Ahad, 15 Januari 2012

Bidadari Bagi Mereka Yang Menjaga Nafsu

Dalam sebuah hadith riwayat Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah SAW bersabda :” Sesungguhnya apabila Allah SWT selesai menciptakan Jannatu Adnin (syurga Adnin), lalu telah dipanggil Malaikat Jibrail a.s. dan berfirman kepadanya :” Pergilah engkau dan lihatlah apa yang telah Aku ciptakan untuk para hambaKu dan para kekasihKu (para waliKu)”.

Jibrail AS pun pergi dan mengelilingi syurga Adnin itu, lalu ada seorang bidadari yang cantik jelita keluar dari sebuah istana megah datang mendekati Jibrail AS serta tersenyum simpul kepadanya. Serta merta syurga itu menjadi terang benderang dari sebab pengaruh sinar dua gigi serinya. Maka Malaikat Jibrail a.s bersujud kerana dia menganggap bahawa sinar itu dari cahaya Allah Tabaraka wa Taala yang Maha Perkasa.

Bidadari itu berseru :” Hai Jibrail AS, malaikat kepercayaan Allah, angkatlah kepalamu”. Ketika itu Malaikat Jibrail pun mengangkat kepalanya dan melihat kepada bidadari itu serta berkata dengan kekaguman:” Maha suci Allah yang telah menciptakan engkau (bidadari)”.

Kata bidadari itu:” Hai Jibrail, malaikat kepercayaan Allah, tahukah engkau untuk siapakah saya diciptakan?”

Kata Jibrail AS:” Untuk siapakah engkau diciptakan?”

Bidadari itu menjawab : ” Saya telah diciptakan untuk orang yang lebih mengutamakan keridhaan Allah Taala daripada hawa nafsunya”.(Mukaasyafatul Quluubi).

Hadith daripada Abu Said al Khudry RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Perempuan-perempuan syurga (bidadari) itu betisnya kelihatan dibalik tujuh puluh (70) lapis pakaian sutera yang dikenakannya. Malah kelihatan sampai kesumsum tulang betisnya. Demikianlah Allah berfirman dalam Al Qur’an, bidadari itu seolah-olah batu permata yakut dan intan berlian yang berkilau-kilau. (Riwayat Tirmidzi).

Rasulullah SAW bersabda: “Penghuni syurga boleh mencermin melihat wajahnya di pipi bidadari yang mulus itu.” (Riwayat Al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya bidadari meludah pada tujuh lautan, nescaya air laut akan tawar kerana keindahan dan kemanisan mulutnya, kerana bidadari terbuat dari za’faran.”

Dikatakan kecantikan isteri dunia (perempuan dunia yang solehah) sebenarnya 700 kali lebih cantik berbanding bidadari syurga. Jika kecantikan bidadari itu sendiri sudah tidak terperi, apatah lagi kecantikan isteri daripada kalangan perempuan dunia yang solehah.
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/01/04/bidadari-bagi-mereka-yang-menjaga-nafsu/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan