Rabu, 6 Jun 2012

Orang Zuhud Dikasihi Allah

Rasulullah bersabda lebih kurang maksudnya, “Jika kamu hendak dikasihi Allah, maka hendaklah kamu zuhud dengan dunia”.

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa untuk mendapat kasih sayang Tuhan, maka yang perlu kita perbuat di dunia ini ialah zuhud kepada dunia. Yang dikatakan zuhud itu bukanlah boleh diukur kepada miskin atau kaya. Sesetengah orang berpendapat miskin itu zuhud dan kaya itu tidak zuhud. Tidak sebegitu dan tidak semestinya. Malah ada juga yang menyatakan zuhud itu menolak atau membuang dunia. Salah tafsir ini perlu diperbetulkan.

Zuhud itu letaknya di hati. Dikatakan zuhud bila hati tidak cinta dunia. Hanya sanya dunia itu dijadikan sebagai saluran untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Biarpun kaya, kaya digunakan untuk jalan Tuhan. Biarpun miskin, hatinya tetap dengan Tuhan dan tak terikat dengan dunia. Maksudnya di sini, orang zuhud bukanlah menolak dunia. Dunia itu diambil sekadar keperluan. Selebihnya digunakan di jalan Tuhan.

Diceritakan bahawa pernah Sayyidina Ali, pergi melihat sebuah masjid dan dilihatnya di situ ada halaqah pengajian. Yang mengajar itu adalah Hasan Basri, seorang remaja belasan tahun umurnya walhal orang-orang yang mendengar itu kebanyakannya orang dewasa. Timbullah niat di hati Sayyidina Ali untuk menguji apakah Hasan Basri benar-benar layak mengajar. Ditanya kepada Hasan Basri, “apakah yang boleh menyelamatkan manusia?” “Zuhud”, jawab Hasan Basri secara spontan. Maka, yakinlah Sayyidina Ali yang Hasan Basri itu mempunyai kelayakan untuk mengajar hanya kerana dapat menjawab dengan tepat soalan beliau. Pengajaran daripada kisah ini dapatlah kita ketahui bahawa zuhud adalah kunci kepada keselamatan manusia. Manakan tidak, hadis di atas juga telah meletakkan orang zuhud sebagai orang kesayangan Allah. Sudah pasti orang kesayangan Allah itu akan terselamat di dunia juga di Akhirat. Selama mana seseorang itu boleh zuhud, selagi itulah dia akan terselamat.

Tuhan ada berfirman, “Tidak ada dua hati dalam diri anak Adam” (Al-Ahzab:4) . Hati manusia ini kalaulah tanpa zuhud, nescaya akan diisi dengan cinta dunia. Seolah-olah hati manusia itu menjadi rebutan, bertarik-tarik antara zuhud dan cinta dunia. Amat malang, jika hati terarah kepada cinta dunia, maka tiadalah lagi keselamatan kepada manusia itu. Benarlah sabda Nabi tentang dunia ini iaitu: “Cinta dunia adalah kepala bagi segala kejahatan.” Daripada cinta dunia, lahirlah berbagai kejahatan lain seperti hasad dengki, pemarah dan sombong. Semua ini bukan sahaja merosakkan empunya diri tetapi boleh juga merosakkan orang lain. Hakikat krisis dan perpecahan umat yang berlaku hari ini adalah disebabkan dengan penyakit cinta dunia ini. Selagi penyakit cinta dunia ini tidak diungkai daripada hati manusia, selagi itulah manusia akan terus berkrisis dan bersengketa. Tidak akan aman dunia ini dengan adanya manusia-manusia yang bersarang cinta dunianya.

Lagi, bila kita kaji dan teliti hadis ini, orang zuhud itu disayangi Tuhan kerana hati orang zuhud itu sudah tidak terikat dengan dunia lagi. Apa maksudnya? Dunia bila sudah masuk hati, maka rasa-rasa dengan Tuhan akan menjauhi. Tapi bila dunia itu sudah dibuangkan daripada merajai hati, maka mudahlah rasa-rasa dengan Tuhan itu masuk dan menguasai hati. Justeru, selarilah rasa hati seseorang itu dengan kehendak-kehendak Tuhan. Jadilah, dia itu orang yang memahami kehendak dan peranan Tuhan dalam kehidupan.

Disebut tadi, zuhud itu mengambil dunia sekadar perlu. Dan selebihnya digunakan untuk jalan Tuhan. Itu ilmunya. Nak berbuat, tidaklah semudah yang diceritakan. Ianya perlukan mujahadah. Kena benar-benar mengekang nafsu daripada berkehendak kepada yang tidak perlu. Kena benar-benar merasai kesusahan orang lain agar mudah harta dunia itu dialihkan kepada orang yang susah. Kena benar-benar ada jiwa untuk memperjuangkan Tuhan, barulah dunia itu disalurkan untuk perjuangan fisabilillah. Kuat mujahadah, maka lemahlah nafsu mencintai dunia, Sebaliknya, bila lemah mujahadah, jadilah nafsu itu kuat dalam mencintai dunia.

Moga-moga tulisan ini dapat membantu kita untuk memahami tentang zuhud. Sekian.

~MINDA GLOBAL~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan