menajanya juga tidak menentukannya, barulah ketika itu diserahkan kepada ahli-ahli waris untuk dibahagikan mengikut bahagian perwarisan.

2. Jika wang insuran yang diberikan adalah bersama simpanan si mati di mana hari ini ada syarikat-syarikat Insurans yang menawarkan pakej insuran dan simpanan, maka bahagian simpanan adalah dikira harta pusaka dan mesti diagihkan kepada ahli-ahli waris mengikut bahagian masing-masing yang ditentukan Syarak. Adapun bahagian insuran, ia diberikan/diagihkan sebagaimana di atas.

3. Orang yang berhak mendapat wang dari insuran itu, harus ia membelanjanya mengikut kehendaknya (sama ada menggunanya untuk diri sendiri, memberinya kepada orang lain atau sebagainya) asalkan bentuk perbelanjaan tidak ditegah Syarak.

3. Adalah perlu diingatkan di sini bahawa Insurans yang Halal dan bebas dari syubhah ialah Insuran yang berlandaskan Islam iaitulah yang dijalankan di atas prinsip takaful atau ta’awun. Adapun Insuran konvensional iaitu yang dijalankan oleh syarikat-syarikat perniagaan insuran yang tidak berlandaskan Islam, ia telah difatwakan oleh jumhur ulamak hari ini sebagai haram. Oleh itu, umat Islam hendaklah peka tentang masalah ini. Ambillah polisi insuran dari syarikat-syarikat Insuran Islam seperti Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, Takaful Etika dan sebagainya supaya wang insuran yang diperolehi nanti tiada pertikaian di sisi ulamak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. at-Ta’min ‘Alal-Hayah, Dr. Muhammad Sulaiman al-Asyqar (Buhuth Fiqhiyyah Fi Qadhaya Iqtishadiyah Mu’asharah, hlm. 11-27).
2. Fatwa-fatwa tentang Insuran dalam islamweb.com, islamqa.com dan e-fatwa.gov.my..

1 ulasan:

  1. Salam Ustaz,

    Boleh dikatakan semua insurans di Malaysia yang Islamik (Takaful) ataupun tidak-Islamik, tidak membenarkan individu yang mempunyai kecacatan yang membawa boleh membawa kematian atau kehilangupayaan mengambil insurans.

    Bagi yang tidak Islamik sudah diketahui memang mereka hanya mementingkan keuntungan dunia semata2.

    Tetapi yang peliknya yang Islamik (takaful) juga bersikap seperti Tuhan seolah2 tahu bila individu tersebut akan hilang upaya, atau pun mati, jadi untuk mengelakkan kerugian di dunia mereka tidak mengambil individu yang mempunyai kecacatan.

    Banyak kes yang saya lihat orang yang cacat hidup lebih lama dan sihat daripada orang yang sihat secara fizikalnya. Ada saja orang yang sihat tiba2 mendapat kemalangan, menjadi cacat atau pun meninggal menyebabkan syarikat insurans kena membayar insurans kepada individu yang sihat tersebut. Bukankah ajal dan maut ditentukan oleh Allah SWT, bukannya syarikat insurans mahupun doktor.

    Bolehkan Ustaz berikan dalil2 ataupun bukti yang menyatakan insurans Islamik (takaful) dilarang mengambil orang yang kurang sihat dan cacat sebagai peserta insurans mereka?

    Sekadar untuk renungan:
    2-3 tahun lepas di Amerika, Presiden Obama telah mewajibkan semua syarikat insurans membenarkan individu yang mempunyai kecacatan semenjak dilahrikan mengambil insurans.

    Terima kasih Ustaz.
    Assalammualaikum.

    BalasPadam