Sabtu, 28 April 2012

IKHLAS : CABARAN MENITI PENDAKWAH

Ramai yang berkata tentang ikhlas, ada yang mempertikaikan keikhlasan seseorang, ada pula yang mendakwa tindakannya dibuat secara ikhlas. Apa sebenarnya ikhlas? Benarkah manusia, khususnya umat Islam di dunia kini terlalu kurang keikhlasan? Ikhlaskah diri kita dalam berdakwah, berpolitik, menulis, belajar, mengajar, mendidik dan berniaga? Ini satu persoalan yang besar di sisi Islam dan keikhlasan memerlukan satu mujahadah besar. Ia tidak mudah dan hanya mampu dicapai KECUALI oleh mereka yang benar-benar telah berjaya menanggalkan kecintaan kepada semua jenis makhluk, sama ada ia adalah pangkat, pujian, harta, dianggap selebriti, wang dan kebanggaan.

Allah Taala mengingatkan (maksudnya), "Katakanlah; sesungguhnya aku diperintahkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama" - Surah Az Zumar:11

Nabi S.A.W pula bersabda (maksudnya), "Sesungguhnya Allah Taala tidak akan menerima amalan kecuali apa yang dibuat dalam keadaan ikhlas, berkeinginan kepada wajahNya" (Sahih Al Bukhari, no 97, kitab al Ilm)

Imam Abu Al Qasim Al Qusyairi, seorang ahli tasauf yang terkemuka memberikan definisi Ikhlas sebagai, "Ikhlas adalah mengesakan hak Allah Taala dalam segala amalan ketaatan dengan niat, iaitu dia melakukan amalan ketaatannya hanyalah untuk menghampirkan diri kepada Allah Taala, tiada apapun selain itu, iaitu mereka yang melakukannya kerana Makhluk, atau kerana ingin mendapat pujian mereka, serta kecintaan kepada pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain redha Allah. Boleh juga dikatakan, bahawa Ikhlas itu adalah pembersihan (niat) diri (semasa amalan) dari segala perhatian manusia". (Al Risalah Al Qusyairiah, tahqiq Abd Halim Mahmud, 1/443)

Memang mudah untuk melafazkan kata ikhlas, mudah juga untuk cuba menyakinkan diri bahawa diri ikhlas dalam perjuangan, namun untuk benar-benar memastikan hati sentiasa istiqamah ikhlas kepada Allah Taala, ia bukan satu tugas yang mudah, namun ia maha penting dan penentu masa depan kita tatkala berdepan dengan Allah Taala kelak.

Ada yang berkata, ketidakikhlasan itu boleh terlihat dek tanda-tanda dari mulut melalui cakap-cakap dan kata-katanya, dari tulisan melalui baris ayatnya, dari tindakan melalui memek wajah dan pergerakannya. Apapun, persoalan utama bukanlah ghairah dan sibuk meneliti keikhlasan orang lain serta mempertikaikannya, tetapi adalah meneliti dan memperbaiki diri sendiri.

Pendakwah melalui medan ceramah hari ini sangat tercabar, bukan kerana bimbang ditangkap kerana ketiadaan tauliah, atau dikurung di dalam akta ISA kerana sebab yang tidak munasabah, itu tidak mencabar. Tetapi yang sebenarnya, apa yang lebih mencabar adalah menjaga hati untuk ikhlas. Ada yang 'jatuh' kerana beberapa tujuan baru yang mengambil alih tempat ‘ikhlas' kerana Allah Taala iaitu :

• Keujuban di dalam diri : Ada penceramah yang merasa diri sebagai hero dan telah mencapai maqam pejuang berkorban persis Nabi Ibrahim A.S apabila mereka ditangkap, dipenjara dan didenda oleh pihak yang menghalang dakwah. Malangnya, ujian itu merosakkannya, hingga dirasakan diri terlalu hebat, lalu dinafikan ketulenan pejuang lain yang belum ditangkap sebagai amatur dan bertaraf rendah. Sama ada melalui tulisan, percakapan mahupun gerak hatinya. Lebih menyedihkan jika peristiwa halangan ini mengubah niatnya kepada untuk terus menerus dilihat gagah dan berani dalam dakwahnya. Hilang habislah tujuan Allah dari hatinya.

• Imbuhan dan bayaran : Penceramah sekali lagi digegarkan keikhlasan mereka akibat imbuhan dan bayaran. Mungkin pada mulanya ramai penceramah yang mampu berniat ikhlas kerana Allah, menyampaikan ilmu kerana menurut sunnah Rasululah S.A.W. Namun, lama kelamaan, apabila nama menaik, muncul di kaca TV, di corong radio, berteleku di hadapannya para bangsawan, menteri, jutawan dan pembesar, ikhlasnya menjadi semakin terhakis. Populariti menjadikannya semakin ‘sakit' di sisi Allah Taala. Sebarang ceramah tanpa bayaran atau tidak menepati statusnya akan ditolak mentah atau dituntut tunggakan bayaran. Jika sekadar tambang dan kos-kos biasa, mungkin ia munasabah, namun apa yang dituntut dan diminta adalah tinggi menggunung tanpa mengira status pihak yang menjemput. Ketika itu, imbuhan dan bayaran telah mengambil tempat Allah Taala dalam hatinya.

• Kecintaan kepada pujian : Penceramah juga diserang oleh rasa cinta kepada pujian manusia, segala isi ceramah cuba difikirkan apa yang sesuai dan disukai oleh pendengar, jika pendengar sukakan gelak, seribu satu macam ceritera lucu mengundang tawa akan dimainkan. Jika pendengar sukakan dalil-dalil dan kata-kata ulama dan para sahabat akan dipersembahankan. Jika pendengar sukakan ‘nota kaki' dan nama kitab, itu juga akan digariskan dan disebutkan dengan lancar lagak seorang mujtahid ulung. Benar, ada yang mampu untuk terus ikhlas, menyediakan semua itu bagi menambah keberkesanan ceramahnya, membawa manusia kepada Allah Taala, namun tidak sedikit yang ikhlasnya menjadi pudar, lalu semua itu disediakan agar dilihat, ‘Hebat', ‘Alim', ‘Pakar' ‘Bijak', ‘Best', ‘Sarjana', ‘Setaraf Tok Guru', ‘Mujtahid' dan pelbagai lagi tujuan-tujuan salah yang dimomokkan oleh hasutan nafsu setiap hari.

Pendakwah Melalui Tulisan

Ada di kalangan insan yang soleh lagi baik ini, tidak berkemampuan dalam bertutur lancar dan menawan. Namun, dianugerahi kelebihan menulis yang baik dan mengkagumkan. Lalu pendawkah ini mula mengorak langkah menulis buku-buku, membuka web sendiri dan blog, menyebar ilmu melalui tulisannya di forum-forum maya, majalah, buletin dan sebagainya. Niatnya hanyalah satu, iaitu menyebarkan ilmu bagi mendekatkan manusia kepada Allah Taala, redha Allah adalah objektif. Namun, dari semasa ke semasa, objektif unggul itu boleh sahaja menjadi pudar akibat :

• Royalti & Honorium

Hasrat dunia sekali lagi boleh menjadi penghalang bagi seseorang penulis untuk istiqamah dalam keikhlasan. Royalti dan honorium sudah mengambil tempat ‘Kerana Allah', tujuan dan objektif tertinggi yang sepatutnya ‘Akhirat' sudah berubah nama kepada ‘Dunia'. Begitupun sebenarnya keikhlasan itu boleh wujud sama ada di ketika seseorang pendakwah menerima imbuhan wang hasil penulisan atau ceramahnya, atau juga sebaliknya. Apa yang terdetik di dalam hati serta menjadi tujuan diri, itulah jawapannya sama ada kita meniatkan perkara yang kita lakukan untuk Allah atau tujuan yang lain. Jika honorium dan royalti tidak memberi kesan kepada hati dan niat asal perjuangannya, ia masih boleh mengekalkan ikhlas di sisi Allah walau menerima gunungan royalti.

Bagi individu ikhlas yang mengambil royalti, apa yang diperolehi pasti digunakan bagi menambahkan amal bakti kepada umat Islam yang kurang bernasib baik atau menjalankan tanggung jawab dan kewajiban yang tertanggung ke atas dirinya seperti menyara kehidupan keluarga, isteri dan anak-anak. Hasilnya pahala kebajikan akan berganda hasil royalti dan honorium yang diterima.

Apapun orang lain tidak perlu mengukur ikhlas orang lain, tidak perlu juga mempertikai atau mengiakan keikhlasan seseorang. Cukuplah masing-masing mengukur keikhlasan dirinya dan fikirkan tentangnya sentiasa.

• Pujian, Nama dan Selebriti

‘Aku menulis bukan kerana nama', itulah laungan lagu yang sudah sekian lama kita dengari. Pendakwah mungkin menulis di peringkat awalnya, hanya kerana Allah. Namun, ketika pujian mencurah-curah datang tanpa ditagih. Hatinya kian terganggu, bukan apa... Terganggu apabila beberapa tulisannya tidak dipuji sebagaimana sebelumnya. Tatkala itu, keikhlasannya hancur. Tempatnya diambil oleh ‘Tuhan baru' iaitu ‘pujian' dan ‘sanjungan'. Redha manusia menjadi objektif barunya kini. Semuanya kerana dia menyedari sanjungan itu akan boleh membawanya kepada mencipta nama, bukunya boleh menjadi ‘best seller' kerana peminat fanatiknya itu, wang boleh mencurah jatuh ke atas ribaan.

Ibn Mas'ud R.A meriwayatkan, ketika beliau keluar berjalan, kerap ada ramai yang mengikutnya, bagi mendapatkan ilmu darinya, lalu beliau berkata kepada khalayak yang mengikutinya, "Atas sebab apakah kamu semua mengikutiku? Demi Allah kalau kamu tahu apa yang aku lakukan dibalik pintuku yang tertutup nescaya tiada siapa yang akan mengikutiku lagi". ( Ihya Ulumiddin, Imam Al Ghazali & Tafsir Ibn Kathir, 6/343)

Justeru, maka sedarilah diri yang mudah lupa, syaitan sentiasa berusaha menghancurkan kewarasan iman kita. Ikhlas kita sering menjadi sasaran syaitan untuk dilupuskan. Bukankah ia sebuah ujian yang sukar buat para pendakwah? Ya tentunya, malah mungkin lebih sukar dari ditangkap dan di penjara jasad. Hati yang terpenjara dengan niat selain Allah adalah sebesar-besar kegagalan manusia, yang sepatutnya menjadi hamba dan khalifah Allah Taala.

• Ahli Akademik, Pangkat & Gelaran

Sebahagian pendakwah dari kalangan penulis terdiri dari golongan bijak pandai di universiti, khususnya di fakulti-fakulti yang melibatkan Islam. Mereka banyak mengkaji dan menulis hasil kajian mereka dan seterusnya disiarkan melalui buku, jurnal, pembentangan di konferens dan seminar dan sebagainya. Niat asal tidak lain tidak bukan hanya mencapai redha Allah dan mencerahkan manusia kepada jalan keredhaan Ilahi. Merungkai yang kusut, menjernih yang keruh, melurus yang bengkok dan memurnikan yang bergolak. Namun, sebagaimana pendakwah yang lain, kumpulan ini juga turut digoda dan akhirnya niat ikhlas tersasar dari landasannya. Tiada manusia yang maksum dari godaan ini kecuali Para Rasul termasuklan Baginda Nabi S.A.W.

Justeru itu, tulisannya digubah indah lagi rumit dipenuhi bahasa-bahasa akademik yang menurutnya "khas untuk pembacaan bijak pandai". Ya, itu perlu bagi menunjukkan kebijaksanaannya. Jurnal-jurnal menjadi ‘kegilaan' ahli akademik di zaman ini, begitu banyak senarai jurnal dalam catitannya, sama ada jurnal kelas tinggi, sederhana dan rendah. Akhirnya, penulisan mereka hanya menjadi bahan simpanan arkib, tetapi malangnya tidak mampu menjadi rujukan kepada masyarakat.

Pendakwah Melalui Politik, Jawatan Dan Pangkat

Ada sekumpulan pendakwah, berjuang Islam dengan gerakan dan mencari redha Allah melalui jalan politik. Di dalam hati mereka tertulis, ingin melaksanakan yang terbaik untuk mencapai maqam terbaik di sisi Allah, lalu jalan ini diambil selain jalan-jalan sampingan yang lain juga turut digunakan. Namun liciknya syaitan, dengan mudah sahaja seorang pendakwah Islam melalui medium politik boleh jatuh tersungkur nilai amalannya di sisi Allah. Akhirnya dia berjuang bukan lagi kerana Islam dan redha Allah, tetapi kerana kecintaan kepada penyokong yang ramai, pangkat, pejabat besar dan puja-puji orang bawahan.

Lebih parah, apabila dipandang hina semua pendakwah yang tidak berjuang sepertinya atau 'tidak berjuang melalui jalan politik'. Dirasakan mereka itu semua bacul, penakut, sebahagiannya munafiq, tercicir di jalan dakwah, hanya ingin berjuang dalam comfort zone, pendakwah ‘mee segera' dan pelbagai lagi perasaan benci dan gelaran buruk kalau boleh disebatikan dengan pendakwah yang tidak sepertinya. Tatkala itu, hancurlah amalannya, bukankah telah disabda Nabi S.A.W bahawa ‘ujub itu menghancur amalan.

Lebih jauh dari itu, digelar pula dirinya sebagai mujahid, pejuang Islam tulen atau pelbagai gelaran lain bagi menunjukkan dirinya sedang berjuang dengan gagah berani lagi sengit. Tidak seperi pendakwah lain. Sepatutnya, jika gelaran ‘mujahid' itu diberi orang, janganlah dia terkesan dengannya, kerana dirinya mungkin dilihat pejuang di sisi manusia, namun belum tentu di sisi Allah. Orang yang berjuang boleh berdoa agar tergolong di kalangan pejuang, namun untuk melabelkan diri sebagai ‘pejuang', itu bukan caranya. Biar Allah sahaja menentukan kita adalah pejuang atau tidak. Tugas kita adalah memperjuangkan agamaNya tanpa mempedulikan penilaian dan pujian dari sesiapa.

Cabaran pendakwah melalui medan politik memang besar, ia boleh datang dari pihak sekular yang membencinya, lalu digunakan kuasa untuk menekan dan mengancamnya. Ia juga boleh datang dari nafsu yang jauh lebih arif tentang diri manusia. Boleh sahaja, perjuangan itu tersasar kerana keinginan kepada ‘kuasa' terlebih dari sepatutnya.

Pendakwah Menuntut Ilmu

Selain berdakwah dengan mengajar, pendakwah juga sentiasa berterusan belajar dan terus belajar. Hasil ilmu asas yang baik dalam diri, dijadikan modal untuk meneruskan pembacaan dan galian ilmu yang tiada tara dalamnya. Namun, seseorang yang menuntut ilmu sering diingatkan Nabi S.AW agar berterusan menjaga keikhlasan. Ilmu yang dicari dan digali dengan niat menunjuk lebih pandai dan alim, jaguh berdebat, mengelirukan orang ramai, menutup kesalahan diri dan seumpamanya, akan pasti membuahkan ilmu-ilmu yang memporak perandakan masyarakat, bukan menyatukannya. Bukankah ilmu sepatutnya membawa kepada Allah, dan semua pihak yang bersama Allah akan bersatu padu sekalipun berbeza pandangan.

Namun hari ini, negara kita semakin ramai pendakwah dan ilmu yang digali dari pelbagai jenis negara dan guru. Malangnya, manusia dan umat Islam khususnya tidak semakin tenang, tetapi semakin bergolak. Lebih tinggi ilmu mereka ini, lebih bergolak dan berpecah orang di bawahnya. Kerana apa? WAllahu'alam.

Kesimpulan

Tulisan ini sebenarnya lebih kepada peringatan kami yang berada dalam gerakan dakwah ini. Ia disiarkan untuk dimanfaatkan oleh mana-mana rakan pendakwah yang sudi mengambil manfaat. Ia merupakan peringatan kepada salah satu cabaran terbesar buat para individu yang menceburi bidang dakwah, namun terlupa akan cabaran ini. Akhirnya minda dan hati, menjadi sarang yang busuk dek kuman dan virus yang menyelinap di dalam diri. Bimbang matinya kita kelak, merasa diri sudah berjuang dan berdakwah tetapi dilihat SEBALIKNYA oleh Allah Taala.

Terdapat sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa;

Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka, "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya, "Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid".

Dibalas, "Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar - pejuang yang berani".

Setelah dikatakan begitu, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Ditanyakan pula kepada (orang kedua), "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya, "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al Quran".

Dijawab semula, "Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘alim, kamu membaca Al Quran agar digelar qari".

Setelah itu, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Kemudian ditanyakan kepada (orang ketiga), "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya, "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"

Dijawab semula, "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar dermawan". Lalu dia telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. (Riwayat Muslim, no:3527, Kitab Al Imarah)

Semoga kita semua dijauhkan kita semua dari racun hati oleh si musuh Allah yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas yang sebenarnya. Bagi sesiapa yang telah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah. Mereka itulah yang disebut dalam hadis (maksudnya), ((Ditanya kepada Nabi S.A.W berkenaan seorang yang berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya? Jawab Baginda, "Itulah ganjaran gembira yang didahulukan buat para Mukmin")) Riwayat Muslim

Manakala Ibn Qayyim pula pernah berkata berkata, "Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tetapi tidak bermanfaat"

Benarlah, bahawa ikhlas adalah satu ujian yang lebih malah sangat sukar bagi seorang pendakwah dan Mukmin itu sendiri. Bagi lagi medium yang diceburi pendakwah termasuklah seni, drama, nasyid dan pelbagai lagi. Namun, semua akan menghadapi cabaran besar ikhlas, ia sebuah cabaran yang sangat sukar.
http://www.tarbawi.my

Jumaat, 27 April 2012

Masuk Syurga Adalah Dengan Rahmat ALLAH...

Assalamualaikum warahmatullah...

1. Alhamdulillah.. Apa khabar kalian semua? Sihatkah?=) Pada hari ini, saya teringin nak berkongsi satu tajuk/ilmu berkenaan "Masuk Syurga Adalah Dengan Rahmat ALLAH.."

2. Saudaraku sekalian, masuk syurga sebenarnya adalah dengan rahmat ALLAH.. Sesungguhnya seorang manusia dapat masuk syurga iaitu semata-mata dengan rahmat ALLAH.. Kita esok nak masuk syurga, kerana rahmat ALLAH kepada kita, kerana kasihan ALLAH kepada kita.. Bukan kerana amalan kita.. Manusia esok kalau nak masuk syurga, bukan kerana amalan dia, bukan kerana dia rajin sembahyang sunat, bukan kerana dia rajin puasa sunat, bukan kerana dia rajin pergi umrah, bukan kerana dia pergi menunaikan haji sebanyak 3 kali, bukan kerana dia banyak sedekah, tetapi dia dapat masuk syurga kerana rahmat ALLAH.. Kerana ALLAH kasihan kepada kita.. ALLAH nak kasihan kepada kita, ALLAH akan tengok amalan yang kita buat.. Perlu diingat saudaraku sekalian, amalan yang kita buat, TIDAK semestinya membolehkan kita masuk ke dalam syurga ALLAH..

3. Maka tidaklah boleh kita kata, boleh dapat masuk syurga semata-mata dengan amal ibadah apabila berbuat amal ibadah.. Tidak boleh.. Sebagai contoh, "macam mana ni, aku dulu sembahyang tak tinggai, macam mana aku tak masuk syurga?" Tidak boleh kata macam itu, sebab, masuk syurga bukan kerana sembahyang itu, tetapi kerana, rahmat daripada ALLAH.. Maka i'tikad (keyakinan & kepercayaan) yang demikian itu adalah i'tikad yang tidak sebenarnya.. Siapa yang kata dia buat amal dia boleh masuk syurga, itu i'tikad yang tidak betul.. Dia masuk syurga, kerana rahmat ALLAH, kerana ALLAH kasihan kepada kita..

4. Kerana adalah kita manusia, hamba ALLAH.. Takkanlah hambanya, maka tetaplah duduk di bawah naungan limpah rahmat-Nya.. Kita sebagai hamba, mengharapkan belas kasihan tuan.. Sebagai hamba, kita harap ALLAH kasihan kepada kita.. Itu sahaja.. Dan sekiranya seseorang yang mengerjakan apa yang disuruhnya itu, maka dimasukkan ia kedalam neraka, maka tidak boleh seseorang itu berkata, MENGAPA? Kalau seseorang itu sembahyang, tiba-tiba dia masuk neraka, dia tidak boleh kata pada ALLAH, "Pasai apa saya masuk neraka sedangkan saya sembahyang?" Saudaraku sekalian perlu ingat, dalam Al-Quran ALLAH Taala ada berfirman :

Sumber:http://hafeez3.blogspot.com/2011/11/masuk-syurga-adalah-dengan-rahmat-allah.html


Maka Wail lah (balasannya) bagi orang yang sembahyang
Surah Al-Maun : Ayat ke 4

5. Orang yang sembahyang yang macam mana? Ayat yang seterusnya ada menceritakan sebab-sebab kenapa orang-orang yang sembahyang, tiba-tiba ALLAH Taala letakkan dia kedalam neraka.. Maknanya, ada orang yang sembahyang, tapi kena masuk neraka.. Kerana sembahyang yang dia buat itu tidak menepati sembahyang yang dikehendaki oleh ALLAH.. Maknanya, amal ibadah yang kita buat, belum menjamin tempat kita dalam syurga.. Amal ibadah yang kita buat ini hanya dijadikan sebab musabab untuk ALLAH memberi rahmat kepada kita.. Rahmat ALLAH menempatkan kita kedalam syurga ALLAH.. Kerana hambanya, dan miliknya, maka ikut suka tuannya.. Oleh kerana kita hamba ALLAH, ikut suka ALLAH dia nak buat apa kepada kita, kita tidak boleh pertikai tindakan ALLAH..

6. ALLAH dah berjanji, siapa yang berbuat baik, maka dia akan balas baik.. Dan ALLAH TIDAK mungkir janji.. Mana-mana orang yang berbuat baik, ALLAH akan bagi balasan baik kepada kita.. Maka itu janji ALLAH Taala kepada semua hamba-Nya..

7. Mudah-mudahan apa yang saya tuliskan ini bermanfaat.. Sekian sahaja dahulu.. Jumpa lagi di penulisan akan datang.. Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca..

Wallahua'lam..

Motivasi: Irkam Ma’ana – Kami Tidak Menanti Sempurna.

Bila ada manusia mengajak kepada kebaikan, kadangkala dia akan berhadapan dengan sindiran dan caci maki orang ramai. Tambah memburukkan, sindiran dan caci maki itu melemahkan kekuatan hati untuk terus menyebarkan kebaikan.

Antara kata-kata yang biasa kita dengar adalah:

“Ala, belajar pun tak habis lagi nak dakwah-dakwah”

“Diri pun tak berapa betul, nak ajak orang pada kebaikan”

“Ni dah hafal Al-Quran sepenuhnya ke, nak ajak-ajak orang buat baik ni?”

“Kau dah sempurna sangat ke?”

Dan begitulah antara ayat yang keluar, melemahkan semangat mereka yang ingin mengajak kepada Allah SWT. Kadangkala, alasan-alasan seperti itu, yakni alasan tak sempurna, belum cukup bersedia, ilmu masih tak banyak, dosa masih ada yang tak boleh tinggal, digunakan oleh kita sendiri sebagai jalan keluar untuk tidak bergerak menyebarkan kebaikan.

Adakah benar, hendak mengajak kepada kebaikan, diri kita perlu sempurna dahulu?

Kami penumpang bahtera keimanan, yang ingin menuju kepada Allah SWT, redhaNya dan syurgaNya, bukan sesekali sedemikian rupa.

Kisah Abu Bakr RA

Dari kalangan lelaki dewasa, Abu Bakr RA adalah yang pertama beriman dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jika kita memerhatikan Sirah Nabawiyah, selepas keimanannya, Abu Bakr mengajak ramai manusia untuk mengikuti jalan kepada Allah SWT ini. Antara yang diajaknya adalah:
Uthman bin Affan RA – satu dari 10 yang dijamin syurga.
Sa’ad ibn Abi Waqqas RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.
Talhah ibn Ubaidillah RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.
Abdurrahman ibn Auf RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.
Zubair Al-Awwam RA
Abu Ubaidah Al-Jarrah RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga

Ini adalah antara yang diseru oleh Abu Bakr RA, sebaik sahaja Abu Bakr beriman kepada Allah SWT. Kalau diperhatikan, mereka yang didakwah oleh Abu Bakr RA pada awal keimanannya ini, kebanyakannya adalah sahabat yang dijamin syurga.

Kita teliti, Abu Bakr RA ketika itu baru sahaja beriman kepada Allah SWT. Adakah Al-Quran ketika itu sudah sempurna sehingga ada ayat-ayat yang boleh menguatkan seruan Abu Bakr? Adakah Rasulullah SAW ketika itu sudah menyempurnakan dakwahnya sampai pada Abu Bakr ada pelbagai teknik yang boleh dia gunakan? Adakah ketika itu orang Islam sudah ramai sampai Abu Bakr boleh menunjukkan si fulan itu, si fulan ini gembira mengikuti Islam?

Kita perhatikan, dalam keadaan serba kekurangan, Abu Bakr RA bergerak juga menyebarkan kefahaman Islam, mengajak kepada kebaikan. Sedangkan ketika itu baru awal waktu seruan Rasulullah SAW. Ayat Al-Quran pun hanya ada beberapa sahaja. Orang Islam hanya ada dia, dan keluarga Rasulullah SAW sahaja.

Jadi kenapa Abu Bakr RA ini mampu bergerak, berani menyeru manusia kepada Islam dalam keadaan kekurangan demikian?

Kerana dia beriman, yakin dengan apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Kerana dia melihat Islam itulah penyelesai kepada masalah insan, dan dia hendakkan Islam itu berada dalam jiwa-jiwa masyarakatnya.

Maka dia bergerak tanpa menanti sempurna. Tidak berlengahan. Tidak memberi alasan itu, alasan ini. Tidak juga jatuh dengan seksaan dan hinaan.

Perbaiki diri, dan ajak orang lain

Allahyarham Sheikh Mustapaha Masyur ada berkata:

“Islah nafsak, wad’u ghairak”

Ramai orang salah faham kata-kata ini dengan menafsirkan seperti berikut:

“Perbaiki diri dulu, baru ajak orang lain”

Kalau benar itu maknanya, maka Sheikh Mustaphaa Masyur akan berkata begini:

“Islah nafsak, summa, ud’u ghairak” Perkataan summa di sini membawa maksud kemudian.

Kenapa dia menggunakan ‘dan’, bukannya ‘kemudian’? Hal ini kerana, ‘dan’ menunjukkan kebersamaan, pada waktu yang sama. Manakala ‘kemudian’ menunjukkan kelewatan, bukan pada waktu yang sama. Maka, makna pada kata-kata “Islah nafsak, wad’u ghairak” hakikatnya adalah:

“Perbaiki diri kamu, dan(pada masa yang sama) ajak orang lain(memperbaiki diri macam kamu juga)”

Kenapa dia menyeru demikian? Kenapa Sheikh Mustapha Masyur tidak suruh kita ajak orang lain lepas diri kita dah sempurna? Kenapa masa tengah perbaiki diri kita sudah perlu ajak orang lain? Kenapa?

Hal ini kerana, manusia memang tidak akan mencapai kesempurnaan. Jadi, jika hendak tunggu sempurna, sampai kiamat pun tidak akan bermulanya seruan kepada kebaikan. Justeru, manusia perlu menyeru dengan apa yang sudah ada di tangannya. Dia ada sikit, dia bagi sikit. Dia ada banyak, dia bagi banyak. Pokoknya, dia memberi, berkongsi, menyeru ke arah kebaikan, mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

“Sampaikan daripada aku, walaupun sepotong ayat” Hadith riwayat Bukhari.

Dan dengan kita bergerak mengajak manusia lain ke arah kebaikan, insyaAllah diri kita akan mempunyai satu rasa sensitif untuk menjalankan peningkatan. Hal ini kerana, kita akan merasakan satu tolakan untuk lebih memperkemaskan diri apabila kita mula menyeru manusia ke arah kebaikan. Ini juga satu booster untuk peningkatan diri.

Kebaikan, jangan dilewat-lewatkan

Allah SWT berfirman:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;” Ali-Imran ayat 133.

Allah SWT juga mengingatkan kita berkenaan tindakan seorang lelaki yang apabila mendengar ummatnya menolak penyampaian rasul-rasul Allah SWT. Allah menceritakan bahawa lelaki itu berlari dengan pantas di dalam ayat berikut:

“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dalam keadaan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu” Surah Yaasin ayat 20.

Apa persamaan dua ayat ini?

Menyegerakan kebaikan.
Hal ini kerana, kalau kita tidak menyegerakan kebaikan, maka hakikatnya kita telah terjerumus dalam kerugian. Mari kita lihat ayat Al-‘Asr yang popular:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.

Ya, perhatikan ayat-ayat itu. Siapakah yang tidak rugi? Yang tidak rugi dalam hidup ini hanyalah mereka yang melakukan amal kebaikan, dan menyebarkannya pula.

Anda, nak untung atau hendak rugi?

Kami para penumpang bahtera, jelas bukan orang-orang yang mahukan kerugian.

Penutup: Sebarkanlah kebaikan, sebarkanlah kebenaran
Jadi jangan lengah lagi. Jangan takut untuk buat baik. Jangan takut untuk sebarkan kebaikan. Bila bersembang dengan kawan, selitkan peringatan-peringatan. Bila menghadiri satu majlis, jangan lupa ambil peluang menyebarkan kebenaran. Bila mengetuai satu program, jangan lupa adunkan program itu dengan hubungan kepada Allah SWT.

Sebarkanlah kebaikan, sebarkanlah kebenaran. Gunakan segala ruang, peluang dan cara yang ada untuk menyebarkan kebaikan dan kebenaran.

Jangan lengah, jangan lewat-lewat.

Bergeraklah.

Bersegeralah.

Tidak perlu menanti sempurna.

Inilah salah satu jalan untuk berusaha menyempurnakan diri kita.

Mari. Bersama kami menaiki bahtera keyakinan ini.

Menuju kepada Allah SWT, redhaNya, dan syurgaNya.

Irkam Ma’ana!

PAHALA MENGAJAK KE JALAN KEBAIKAN

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا. (مسلم وأبو داود والترمذي

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka."

(Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ. (البخاري والترمذي

Dari Abdullah bin 'Amr ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sampaikanlah (apa yang kamu dapat) dari ku walau satu ayat sekalipun; dan ceritakanlah (apa yang sampai kepada kamu) darihal Bani Israel dan (dalam pada itu) tidak ada salahnya (kalau kamu tidak ceritakan). Dan (ingatlah!) sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyediakan tempatnya dalam neraka.

(Bukhari dan Tirmizi)

Zikir Masuk Rumah

Kebanyakan zikir yang digalakkan untuk dibaca apabila masuk ke dalam rumah ialah membaca Basmalah, memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan memberi salam sama ada terdapat orang di dalam rumah ataupun tiada. Hadis-hadis tersebut adalah seperti di bawah:

Dari Jabir bin ’Abdillah RA yang mendengar Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang dari kamu masuk ke dalam rumahnya, lalu menyebut nama Allah ketika memasukinya dan ketika hendak makan, berkata syaitan: Tiada tempat bermalam dan tiada makan malam untuk kamu semua (para syaitan). Dan apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya, maka berkata syaitan: Kamu semua (para syaitan) telah mendapat tempat bermalam. Jika dia tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan, berkata pula syaitan: Kamu semua telah mendapati tempat bermalan dan makan malam.” (Muslim)

2. Digalakkan memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah, tidak kira samada rumah sendiri atau rumah orang lain, samada berpenghuni ataupun tidak. Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: ”...Maka apabila kamu memasuki mana-mana rumah, berilah salam ke atas sesama kamu sebagai penghormatan yang disyariatkan oleh Allah, yang diberkati (mengandungi keselamatan, rahmat dan keberkatan) lagi baik...” (al-Nur: 61)

Al-Syeikh ’Abd al-Rahman al-Sa’di RH berkata ketika menafsirkan ayat ini, memberi salam dengan menyebut:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Atau:

السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ

Al-Syeikh ‘Abd al-Razak bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr berkata: Perkataan (al-Sa’di) tentang lafaz salam: السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ, ketika memasuki rumah, terutamanya rumah yang tidak berpenghuni terdapat hadis tentangnya, namun ia tidak thabit dari Nabi SAW dengan sanad yang Sahih… akan tetapi berpada dengan apa yang thabit dari sunnah iaitulah dengan ucapan salam السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ adalah lebih dituntut dalam lebih sempurna, samada rumah itu berpenghuni ataupun tidak.

Perkataan السلام عليكم ketika memasuki rumah memiliki keberkatan ke atas insan dan ahli keluarganya seperti yang ditunjukkan di dalam ayat yang lalu (al-Nur: 61). Di dalam kitab Sunan al-Tirmizi, dari Anas RA yang berkata: Rasulullah SAW berkata kepadaku:

يا بني، إذا دخلت على أهلك فسلّم، تكن بركةعليك وعلى أهل بيتك

Mafhumnya: “Wahai anakku, jika kamu memasuki (rumah) menemui ahli keluarga kamu, berikanlah salam, ia menjadi keberkatan ke atas kamu dan ke atas ahli keluarga kamu.” (al-Tirmizi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

Maka sesiapa yang memberi salam ketika memasuki rumahnya, maka dia berada dalam jaminan dari Allah Ta’ala. Di dalam (kitab) Sunan Abi Daud, (hadis) dari Abu Umamah al-Bahili, dari Rasulullah SAW yang bersabda:

ثلاثة كلهم ضامن على الله عز وجل: رجل خرج غازيا في سبيل الله، فهو ضامن على الله عز وجل، حتى يتوفاه، فيدخله الجنة أو يرده بما نال من أجر وغنيمة، ورجل راح إلى المسجد فهو ضامن على الله تعالى، حتى يتوفاه، فيدخله الجنة أو يرده بما نال من أجر وغنيمة، ورجل دخل بيته بسلام فهو ضامن على الله سبحانه وتعالى

Mafhumnya: ”Tiga golongan, kesemua mereka yang dijamin dari Allah AZW: iaitulah seorang lelaki yang keluar berperang pada jalan Allah, dia berada di dalam jaminan Allah, sehinggalah dia gugur lalu dimasukkan ke dalam Syurga, atau dia pulang dengan memperolehi pahala atau ghanimah. Juga seorang lelaki yang keluar ke masjid, dia berada di dalam jaminan Allah, sehinggalah dia mati lalu dimasukkan ke dalam syurga atau dia pulang dengan memperolehi pahala dan ghanimah. Juga seorang lelaki yang memasuki rumahnya dengan memberi salam, dia berada di dalam jaminan Allah SWT.
(Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

Empat punca hidup tidak tenang

Dalam kehidupan hari ini yang serba mencabar, tidak mustahil kita akan mengalami tekanan bila berhadapan kerenah manusia sama ada di rumah, di tempat kerja dan anak-anak. Bersama ini, dikongsikan di sini petua untuk mengelak tekanan dan menjalani kehidupan dengan lebih tenang.

Menurut Ustaz Zahazan, ada empat perkara membuat hidup menjadi sukar dan tertekan dan empat perkara itu adalah:

Pertama: Bersungut dan tidak menerima qada dan qadar Allah.
Amalkan membaca doa seperti diajar Rasulullah SAW iaitu: “Bismillahi ‘ala nafsi wamali wadini. Allahumma raddhini biqodho ika wabarikli fima quddiroli hatta la uhibba ta’jila ma akkharta wala takkhira ma ‘ajjalta.” (Maksudnya: Dengan nama Allah atas diriku, hartaku, dan agamaku. Ya Allah, jadikanlah aku ini rela dengan apa-apa yang Engkau tentukan dan berikanlah berkat untukku dalam segala yang sudah ditakdirkan kepadaku sehingga aku tidak menginginkan cepatnya sesuatu yang Tuhan perlambatkan atau perlambatkan sesuatu yang Tuhan percepatkan).

Kedua: Berbuat dosa dan tidak disertai dengan taubat.
Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud: “Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

Ketiga: Bersikap iri hati, dendam dan dengki

mempunyai sikap iri hati sesama manusia serta muncul perasaan senang untuk membalas dendam kepada mereka dan dengki atas anugerah yang Allah berikan kepada mereka.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 54 yang bermaksud: “Ataukah mereka dengki kepada manusia lantaran kurnia yang sudah Allah berikan kepadanya.”

Dalam hadis riwayat Abu Daud, daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah olehmu sekalian sifat dengki itu, kerana sesungguhnya dengki itu dapat menghabiskan amal kebaikan sebagai mana api itu dapat menghabiskan kayu api.”

Keempat: Berpaling daripada mengingati Allah.

Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 124 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.”

Demikian empat perkara disebut ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni dalam kitab beliau La Tahzan. Elakkan daripada melakukan keempat-empat perkara itu, Insya-Allah hidup akan tenang. Wallahua’lam.

Sumber dan juga terima kasih kepada Bawang Goreng dari
SINI.

7 Kebahagiaan Dalam Hidup

Ibnu Abbas r.a. adalah seorang sahabat Nabi saw, pernah ditanya pada suatu hari mengenai apa yang dimaksudkan dengan kebahagiaan dunia. Ibnu Abbas telah menjawab dengan mengatakan bahawa terdapat 7 (tujuh) kunci kebahagiaan hidup di dunia, iaitu:

Pertama, Al azwaju shalihah, iaitu pasangan hidup yang soleh. Pasangan hidup yang soleh akan menciptakan suasana rumah dan keluarga yang soleh pula. Di akhirat kelak seorang suami (sebagai imam keluarga) akan diminta pertanggungjawaban dalam mengajak isteri dan anaknya kepada amal kesolehan.

Berbahagialah menjadi seorang isteri bila memiliki suami yang soleh, yang pasti akan bekerja keras untuk mengajak isteri dan kesemua anak-anaknya menjadi Muslim yang soleh. Demikian pula seorang isteri yang soleh akan memiliki kesabaran dan keikhlasan yang luar biasa dalam melayani suaminya, walau betapa buruk sekalipun perlakuan suaminya.

Maka berbahagialah menjadi seorang suami yang memiliki seorang isteri yang soleh.

Kedua, Qalbun syakirun atau hati yang selalu bersyukur. Memiliki jiwa syukur bererti selalu menerima sekadar apa adanya (qona’ah), inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur.

Seseorang yang pandai bersyukur mudah memahami sifat-sifat Allah SWT, sehingga apa pun yang diberikan oleh Allah tetap diterimanya dengan dada yang terbuka malah sentiasa redha dengan keputusan yang telah Allah tetapkan. Maka berbahagialah kepada orang yang pandai bersyukur.

Ketiga, iaitu memiliki umur yang berkat. Maknanya, umur yang semakin tua semakin soleh dan setiap detik masa akan diisi dengan membuat amal ibadah. Orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk bekalan akhirat (melalui amal ibadah) maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu dengan Sang penciptanya.

Inilah semangat “hidup” orang-orang yang berkat umurnya, maka berbahagialah orang-orang yang telah dianugerahkan umur yang berkat.

Keempat, al auladun abrar, iaitu memiliki anak yang soleh dan solehah. Di kala Rasulullah SAW sedang bertawaf, baginda telah bertemu denga seorang anak muda yang memiliki badan yang sedang melecet. Setelah selesai tawaf, Rasulullah SAW telah bertanya kepada anak muda itu, “Kenapa dengan badan mu itu?” Jawap anak muda itu, “Ya Rasulullah, saya dari Yaman dan mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya ketika membuang hajat, ketika solat atau ketika istirehat, selain itu saya akan selalu mengendongnya.”

Lalu anak muda itu bertanya, “Ya Rasulullah, Apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua?” Rasulullah SAW sambil memeluk anak muda itu dan menyatakan, “Sesungguhnya Allah redha kepadamu, kamu anak yang soleh, anak yang berbakti, tapi anakku ketahuilah, cinta orang tuamu tidak terbalaskan olehmu.”

Dari hadis tersebut kita mendapat gambaran bahawa nyata segala amal ibadah kita sememangnya tidak cukup untuk membalas cinta dan kebaikan orang tua kita, namun pada kadar yang minimum sekalipun, kita sewajarnya memulainya dengan menjadi anak yang soleh. Di mana doa anak yang soleh atau solehah adalah dijamin akan dimakbulkan oleh Allah.

Berbahagialah kita bila memiliki anak yang soleh atau solehah.

Kelima, albiatu sholihah, iaitu memiliki lingkungan yang kondusif untuk iman kita. Yang dimaksudkan dengan lingkungan yang kondusif ialah kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja tetapi untuk menjadikannya sebagai sahabat karib kita, haruslah orang-orang yang mempunyai nilai tambah terhadap keimanan kita.

Dalam sebuah hadisnya, Rasulullah menganjurkan kita untuk selalu bergaul dengan orang-orang yang soleh. Orang-orang yang soleh akan selalu mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita apabila kita berbuat salah. Orang-orang yang soleh adalah orang-orang yang bahagia kerana nikmat iman dan nikmat Islam yang selalu terpancar pada cahaya wajahnya.

Berbahagialah orang-orang yang selalu dikelilingi oleh orang-orang yang soleh.

Keenam, tafakuh fi dien, atau semangat untuk memahami agama. Semangat memahami agama diwujudkan dalam semangat memahami ilmu-ilmu agama Islam. Semakin ia terangsang untuk belajar lebih jauh lagi mengenai sifat-sifat Allah dan ciptaan-Nya.

Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu, semakin ia belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin tinggi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya.

Maka berbahagialah orang yang penuh semangat memahami ilmu agama Islam.

Ketujuh, al malul halal, atau harta yang halal. Paradigma dalam Islam mengenai harta bukanlah banyaknya harta tetapi halalnya. Ini tidak bererti Islam tidak menyuruh umatnya untuk kaya.

Dalam riwayat Imam Muslim di dalam bab sedekah, Rasulullah saw pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangannya. “Kamu berdoa sudah bagus,” kata Nabi saw, “Namun sayang makanan, minuman dan pakaian dan tempat tinggalnya didapati secara haram, bagaimana doanya akan dimakbulkan?”

Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah dimakbulkan Allah

Sumber dari
SINI dengan ucapan terima kasih.

Denyut jantung dan nadi mempunyai amal2 kebajikan

Dalam perkara kebajikan kita diberi pahala dan jangan bertolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Jangan sekali-kali bertolong menolong perkara berdosa, walaupun kita tak berjudi dan minum arak, tapi kita memudahkan berjudi dan minum arak dengan memberi lesen kepada mereka memberi kemudahan kepada mereka, walapun kita tak berjudi kita berdosa juga.

Dalam urusan riba walaupun kita sendiri tak makan riba kita memudahkan urusan dia maka kita memikul dosa yang sama menolong pencuri dan penyamun walaupun dia sendiri tak mencuri dan menyamun ia juga mendapat dosa termasuklah dalam aspek memberi nasihat yang buruk.

Memberi pandangan yang buruk akan menerima dosa dan padahnya disebut oleh Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Sesiapa yang menunjukkan jalan yang baik kepada seseorang maka ia mendapat pahala kerana memberi petunjuk itu dan diberi pahala daripada orang beramal dengannya sehingga hari kiamat walaupun ia telah meninggal dunia sebaliknya sesiapa menunjukkan perkara yang buruk maka ia mendapat dosa padah.

Daripada orang yang beramal dengan tunjuk ajar itu sehingga hari kiamat, kita hendaklah mengetahui di dalam menunaikan kebajikan dan amal yang baik bukan sahaja dalam mengerjakan amal yang baik termasuklah di dalam meninggalkan kemungkaran. Meninggalkan kemungkaran diberi pahala oleh Allah Subhanahu Wataala jangan kita merasakan amal sahaja mendapat pahala.

Adapun meninggalkan amal yang jahat begitu sahaja tidak ada pahala jawabnya ada pahala. Contohnya, mengapa kita tak minum arak kerana diharamkan oleh Islam maka kita boleh pahala. Mengapa kita tak minum arak kerana tidak selera kalau ada selera minum juga maka tak boleh pahala. Mengapa tak makan daging babi kerana diharamkan oleh Islam selera pun tak ada, tak lalu maka diberi pahala. Mengapa tak makan daging babi sebab tak ada selera maka tidak diberi pahala. Mengapa tak berzina ini diharamkan oleh Tuhan , dapat pahala. Mengapa tak berzina kerana nafsu tak ada mati pucuk kalau hidup hentam juga maka ini tidak ada pahala.

Kita hendaklah mengetahui sesuatu yang kita lakukan berdasarkan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wataala. Inilah yang dikatakan oleh Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bahawa setiap sendi yang ada pada anggota setiap denyut jantung dan nadi mempunyai amal-amal kebajikan sekiranya ditunaikan di atas landasan Islam ditunaikan di atas perintah Allah Subhanahu Wataala dan di sana ada perkara yang sangat penting. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan bertaqwalah kamu kepada Allah Subhanahu Wataala dan ketahuilah sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala itu sangat keras, sangat tegas hukumnya terhadap mereka yang mengerjakan perkara-perkara dosa". (Surah al-Baqarah:196)

Setiap orang yang beriman mesti percaya adanya mati tidak ada orang yang hidup selama-lama dan adanya hari akhirat adanya kebangkitan selepas meninggal dunia dan setiap amal yang dilakukan akan berpanjangan akibat daripadanya sebaik sahaja seseorang itu meninggal dunia sebaik sahaja dicabut nyawa masih ada lagi masalah masuk dalam kubur masih ada lagi masalah.
Sekiranya kita telah menyelesaikan masalah di atas dunia maka kita terselamat dan Allah Subhanahu Wataala menunjukkan bagaimana kehebatan hukuman Allah Subhanahu Wataala dijadikan tidur sebagai contoh dari mati bila seorang tidur dia bermimpi dengan perkara yang menyakitkan tapi dia tak boleh menyelamatkan diri walaupun dia sedar tapi diatak boleh menyelamatkan diri mimpi di kejar harimau tapi dia tak boleh nak lari.

Kita tidur rasa sesuatu sakit anggota kita tapi tangan tak boleh nak bergerak apa perasaannya. Ini ada contoh mati yang ditunjukkan oleh Allah Subhanahu Wataala. Oleh kerana itulah bila kita tidur disunatkan baca (kalimah-kalimah Allah Subhanahu Wataala) dan bila kita bangkit dari tidur kita disunatkan baca doa yang bermaksud:
"Segala puji bagi Allah Tuhan yang menghidupkan kami setelah Dia mematikan Kami dan kami bertebaran di atas muka bumi menunjukkan bahawa tidur adalah contoh daripada mati."

Allah Subhanahu Wataala menghidupkan kami bangun daripada tidur setelah dia mematikan kami tidur adalah contoh daripada mati kita melihat sendiri pengalaman daripada tidur dan kita menyedari bagaimana kehebatan kerasnya hukum Allah Subhanahu Wataala oleh kerana itu maka setiap orang hendaklah bersedia dalam dalam umurnya dalam yang ada padanya sebagaimana yang diucapkan hendaklah mengambil peluang daripada umurnya yang muda sebelum tua mengambil peluang daripada sihat sebelum sakit mengambil peluang daripada ada sebelum tiada.

Seseorang yang mengerjakan kebajikan semasa sihatnya mengerjakan amal yang baik semasa sihatnya tiba-tiba dia jatuh sakit diberi pahala padanya masa dia sakit pada masa dia tua, pada masa dia nyanyuk sebagaimana dia mengerjakan amal yang baik semasa dia muda, semasa dia sihat. Sekiranya seseorang itu masa dia sihat, masa dia muda ia tidak mengerjakan amal kebajikan tiba-tiba dia sakit itulah peluang untuk bertaubat. Itu sajalah peluang untuk bertaubat maka tidak ada peluang untuk mendapat fadhilat semasa dia sakit, semasa dia tua. Fadhilat daripada amal baik yang ditunaikan diberi pahala.

Masa dia sakit walaupun dia tak buat amalan itu kalau dia sihat dia buat amalan itu tiba-tiba dia sakit diberi pahala padanya sebagaimana pada masa dia sihat sebagaimana semasa ia mempunyai kekuatan. Begitulah orang yang sering kali membantu dan menolong ketika dia berada, maka ketika ia ditimpa kesusahan dan kemalangan diberi pahala oleh Allah Subhanahu Wataala sebagaimana dia menyumbang semasa dia senang.

Inilah antara kebesaran agama Islam, suatu kurnia yang sangat besar daripada Allah Subhanahu Wataala memberi peluang kepada kita dalam mengerjakan amal kebajikan yang bukan sahaja diberi pahala dalam mengerjakan amal kebajikan, termasuklah dalam meninggalkan perkara-perkara dosa dan perkara yang jahat. Mudah-mudahan sekadar yang dikemukakan itu menjadi pengajaran.

http://www.ukhwah.com/

Khamis, 26 April 2012

Siapa Mamat Nii..Sanggup Bayar Denda Wanita Pakai Niqab.??



Kalau anda nak tahu inilah Rachid Nekkaz, seorang ahli perniagaan muslim Perancis yang mengumumkan dia akan membayar setiap denda bagi wanita yang didakwa dengan kesalahan memakai niqab - bukan sahaja di Perancis tetapi "dalam mana-mana negara lain di dunia yang melarang wanita daripada berbuat demikian" ..... TRUE HERO! ALLAHUAKBAR,,..

WAJAH PENYEJUK JIWA


Sejuk jew hati pagi nie melihat wajah2 ulamak dan ustaz..

Rabu, 25 April 2012

Hassan al-Basri berani beri peringatan

HASSAN al-Basri atau nama lengkapnya Abbu Said al-Hassan ibnu Abi al-Hassan Yassar al-Basri, dilahirkan pada tahun 21 Hijrah/642 Masihi di Madinah. Ayahnya bernama Yassar, Maula Zaid bin Tsabit, iaitu seorang jurutulis wahyu, manakala ibunya bernama Khairah Maulat Ummul Mukminin Ummu Salmah.

Beliau memiliki sifat-sifat terpuji dan ilmu pengetahuan yang luas dengan memperdalamkan ilmu agama Islam kepada ulama-ulama terkemuka.

Pada masa yang sama juga beliau telah mengadakan pertemuan dengan 70 orang perwira Perang Badar dan 300 orang sahabat Rasulullah SAW.

Pernah suatu ketika beliau pernah ditanya oleh Ali bin Abi Talib yang datang kepada beliau ketika pengajiannya.

Ali bertanya: "Hassan, aku ingin bertanya kepadamu mengenai dua perkara. Apabila engkau berjaya menjawab kedua-dua perkara itu engkau akan dapat meneruskan pengajianmu, dan jika sebaliknya, akan aku keluarkan kamu daripada pengajian ini."

Hassan mendiamkan diri sejenak, kemudian berkata: "Tanyalah wahai Amirul Mukminin."

Lalu Ali melanjutkan perbicaraan: "Ceritakanlah kepadaku tentang kebaikan agama dan apa yang dapat merosak agama."

Hassan menjawab: "Kebaikan agama adalah hidup yang warak dan yang merosak agama adalah hidup tamak."

Ali tersenyum dan memujinya serta berkata: "Engkau benar dan sekarang teruskanlah pengajianmu itu."

Hassan juga sering mendapat pujian terutama daripada Anas bin Malik, Abu Qatadah dan lain-lain yang sezaman dengannya.

Menurut Abu Naim al-Asfahani, Hassan adalah orang yang selalu takut dan berduka sepanjang hari, hidup zuhud dan warak dan tidak tidur dalam keadaan senang kerana mengingati Allah SWT, dan tidak meminta-minta.

Dalam perkara ini beliau pernah berkata: "Bagaimana kita tidak takut jika seluruh kehidupan ini akan dipertanggungjawabkan, sedangkan kehidupan itu sendiri amat pendek dan dibatasi oleh maut yang akan menjemput."

Manakala bagi orang yang beriman pula, menurutnya kehidupan dunia bukan untuk bersenang-lenang, tetapi persiapan dan peningkatan amal soleh dengan harapan akan diberi keampunan serta rahmat-Nya.

Beliau berpendapat bahawa manusia perlu prihatin di dunia serta memperteguhkan amal soleh, memperkuatkan zuhud dan menjauhi daripada kemurkaan Allah SWT.

Semuanya itu akan tertanam di benak sanubari di dalam diri manusia jika dapat memiliki iman dan ilmu. Iman dan ilmu merupakan suatu kemestian sebagai dasar bagi orang-orang yang mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al-Faatir ayat 28.

Hassan al-Basri terkenal dengan keberanian memberi ingatan kepada penguasa termasuk Umar Hubairat yang diangkat menjadi Gabenor Iraq (722 M/103H), malah telah berjanji untuk senantiasa melaksanakan perintah Khalifah Yazid dengan memberi nasihat yang berbunyi: "Tanamkanlah perasaan gentar kepada Allah SWT, bukan kepada Yazid, sedang Yazid tidak akan mampu memisahkan anda daripada Allah SWT. Bila-bila masa sahaja Allah akan mengirim malaikat-Nya untuk meragut anda daripada pangkat, dan menarik anda dari istana yang luas untuk dibawa ke ruang kubur yang sempit."

Ketika menjelang pengakhiran hidupnya, beliau telah didatangi beberapa sahabat yang berkata: "Wahai Abu Said, bekalilah kamu dengan beberapa kalimat yang bakal memberikan manfaat kepada kami."

Maka Hassan pun berkata: "Aku membeli kalian dengan tiga kalimat iaitu apa pun urusan yang dilarang, hendaklah kalian orang yang paling jauh meninggalkannya.

"Kebaikan apa pun yang diperintah kepada kalian, hendaklah kalian melaksanakannya dengan giat.

"Dan ketahuilah ada dua langkah kepada kalian satu langkah yang menguntungkan dan satu lagi langkah yang mencelakan. Jadi kalian hendaklah memperhatikan ke manakah kalian akan melangkah di waktu pagi."

Hassan al-Basri selalu memberi pesan agar manusia sentiasa berwaspada terhadap dunia dan berhati-hati dengan segala 'tipu muslihat'.

Beliau meninggal dunia pada tahun 110 H/729 M di Basra

Letak kereta di gereja tapi ceramah di masjid

"

Tak pernah saya tengok Masjid Negeri di Seremban ramai yang hadir dalam apa jua program sebelum ini seperti apa yang berlaku pada hari Ahad 22 April 2012. Penuh sesak Masjid Negeri, orang ramai hadir, yang tua, yang muda, yang kanak-kanak, yang wanita, ingin mendengar nasihat dan menatap wajah Sheikh Habib Umar, ulama dari Yaman yang merupakan keturunan ke 39 daripada baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Saya terpaksa letak kereta di luar sebuah gereja tengah bandar Seremban, kerana tempat letak kereta berhampiran Masjid Negeri penuh sesak, termasuk yang atas bahu jalan.



Ribuan yang hadir ini datang secara sukarela. Mereka tak perlu disediakan bas, tak perlu disediakan t-shirt, tak perlu disediakan wang saku, tak perlu disediakan makan minum, tak perlu ada artis terkenal, tapi mereka tetap datang.

Ada yang saya tengok plet kenderaan dari Singapura pun ada.

Kalaulah pemimpin kita boleh buat perhimpunan sebegini untuk memberi kesedaran kepada umat agar kembali taat kepada Allah dan Rasulnya dalam amalan seharian alangkah baiknya.

Pada siang harinya sebelum program bermula, cuaca di Seremban begitu panas terik sekali, bahangnya terasa sampai ke lewat petang. Tapi apabila saya berada di anjung masjid ( tak dapat masuk, dalam masjid dah penuh sesak) , suasana nyaman, tidak panas, tidak sejuk, hujan turun setitik dua, membasahi jalan tetapi tidak membasahi rambut.

Semoga dengan kedatangan Habib Umar akan membuka lembaran baru di Negeri Sembilan dan memberi keinsafan kepada semua pihak.

Rozmal bin Malakan

PERBEZAAN ADALAH SEBUAH KENYATAAN

Sebagai tokoh rujukan umat Islam, nama Imam Malik bin Anas (w.179H) sangat harum di sisi penguasa Abbasiah di Baghdad. Khalifah yang berkuasa pada saat itu, Abu Ja’far Al-Mansur [w. 158 H], sangat mengagumi dan menghormati beliau.

Suatu ketika, apabila Khalifah Al-Mansur datang ke Mekah untuk melaksanakan ibadah haji, beliau segera menjemput Imam Malik untuk menemuinya. Keduanya lalu berdiskusi tentang pelbagai perkara berkenaan dengan hukum agama. Tampak sekali, Khalifah sangat teruja dengan keluasan ilmu yang dimiliki oleh Imam Ahli Madinah ini.
Khalifah Al-Mansur lalu berkata, “Saya berniat untuk menyalin kitab Al-Muwatta (kitab hadis dan fiqh karangan Imam Malik) sebanyak-banyaknya, lalu aku akan mengutusnya ke seluruh negeri. Aku akan memerintahkan semua rakyat untuk melaksanakan isinya dan meninggalkan kitab-kitab yang lain. Sebab menurutku, mazhab yang benar adalah mazhab ahli Madinah.”

Abu Ja’far Al-Mansur seorang khalifah yang sangat tegas dan disegani. Jika beliau memerintahkan sesuatu, tidak ada yang berani membantahnya. Dan kali ini, beliau bertekad untuk menjadikan kitab Al-Muwatta satu-satunya rujukan dalam hukum Islam, dan menjadikan fatwa Imam Malik satu-satunya fatwa yang berlaku untuk seluruh rakyat.

Ini tawaran yang sangat menguntungkan. Namun, apa kira-kira respon Imam Malik untuk tawaran ini?

Beliau berkata, “Wahai Amirul Mukminin, janganlah engkau laksanakan niatan ini. Sesungguhnya masyarakat kita telah mempunyai pendapat sendiri-sendiri, mereka juga membaca hadis dan memiliki riwayat. Setiap orang bebas mengamalkan pendapat yang menurutnya benar sesuai dengan fatwa para sahabat Nabi Saw. Mencabut amalan dan pendapat yang selama ini diyakini bukan perkara ringan. Maka biarkanlah setiap orang melaksanakan pendapat yang menjadi pilihan mereka masing-masing.”

Jawapan ini sangat bijaksana. Apabila mendengarnya, Khalifah Al-Mansur tidak jadi melaksanakan niatannya itu. Beliau berkata, “Demi Allah, andai engkau setuju, niscaya aku akan segera melaksanakan niatan ini.”

***
Kisah ini diceritakan oleh Al-Qadhi ‘Iyad Al-Yahsubi dalam kitab Tartibul Madarik, lalu diceritakan kembali oleh Al-Hafiz Abu Abdillah Al-Dzahabi dalam Siar A’lam An-Nubala. Apabila membaca kisah ini, kekaguman saya semakin besar kepada Imam Malik bin Anas. Beliau benar-benar tokoh ulama yang patut menjadi panutan umat hingga ke hari ini.

Dalam kisah ini, beliau mengajarkan kita untuk menyadari bahawa perbezaan pendapat adalah sebuah kenyataan yang tidak dapat dinafikan. Orang yang tidak dapat menerima perbezaan, pada hakikatnya, ia tidak mampu menerima kenyataan.

Imam Malik sepenuhnya insaf dan sadar bahawa pendapat beliau bukan satu-satunya pendapat. Jika kita memiliki pendapat yang kita yakini kebenarannya, bahkan rela berkorban untuk mempertahankannya, maka orang lainpun boleh melakukan perkara yang sama. Oleh itu, kita harus menerima kenyataan ini dengan lapang dada dan menghindari sikap “menang sendiri” apalagi “memaksakan pendapat sendiri”.

Apalagi, Allah telah menegaskan bahawa keragaman pendapat merupakan sesuatu yang memang disengaja. Dalam Qs Huud ayat 118-119, Allah berfirman, “Kalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk Itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: Sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.”

***
Meski perbezaan pendapat (ikhtilaf) mesti diraikan, namun tidak semua pendapat boleh diiktiraf atas prinsip keberagaman. Para ulama telah lama menggariskan, apabila ikhtilaf itu berkenaan dengan prinsip-prinsip agama [usul] seperti perkara-perkara asas dalam akidah atau hukum yang telah ditetapkan dengan ijmak, maka ikhtilaf ini berkaitan dengan sesat atau lurus.

Namun, jika ikhtilaf itu berkaitan dengan perkara-perkara cabang [furu’], maka tidak boleh ada tuduhan sesat atau kufur di sini. Akan tetapi, kita hanya hanya boleh menilai salah satu daripada pendapat itu sebagai lemah atau salah, tanpa membawa label sesat atau kufur.

Berkata Imam Ibn Nujaim Al-Hanafi dalam kitab Al-Asybah wan Naza’ir:

“Apabila kita ditanya tentang mazhab kita dan mazhab lain yang bertentangan dengan mazhab kita di dalam perkara-perkara furuk, kita mesti menjawab bahawa mazhab kami benar, namun bolehjadi salah. Dan mazhab orang lain salah, namun bolehjadi benar. Namun, jika kita ditanya tentang akidah kita dan akidah orang-orang yang bertentangan dengan kita, wajib kita menjawab bahawa akidah kita benar dan akidah selain kita batil [sesat].”

Kes-kes khilafiah yang berlaku di dalam masyarakat kita kebanyakannya menyangkut perkara-perkara furuk. Maka sikap yang kita tampilkan seharusnya adalah berlapang dada sambil berkata, “Ini pendapat saya, ianya benar namun bolehjadi salah. Dan itu pendapat si polan, ianya salah namun bolehjadi benar.”

Cukup itu sahaja, tanpa perlu tuduhan-tuduhan negatif yang membabitkan label “sesat” dan “bid’ah” selama masalah yang diperselisihkan hanya berkisar di perkara-perkara yang tidak menyentuh prinsip-prinsip keislaman. Sekali tuduhan ini keluar dari lidah kita, kalimat itu akan terus membelenggu kita hingga ke hari pembalasan nanti.

***
Sering kali kita meyakini bahawa pendapat kita benar-benar sejalan dengan hadis Nabi Saw, sementara amalan dan pendapat orang lain telah menyalahi sunnah itu. Hati kita terasa gatal untuk menunjukkan keunggulan pendapat kita dan membongkar kelemahan orang lain. Apabila kita melakukan itu, tiba-tiba permusuhan yang kita dapatkan bukannya penerimaan.

Memang seperti itu selalunya buah dari sikap pertengkaran. Hati manusia "diprogram" untuk tidak suka dipersalahkan, namun ia mungkin terbuka untuk pemberitahuan. Pertengkaran meskipun didasari semangat “menegakkan sunnah” tidak akan membuahkan apa-apa selain perlawanan.

Dalam kitab Al-Adab Al-Syar'iah karya Ibn Muflih Al-Hanbali, Al-Abbas bin Ghalib Al-Warraq berkata kepada pemimpin ahli hadis dan ahli sunnah di Baghdad, Imam Ahmad bin Hanbal: “Jika aku berada dalam suatu majlis, dan tidak ada yang mengetahui sunnah [hadis] di dalam majlis itu kecuali diriku, lalu seorang ahli bidaah berbicara. Bolehkah aku membantahnya?”

Imam Ahmad menjawab: “Beritahukanlah sunnah itu, namun jangan bertengkar.”

Al-Warraq mengulangi soalannya beberapa kali, namun Imam Ahmad tetap melarangnya. Beliau tidak menyukai pertengkaran walau “atas nama sunnah dan hadis” sekalipun.

Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Imam Ahmad berkata, “Aku melihatmu orang yang suka bertengkar!”

Umar Muhammad Noor,
Woodlands, 18 Mac 2011

(Tulisan ini diubah suai dari artikel yang pernah saya tulis untuk Majalah Solusi)

Akhirat

Masa depan yang paling jauh dan paling wajib disiapkan adalah akhirat. Meskipun tidak terlihat oleh mata kepala, namun “mata akal” menyaksikan keberadaannya. Maka setiap orang wajib mempersiapkan diri, juga mempersiapkan anak dan muridnya, untuk menghadapi pelbagai cabaran dunia demi menggapai kebahagiaan akhirat.
Dalam Sunan Al-Tirmidzi dan Ibn Majah, Rasulullah Saw bersabda:

الكَيِّس مَنْ دانَ نفسَه ، وعَمِلَ لما بعد الموت ، والعاجِزُ مَنْ أتْبَعَ نَفَسَهُ هَواهَا وتمنَّى على الله

“Orang yang cerdik adalah dia yang menahan hawa nafsunya dan bekerja untuk (kehidupan) setelah mati. Adapun orang yang lemah (bodoh) adalah dia yang memperturutkan hawa nafsunya, namun berharap Allah akan memberi semua keinginannya.”
Semoga Allah menjadikan kiita manusia-manusia cerdas, yang dapat melihat dengan mata akal kita apa-apa yang tidak terlihat oleh mata kepala kita. Amin ya rabbal álamin.

PERLUKAH KITA BERMAZHAB

Hukum Bermazhab

Terdapat 4 aliran mazhab yang masyhur dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang masih utuh sehingga ke hari ini iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. 4 mazhab ini telah diasaskan oleh mereka yang faqih dan mencapai mujtahid mutlak. Kefaqihan pengasas mazhab mendorong mereka mengajar dan membimbing masyarakat awam dalam memahami syariat Islam melalui Al-Qur'an, Al-Sunnah, Ijmak dan Qiyas.

Sebelum anda bertanya, "Perlukah kita bermazhab?", maka anda mesti menjawab terlebih dahulu "Perlukah sekolah buat saya dalam memahami syariat Islam?" Ruang lingkup maksud sekolah di sini ialah 'belajar dan berguru kepada mereka yang benar-benar faqih' dalam mempelajari dan mengetahui sesuatu. Kalau anda masih memerlukan sekolah, maka demikian juga dengan mazhab. Ini kerana tanpa mengikuti salah satu dari 4 mazhab ahli sunnah wal jamaah yang diakui tadi, maka anda tidak mampu untuk memahami syariat Islam berlandaskan Al-Qur'an, Al-Sunnah Ijmak dan Qiyas dengan baik kecuali anda telah mencapai mujtahid dan mampu berdikari dalam istinbat hukum syar'i.

Kepentingan bermazhab dapat dilihat berdasarkan firman Allah SWT (mafhumnya):
"Bertanyalah kepada orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Nahl: 43)

Dalil ini menunjukkan keharusan bermazhab bagi mereka yang tidak mampu berdikari dalam istinbat hukum syar'i. Sudah tentu, setiap sekolah mempunyai cara atau metod tersendiri dalam mencapai kesimpulan sesuatu hukum.

Menurut Prof. Muhammad Abu Zahrah, ketika Imam Al-Syafie belum mandiri (berdikari) dalam istinbat hukum, Imam Al-Syafie telah mengikuti Imam Malik yakni Mazhab Maliki. Oleh sebab itu, Imam Al-Syafie pernah membela mazhab Ahli Hadis (Mazhab Maliki) dalam menentang mazhab Ahli Ra'yi (Mazhab Hanafi).

Adapun mazhab Imam Al-Syafie sebelum mengikuti mazhab Maliki ialah mazhab muftinya di Mekah yakni Sufyan bin 'Uyainah (salah seorang mufti di Mekah). Dan terdapat catatan panjang lebar mufti-mufti yang terdiri dari kalangan salaf al-soleh di dalam kitab I'lamul Muwaqqiin. Mufti-mufti inilah yang mengeluarkan fatwa kepada masyarakat awam dalam menentukan sesuatu hukum.
_____________________________
Bibliografi:
1. Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
2. Usul al-Fiqh karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
3. I'lamul Muwaqqiin karya Sheikh Ibn Al-Qayyim.
4. Sejarah Pembinaan Hukum Islam karya Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid.
http://mazhab-alsyafie.blogspot.com

Ahad, 22 April 2012

kEutaMaAn aZaN & mUaZiN

Pemimpin di hari Kiamat
Muazin akan menjadi pemimpin di hari Kiamat sebagaimana Muawiyah bin Abu Sufyan r.a menceritakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya;

” Muazin adalah orang yang paling panjang leher pada hari kiamat.”

Menurut Ibn Majah, ‘panjang leher’ adalah personafikasi yang digunakan orang Arab bagi merujuk kepada ketua atau pemimpin.

Mengusir syaitan

Azan boleh digunakan untuk mengusir syaitan berdasarkan hadis Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda, yang bermaksud;

” Apabila diseru untuk bersolat (azan) syaitan akan berundur ke belakang sambil kentut. Apabila sudah selesai iqamat, dia datang semula menggangu (membisikkan) bisikan dan pelbagai lintasan dalam hati dan pemikiran seseorang sehingga dia tidak tahu berapa rakaat solatnya. Sesiapa yang terjadi demikian ( tidak tahu bilangan solat) hendaklah dia sujud dua kali (sujud sahwi).” – Riwayat al-Nasa’i -

Keampunan Sejauh suara
Muazin akan diberikan keampunan sejauh mana suara azannya sampai dan diberikan pahala orang yang bersolat kerana mendengar seruan azannya itu. Ini berdasarkan kepada hadis al-Bara’ bin ‘Azib r.a., bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya;

” Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas saf yang hadapan dan muazin diampunkan dosanya sejauh suaranya dan siapa yang mendengar ( suara azannya ) akan membenarkannya sama ada yang hidup ataupun yang mati. Di samping itu, disediakan baginya pahala orang yang bersolat bersama dengannya.” - Riwayat al-Nasa’i dan Ahmad -

* Menurut riwayat di atas, yang dimaksudkan dengan pahala orang yang bersolatbersama dengannya ini tidak hanya tertakluk kepada mereka yang bersolat bersama dengannya di satu tempat dan dalam satu jemaah, tetapi juga sesiapa sahaja yang bersolat setelah mendengar seruan azannya.

Dimasukkan ke dalam syurga
Muazin diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga. Mengikut hadis ‘uqbah bin Amir r.a. yang mendengar Rasulullah s.a.w bersabda;

” Allah redha dengan penggembala kambing di puncak bukit yang melaungkan azan untuk bersolat dan kemudian menunaikan solat. Allah berfirman ‘ Lihatlah kepada Hamba-Ku ini yang melaungkan azan dan menunaikan solat dalam keadaan takut kepada-Ku. Aku telah mengampuni dosa hamba-Ku ini dan memasukkannya ke dalam syuga.” – Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i -

Mendapat saksi amal soleh
Sesiapa sahaja yang mendengar azan yang dilaungkan oleh Muazin, dia akan menjadi saksi tentang amal solehnya itu diakhirat kelak. Abu Said al-Khudri pernah berkata kepada Abdullah bin Abdurrahman bin Abu Sya’sya’ah al-Ansari, katanya;

” Saya melihat engkau sangat menyukaikambing dan kampung halamanmu. Sekiranya engkau bersama kambing-kambingmu atau berada di kampung halamanmu lalu engkau melaungkan azan untuk solat, maka kuatkanlah suaramu. Kerana sesiapa sahaja yang mendengar suara (azan) mu sama ada manusia atau jin atau apa sahaja, mereka akan menjadi saksimu di akhirat kelak.” Menurut Abu Said al-Khudri, ” saya telah mendengarnya daripada Rasulullah s.a.w.” - Riwayat al-Bukhari dalam bab Azan -

OrAnG yAnG BaHaGiA

Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca, kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu untuk tertawa, kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir, kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu untuk beribadat kerana beribadat itu ialah ibu daripada segala ketenangan jiwa.

Imam MaLik yaNg mEnCinTai iLmU

article by cindai @ tokoh1038.blogspot.com


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi maha Mengasihani,

Malik bin Anas bin Malik bin Abu Amir bin Amar bin Harits, dilahirkan di Madinah pada 93 Hijrah. Moyangnya Abu Amir berasal dari Yaman yang berhijrah ke Madinah untuk berguru dengan Rasulullah s.a.w dan menjadi antara sahabat baginda yang setia. Ibunya pula Aliyah Syuraik dan ada riwayat menyatakan ibunya mengandungkan dia selama dua tahun sebelum melahirkannya di Kampung Zuwarmah di utara Madinah. Malik dilahirkan pada zaman pemerintahan khalifah Umaiyyah keenam, Khalifah Al-Walid Abdul Malik Madinah yang terkenal sebagai pusat ilmu telah memupuk cintanya terhadap ilmu al-Quran dan hadis.

Dia akan membuat satu simpulan tali setiap kali belajar sesebuah hadis untuk mengingatkannya jumlah hadis yang dipelajarinya. Punya daya ingatan yang sangat kuat, dan pernah suatu ketika gurunya, Ibnu Syihab menyampaikan 30 hadis, dia hanya mendapat 29 hadis saja; dia sanggup bertemu gurunya semula memintanya mengulang semula satu hadis yang tertinggal itu.Zaman remajanya, Malik pelajar yang sangat miskin sehingga terpaksa menjual kayu dari bumbung rumahnya yang runtuh untuk mendapatkan wang. Dalam usia 17 tahun, dia sudah mendalami pelbagai ilmu agama. Dia juga masih sangat rajin belajar walaupun selepas berumah tangga dan dikatakan mempunyai 900 orang guru yang separuh daripadanya adalah ulama tabien.

Malik sangat mencintai ilmu hadis dan dikatakan, jika dia dipanggil untuk bercakap mengenai fikah, dia terus keluar dengan pakaian yang melekat di tubuhnya. Tetapi jika dia dipanggil untuk bercakap mengenai hadis, dia akan mandi, berpakaian kemas serta memakai harum-haruman sebelum keluar. Dia juga melarang orang bercakap nyaring dalam majlis hadis sebagai menghormati Rasulullah kerana hadis datangnya daripada Rasulullah. Malik menghabiskan 40 tahun untuk mengumpul hadis yang diterima daripada gurunya. Sebanyak 100,000 hadis dihafalnya, tetapi selepas disaring, hanya 10,000 diakui sah, yang kemudian dipadankan dengan firman Allah. Akhirnya, hanya 5,000 yang diterima sebagai benar-benar sabda Rasulullah. Hadis ini dihimpun dalam kitab pertamanya, al-Muwatta’.Ada riwayat menyatakan, khalifah kedua Bani Umaiyah, Abu Jaafar al-Mansur di Baghdad menggesa Malik supaya menulis ilmunya untuk dijadikan rujukan.

Selepas mengumpul hadis itu, dia bingung memikirkan judul sesuai untuk kitabnya sehingga bermimpi dikunjungi Rasulullah yang bersabda kepadanya, “sebarkan kitab ini kepada manusia.” Akhirnya dia memutuskan untuk menamakan kitab sulungnya itu al-Muwatta’ bermaksud Yang Disepakati atau Tunjang atau Panduan. Kerana lamanya masa yang diambil untuk menyusun kitab ini, khalifah meninggal sebelum sempat menatapnya. Pada zaman pemerintahan Harun al-Rashid, al-Muwatta’ begitu dihormati sehingga khalifah mencadangkan kitab itu digantung di Kaabah sebagai lambang perpaduan ulama dalam hal agama tetapi dibantah Malik. Khalifah pernah mengutus Syeikh al-Barmaki untuk menjemput Malik mengajar di istananya. Sebaliknya Malik menjawab, “ilmu pengetahuan harus didatangi dan tidak disuruh mendatangi.” Utusan itu pulang ke Iraq dan menyampaikan pesan berkenaan. Khalifah menghantar dua anak lelakinya ke majlis ilmu Malik di Madinah.

Ketika menunaikan haji, khalifah sempat menemui Malik dan memintanya membacakan kitabnya. Malik sebaliknya meminta khalifah hadir ke majlis ilmunya sahaja. Khalifah membalas, mahu mendengar kitab itu di rumah Malik sendiri tetapi Malik merendah diri menyatakan, kediamannya buruk, tidak sesuai untuk dikunjungi seorang amirul mukminin.Khalifah menghadiahkan 3,000 dinar emas kepada Malik untuk membina rumah baru. Hanya sedikit wang yang digunakan dan selebihnya diberikan kepada sahabat lain. Suatu hari, semasa khalifah di Madinah, sekali lagi Malik dijemput ke tempatnya untuk membacakan al-Muwatta’.Mulanya dia enggan tetapi akhirnya bertukar fikiran lalu ke tempat khalifah. Katanya, “saya harap janganlah tuanku jadi orang pertama yang tidak menghormati ilmu. Saya tidak menolak permintaan tuanku tetapi saya harap tuanku menghargai ilmu supaya Allah menghargai tuanku.”Khalifah bersetuju mengikut Malik ke rumah.

Selepas duduk di kerusi khasnya, khalifah menegur kerana terdapat ramai orang lain di situ. Tetapi Malik membalas, “jika orang ramai tidak dibenarkan mendengar isi kitab ini, nescaya Allah tidak akan memberi rahmat kepada seorang pendengar pun.” Khalifah akhirnya bersetuju membenarkan orang lain mendengar sama.Malik menyuruh pelajarnya Ma’an membaca al-Muwatta’, tetapi sebelum pelajar itu membuka mulut, Malik mencelah, “Para pencinta ilmu sangat menghargai ilmu. Tiada sesiapa akan duduk lebih tinggi daripada ilmu.” Mendengar sindiran itu, khalifah turun duduk di lantai bersama yang lain.

Antara sikap Malik, dia tidak pernah menolak hadiah yang diberikan kerana baginya ilmu pengetahuan memang wajar mendapat penghargaan, apatah lagi ilmu agama. Bagaimanapun banyak wang hadiah yang diberikan kepada pelajarnya. Hidupnya tidak mewah tetapi dia gemar berpakaian kemas kerana baginya pakaian yang kotor dan tidak senonoh akan menjatuhkan maruah ulama.Malik pernah berdepan cabaran hebat pada masa pemerintahan Abu Jaafar al-Mansur, ketika anak saudara khalifah, Jaafar Sulaiman menjadi gabenor Madinah. Gabenor muda dan tidak berpengalaman itu kurang menghormati ulama, apatah lagi ketika itu terdapat ramai yang mendengki Malik kerana kedudukannya.Termakan hasutan, Malik yang berusia 54 tahun ketika itu ditahan dan diseksa dengan 70 sebatan. Hukuman itu mencetuskan kemarahan orang Madinah, sangat membimbangkan khalifah di Baghdad, lantas Jaafar dipecat. Khalifah dengan rendah diri berjumpa Malik untuk meminta maaf dengannya. Hubungan baiknya dengan khalifahlah yang mendorongnya menulis al-Muawatta’ yang terkenal itu.

Malik kembali ke rahmatullah pada Rabiulawal 179 Hijrah, dalam usia 90 tahun selepas menghidap sakit tua selama 20 hari dan dikebumikan di Baqi. Dia meninggalkan seorang balu, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan. Hanya anak perempuan tunggalnya, Fatimah yang mewarisi ilmunya mendalami al-Muwatta’. Seumur hidupnya, Malik tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali ketika menunaikan haji ke Mekah. Namun dia berjaya mengumpul ramai pelajar yang datang dari luar Madinah. Pelajarnya yang ramai inilah bertanggungjawab melebarkan Mazhab Maliki ke seluruh pelusuk dunia.

Ahad, 15 April 2012

MENANGIS...



~Biarlah kita menangis di dunia ini kerana mentaati perintah Allah dari kita menangis di akhirat kerana di azab akibat mengingkari perintah Allah~

DARAH SELEPAS KEGUGURAN; Adakah ia nifas?

Soalan; Assalamualaikum ustaz. selepas keguguran, darah yang keluar adakah nifas? dan berapa lamakah tempoh nifas keguguran? adakah sama dengan nifas bersalin? atau dikira sama dengan tempoh haid?

Jawapan;

1. Menurut mazhab Syafiie; Tidak disyaratkan untuk dikira darah nifas bahawa bayi yang dilahirkan itu hidup atau sempurna kejadian. Asalkan disahkan bahawa yang keluar itu adalah janin manusia maka sabitlah hukum nifas bagi darah yang keluar selepas keluarnya janin itu sekalipun janin itu belum menampakkan rupa manusia iaitu hanya berupa seketul daging semata-mata.

2. Nifas yang keluar kerana keguguran dari segi hukum sama seperti nifas kerana kelahiran. Tempoh paling singkat ialah seketika/sedetik dan paling lama ialah 60 hari (menurut mazhab Syafiie) atau 40 hari (menurut jumhur ulamak).

3. Jika nifas datang beberapa hari dan kemudian berhenti, hendaklah diperhatikan; jika tempoh berhentinya l5 hari atau lebih, ia dikira suci (yakni bersih dari nifas). Jika keluar semula darah selepas itu, ia dianggap darah haid bukan nifas lagi. Adapun jika tempoh berhentinya kurang dari 15 hari (seperti berhenti 5 hari dan datang semula darah selepas itu), ia masih dianggap darah nifas. Sehinggalah bila melepasi tempoh maksima nifas tadi (iaitu 40 hari mengikut jumhur ulamak atau 60 hari mengikut mazhab Syafiie), jika ditakdirkan darah masih keluar, ia bukan lagi darah nifas akan tetapi darah haid (jika ada tanda-tanda haid dan menepati hari kebiasaan haid) atau istihadhah (jika darah yang masih keluar itu tiada tanda-tanda haid).

4. Jika ditakdirkan seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah sedikitpun selepas bersalinnya dan keadaan itu berterusan hingga 15 hari, maka ia dianggap suci secara keseluruhannya. Jika keluar darah selepas 15 hari itu, maka darah itu dikira darah haid, bukan darah nifas. Dalam kes ini, wanita tersebut dianggap tidak bernifas.

Untuk mendapat maklumat lebih terperinci tentang nifas, sila baca di laman
FIQH ANDA, di bahagian Darah-Darah Wanita.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Buku Fiqh Toharah (Bersuci), Ahmad Adnan bin Fadzil.
2. Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil al-‘Azzazi, 1/142.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Khamis, 12 April 2012

Hutang, Pinjam, Hadiah & Hantaran Bersulam Dosa Riba



 Riba al-Qardh adalah sebarang manfaat tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman pokok yang mana ianya disyaratkan di awal kontrak pinjaman (loan contract) yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kepada peminjam. Riba jenis ini boleh dikira sebagai yang paling popular berlaku di kalangan masyarakat kita hari ini.

Riba jenis ini bergantung kukuh kepada hadis berikut :

كُلّ قَرْضٍ جَرَّ نَفْعاً فَهُوَ الرِّباَ

Ertinya: "Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat (bagi pemberi pinjam) maka ia adalah riba."
[1]

Walaupun terdapat pertikaian berkenaan tahap ketulenan hadis ini, kandungan hadis terbabit telah menjadi satu kesepakatan atau ijma di kalangan para ulama. Hadis itu mungkin boleh disalah fahami ertinya jika hanya dilihat kepada teksnya, ini kerana jika setiap pinjaman yang membawa manfaat itu riba, maka semua jenis pemberian pinjam adalah haram dan riba, kerana setiap pinjaman walaupun tanpa faedah atau tambah, akan memberikan manfaat buat peminjam, ia juga memberikan manfaat kepada pemberi pinjam dari sudut pahala dan kebaikan akhirat. Namun itu bukanlah kefahaman yang tepat, kerana berdasarkan pelbagai nas dan athar sahabat yang lain[2], manfaat yang dimaksudkan :-
Terhad kepada manfaat material dan bukan spiritual seperti pahala
Ia akan manfaat yang diperolehi oleh pemberi pinjam dan bukan peminjam. Justeru jika pemberi pinjam menerima pujian dan terima kasih atas kebaikannya, ia tidak termasuk di dalam manfaat yang haram.
Ia juga merujuk kepada sesuatu manfaat material yang disyaratkan. Justeru, manfaat yang tidak disyaratkan adalah terkeluar daripada konteks hadis. As-Syawkani berkata :

إِذَا كَانَتْ الزِّياَدَةُ مَشْرُوطَةً فِي العَقْدِ فَتُحْرَمُ اِتِّفَاقًا

Ertinya : Apabila pertambahan itu disyaratkan di dalam kontrak, maka diharakmkan secara sepakat
[3]

Itulah tiga panduan asas di dalam memahami hadis berkaitan riba yang berlaku di dalam aktiviti pinjaman dan hutang. Sebagai penjelasan tambahan, Ibn Qudamah berkata:

كُلّ قَرْضٍ شَرَطَ فِيْهِ أَنْ يَزِيدَهُ فَهُوَ حَرَامٌ بِغَيْرِ خِلاَف

Ertinya: "Setiap pinjaman yang disyaratkan padanya memberi tambahan, maka ia adalah haram tanpa sebarang pertikaian."
[4]

Ibn Munzir pula berkata :

أَجْمَعُوا عَلىَ أنّ المُسْلِفَ إِذَا شَرَطَ عَلىَ المُسْتَسْلِفِ زِياَدَةً أوْ هَدِيَةً , فَأسْلَفَ عَلىَ ذَلِك, أنّ أَخْذَ الزِّياَدَةِ عَلىَ ذَلِكَ رِباَ

Maksudnya : Telah ijma bahawa apabila pemberi pinjam meletakkan syarat ke atas peminjam sebarang tambahan atau hadiah, maka pinjaman diberikan, sebarang tambahan yang diambil adalah riba.
[5]

Al-Bukhari pernah mencatatkan bahawa Nabi s.a.w berkata :

إذَا أقْرضَ فَلاَ يَأخُذُ هَدِيةً

Maksudnya : Apa memberi pinjam, janganlah kamu mengambil sebarang hadiah.

(Riwayat Al-Bukhari dalam At-Tarikh)

Justeru itu, tiada sebarang keuntungan boleh diraih oleh pemberi peminjam melalui aktiviti pinjaman ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara sukarela atas dasar bantu-membantu. Ia disebut dalam Islam sebagai Qardh al-Hasan (pinjaman tanpa sebarang faedah riba dikenakan kepada si peminjam).

BEBERAPA JENIS RIBA QARD YANG POPULAR

Beberapa jenis riba Al-Qardh yang popular boleh dipecahkan kepada beberapa bentuk, iaitu:-

1) Duit berbalas duit yang lebih banyak
Contoh : Ali meminjamkan Ahmad wang sebanyak RM2000, dengan syarat membayar kembali dengan nilai yang lebih besar seperti RM2500 dalam masa tiga bulan.

Sebarang pinjaman yang mensyaratkan pertambahan nilai semasa pemulangannya akibat jangka tempoh waktu adalah riba al-Qardh. Ini adalah dari jenis time value of money
[6] yang diharamkan di dalam Islam.

Bagaimanapun, sekiranya Ahmad memulangkan wang dengan nilai tambah tanpa sebrang paksaan atau syarat oleh Ali, di ketika pinjaman dibuat atau sepanjang tempoh pinjaman, ia adalah halal lagi terpuji di sisi Islam. Hal ini pernah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w apabila baginda membelikan unta yang lebih baik dari apa yang dipinjam dan digunakan oleh Nabi, tatkala itu Nabi meminta sahabat pergi membelikan seekor unta yang lebih baik, lalu berkata:-

فَإِنّ خَيْرُكُمْ أَحْسَنُكُم قَضَاءً

Maksudnya : "Sebaik-sebaik antara kamu (peminjam) adalah memulangkannya dalam bentuk yang terbaik" (Riwayat Al-Bukhari)

Namun begitu, hukum haram masih berlaku jika peminjam, iaitu Ahmad walau dengan sukarela menawarkan pembayaran semula (repayment) dengan nilai tambah. Islam tidak menerima campur tangan redha manusia dalam hukum yang berkaitan dengan hak Allah swt. Hukuman riba tergolong dalam kategori hak Allah swt. Justeru walau ditawar oleh peminjam dengan keredhaannya, hukum haram adalah tetap serupa, sama ada nilai tambah disyaratkan oleh pemberi pinjam atau peminjam, kedua-duanya adalah riba yang diharamkan.

2) Duit berbalas duit beserta sesuatu manfaat
Contoh Pertama : Kamil memberi pinjam sebanyak RM1000 kepada Hasan untuk tempoh lima bulan, sebagai balasan Kamil mensyaratkan Hasan untuk membantunya menyiapkan kerja universitinya.

Contoh Kedua : Husin memberi pinjaman sebanyak RM5000 kepada Karim dan disyaratkan ke atas Karim untuk membeli komputer yang sedang dijual oleh Husin atau menyewa sebuah bilik di rumah sewanya.

Dalam contoh pertama di atas, bantuan menyiapkan kerja universiti itu dikira riba kerana tergolong di dalam manfaat lebih yang diraih hasil pemberian pinjaman. Ia diharamkan oleh Islam kerana ia jelas satu tindakan menindas yang mengambil kesempatan di atas bantuan pinjaman yang diberi walaupun tiada sebarang jumlah tambahan dalam bentuk wang tunai dikenakan sebagai bayaran semula.

Manakala dalam contoh kedua, ia tergolong dalam mensyaratkan sesuatu bentuk manfaat, Cuma manfaat kali ini lebih berselindung kerana menggunakan satu kontrak lain, sama ada jual beli atau sewa. Kedua-dua contoh ini hukumnya adalah haram berlandaskan nas berikut (selain nas umum yang dinyatakan sebelum ini):

لاَ يَحِل بَيْعٌ وَسَلَفٌ

Maksudnya: Tidak halal jualan beserta pinjaman bertangguh.

( Riwayat At-Tirmizi)
[7]

Al-Baghawi menyatakan erti (سلف ) dalam hadis ini adalah Qardh iaitu pinjam. Imam Ahmad semasa ditanya berkenaan erti hadis ini menerangkan ia membawa maksud, seseorang mmebri pinjam kemudian menjual sesuatu kepadapeminjam dan mengambil keuntungan darinya. [8]

Jelas, tindakan mensyaratkan jual beli, sewa atau apa-apa manfaat lain adalah tergolong dalam riba melalui helah-helah tertentu, namun hukumnya tetap sama, iaitu haram.

3) Manfaat berbalas manfaat yang lebih
Contoh : Hasan memberi pinjam keretanya kepada Yusuf dengan syarat Yusuf perlu memulangkan kereta itu dengan tangki minyak penuh, padahal semasa pinjaman dilakukan, ia tidak penuh.

Dalam contoh di atas, Riba berlaku juga kerana ia tergolong di dalam hadis pinjaman beserta pulangan lebih yang disyaratkan. Ia juga tergolong di dalam ijma' yang disebutkan oleh Ibn Qudamah. Ini kerana manfaat kegunaan kereta dibalas dengan satu manfaat lain yang berbeza dan melebihi manfaat pinjaman.

Sekiranya, dalam kes ini, pemberi pinjam ingin memperolehi sesuatu keuntungan seperti yang disebut di atas, pemberi pinjam tidak boleh menggunakan kontrak ‘pinjam' semasa memberi keretanya, sebaliknya ia mesti menggunakan kontrak ‘sewa' dengan nilai sewa, setangki penuh minyak. Melalui cara itu, transaksi dan keuntungan yang diperolehi adalah halal.

Mungkin ada yang keliru disebabkan hasil dan akibat (end result) bagi kedua-dua transaksi kelihatan sama, walaupun demikian ia berbeza di sisi Allah swt, kerana pemberian pinjaman wang atau manfaat aset yang tidak dikenakan sebarang upah dan tidak diambil peluang meraih sesuatu manfaat bersifat material akan melayakkan pemberi pinjam untuk menerima gandaan pahala sebanyak 18 kali ganda bergantung kepada tahap keikhlasannya. Sejurus kontrak ditukar kepada ‘sewa' ganjaran sedemikian tidak lagi diperoleh oleh pemilik, sebagai gantinya pemilik meneirma habuan di dunia berbanding habuan akhirat.

Nabi Muhammad s.a.w berkata:

رأيت لَيْلَةَ أسرى بِي على بَابِ الْجَنَّةِ مَكْتُوبًا الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ فقلت يا جِبْرِيلُ ما بَالُ الْقَرْضِ أَفْضَلُ من الصَّدَقَةِ قال لِأَنَّ السَّائِلَ يَسْأَلُ وَعِنْدَهُ وَالْمُسْتَقْرِضُ لَا يَسْتَقْرِضُ إلا من حَاجَةٍ

Maksudnya: "Pada malam aku pergi ke syurga (semasa Israk Mi'raj), aku melihat tertulis di dalam pintu Syurga, "Setiap sumbangan sedeqah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali" lalu aku (Nabi ) bertanya : wahai Jibrail, mengapakah pemberian pinjam lebih mulai daripada sedeqah? Jawab Jibrail : Kerana yang meminta di waktu meminta itu, sedang ia masih memiliki ( mampu), sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjam kecuali benar-benar di kala keperluan."

(Riwayat oleh Ibn Majah)
[9]

Inilah juga yang disebutkan oleh Al-Jassas di dalam kitab beliau Ahkam al-Quran :

سَمّاهُ اللهُ قَرْضاً تَأكِيْداً ِلاسْتِحْقَاقِ الثَّوَابِ بِهِ؛ إِذْ لاَ يَكُونَ قَرْضاً إِلاّ وَالعِوَضُ مُسْتَحَقٌّ بِه

Ertinya : "Allah menamakannya sebagai qard (pinjam) sebagai penguat kepada perolehan pahala kebaikannya, kerana jika ia bukan qard, maka pemberi pinjam layak mendapat ganjaran (material) darinya"
[10]

4) Hadiah duit berbalas hadiah duit yang lebih banyak.
Contoh : Kamil menghadiahkan wang berjumlah RM100 kepada Hasan hari ini dengan syarat Hasan akan menghadiahkan Kamil wang sebanyak RM120 bulan hadapan.

Ia juga termasuk di dalam kategori riba al-Qardh dan tergolong di dalam kategori pemberian pinjam walau menggunakan lafaz hadiah. Penggunaan helah menukar lafaz dan nama tidak mampu mengubah substance atau rangka asas kontrak yang merupakan pinjaman beserta faedah.

5) Hadiah bersyarat hadiah.
Contoh : Pengantin lelaki dan wanita bersetuju bahawa pihak lelaki akan hadir dengan 7 buah dulang hantaran bernilai RM10,000 manakala, pihak wanita bersteuju dengan balasan 9 buah dulang bernilai RM13,000.

Dalam konteks ini, masih berlaku syubhat riba al-Qardh jika sekiranya kedua-dua pihak bersetuju atas nilai harga tertentu iaitu RM 10,000 berbalas RM13,000. Namun jika kedua-dua pihak tidak berpakat berkaitan harga, dan hanya menentukan jumlah dulang hantaran semata-mata, ia adalah harus. Apa yang menjadikannya haram adalah persetujuan wang berbalas wang yang lebih banyak.

Semoga kita semua dapat belajar, memahami dan menjauhi diri dari terjebak dalam dosa riba yang amat dikeji oleh Allah swt.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net