Sabtu, 25 Ogos 2012

Kisah Mertua

Mertua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Kalau mereka berkecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati ibu kita. Kita sayang anaknya, kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya juga?

Ada menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mertua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibubapa kandung.

Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua kepada rasul, ketiga kepada emak dan emak mertua, keempat kepada bapa dan bapa mertua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau suami sayang dan melebihkan ibubapa, itu memang wajar.

Sebaliknya anak perempuan, kewajipan yang pertama kepada Allah, kedua kepada rasul dan ketiga kepada suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak, selain Allah, adalah melalui emak dan ayahnya.

Perasaan mertua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail, suatu hari Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah. Isterinya pula tidak kenal dengan bapa mertuanya. Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati. Dan sebelum balik, Nabi Ibrahim meninggalkan pesan kepada menantunya supaya menyuruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru. Bila Nabi Ismail balik, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut serta menyampaikan pesanan tadi. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya. Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan.

Nabi Ismali berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantunya. Sekali lagi, Nabi Ibrahim melawat dan kali ini menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik telah meninggalkan pesan kepada menantunya supaya menyuruh suaminya
mengekalkan alang rumah itu kerana ianya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.

Ibu-ibu tolong maafkan anak-anak dan doakan keselamatan mereka. Memang anak-anak kadang-kadang ada yang degil dan tidak mendengar kata. Itu ujian Tuhan. Berdoalah kepada Allah semoga bila usia anak meningkat, perangainya berubah. Jika masih tidak berubah, berdoa lagi moga-moga berubah selepas kahwin. Sekiranya tidak berbeza, sebelum meninggal, tulislah wasiat kepada anak-anak contohnya: "Tolong jangan tinggal sembahyang dan jadilah anak yang soleh."

TIPS:
Ibu-ibu juga amalkan surah Toha Ayat satu hingga enam kerana ia mujarab melembutkan hati anak-anak.

-Sumber: InFiNitY -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan