Selasa, 8 November 2011

CARA PEMERGIAN MANUSIA KE PADANG MAHSYAR:

Firman Tuhan pada ayat 86 Surah Mariam, ayat 102 Surah Taha, ayat 97 Surah al-Isra', yang maksudnya menyatakan: Bahawa cara orang-orang yang pergi ke padang Mahsyar ada tiga bahagian ..

Pertama - Orang-orang yang pergi dengan berkenderaan, iaitu orang-orang yang bertakwa.

Kedua - Orang-orang yang berjalan kaki dan keadaan muka mereka biru keruh, kerana hati masing-masing sebak dengan kedukaan, iaitu orang-orang yang mati dalam keadaan berdosa.

Ketiga - Orang-orang yang berjalan dengan mukanya sambil matanya tidak dapat melihat sesuatu yang menyukakannya, lidahnya tidak dapat menuturkan hujah-hujah atau alasan yang boleh diterima daripadanya dan telinganya tidak dapat mendengar perkara -perkara yang menyenangkan hatinya, iaitu orang-orang yang pada masa hidup di dunia tidak berusaha menggunakan matanya, lidahnya dan telinganya untuk mencapai kebahagiaan akhirat.

Cara-cara yang tersebut diterangkan pula oleh Rasulullah dalam hadis yang berikut:

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Manusia yang dihimpunkan ke padang Mahsyar pada hari qiamat adalah tiga golongan; yang pertama Golongan yang berjalan kaki, yang kedua: Golongan yang berkenderaan, dan yang ketiga: Golongan yang berjalan dengan (berkakikan) mukanya." Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimana mereka dapat berjalan dengan mukanya?" Baginda s.a.w. menjawab: "Sesungguhnya Tuhan yang telah menjadikan mereka boleh berjalan dengan kaki, berkuasa menjadikan mereka berjalan dengan muka mereka!"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan