Khamis, 9 Februari 2012

MANUSIA YANG DITELAN BUMI

بليع الأرض

Bali’ul-ardh bermaksud orang yang ditelan bumi. Tahukah anda siapakah yang digelar Bali’ul-ardh?

Beliau adalah Khubaib bin ‘Adi r.a.

Khubaib berasal daripada qabilah Aus. Mendampingi Rasulullah s.a.w. sejak baginda berhijrah ke Madinah.
Ikut serta bersama baginda s.a.w. di dalam peperangan Badar di mana beliau telah menunjukkan keberanian, ketangkasan dan sifat-sifat keperwiraan yang luar biasa. Beliau telah Berjaya membunuh ramai tentera musyrikin termasuk seorang yang bernama al-Harith bin ‘Aamir bin Naufal.

Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w. ingin mengetahui perancangan Quraisy, sejauh mana mereka membuat persiapan untuk memerangi umat Islam. Baginda memilih 10 orang sahabat, termasuk Khubaib. ‘Aasim bin Thabit dilantik sebagai ketua.

Mereka segera berangkat menuju ke Makkah. Apabila mereka hampir tiba, pihak musyrikin Bani Lihyan dapat menghidu pergerakan mereka lalu mengekorinya. ‘Aasim menyedari bahawa musuh sedang mengejar mereka. Lalu beliau mengarahkan agar sahabat-sahabatnya mendaki ke puncak bukit yang tinggi. 100 orang musyrikin menghampiri dan mengepung mereka. Musyrikin menyeru mereka agar menyerah diri dan berjanji akan menjamin keselamatan mereka. ‘Aasim menegaskan bahawa dia tidak sekali-kali akan menyerah diri kepada musyrikin. Lalu dia berdoa supaya Allah sampaikan perkhabaran mereka kepada Rasulullah s.a.w.

Melihat para sahabat enggan menyerah, mulalah musyrikin memanah mereka. Tujuh orang syahid termasuk ‘Aasim. Yang tinggal adalah Khubaib, Zaid dan Mirthad. Mirthad cuba untuk lari. Namun dia dibunuh oleh musuh. Khubaib dab Zaid diikat dan diheret ke Makkah. Kedua-duanya dijual. Bani al-Harith mendapat tahu kewujudan Khubaib di Makkah. Mereka segera datang membelinya untuk membalas dendam ke atas Khubaib yang telah membunuh ayah mereka, al-Harith di dalam peperangan Badar.

Khubaib diletakkan di rumah ‘Uqbah bin al-Harith sebagai tawanan, diikat dengan rantai besi.
Suatu hari, seorang anak perempuan al-Harith masuk ke bilik kurungan Khubaib. Dia melihat sesuatu yang aneh. Dia berlari keluar memberitahu ahli keluarganya bahawa di tangan Khubaib terdapat setangkai anggur dan dia sedang memakannya, pada hal dia ditambat dan di Makkah ketika itu tidak terdapat anggur walau sebijipun. Katanya, aku yakin itu adalah rezeki yang diturunkan Allah kepada Khubaib.

Setelah musyrikin bertekad untuk membunuh Khubaib, beliau meminta daripada salah seorang anak perempuan al-Harith agar meminjamkannya pisau cukur untuk mencukur bulu di tempat sulitnya. Perempuan itu mempunyai seorang anak kecil. Ketika dia sibuk dengan urusannya, dia tidak menyedari anak kecilnya masuk ke bilik kurungan Khubaib. Setelah dia sedar ketiadaan anak kecil di sisinya, dia mencarinya dan di dapati anak itu sedang duduk di atas peha Khubaib yang sedang memegang pisau cukur. Perempuan itu sangat takut dan bimbang akan keselamatan anaknya. Khubaib berkata dengan tenang, “Adakah engkau takut aku akan membunuh anakmu? Tidak. Demi Allah aku tidak akan melakukannya!” Perempuan itu mengakui, “Sesungguhnya aku tidak pernah melihat tawanan yang lebih baik daripada Khubaib”.

Musyrikin cuba untuk memperdayakan Khubaib dan menakut-nakutkannya dengan menyampaikan berita bahawa sahabatnya Zaid telah dibunuh. Memujuk Khubaib supaya meninggalkan agama Muhammad dan memberi jaminan sekiranya Khubaib berbuat demikian mereka akan membebaskannya. Namun Khubaib selamanya tidak tunduk kepada pujukan mereka. Akhirnya mereka tidak berdaya lagi untuk memujuk Khubaib. Mereka membawa Khubaib ke Tan’im untuk membunuhnya dengan cara disalib. Sebelum dia disalib, dia meminta izin untuk solat dua rakaat. Dia solat dengan penuh khusyuk. Dan dialah merupakan orang pertama melakukan solat dua rakaat sebelum dibunuh. Usai solat, Khubaib menoleh ke arah mereka seraya berkata, “Demi Allah, sekiranya kamu tidak menganggap aku takut mati, nescaya aku panjangkan lagi solatku”. Kemudian dia mendongak ke langit dan berdoa:
(اللهم أحصهم عددًا، واقتلهم بددًا، ولا تبق منهم أحدًا)،

Selepas itu dia mengungkapkan beberapa bait syairnya:
Dan aku tidak peduli ketika aku dibunuh sebagai muslim
Dari arah manapun di jalan Allah aku berjuang
Aku berjuang demi redha Tuhan
Jika Dia kehendaki, Dia akan memberkati setiap urat yang terputus.

Ketika dia hampir disalib, salah seorang ketua musyrikin mendekatinya dan berkata, “Adakah kamu suka Muhammad berada di tempat kamu, dan kamu pula selamat di tengah-tengah keluargamu?” Khubaib melaungkan kata-katanya yang masyhur, “Demi Allah aku tidak suka bersenang-senang bersama keluarga dan anakku, pada hal Rasulullah s.a.w. dicucuk sebatang duri!”

Itulah juga kata-kata yang diucapkan oleh Zaid bin ad-Duthnah ketika mereka membunuhnya semalam. Mendengar kata-kata itu, Abu Sufyan menepuk tangannya sambil berkata, “Demi Allah aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang lebih daripada sahabat Muhammad mengasihi Muhammad!”

Dan kata-kata Khubaib yang lantang itu disambut dengan tetakan pedang di badannya, maka syahidlah dia. Setiap kali mereka cuba mengalihkan wajahnya dari Qiblat, wajahnya akan berpusing ke arahnya sehingga akhirnya mereka berputus asa dan membiarkan wajahnya yang telah syahid itu mengadap ke arah Qiblat.

Jasad Khubaib dibiarkan tergantung di tiang salib sehinggalah Nabi s.a.w. mengarahkan az-Zubair bin al-‘Awwam dan al-Miqdad bin ‘Amru datang menurunkannya. Az-Zuabir meletakkan Khubaib di atas kudanya. Jasadnya masih segar, tidak mengalami apa-apa perubahan sedikitpun. Az-Zubair dan al-Miqdad dikejar kaum musyrikin. Apabila musyrikin telah hampir menangkap mereka, az-Zubair mencampakkan jasad Khubaib, lalu jasad yang mulia itu terus ditelan bumi. Lantaran itulah dia digelar بليع الأرض
~MAZNAH DAUD~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan