Selasa, 15 Mei 2012

KISAH UMMU SULAIM (RUMAYSA)

Hadis Jabir bin Abdullah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperlihatkan ke dalam Syurga, aku melihat isteri Abu Talhah. Kemudian aku mendengar hentakan orang berjalan, ternyata beliau adalah Bilal (HR Muslim: 4495)

Sekilas Tentang Dia:
1.Nama sebenarnya ialah Ghumaisa’ Bintu Milhan
2.Ibu kepada Anas Bin Malik (ra)
3.Berumur 40 tahun ketika Islam mula menyinari bumi
4.Memeluk Islam ketika dakwah Mus’ab Bin Umair di Madinah
5.Berkahwin dengan Abu Talhah selepas kematian suaminya yang pertama

Yang Menjadikannya Istimewa:
Selepas keislamannya, suaminya Malik Bin Nadhr memujuknya supaya kembali kepada agama asal namun beliau tetap dengan pendiriannya dan akhirnya suaminya meninggalkannya dan menuju ke Syam, dan tidak lama selepas itu suaminya mati dalam kesyirikan.

Selepas kematian suaminya itu, Abu Talhah yang ketika itu belum memeluk Islam datang membawa emas dan perak untuk meminangnya. Lantas beliau berkata, “Aku tidak berhajat kepada dua benda ini, akan tetapi maharku adalah Islam, sekiranya engkau terima maka aku tidak berhajat kepada perkara yang lain”.

Abu Talhah kemudian keluar dan kembali sebagai seorang Muslim, maka beliau pun mengahwininya. Berkata seorang wanita Ansar, “Tidak pernah kami mendengar hingga kini seorang yang lebih mulia maharnya dari Ummu Sulaim yamg mana maharnya adalah Islam”.

Hasil perkahwinannya dengan Abu Talhah, beliau di kurniakan seorang anak bernama Abu Umair. Suatu hari, ketika suaminya keluar bermusafir, anaknya telah ditimpa sakit yang akhirnya membawa kepada ajalnya. Ummu Sulaim telah memandikan dan mengkafankannya. Selepas itu beliau berkata kepada ahli keluarganya, “Biarlah aku yang mengkhabarkan berita tentang kematian anakku ini kepada suamiku”.

Sekembalinya Abu Talhah dari bermusafir, dia bertanyakan khabar anaknya itu. Ummu Sulaim dengan tenang menjawab, “Anak kita berada dalam keadaan aman”. Apabila menjelang malam, berkata Ummu Sulaim, “Wahai suamiku, andaikata seseorang itu diberi pinjam sesuatu barang, kemudian empunya barang itu minta dikembalikan barangnya, patutkah dia tidak mengembalikannya?” Jawabnya: “Tidak”. Kemudian Ummu Sulaim berkata, “Sesungguhnnya Allah telah mengambil semula apa yang dikurniakan kepada kita, anak kita telah pun diambilnya kembali”. Pilu hati Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, namun dia redha dengan takdir Allah.

Subuhnya, Abu Talhah pergi menemui Rasulullah (saw) dan menceritakan peristiwa yang berlaku itu. Kemudian Rasulullah (saw) berdoa semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik. Tidak lama selepas itu, Ummu Sulaim telah dikurniakan 10 orang anak yang mana kesemuanya dikalangan ulama yang terpilih.

Lihatlah betapa tabahnya hati seorang ibu dalam menghadapi detik-detik kematian anaknya dan betapa bijaknya dalam menyampaikan khabar duka itu dengan menggunakan uslub yang menarik. Begitu juga dengan kekentalan imannya sehingga sanggup berpisah dengan suami yang dicintainya dan menukarkan emas dan perak dengan Islam sebagai maharnya. Semoga kita dapat mencontohi pekerti Ummu Sulaim yang mulia ini, dan moga Allah mengurniakan kepada kita semua ketabahan iman dalam menempuhi liku-liku hidup ini. Allahumma Ameen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan