Ahad, 4 Disember 2011

Asnaf zakat yang maksiat

SAYA pernah menonton sebuah rancangan agama di televisyen dan penceramah menyatakan, orang yang tidak menunaikan solat tidak layak menerima zakat atau dibantu dengan sedekah.

Alasannya, orang tersebut melakukan derhaka kepada Allah dan jika diberikan zakat, maka seolah-olah menggalakkan lagi dirinya kekal dalam derhaka. Apakah ada sandaran dalil mengenai hal ini dan bagaimanakah pandangan syarak sendiri?

Jawapan:

Terima kasih kerana bertanya. Hakikatnya, dalam kehidupan di dunia ini, memang manusia terbahagi kepada dua, pertama golongan taat dan kedua, golongan maksiat.

Namun begitu, apabila yang melakukan maksiat itu adalah kalangan orang miskin yang melarat, maka pastilah ia lebih dipandang berat.

Seperti mana dinukilkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: Ada tiga golongan di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka, tidak membersihkan mereka daripada dosa,- kata Muawiyah: Juga tidak akan memandang mereka (mengendahkan mereka), bahkan mereka akan mendapat seksa yang pedih iaitu: 1) Orang tua penzina; 2) Raja (penguasa) yang pembohong dan 3) si miskin yang sombong". (riwayat Muslim)

Hakikatnya, orang miskin yang melakukan maksiat secara terang-terangan adalah sombong dan angkuh kepada Allah SWT. Sudahlah mereka miskin tetapi tetap mahu mendabik dada menzahirkan keangkuhan. Misalnya enggan bersolat, suka membuka aurat, gemar mengumpat dan suka membuka keaiban orang.

Mereka ini, sudahlah miskin, tetapi tetap tidak mahu mengambil iktibar di atas kemiskinan mereka.

Walhal, kemiskinan seringkali menjadikan manusia lebih sedar dirinya. Kerana ujian kemiskinan memang menjerakan. Dalam hal ini, di dalam al-Quran sendiri, Allah SWT pernah menggambarkan bagaimana kemiskinan telah menguji kesabaran para isteri Nabi Ayub a.s yang asalnya kaya dan menjadi papa (rujuk surah Shaad: 41-44 dan al-Anbia': 83 dan 84).

Apabila menyentuh isu kebajikan sesama umat Islam khususnya zakat, yakni apakah ia wajar disalurkan kepada umat Islam yang jelas melakukan maksiat, maka ulama terbahagi kepada dua pandangan.

Sebahagiannya, tidak mahu memberi zakat kepada golongan ini melainkan mereka berubah. Ini kerana keingkaran itu menzahirkan sikap tidak wajar mereka kepada Allah dan bakal mengundang kemurkaan Allah SWT.

Di sisi Maliki misalnya, mereka menyatakan: "Tidak diberi pahala pemberian zakat kepada orang yang membuat maksiat jika disyaki mereka akan membelanjakannya untuk itu (maksiat). Jika tidak (tidak digunakan untuk maksiat), harus diberikan (zakat) kepada mereka."

Imam Ibn Taimiyah juga semasa membicarakan hal ini menegaskan: "Seorang muslim harus memberikannya kepada orang yang berhak daripada golongan fakir, orang yang berhutang dan lain-lain, asalkan mereka beragama Islam serta taat mengikuti syariat. Sesiapa yang nyata melakukan perkara bidaah atau kejahatan (kefasikan), dia patut menerima hukuman (seperti dibuang negeri dan lain-lain) serta diminta bertaubat. Jadi, bagaimana kita boleh menolong orang yang melakukan hal-hal demikian?"

Bahkan beliau dalam kitab AI-Ikhtiarat menyatakan: "Tidak harus diberi zakat kepada orang yang tidak menggunakannya ke jalan Allah (untuk taat kepada-Nya). Ini kerana Allah SWT mewajibkannya sebagai satu pertolongan untuk taat kepada-Nya, kepada orang-orang beriman yang berhajat kepadanya seperti golongan fakir, orang yang berhutang atau sesiapa sahaja yang menolong orang beriman (seperti amil dan pejuang ke jalan Allah). Maka sesiapa yang tidak solat, dia tidak diberi zakat sehinggalah dia melaksanakan ibadat solat."

Bagaimanapun, ada kalangan fuqaha yang masih memberi keizinan agar zakat diagihkan kepada golongan ini, atas alasan zakat itu sudah jelas siapa yang berhak ke atasnya. Apabila orang itu sudah termasuk dalam kategori asnaf zakat, maka mereka boleh menerima zakat biar pun ketika itu mereka adalah muslim yang maksiat.

Maksiat itu tidak boleh menghalangi hak yang telah disediakan ke atas mereka, sebagaimana termaktub dalam ayat 60, surah at-Taubah.

Sheikh Muhammad Abu Zahrah misalnya menyatakan, al-Quran dengan jelas memperuntukkan bahawa fakir dan miskin adalah asnaf zakat tanpa dibatasi halangan tertentu.

Apatah lagi Nabi SAW sendiri pernah menggunakan zakat bagi menjinakkan hati orang-orang kafir. Maka sudah pasti ia lebih berhak bagi menjinakkan hati muslim yang sudah liar.

Beliau juga melihat, keengganan menyalurkan zakat kepada golongan fasiq (umat Islam yang maksiat) juga seakan-akan membunuh mereka secara senyap dengan membiarkan mereka mati dalam kebuluran.

Apatah lagi jika orang berkenaan mempunyai tanggungan yang wajib, maka zakat itu adalah untuk memenuhi keperluan tanggungannya. Bahkan, dalam konteks hari ini, ancaman akidah juga boleh diambil kira dalam hal ini.

Kecualilah, menurut Sheikh Abu Zahrah, jika memang jelas terbukti bahawa seseorang itu memang menggunakan wang zakat ke arah maksiat dan kefasiqan, maka kala itu baharulah disekat orang berkenaan daripada menerima bantuan zakat.

Ini demi mengelakkan mereka menyalahguna wang zakat ataupun sehingga menafikan hak tanggungannya pula.

Maka, bagaimana pula sikap pusat-pusat zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada hari ini?

LZS misalnya masih memberikan bantuan kepada para asnaf walau apa pun keadaan mereka. Bantuan akan tetap disalurkan kepada semua asnaf yang layak dan pada masa yang sama, LZS juga mengambil pendekatan menganjurkan pelbagai kursus dan program demi melunakkan hati penerima zakat.

Misalnya melalui program membaiki bacaan al-Quran, membaiki mutu ibadah, kursus keibubapaan dan sebagainya lagi.

Hal ini sejajar dengan pandangan fuqaha bahawa zakat sewajarnya disalurkan kepada mereka yang berhak, sekali pun mereka fasiq. Pada masa yang sama hendaklah diaturkan pendekatan mendidik mereka, agar mereka berubah dan tidaklah mereka kekal dalam kefasiqan begitu sahaja.

Seperti mana kata Imam Ibn Taimiyah lagi: "Sesiapa yang tidak sembahyang hendaklah disuruh sembahyang. Jika dia berkata: "Saya sembahyang." Maka dia boleh diberikan zakat. Jika sebaliknya, dia tidak diberi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan