Isnin, 21 Januari 2013

Hukum Guna Tali Hitam Rawat Muntah

Soalan:
Assalamu'alaikum...Saya melawat seorang tua yang sedang demam. Saya terpandang ada tali hitam seperti tali kasut yang tergantung pada tengkuk dia. Apabila saya bertanya kepada dia, tali hitam tersebut adalah petua orang- orang tua dahulu. Katanya dia baru buat pada cucunya dan didapati sembuh penyakit muntah tersebut. Apakah ia boleh diterima di dalam Islam?

Jawapan:

1. Berubat menggunakan tali hitam seperti yang ditanya adalah termasuk di dalam berubat dengan tangkal yang DILARANG di dalam Islam. Sila rujuk:
Hukum Tangkal

2. Tali hitam tidak dapat menyembuhkan sebarang penyakit, tiada sebarang kaitan perubatan yang boleh difahami antara tali hitam dengan sesuatu penyakit, melainkan ia dibina di atas kepercayaan yang karut. Akal yang waras sahaja sudah tentu menolak perkara ini, apatah lagi agama yang sentiasa memusuhi perkara-perkara karut.

3. Pengalaman seseorang menggunakan sesuatu kaedah khurafat atau karut dan didapatinya berhasil tidak boleh dijadikan alasan dalam persoalan ini. Apatah lagi ia terbuka kepada tipu-daya syaitan yang sentiasa berusaha menjerat manusia dengan kesyirikan. Sebuah athar yang diriwayatkan daripada Zainab, isteri kepada ‘Abdullah bin Mas’ud RA ada menyebut:

كَانَ عَبْدُ اللَّهِ إِذَا جَاءَ مِنْ حَاجَةٍ فَانْتَهَى إِلَى الْبَابِ تَنَحْنَحَ وَبَزَقَ كَرَاهِيَةَ أَنْ يَهْجُمَ مِنَّا عَلَى شَيْءٍ يَكْرَهُهُ قَالَتْ وَإِنَّهُ جَاءَ ذَاتَ يَوْمٍ فَتَنَحْنَحَ، قَالَتْ: وَعِنْدِي عَجُوزٌ تَرْقِينِي مِنْ الْحُمْرَةِ فَأَدْخَلْتُهَا تَحْتَ السَّرِيرِ فَدَخَلَ فَجَلَسَ إِلَى جَنْبِي فَرَأَى فِي عُنُقِي خَيْطًا قَالَ: مَا هَذَا الْخَيْطُ؟ قَالَتْ: قُلْتُ: خَيْطٌ أُرْقِيَ لِي فِيهِ قَالَتْ: فَأَخَذَهُ فَقَطَعَهُ ثُمَّ قَالَ: إِنَّ آلَ عَبْدِ اللَّهِ لَأَغْنِيَاءُ عَنْ الشِّرْكِ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: "إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ" قَالَتْ: فَقُلْتُ لَهُ: لِمَ تَقُولُ هَذَا وَقَدْ كَانَتْ عَيْنِي تَقْذِفُ فَكُنْتُ أَخْتَلِفُ إِلَى فُلَانٍ الْيَهُودِيِّ يَرْقِيهَا وَكَانَ إِذَا رَقَاهَا سَكَنَتْ، قَالَ: إِنَّمَا ذَلِكَ عَمَلُ الشَّيْطَانِ كَانَ يَنْخُسُهَا بِيَدِهِ فَإِذَا رَقَيْتِهَا كَفَّ عَنْهَا إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكِ أَنْ تَقُولِي كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
 "أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Mafhumnya: Daripada Zainab isteri ‘Abdullah bin Mas’ud RA katanya: “Dahulunya ‘Abdullah apabila pulang dari menunaikan hajatnya, apabila sampai di pintu rumah dia akan berdehem dan meludah (sebagai isyarat) kerana tidak mahu dia mendapati kami dalam keadaan yang tidak disukainya. Kata Zainab: Suatu hari beliau pulang ke rumah, lalu berdehem, sedangkan bersamaku ada seorang wanita tua sedang menjampi kerana bengkak yang ada di badanku. Lalu aku menyembunyikan wanita tersebut di bawah katil, lalu beliau masuk ke dalam rumah dan duduk di sebelahku. Beliau terlihat di leherku simpulan benang, lalu bertanya: Benang apakah ini? Zainab menjawab: Benang yang dijampi untukku. Zainab bercerita: Lalu beliau mengambil dan memutuskannya dan berkata: Sesungguhnya keluarga ‘Abdullah semestinya bebas dari kesyirikan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya tangkal dan pengasih adalah syirik. Kata Zainab lagi: lalu aku berkata kepadanya: mengapa kamu kata demikian? Sesungguhnya sebelum ini mata aku pernah mengalami kesakitan, lalu aku pergi berjumpa dengan seorang Yahudi, lalu dia menjampiku, setelah itu ia sembuh. Kata Ibn Mas’ud: Sesungguhnya demikian itu adalah perbuatan syaitan, dia yang menikam matamu dengan tangannya, apabila kamu menjampinya dia berhenti dari menikam. Sebaliknya hanya memadai, dengan engkau membaca seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW:

أَذْهِبْ الْبَأسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Mafhumnya: “Wahai Tuhan yang mencipta, yang memiliki dan mengatur urusan sekelian manusia, hilangkan kesakitan dan sembuhkanlah, sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Penyembuh, tiada penyembuhan melainkan penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak meninggalkan kesakitan lain.” (HR Abu Daud 3883, Ibn Majah 3530, Ibn Hibban 1412, Ahmad 1/381. Dinilah Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah 1/584)

Wallahu a’lam.

Posted by Ustaz Abdul Kadir (Bertugas di Jabatan Mufti Negeri Perlis)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan