Rabu, 26 September 2012

Hukum Cabutan Bertuah & Bentuk Peraduan, Pertandingan Moden

Apa hukum cabutan bertuah? Adakah ianya judi?. Soalan sebegini agak banyak menerjah kotak email dan sistem sms 33221 saya. Cabutan bertuah mempunyai pelbagai bentuk dan jenis, ada yang halal dan ada yang haram. Dalam tulisan ringkas ini saya cuba dedahkan beberapa bentuk dan hukum setiap satunya.

Namun sebelum kita melihat bentuk-bentuk semasa cabutan bertuah, jika dilihat dari sudut hukum kes atau isu cabutan bertuah ini tergolong dalam perbincangan ‘al-musabaqat' atau ‘pertandingan'. Namun jika tidak kena caranya, dengan mudah ia akan jatuh dalam masalah judi ataupun gharar.

Dalam masalah judi, keputusan majlis Fiqh Antarabangsa "Organization of the Islamic Conference, Islamic Fiqh Academy" dalam sidangnya ke 14 pada 8 - 13 ZulQaedah 1423 H (11-16 Jan 2003) yang lalu telah memutuskan (keputusan nombor 127 (14/1), unsur perjudian dalam sebarang peraduan, permainan dan pertandingan dalam dua bentuk seperti berikut :-

1) Disebabkan oleh jenis permainan : Iaitu apabila ia bersifat permainan yang hanya bergantung kepada tuah (game of luck) untuk menang serta memerlukan bayaran untuk menyertainya .

2) Disebabkan oleh hadiahnya : iaitu apabila hadiahnya diambil dari kumpulan wang penyertaan semua peserta.

Para ulama kontemporari dalam persidangan fiqh di atas mentakrifkan judi (al-qimar) mengandungi dua unsur utama :-

* Setiap permainan yang mensyaratkan mereka yang kalah untuk membayar sesuatu.

* Mengambil harta orang lain dalam situasi 'mukhatarah' atau risiko samada akan dapat atau tidak dapat.

* Disebutkan oleh ulama silam sebagai :-

هو كل لعب تردد بين غرم وغنم

Ertinya : "Iaitu setiap permainan, peraduan, pertandingan yang tidak pasti akan kerugian atau untung" ( Hasyiah Al-Bajuri, 2/521)

Disebutkan :-
 إذا كانت الجوائز من المتسابقين فإنها تعد حراماً لانها من باب القمار ولأن كل واحد من المتسابقين لا يخلو إما أن يغنم أو يغرم , ولا يخفى من أكل أموال الناس بالباطل وإيقاع العداوة والبغضاء

Ertinya : Dan jika hadiah pertandingan atau permainan itu datang dari kumpulan yuran peserta, maka ia adalah haram kerana ia tergolong dalam bab judi nasib "qimar", dan kerana setiap peserta tidak sunyi dari peluang untuk meraih untung atau menanggung rugi, justeru amat jelas ia dari kategori memakan harta orang lain secara salah, membenihkan permusuhan dan perengkaran" (Al-Mughni, Ibn Qudamah )

Berdasarkan keputusan di atas, berikut adalah bentuk cabutan bertuah yang jatuh dalam kategori judi :-

1) Mereka yang ingin menyertai cabutan mestilah membayar yuran tertentu secara langsung iaitu : -

a- Secara tunai iaitu berdepan : iaitu dengan memberikan RM xxx kepada penganjur secara tunai bagi membolehkan penyertaan. Tanpa mengira sama ada yurannya sama atau berbeza. Hukumnya tetap haram. (Al-Badai' Al-Sonai', Al-Kasani)

b- Secara tunai melalui alat telekomunikasi : bayaran dibuat disekalikan dengan kos telefon, internet, sms dan lain-lain. Sebagai contoh kos biasa bagi satu minit bercakap di talian telefon adalah 15 sen, tetapi bagi mereka yang ingin menyertai cabutan ini, satu nombor telefon khas akan diberikan dan kos 1 minit juga lebih tinggi, iaitu RM 1. Kadar baru ini diberitahu secara jelas di awal kontrak.

c- Syarikat menganjurkan makan malam dengan bayaran RM 100 yuran bagi seseiapa yang ingin menyertai cabutan bertuah. Bagi sesiapa yang tidak ingin menyertai cabutan bertuah, yuran hanyalah RM 90. Cabutan bertuah sebegini adalah judi.

d- Menang cabutan bertuah dari Hong Kong atau Macau dan lain-lain ; Peserta menerima SMS mendakwa menerima hadiah cabutan bertuah wang tunai mencecah RM50,000 yang diadakan di luar negara. Peserta bagaimanapun, diminta membayar yuran pemindahan wang ke dalam akaun tertentu.

Hukum : haram kerana judi dan gharar, malah telah dilaporkan banyak kes penipuan menggunakan cara ini.

 2) Mereka yang ingin menyertai cabutan perlu membayar yuran secara tidak langsung iaitu:-

Yuran dimasukkan dalam harga pembelian barangan biasa. Ini menyebabkan harga menjadi lebih tinggi dari biasa. Sebagai contoh, pihak pasaraya mengadakan cabutan bertuah kereta MyVi. Bagi sesiapa yang ingin menyertainya mestilah membeli barangan tertentu yang telah dinaikkan harganya dari harga biasa. Ia jatuh dalam kategori judi kerana bayaran lebihan itu dianggap sebagai yuran penyertaan.

Jenis Cabutan Yang Halal

Semua jenis cabutan bertuah yang tidak memerlukan sebarang bayaran untuk menyertainya adalah halal dan harus. Ia adalah disepakati oleh ulama kerana melihatnya sebagai pemberian hadiah biasa dari satu pihak (yang memberi dan menawarkan). Tiada sebarang pihak aakan menanggung kerugian walaupun tidak terpilih, tatkala itu tiada timbul isu memakan harta orang lain secara batil (salah) yang diharamkan oleh Allah swt. (Syarah Al-Zarkasyi Ala Mukhtasar Al-Hiraqi, 4/320 )

Sebagai contoh :

a- Cabutan Bertuah Khas Untuk Pekerja : Semua pekerja layak untuk memasuki peraduan yang dianjurkan syarikat, hadiah istimewa disediakan. Tiada sebarang bayaran dikenakan.

Hukum : Ia adalah halal.

 b- Cabutan di Majlis Makan Malam : Syarikat menganjurkan makan malam, dan semua kakitangan dijemput hadir tanpa sebarang bayaran. Ketika itu, cabutan bertuah dibuat sama ada cabutan bagi nombor meja, nombor kakitangan ataupun secara melekatkan tanda tertentu di bawah kerusi.

Hukum : Semuanya adalah halal dan tiada sebarang pihak menanggung kerugian.

 c- Cabutan bertuah di pasaraya : Terdapat beberapa buah pasaraya yang melaksanakan promosi dengan menawarkan mana-mana pelanggan yang membeli barangan berharga lebih dari RM100 dalam satu resit, pelanggan tersebut akan diberikan borang untuk penyertaan cabutan bertuah, HARGA BARANGAN PULA KEKAL PADA HARGA BIASA.

Hukum : Cabutan ini adalah halal dan tiada unsur perjudian kerana pelanggan tiada kerugian apa-apa dan semua wangnya bukan untuk menyertai pertadningan cabutan ini tetapi untuk membeli barangan, dan demikian juga pihak pasaraya. Pelanggan membeli barangan pada harga asal dan tiada sebarang yuran dikenakan.

 Permainan @ Peraduan Moden

Sebentar tadi kita telah membicarakan perihal cabutan bertuah yang haram dan yang halal. Terdapat beberapa ulama yang cuba menganggap permainan atau pertandingan yang beserta hadiah sebagai 'Wa'd Bi Tabarru' atau janji untuk bersedeqah, namun majoriti ulama tidak bersetuju dengan pandangan ini dan mengklasfifikasikannya sebagai aqad mu'awadat atau kontrak komersial untuk meraih pemilikan dan untung. ( Al-Furusiah, Ibn Qayyim, hlm76)

Dengan berubahnya klasifikasi ini semua hukum akan berubah bentuknya. Di kesempatan ini saya akan menyentuh dengan ringkas beberapa jenis cara pemainan yang boleh dijumpai dalam masyarakat kita, ia seperti berikut :-

1) Dua orang bermain tenis, namun hanya satu pihak meletakkan hadiah sebanyak RM200. Siapa menang dia akan memiliki hadiah itu.

Hukum : Para ulama berbeza pandangan dalam bab ini kerana hanya satu pihak yang mengeluarkan. Fatwa ulama seperti berikut ;-

a- Harus : Demikian pendapat majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

b- Haram : Ia adalah pendapat mazhab Maliki kerana wang RM 200 telah keluar dari miliknya dan jika ia menang, wang itu akan kembali kepadanya atas nama 'qimar'.

Pendapat yang lebih kuat (rajih) : adalah pendapat pertama yag mengharuskannya kerana wang RM200 itu adalah miliknya dan pihak kedua tidak terlibat dalam memberi sebarang wang, dengan sebab itu pihak kedua tidak terdedah kepada sebarang risiko. Dengan demikian, wang RM200 tadi dikira seperti hadiah biasa sahaja dan bukan judi.

 2) Dua orang bermain tenis, kedua-duanya mengeluarkan wang lalu diletakkan sebagai hadiahnya.

Para ulama terbahagi kepada tiga kumpulan dalam hal ini. Namun majoriti ulama termasuk Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali serta Majlis Fiqh Dunia memfatwakannya sebagai HARAM. Malah Ibn Rusyd Al-Hafid menyebut telah terdapat ijma' tentang pengharamannya. (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila'ie, 6/228 ; Al-Kafi, Ibn Abd Barr, 1/489 ; Al-Umm, Al-Syafie, 3/230 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93; Al-Jami', Ibn Rusyd, hlm 336)

3) Dua orang sedang bermain tenis, mereka bersetuju siapa yang kalah perlu membayar harga sewaan gelanggan tenis.

Hal seperti ini telah wujud sejak zaman dahulu kala lagi, hingga ia dicatatkan contoh sepertinya oleh ulama silam dengan kata :-

لا يجوز لأنه في معنى القمار نحو أن يقول أحدهما لصاحبه : إن سبقتني فلك عليّ كذا , وإن سبقتك فلي عليه كذا فقبل الآخر

Ertinya : "Tidak harus ( haram) kerana terdapat dalamnya erti atau unsur judi seumpama seorang berkata kepada rakannya : Sekiranya engkau tewaskan aku maka bagiku hadiah itu dariku, dan jika aku menewaskanmu, mestilah engkau memberinya kepadaku, lalu kedua-duanya bersetuju"( Badai As-Sonaie; Al-Kasani)

Hukum : Ia adalah judi walaupun ada unsur usaha dari kedua belah pihak dan bukan permainan nasib semata. Unsur judinya datang dari sudut hadiah, seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk membyaar sewa gelanggang, hanya yang kalah akan terkena. Ia tetap judi walaupun kedua-dua pihak redha meredhainya. Tiada redha dalam perihal haram.

Namun jika hanya salah seorang yang menjanjikan hadiah, seorang lagi tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal. Ia adalah pendapat mazhab Al-Hanafi, Syafie dan Hanbali (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila'ie, 6/227 ; Qawanin Al-Ahkam, Ibn Juzai, hlm 177 ; Hasyiah Al-Qalyubi, 4/266 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93 )

4) Dua orang atau lebih sedang bertanding futsal, kumpulan yang kalah disyaratkan belanja makan kumpulan yang menang.

Hukum : Ia juga perjudian dan sama bentuknya dengan bentuk nombor tiga di atas.

5) Beberapa kumpulan ingin menganjurkan pertandingan bola sepak, namun tiada sebarang sumbangan hadiah dan tiada tajaan diperoleh. Natijahnya mereka menggunakan wang terkumpul dari yuran penyertaan sebagai hadiah atau untuk membeli hadiah.

Hukum : Ia adalah judi walaupun permainan bola sepak bukannya permainan yang bergantung kepada nasib semata-mata. Namun unsur judinya datang dari bahagian kedua iaitu hadiah yang wang terkumpul semua peserta. Ini menjadikan semua kumpulan terdedah kepada untung dan rugi. Tatkala itu Majlis Fiqh Dunia menganggapnya sebagai perjudian. Demikian juga jika ditinjau dari perspektif empat mazhab.

Tetapi jika hadiah datang dari sumbangan mana-mana pihak yang tidak menyertai pertandingan itu, permainan tadi menjadi halal secara sepakat ulama.

Ada yang bertanya, bagaimana jika semua kumpulan diberi hadiah saguhati?. Jawabnya, ia tetap judi sekiranya pemenang utama mendapat hadiah yang berbeza nilainya. Namun jika semua hadiah sama nilainya tanpa kira yang menang dan yang tewas. Ia menjadi harus dan bukan lagi judi. Tatkala itu pemenang hanya mendapat keseronokan dan kepuasan perasaan sahaja.

Ringkasnya para ulama bersepakat bahawa setiap permainan yang memerlukan penyertaan yuran untuk bermain dan hadiahnya diambil dari wang itu, semuanya adalah judi tanpa mengira sama ada permainan itu bersifat ilmiah, minda dan lain-lain.

6) Membeli surat khabar untuk menyertai pertandingan teka bola dan sebagainya.

Hukum : Majlis Fatwa ulama Mekah dan Madinah memfatwkannya sebagai harus. Demikian juga pandangan terkuat menurut beberapa ulama kontemporari seeprti Prof Dr Uthman Syabir. (Ahkam Al-Musabaqat Al-Mu'asiroh, Majma Fiqh Islami, Ke 14, tahun 2003 )

Keharusan ini adalah kerana si pembeli tidak rugi apa-apa kerana ia beroleh manfaat surta khabar, kecualilah jika dibelinya surat khabar sehingga 10 naskhah hanya kerana ingin menyertainya banyak-banyak. Tatkala itu hukum bertukar menjadi haram dan judi.

Keismpulannya, hadiah pertandingan yang dibenarkan dalam Islam hanyalah jika :-


1. Hadiah di dermakan oleh pihak ketiga yang tidak memasuki pertandingan. Manakala wang yuran peserta hanya untuk kegunaan pentadbiran pertandingan.

2. Hadiah diambil daripada sebahagian yuran peserta sahaja, manakala yang lain digunakan untuk kegunaan pentadbiran pertandingan

Semoga artikel ringkas ini dapat menyedarkan umat Islam di sekeliling akan keterlibatan mereka dalam perjudian tanpa disangka.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan