Rabu, 25 April 2012

Letak kereta di gereja tapi ceramah di masjid

"

Tak pernah saya tengok Masjid Negeri di Seremban ramai yang hadir dalam apa jua program sebelum ini seperti apa yang berlaku pada hari Ahad 22 April 2012. Penuh sesak Masjid Negeri, orang ramai hadir, yang tua, yang muda, yang kanak-kanak, yang wanita, ingin mendengar nasihat dan menatap wajah Sheikh Habib Umar, ulama dari Yaman yang merupakan keturunan ke 39 daripada baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Saya terpaksa letak kereta di luar sebuah gereja tengah bandar Seremban, kerana tempat letak kereta berhampiran Masjid Negeri penuh sesak, termasuk yang atas bahu jalan.



Ribuan yang hadir ini datang secara sukarela. Mereka tak perlu disediakan bas, tak perlu disediakan t-shirt, tak perlu disediakan wang saku, tak perlu disediakan makan minum, tak perlu ada artis terkenal, tapi mereka tetap datang.

Ada yang saya tengok plet kenderaan dari Singapura pun ada.

Kalaulah pemimpin kita boleh buat perhimpunan sebegini untuk memberi kesedaran kepada umat agar kembali taat kepada Allah dan Rasulnya dalam amalan seharian alangkah baiknya.

Pada siang harinya sebelum program bermula, cuaca di Seremban begitu panas terik sekali, bahangnya terasa sampai ke lewat petang. Tapi apabila saya berada di anjung masjid ( tak dapat masuk, dalam masjid dah penuh sesak) , suasana nyaman, tidak panas, tidak sejuk, hujan turun setitik dua, membasahi jalan tetapi tidak membasahi rambut.

Semoga dengan kedatangan Habib Umar akan membuka lembaran baru di Negeri Sembilan dan memberi keinsafan kepada semua pihak.

Rozmal bin Malakan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan