Khamis, 17 Januari 2013

BEKERJA DI KEDAI MENJUAL ARAK

Soalan; Assalamualaikum...Saya ingin bertanya, apakah hukum seorang pekerja 7 Eleven yang menjual arak dan membayar hutang daripada hasil pendapatannya? Adakah hutang yang dibayar halal kepada penerima hutang?
Terima kasih...

Jawapan;

Bekerja di tempat sebegitu (yakni yang bercampur dengan yang diharam Allah) hukumnya adalah dilarang oleh agama kerana seorang muslim diperintahkan Allah agar menjauhi perkara yang haram dan tidak terlibat dalam membantu atau mempromosinya. Firman Allah (bermaksud); "Saling membantulah kamu dalam melakukan kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Quran). Namun dari segi gaji/pendapatan, hendaklah dibezakan antara dua keadaan;

1. Pekerjaan yang haram dari asalnya kerana membabitkan pengeluaran produk-produk yang haram atau secara langsung menjadikan perbuatan-perbuatan yang diharamkan Syariat sebagai sumber rezki. Contohnya; pekerjaan membuat arak, memproses makanan-makanan haram dan sebagainya. Bagi kedai pula, kedai yang masuk dalam kategori ini ialah kedai-kedai yang menjual barang-barang haram sama ada keseluruhannya atau kebanyakannya di mana tujuan kedai itu dibuka adalah untuk menjual barang haram. Hukum pekerjaan tersebut atau bekerja di tempat/kilang/kedai sebegitu hukumnya adalah haram dan pendapatan (upah/gaji) yang diperolehi juga adalah haram kerana ia adalah bayaran kepada pekerjaan yang haram. Jika kita mengetahui bahawa pendapatannya sepenuhnya dari pekerjaan haram tersebut (yakni ia tidak mempunyai pendapatan lain), haramlah kita melakukan urusan kewangan dengannya sama ada menerima hadiah/pemberian darinya, bertukaran dengannya dalam jual-beli atau upah-mengupah, termasuklah menerima bayaran hutang darinya. Ini kerana wang haram itu bukanlah miliknya kerana Islam tidak mengiktiraf sumber haram untuk menjadi pemilikan individu, di mana ia wajib membersihkan wang haram itu dari dirinya dengan mensedekahnya kepada fakir miskin atau kemaslahatan umum kaum muslimin.

Jika ia mempunyai pendapatan lain yang halal, harus kita menerima hadiah/pemberiannya kerana boleh diandaikan apa yang kita terima itu datang dari sumber halal yang dimilikinya. Jika kita konfius, kita ada hak untuk bertanyanya. Jika ia memberitahu bahawa ia mempunyai wang dari sumber yang halal, haruslah kita menerimanya. Ini sebagaimana Rasulullah bertanya orang yang memberi kepadanya; apakah yang diberi itu hadiah atau sedekah untuk mendapat kepastian supaya baginda tidak termakan harta sedekah yang diharamkan ke atas baginda dan keturunan baginda.

2. Pekerjaan yang pada asasnya adalah halal, namun diserapi dengan sedikit penglibatan dengan yang haram. Contoh; bekerja di kedai yang menjual barang-barang keperluan yang halal dan dicelah-celahnya ada barang haram yang turut dijual. Begitu juga, kedai yang menjual pakaian dan di antara pakaian yang dijual terdapat sedikit pakaian yang mendedah aurat. Pada hukum asas, seorang muslim dilarang berkerja di premis sedemikian kerana ia terbabit membantu mempromisi maksiat yang dilarang oleh Allah dalam ayat tadi. Namun pendapatannya tidaklah boleh dianggap sebagai haram kerana pekerjaannya pada asasnya adalah halal. Oleh demikian, harus kita berurusan kewangan dengannya (menerima hadiah/pemberiannya, berjual-beli dengannya dan menerima pembayaran hutang dari hasil gaji/pendapatannya). Namun orang yang terlibat dengan pekerjaan tersebut hendaklah berusaha membersihkan syubhah yang ada dalam pendapatannya (kerana terlibat dengan sedikit yang haram tadi) dengan mensedekahkan sebahagian pendapatannya kepada fakir miskin atau kepada maslahah umum kaum muslimin. Ia hendaklah mencari pekerjaan lain yang bersih dari sebarang syubhah (percampuran dengan yang haram). Jika mengambil masa untuk mendapat pekerjaan baru dan ia tidak mempunyai sumber kewangan lain, harus ia terus berkerja di situ buat sementara sebelum mendapat pekerjaan lain. Hendaklah ia yakin bahawa mujahadahnya untuk mematuhi perintah Allah itulah yang akan melapangkan hidupnya dan membawa keberkatan pada rezekinya. Firman Allah (bermaksud); "Orang-orang yang bermujahadah untuk mencari keredhaan Kami (Allah), Kami akan tujuki mereka jalan-jalan Kami" (al-Quran). Allah berfirman juga (bermaksud); "Sesiapa bertakwa kepada Allah, Allah akan memberikan jalan keluar kepadanya (bagi kesulitan yang dihadapinya) dan Ia mengurniakan rezki kepadanya dari arah yang tidak disangkanya" (al-Quran).

Wallahu a'lam.

Posted by
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan