Rabu, 15 Februari 2012

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat?

Jawapan;

Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie dan Ahmad serta jumhur Salaf dan Khalaf) yang berpandangan; sesiapa yang menambah rakaat solatnya kerana lupa, tidaklah batal solatnya. Malah jika ia menyedarinya selepas salam, solatnya kekal sah. Ia hendaklah sujud sahwi jika menyedarinya sebaik sahaja selepas memberi salam dalam tempoh yang dekat. Namun jika menyedarinya setelah lama masa selepas memberi salam, tidak perlu lagi sujud sahwi. (Syarah Soheh Muslim).

Tambahan;

1. Jika disedari ketika masih dalam solat, wajiblah kembali duduk, kemudian menyelesaikan bacaan tasyahhud, setelah itu lakukan sujud sahwi dua rakaat dan memberi salam. Jika diteruskan juga solat sebaik menyedari tertambah rakaat, batallah solat.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jilid 2, kitab al-Masajid wa Mawadhi’ as-Solah, bab as-Sahwi Fi as-Solah wa as-Sujud Lahu.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, jilid 4, bab Iza Shalla Khamsan.
3. Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil Yusuf al-‘Azzazi, 1/428.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan